Dahan pokok yang berjuntai ke sungai menjadikan kawasan di bawahnya teduh dan ia merupakan kawasan yang sesuai untuk ikan-ikan kecil berlindung dari serangan ikan predator dan pemangsa lain. Sekaligus merupakan spot yang bagus untuk memancing.
Kawasan pusaran air
Ketika arus air memasuki selekoh pinggir sungai air atau melanggar hadangan (pulau atau batuan besar), maka akan membentuk arus balik yang lebih perlahan serta membentuk pusaran air. Ikan-ikan akan menunggu dan bermain di sekitar kawasan tersebut.
Ombak kecil
Bentuk sungai yang lurus akan menghasilkan arus yang tenang dan teluk kecil di pinggir sungai akan menghasilkan ombak-ombak kecil tempat ikan bermain. Cubalah lontar umpan di kawasan tersebut.
Ads
Selekoh sungai
Bentuk sungai yang berbelok, maka arus paling deras yang membawa makanan bergerak di sisi paling luar dan ikan biasanya menunggu makanan di kawasan belokan tersebut.
Lubang pinggir sungai
Biasanya spot ini boleh ditemui di bawah pokok besar di tepi sungai atau lapisan batuan besar yang terhakis. Ia merupakan spot yang sangat sesuai untuk ikan berlindung.
Ads
Lopak lubang dasar
Kawasan lopak yang dalam di dasar sungai merupakan tempat kegemaran bagi ikan-ikan besar, jika mengetahui kewujudan spot ini jangan sesekali diabaikan untuk meletakkan umpan.
Ads
Belakang batu
Ketika arus melanggar batuan besar, maka arus akan terpecah dan menghasilkan arus yang tenang di sebalik batuan. Tempat ini merupakan kawasan strategik ikan menyerang hendap dan berehat.
Air tejun
Air yang jatuh dari ketinggian yang berbeza akan menghasilkan lekukan atau lopak di dasar sungai yang lebih dalam dari bahagian dasar lain. Ia juga merupakan tempat yang sangat sesuai untuk ikan mencari makan.
Ikan senangin atau threadfins, polynemids adalah nama-nama biasa yang tergolong dalam keluarga besar Polynemidae.
Spesies Eleutheronema tetradactylum yang dikenali dengan nama Inggerisnya fourfinger threadfin atau giant threadfin dan nama ngor hu atau pek ngor ini merupakan ikan air masin yang turut dikenali sebagai senangin empat jari!
Taburan senangin agak meluas dari Teluk Parsi di sebelah barat, ke timur menyusuri Lautan Hindi hingga ke perairan Taiwan, China, Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina, pantai-pantai Australia di sebelah utara serta bahagian selatan Jepun.
Secara umumnya senangin boleh dijumpai di perairan tropika dan subtropika semua lautan. Biasanya senangin hadir di perairan pantai berdekatan muara sungai. Ada kalanya ia turut memasuki ke sistem sungai berair payau hingga ke sempadan air tawar.
Sementara perairan dengan dasar berpasir atau berlumpur merupakan habitat lazim senangin.
Senangin atau threadfin yang bernaung dalam keluarga Polynemidae ini mudah dikenali berikutan penampilan yang hampir sama pada penampilan keseluruhan badan, saiz mata dan filamen pada sirip pektoral. Sirip pektoral senangin terbahagi kepada dua seksyen.
Sirip bahagian atas lengkap dengan filamen, manakala di bahagian bawah terdapat 3 hingga 16 sirip tunggal tanpa filamen. Sirip ini berfungsi sebagai agen deria untuk mengesan makanan di dalam perairan yang berlumpur.
Kebanyakan spesies senangin mendiami perairan pantai dan muara sungai, walaupun sesetengah hidup sepenuhnya dalam sungai air tawar.
Senangin lazimnya berhabitat di perairan yang bahagian dasarnya berpasir dan berlumpur di kedalaman kurang daripada 150 meter. Mereka menjadikan ikan kecil dan krustasea sebagai diet utama.
Beberapa spesies kecil memakan plankton. Terdapat 8 genera dan kira-kira 42 spesies di seluruh dunia. Sementara di Malaysia terdapat 5 genus dan kira-kira 12 spesies senangin atau threadfin.
Antara lain pengenalan diri senangin ialah memiliki bentuk tubuh sederhana memanjang dan dimampatkan. Senangin tidak memiliki bibir kecuali bibir yang lebih rendah berhampiran dengan sudut mulut.
Semua spesies senangin mempunyai mata yang besar (nisbah diameter mata empat hingga enam kali lebih panjang dari kepala). Paling ketara bagi spesies senangin yang mendapat jolokan fourfinger threadfin berikutan memiliki 4 sirip tanpa filamen seperti jari di bahagian sirip pektoral di bawah badan.
Senangin lazimnya berwarna hijau keperakan di bahagian atas, punggung dan sirip ekor berwarna kelabu dan agak kehitaman di bahagian tepi, sirip pelvik dan sirip anal berwarna oren dan filamen dada berwarna putih comot.
Dan senangin berkemampuan untuk besar memanjang sehingga 200 cm.
Ikan haruan (Channa striatus) atau lebih dikenali sebagai ‘snakehead fish’ merupakan sejenis ikan karnivora yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan besar atau giant snakehead (Channa micropeltes) yang juga dipanggil sebagai giant mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Spesies ikan haruan ini memang banyak corak dan warnanya, lain kawasan mungkin ia berbeza-beza morfologinya.
Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat! Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan.
Ikan haruan mempunyai banyak jenis dan gelaran yang mungkin sebahagian daripada kita tidak kenal. Jenis-jenis haruan adalah seperti haruan todak, haruan palas, toman bunga dan bujuk. Saya mengenali beberapa jenis ikan tersebut kerana memang ada terdapat pada sawah dan anak sungai di kampung dahulu.
Kumpulan ikan ini adalah jenis ikan yang suka menyambar makanannya seperti anak ikan, katak, cicak dan umpan pada mata kain dan menarik dengan kuat ketika memancing.
Mulutnya yang besar dan pergerakannya yang sukar dikesan oleh mangsa menyebabkan ikan haruan merupakan ikan yang hebat dalam air. Saya memang suka memancing ikan haruan di kampung zaman remaja dulu dan jarang-jarang kecewa walaupun menggunakan mata kail buatan sendiri.
Ikan haruan todak atau juga dikenali sebagai ikan kedak merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa gachua. Ikan haruan todak boleh didapati di kawasan air sungai berjeram dan berair jernih.
Diet utamanya adalah anak-anak udang, dan serangga kecil. Saya pernah mengail ikan ini dahulu di kawasan sungai di kaki Gunung Ledang dekat Sagil, Tangkak. Memang tidak mudah untuk mendapatkan ikan ini kerana pada air jernih ia amat sukar untuk ditangkap.
Ikan haruan palas pula merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa melasoma. Ikan Haruan palas mempunyai warna kebiru-biruan di sebelah bawah badannya sementara bahagian lain berwarna agak gelap atau sedikit coklat bergantung kepada kualiti air.
Ikan haruan palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing. Ikan jenis ini pernah saya dapat dikawasan Paya Serompong iaitu kawasan paya yang agak luas dan mempunyai habitat sesuai untuk ikan jenis ini.
Ikan toman bunga atau juga dikenali sebagai ikan jelai, jaloi, kuang, kerandang, merupakan ikan air tawar. Nama saintifiknya adalah Channa marulioides. Ikan toman bunga merupakan ikan pemangsa jenis ikan seperti kepala ular.
Ikan toman bunga mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah, sama seperti ikan haruan palas dan juga ikan bujuk.
Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing. Saya juga pernah menangkap ikan jenis ini yang tersangkut pada jaring yang dipasang di kawasan paya di Kg Batu 27, Lenga, Muar dan sangat puas hati apabila digoreng dan makan dengan nasi panas.
Ikan bujuk adalah tergolong dalam ikan air tawar yang terdapat di negara-negara ASEAN, termasuk di Malaysia. Nama saintifiknya Channa Lucius. Ikan ini suka mendiami anak sungai yang mengalir dan kawasan paya. Ikan bujuk mempunyai warna gelap di bagian bawah (coklat kehitaman) dan agak terang sedikit di bahagian atasnya.
Ikan ini suka makan anak-anak ikan, serangga kecil, katak dan juga cengkerik serta bersifat seperti haruan lain yang cekap memburu mangsanya. Saya banyak kali memancing ikan bujuk di kawasan anak sungai Parit Pelampong depan rumah dan rasa ikan haruan jenis ini memang enak sekali.
Gerepoh atau atau nama saintifiknya Caranx ignobilis merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae.
Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally, ikan yang mempunyai bentuk kepala curam yang kelihatan gagah dan sirip kaudal yang kuat sering menjadi obsesi kegilaan kaki pancing.
GT merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja di singgahsana sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang.
Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, GT menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set ‘heavy’ sekalipun.
Sesetengahnya pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, GT akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan
hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang.
Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
MORFOLOGI
Secara morfologi luaran ikan GT, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap.
Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam.
Sesetengah GT juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan GT.
Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral.
Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan GT tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
TABURAN DAN HABITAT
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulaupulau timur Afrika dan di utara Jepun.
GT juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang.
Juvenil GT pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun.
Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
GT dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya.
Kawasan berair cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, GT bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak.
Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
SAIZ DAN KITARAN HIDUP
GT merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, GT umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, GT mampu mencapai berat 200lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian.
Apabila dewasa, biasanya GT akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
DIET PEMAKANAN
Ketika memburu, GT menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya.
Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya.
Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama GT ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, GT mampu bertukar lebih bengis dan licik.
Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut GT.
Selain itu, kelicikan GT juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. GT bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Taksonomi
Kingdom: Animal
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Percoidei
Superfamily : Percoidea
Family: Carangidae
Genus: Caranx
Species: Caranx ignobilis (Forsskål, 1775)
Nama lain: Gerepoh, Giant Trevally, GT, Ulua, Mamulan, Ronin-aji
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...