
Saya percaya kebanyakan pemancing, pada awalnya ramai yang menggunakan kili tembaga (swivel snap) yang murah harganya. Tentu saja ia bukan satu kesalahan untuk menggunakannya walaupun ia kurang berkualiti. Dalam banyak kes, kili murah ini ternyata memainkan peranannya dengan baik. Terutamanya jika sesi pancingan lebih kepada pancingan santai dan aksi ringan.
Kita gunakan kili supaya ia bertindak sebagai penghenti gelongsoran batu ladung sepanjang tali sehingga ke mata kail, dan kita mahu ia menghindarkan masalah tali berpintal.
Untuk tugasan pertama itu, kili jarang gagal jika ia diikat dengan betul. Tetapi untuk tugasan kedua, terdapat darjah-darjah akan bagaimana ia memainkan peranannya dengan baik.
Kili bergalas bebola berkualiti tinggi sememangnya lebih mahal harganya dan lancar putarannya agar tali bebas dari berpintal. Tetapi ketahanan dan kos harganya bergantung kepada gred logam tahan karat pada galas bebola tersebut.
Kili tembaga murahan berpadanan dengan kerendahan kualitinya, justeru kurang tahan, terutama dalam situasi yang agak kasar misalnya apabila memancing di perairan berarus laju.
Jika menggunakan teknik mata kail berangkai, umpan ikan biasanya berpintal, terutamanya di pantai berombak. Jadi, masalah tali berpintal ini perlu diselesaikan. Pilihlah kili yang bagus putarannya.
Ia lebih bagus berbelanja lebih sedikit membeli kili yang berkualiti daripada perlu menukar tali pancing yang rosak.
Kebanyakan kili dihasilkan berwarna hitam, berkilat dan berwarna tembaga. Lazimnya, kili hitam biasanya agak mahal berbanding warna tembaga.
Penggunaan kili hitam dan berkilat dikatakan mampu mempengaruhi hasil tangkapan, namun peratus perbezaannya amat kecil. Yang lebih penting adalah faktor ketahanan berbanding warnanya.
Port Ngeteh – Kelong Maswira!!

Dikelilingi karang hidup dan terletak berhampiran dengan laluan kapal menjadikan kelong ini sebagai lokasi utama permainan ikan dan sering didiami spesies gred A.
Ini terbukti apabila pelbagai jenis ikan seperti kerapu, merah, jenahak, tebal pipi, kurau, siakap dan pari sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini.
Malah, saiz yang dinaikkan bukan kecil-kecil anak, ada pemancing yang pernah menaikkan ikan pari seberat 20kg, siakap 13kg dan kerapu 10kg ketika memancing di sini.
Lokasi ini juga menjadi tempat permainan ikan-ikan pelagik seperti selar, kembung dan tamban yang sesuai dijadikan umpan untuk memancing.
Kemudahan Terbaik
Untuk ke kelong ini, ia memakan masa lebih kurang 15 minit dengan menaiki bot dari Pangkalan Penghulu Serkat.
Kemudahan yang ada di sini memang serba mencukupi. Dilengkapi 4 buah bilik rehat dengan tandas yang selesa serta dapur untuk memasak menjadikan kelong ini bukan sahaja sesuai untuk kaki pancing, malah sesuai untuk seisi keluarga.
Tidak cukup dengan itu, di sekeliling kelong turut dilengkapi dengan rod holder bagi memudahkan kaki pancing meletakkan joran mereka sambil menunggu ikan memakan umpan.
Kerusi juga turut disediakan di sekitar kawasan memancing berserta dengan tangguk dan gancu untuk membawa naik ikan besar ke atas kelong.
Menurut pengusaha kelong yang lebih mesra dipanggil En. Afis, pada masa hadapan beliau akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi membesar dan menaiktarafkan kelong ini untuk menjadi homestay memancing tengah laut.
Beliau yakin dengan usaha ini, ia mampu menarik lebih ramai kaki pancing dari serata Malaysia dan sekali gus menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan memancing negeri Johor.
Majalah Umpan sempat meluangkan masa merasai pengalaman memancing di Kelong Maswira ini. Meskipun ditemani cuaca penghujung tahun yang tidak menentu disertai dengan angin kuat, kami tetap komited untuk mencuba nasib.
Terbukti hasil di sini memang terbaik. Meskipun berdepan cuaca tidak menentu kami masih mampu menaikkan seekor pari berskala 4kg selain beberapa ekor kerapu, tebal pipi, semilang dan pelbagai spesies lain.
Untuk memancing di sini, adalah amat digalakkan untuk membawa rod panjang 13 – 15 kaki untuk memburu pari dan tebal pipi.
Jangan risau untuk membaling rod panjang kerana kelong ini mempunyai kawasan yang luas untuk membuat lontaran jauh.
Oh, jangan lupa membawa batu ladung lebih juga kerana kebarangkalian untuk sangkut juga amat tinggi kerana kelong ini dikelilingi karang hidup.
Bagaimana ke sini?
Sekiranya anda dari arah Utara, keluar dari plaza tol Simpang Renggam dan menuju ke Pontian.
Setibanya di Pontian, anda boleh berpandukan kepada papan tanda menuju ke Taman Negara Tanjung Piai.
Sebelum tiba di Tanjung Piai, anda akan dapat melihat papan tanda Kelong Maswira kerana kedudukan Kelong Maswira hanya kira-kira 1.5 kilometer sebelum anda tiba di Tanjung Piai.
Kenali Jenis Umpan Memancing Tenggiri Batang!!

Terdapat 3 jenis umpan yang sering digunakan oleh kebanyakan pemancing untuk memancing tenggiri batang iaitu:
Umpan Hidup
Umpan hidup yang paling biasa digunakan adalah terdiri dari jenis-jenis ikan pelagik atau ikan unjam mengikut istilah nelayan pantai timur. Ikan-ikan pelagik seperti kembung, pelaling, selayang, selar, selar pucat, tamban beluru, tamban sisik dan lolong.
Ikan pelagik ini mudah ditemui di kawasan unjam dan perairan tempatan. Selain itu sotong, anak Kerisi, kekacang, anak Seer, tongkol (aya) boleh digunakan sebagai pilihan.
Sotong (jarum dan cumit) hidup yang mudah ditangkap pada malam hari amat efektif digunakan pada sebelah malam, selain jenis ikan hidup yang mempunyai sisik yang berkilat atau berkilau untuk menarik perhatian pemburu malam.
Masalah utama yang di hadapi oleh kebanyakan pemancing ialah ketiadaan bekas umpan hidup yang sesuai dari segi kapasiti umpan dan ketahanan ikan untuk hidup dalam tempoh memancing.
Banyak bot nelayan yang disewa tidak memiliki kemudahan ini, maka umpan hidup tidak tahan lama dan umpan mati pula menjadi pilihan kedua.
Umpan Mati
Tidak semua nelayan memilih umpan hidup seperti yang diterangkan di atas. Faktor sifat ikan tenggiri itu sendiri selain jenis teknik memancing yang digunakan menjadikan umpan ikan mati digunakan sebagai pilihan alternatif.
Jenis-jenis umpan mati terdiri dari ikan pelagik yang mati tidak lama selepas dipancing. Atau masih segar. Selain itu bilis air, bulu ayam dan bersia mati boleh digunakan dengan teknik yang betul.
Umpan mati yang disebutkan mestilah dalam keadaan segar dan seboleh-bolehnya jangan kena panas yang boleh menyebabkan kulit ikan kering dan disimpan dalam ais dalam tempoh yang lama.
Menjaga kesegaran umpan mati adalah perlu jika anda ingin melihat hasil lumayan. Umpan mati yang digunakan mestilah mampu bertahan di dalam air kerana tenggiri sifatnya tidak suka mangsa yang berbau atau hancur dikerumuni anak-anak ikan kecil.
Umpan Tiruan
Umpan tiruan adalah teknik yang paling mudah dan tidak cerewet. Di antara jenis umpan tiruan yang popular ialah replika ikan atau lebih di kenali gewang, sesudu (spoon), rambu (skirt) dan logam jig.
Umpan tiruan jenis gewang yang menjadi pilihan ialah jenis Jackson Pin Tail, Rapala CD-18 dan Big Max terutama yang mempunyai kombinasi warna merah putih.
Gewang berkepala merah dan berbadan putih menarik minat tenggiri dan lain-lain ikan pemburu di permukaan kerana ia lebih menyerupai pergerakan ikan yang tercedera dan berdarah di kepala.
Jadi ikan pemburu menganggap tugas menjadi lebih mudah menerkam mangsa yang lemah dan sakit.
Nelayan komersial lebih berminat mengunakan sesudu yang kebanyakan dibuat sendiri dari bekas kole teh aluminium diikat bersama mata kail no 6/0 ke atas.
Mayat Berkafan Berterbangan Di Atas Kepala

Bot jenis fiber berwarna merah kuning terikat kukuh di jeti berhampiran chalet Zamri. Kami sampai seawal jam 4.00 petang, namun Zamri meminta kami menunggu satu jam lagi untuk air pasang penuh. Setengah jam sebelum masuknya waktu Asar, kami berenam termasuk tekong bernama Pak Hasan memulakan perjalanan.
Misi kami hanyalah satu, iaitu membawa pulang banyak hasil tangkapan ikan terutama ikan besar yang boleh dijadikan lauk keesokan harinya. Apatah lagi sebelum keluar dari rumah, isteri pula sudah berpesan (tetapi separuh menyindir) jangan lupa bawa pulang ikan laut, bukannya ikan pasar.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mamat dan Zarin memegang erat pada bahagian tepi bot. Naza pula berlagak selamba. Zamri dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.
Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Hasan memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Boya 16. Masing-masing melabuhkan umpan di situ. Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Zamri . Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.
Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang. Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Zamri memerintahkan Pak Hasan menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.
Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Hasan mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang. Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengah-tengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia. Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!
Aku cuba memberitahu Zamri dengan kerlingan mata. “Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Zamri . Agak keras dan sinikal. Zarin dan Mamat pula aku lihat sudah pucat. Naza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.
“Cuba kau azan”, kata Zamri apabila melihat Pak Hasan seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.
Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Hasan berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega. Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib.
Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia. Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.
Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.
“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zarin sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa. Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.
Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata. Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zarin menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.
Nasib baiklah Pak Hasan berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zarin ke dalam chalet Zamri. Di sini Zarin diubati seorang ustaz yang dibawa oleh isteri Zamri yang sudah dimaklumkan melalui telefon.
Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.
Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zarin hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut. Hanya aku dan Naza yang rajin mengikut Zamri turun memancing. Mamat pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini.
Aku sendiri hanya keluar memancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..