Paras air yang turun menyerlahkan banyak tunggul kayu serta reba yang selama ini tenggelam. Struktur-sruktur yang baru timbul ini biasanya sangat padat.
Pancingan menjadi berisiko, hanya mereka yang berani saja yang sanggup melemparkan gewang ke reba sebegitu kerana tahu kebarangkalian gewang untuk putus lebih tinggi berbanding menaikkan ikan.
Ramai yang lebih memilih untuk mensasarkan kawasan yang kurang tunggul-tunggul kayu. Jadi faham-fahamlah jika ikannya kurang.
Ketika paras air rendah juga menyebabkan jarak antara permukaan air dan reba menjadi bertambah rapat.
Kalau air tinggi masih ada peluang nak main ikan, tapi ketika air rendah sekejap saja ikan sudah lekat ke reba. Kebiasaanya strikes itu masih ada tapi dalam 10 kali gewang dirembat ikan hanya beberapa ekor saja yang dapat didaratkan.
Jika diperhatikan ketika air surut, tebing-tebing tanah merah terserlah, keadaan tasik empangan yang luas membuatkan selalu ada tiupan angin yang menghasilkan ombak-
ombak kecil dan ia sentiasa menghempas tebing-tebing tanah merah ini lalu menghasilkan keladak-keladak terampai yang akhirnya akan membuatkan air tasik menjadi agak keruh.
Keadaan ini berlanjutan selama mana musim kering berlangsung. Ikan sukar melihat gewang yang dipersembahkan lantas membuatkan peratusan sambaran kurang.
Keadaan musim kering yang berangin kuat juga salah satu faktor ikan kurang ketika air surut.
Pancingan menjadi sukar kerana kurang konsentrasi pemancing apabila bot sentiasa berubah kedudukan akibat angin, lemparan gewang juga selalu tersasar dari lokasi yang diinginkan akibat tiupan angin terutamanya di tempat toman menimbul.
Permukaan air yang sentiasa berombak menghasilkan biasan dalam air yang mengelirukan penglihatan ikan.
Malah untuk memainkan gewang permukaan terutamanya pencil bait juga tidak secantik semasa air tenang akibat ombak-ombak yang terhasil menjadikan ikan kurang berminat untuk menyergapnya.
Keadaan cuaca yang kering berminggu-minggu membuatkan proses pemeluwapan sentiasa berlaku lantas membuatkan oksigen mudah hilang dari permukaan air. Malah, perimeter permukaan air juga sentiasa panas. Bila keadaan ini berlaku.
Hidupan seni yang menjadi makanan ikan-ikan kecil akan turun ke kawasan yang dalam di mana masih ada lagi kandungan oksigen. Ikan-ikan kecil juga akan berlegar di kawasan yang dalam ini juga untuk mencari makanan.
Sedia maklum lokasi yang dalam ini berselirat dengan reba, jadi ikan-ikan pemangsa menjadi sukar dijejaki kerana ia juga lepak rapat ke reba untuk mengendap ikan-ikan kecil. Keadaan ini bileh juga menyebabkan kita ingat ikan kurang ketika paras air rendah.
Memancing udang galah boleh dilakukan dari tebing atau menggunakan sampan atau bot. Tetapi bagi saya, pancingan dari bot lebih sesuai kerana anda boleh bertukar lokasi sekiranya di satu-satu lokasi itu ‘senyap’ tiada sebarang getuan.
Untuk pancingan bot fiber menggunakan enjin 5-8 kuasa kuda, memadai hanya 2-3 orang sahaja dalam satu bot. Ini bagi membolehkan seorang itu memasang lebih dari 2 pancing setiap orang.
Selepas umpan dihulurkan, perhatikan setiap hujung joran. Ketika ini, tali harus sentiasa tegang. Bila sahaja ada getuan, sentap dengan lembut dengan cara mengangkat tinggi joran anda, bagi memudahkan mata kail tertancap kemas di mulut udang.
Terdapat juga kaki pancing yang ‘merasuah’ terlebih dahulu udang galah iaitu datang berkumpul di bawah bot dengan cara menebuk tin sardin, makanan kucing (jenis basah) dan menggantungnya di bawah bot.
Dengan cara ini, udang akan tertarik dan berkumpul dek kerana bau dari tin yang ditebuk ini. Pemancing akan menghulurkan sahaja pancing di bawah bot.
Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa. Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, joran perlu diangkat untuk memastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
Jadi kenalah rajin selalu. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain.
Sebaiknya umpan perlulah divariasikan dengan melontar joran dalam kedudukan berbeza iaitu balingan jauh, tepi, depan, belakang dan juga di bawah bot.
FAHAMI GETUAN UDANG GALAH
Perlu diingat, memancing udang galah ada kalanya tidak mendapat respon seperti mana anda memancing ikan.
Kadang-kadang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan. Ada juga yang menyambar dengan kasar seperti ikan.
Bahkan ada yang menarik umpan dengan keadaan separuh malu. Apa yang perlu ada ketahui lagi ialah, sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar.
Jangan terkejut, kononnya bila anda mahu melihat sama ada umpan ada atau tidak, ketika separuh karauan kekili dilakukan, tiba-tiba sahaja hujung rod anda digetu kuat isyarat sang jenggo telah menelan umpan anda.
SEWA BOT
Kebanyakan spot memancing terkenal di negara kita memang ada menyediakan khidmat sewaan (harga cukup berpatutan) bot dan enjin, bot sahaja (enjin sendiri).
Hanya perlu bawa sendiri bot berkenaan. Jika anda masih baru dalam hobi ini, tanyalah dan berkenalanlah dengan mereka yang arif dan pakar memancing udang galah.
SOAL KESELAMATAN
Walaupun memancing udang galah dianggap tidak terlalu mencabar, soal keselamatan perlu sentiasa dititikberatkan.
Pakailah jaket keselamatan ketika berada di dalam bot. Begitu juga dengan pendayung yang perlu sentiasa ada di dalam bot.
Untuk pengetahuan, pancingan udang galah pada waktu malam sebenarnya lebih galak, namun memerlukan lebih ketelitian kerana pada malam hari pandangan mata amat terhad. Selain lampu suluh, parang juga hendaklah sentiasa dibawa.
Serangan nyamuk dan agas, perkara yang perlu anda hadapi, gunakan losyen penghalau nyamuk, ubat nyamuk, baju lengan panjang, lampu kepala, baju hujan dan sebagainya.
Memancing pada malam hari juga terdedah dengan binatang berbisa seperti ular. Berhati-hati jika anda memancing di bawah pokok. Sebaiknya jika lokasi memancing udang galah itu agak berbahaya, jauh dari penempatan, sebaiknya batalkan hasrat anda.
Memancing udang galah juga tidak terlepas daripada gangguan seperti umpan terlebih dahulu dimakan oleh anak-anak ikan. Sila berhati-hati melepaskan mata kail jika umpan terkena ikan yang berduri tajam. Jika terkena ular air, potong sahaja perambut tersebut.
PERINGATAN
Bercakap soal udang galah, tidak dinafikan memang terdapat hubungannya dengan reptilia bergelar sang buaya.
Apa yang penting ketika berada di dalam bot, mulut jangan cabul. Begitu juga dengan mata dan telinga perlu sentiasa peka memandang dan mendengar keadaan sekeliling.
Dalam soal memancing, soal semangat setia kawan hendaklah diutamakan. Sentiasa muhasabah diri dan bersyukur dengan rezeki pemberian Allah.
Jika anda memancing secara berseorangan atau berdua, maklumkanlah pemergian anda kepada keluarga. Jika trip ramai-ramai bersama rakan, patuhilah arahan ketua yang dilantik.
Untuk pemancing baru, jangan segan minta tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman dan kaki pancing yang sudah biasa janganlah lokek memberi tunjuk ajar dan nasihat.
Teknik bancuhan umpan dan perambut yang hampir sama dengan umpan rohu kolam. Sekiranya anda sudah biasa menghasilkan umpan rohu kolam maka ia tidak mendatangkan masalah kepada anda.
Namun umpan serbuk belangkas ini bukan saja untuk memancing ikan kolam, ia amat berkesan untuk memancing ikan liar disungai seperti lampam, tenggalan, lais, patin lawang dan pelbagai spesies liar lainnya.
Bahan keperluan
Dedak (apa saja jenis dedak termasuklah dedak ayam)
Pelet
Serbuk pes belangkas Ulong
Air
Mata bom
Tutorial 1
Masukkan apa saja jenis dedak (1kg) ke dalam kekas bancuhan umpan.
Tutorial 2
Masukkan pula satu bungkus serbuk pes belangkas.
Tutorial 3
Gaul dedak dan serbuk belangkas sehingga sekata.
Tutorial 4
Masukkan air (air sungai atau kolam) sedikit demi sedikit sehingga bancuhan sesuai dikepal. Jika sungai yang berarus, sebaiknya bancuhan sedikit liat dan tidak mudah peroi.
Tutorial 5
Ambil mata bom dan cucuk 1 atau 2 biji pelet yang telah dilembutkan dengan air dan digaul dengan serbuk pes belangkas.
Tutorial 6
Kepal bancuhan dedak pada spring yang ada pada set mata bom atau mata rambai.
Tutorial 7
Umpan yang siap untuk digunakan. Sekiranya arus agak laju, gunakan batu ladung yang sesuai agar umpan ini tidak hanyut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...