Kerapu tikus atau boleh dianggap seperti raja di kalangan keluarga kerapu atau grouper. Ini kerana ikan ini diletakkan sebagai spesies kerapu yang paling mahal di pasaran. Dengan isinya yang lebih halus, sedap dan lebih berkualiti, tak hairanlah harganya begitu tinggi di pasaran.
Habitat ikan kerapu tikus ini adalah di sekitar kawasan karang laut seperti di perairan Pantai Timur dan yang paling banyak sekali di perairan Sabah. Diet utama ikan ini adalah hirisan sotong dan ikan dan teknik yang biasa digunakan pemancing adalah teknik pancingan dasar.
Harga pasaran: RM100 ke atas per kilogram. Jika dieksport ke luar negara ia mampu mencecah harga USD40 per kilogram. Fuhhh!
Ikan kerapu pisang merupakan spesies kerapu kedua termahal yang ada di perairan Malaysia. Spesies ini mempunyai tona yang menarik pada badannya iaitu merah menyala dan terdapat bintik-bintik kecil berwarna putih, kuning atau biru pada badannya dan ekornya pula berbentuk seperti bulan sabit. Ia sering menjadikan kawasan karang sebagai habitat utamanya. Spesies ini juga sangat lazat dijadikan hidangan. Tak hairanlah harganya begitu mahal di pasaran.
Ads
Harga pasaran: RM50-RM75/kg (harga peraih) RM75-RM150/kg (harga restoran) mengikut kawasan.
Spesies kerapu ini merupakan kerapu yang paling biasa dinaikkan kaki pancing Malaysia. Sering menjadikan kawasan karang, kapal karam, kawasan berbatu sebagai habitat persembunyiannya. Lebih terkenal sebagai pemangsa hendap yang mampu memberikan tantangan kepada kaki pancing. Ikan kerapu jenis ini biasanya boleh terpedaya dengan umpan sotong atau udang hidup, hirisan sotong, ikan, dan kini ia juga boleh diperdaya dengan besi jig.
Ads
Harga pasaran: RM30-RM50/kg (harga peraih) RM50 ke atas per kg (harga restoran)
Apa yang korang faham tentang monsun dan apa kaitannya dengan dunia memancing?
Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu monsun barat daya dari akhir bulan Mei ke September, dan monsun timur laut dari bulan November ke Mac.
Monsun timur laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala monsun barat daya secara relatifnya adalah lebih kering. Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan monsun.
Asal Usul Monsun
Perkataan monsun berasal daripada perkataan Arab muasim yang bermaksud musim. Para pedagang zaman lalu yang berulang alik melalui Lautan India dan Laut Arab menggunakan perkataan ini bagi menjelaskan sistem angin yang silih berganti yang bertiup mantap dari arah timur laut semasa musim sejuk di hemisfera utara dan dari arah berlawanan iaitu angin barat daya semasa musim panas di hemisfera utara.
Bagaimana Kejadian Monsun
Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari.
Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah.
Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia.
Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat-laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju Asia Tenggara.
Dari masa ke masa, ledakan keluar udara sejuk yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah atau siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.
Pada musim panas, pemanasan suria yang kuat meningkatkan suhu di kawasan daratan Asia. Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk.
Angin lengas tenggara yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila melepasi Khatulistiwa.
Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan barat-laut Pasifik.
Ketahui Ciri-ciri Monsun
Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di sepanjang pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak.
Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali di Sabah. Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya di antara 100 – 150 mm.
Keadaan ini melambangkan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera.
Sabah secara relatifnya lebih lembab (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina dalam perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya.
Semasa musim perantaraan monsun, angin adalah sepoi-sepoi. Di waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini membantu pembentukan ribut petir di sebelah petang.
Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menyumbangkan jumlah hujan bulanan yang tinggi pada kedua-dua musim perantaraan monsun.
BERIKUT DISENARAIKAN 16 SPESIES IKAN SUKAN (GAMEFISH) AIR MASIN YANG POPULAR YANG TERDAPAT DI PERAIRAN NEGARA KITA.
IA DISENARAIKAN SECARA RAWAK TANPA MENGAMBIL KIRA KEKUATAN ATAU KEPOPULARANNYA.
1. LAYARAN
Nama saintifik: Istiophorus platypterus, I. albicans Nama umum: Sailfish Nama tempatan: Layaran
Ikan layaran merupakan spesies ikan yang gah di kalangan pemancing sukan di Malaysia. Kuasa henjutannya yang sangat hebat ketika pertarungan membuatkan spesies ini begitu disegani.
Ia memiliki daya larian yang luar biasa serta aksi selaman dan lompatannya di permukaan air sering menaikkan adrenalin kaki pancing. Biasanya kehadiran layaran tertumpu di kawasan pelagic-oceanic.
Spesies ikan oceanodromous atau bermigrasi antara lautan ini tergolong dalam kategori billfish atau ikan berparuh dan jika di Malaysia, lokasi persinggahan terkenal spesies ini tentulah di perairan Rompin.
Sifat migrasi layaran ini menjadikan wujudnya acara tahunan ternama seperti Royal Pahang Billfish di perairan Rompin.
Acara seperti ini sering kali menjadi salah satu tarikan utama bagi pelancongan berteraskan sukan memancing dari dalam mahupun luar negara.
2. TUNA SIRIP KUNING
Nama saintifik : Thunnus albacares Nama umum : Yellowfin tuna Nama tempatan : Tuna sirip kuning
Spesies tuna sirip kuning merupakan spesies yang popular dan sering menjadi buruan kaki pancing.
Dengan larian yang deras dan bertenaga, tuna sirip kuning mempunyai permintaan dan nilai pasaran yang tinggi.
Bentuk badannya yang pejal menceritakan kekuatan lariannya apabila di hujung tali pancing.
Tuna sirip kuning boleh didapati dihampir kebanyakan perairan tropika, subtropika dan laut lepas.
Spesies yang kuat ini berenang berkumpulan mengikut saiz sama ada secara monospesifik atau multi-spesies di dasar dan memburu makanan di kawasan pertengahan hingga ke permukaan.
Spesies ini juga antara spesies migrasi oceanodromous. Diet utama bagi spesies ini ialah anak ikan, sotong dan krustasia.
Di Malaysia, tuna sirip kuning lebih banyak diperkatakan di bahagian perairan Sabah, namun di tukun Perak juga sering dikaitkan dengan kehadiran spesies ini.
3. MARLIN
Nama saintifik : Makaira indica Nama umum : Marlin, Black marlin Nama tempatan : Marlin, Mersuji
Marlin atau mersuji merupakan antara ikan berparuh yang popular di kalangan pemancing sukan tempatan malah luar negara.
Ia seakan ikan layaran namun tidak mempunyai layar di bahagian dorsalnya dan beratnya mampu mencecah sehingga beratus-ratus kilogram.
Spesies marlin bersifat oceanodromous, iaitu bermigrasi antara lautan. Taburan marlin biasanya di kawasan iklim sederhana di perairan tropika dan sub-tropika. Perairan Rompin merupakan lokasi popular di Malaysia.
Seperti layaran, marlin juga terkenal dengan kehebatan daya lariannya yang merupakan antara ikan terpantas di dunia, maka tidak hairanlah ikan marlin menjadi antara ikan sukan yang popular di kalangan pemancing tempatan dan luar negara.
4. ARUAN TASIK
Nama saintifik : Rachycentron canadum Nama umum : Cobia Nama tempatan : Aruan tasik
Aruan tasik merupakan spesies yang kuat melawan. Merupakan satu-satunya spesies daripada keluarga Rachycentridae, aruan tasik cukup dikenali dengan kekuatan daya henjutan ke dasar laut sehingga digelar ‘kapal selam’.
Bentuk badannya bujur dan sekali pandang hampir menyerupai haruan atau toman ditambah dengan kehadiran garisan melintang pada badan coklatnya. Henjutan spesies ini sering kali mampu memutuskan tali utama atau perambut.
Penting jika terkena sahaja ikan ini di atas bot, semua tali pancing lain perlu digulung cepat kerana pecutan ikan ini akan ‘sapu bersih’ tali pancing lain.
5. BELITONG
Nama saintifik : Coryphaena hippurus Nama umum : Mahi-mahi, Dolphinfish, Dorado Nama tempatan : Belitong
Ikan belitong antara ikan yang unik pada fizikalnya. Warnanya yang terang biasanya biru kehijauan memberikan sedikit kelainan pada spesies ini.
Warnanya akan mula pudar jika ia dinaikkan dari permukaan air. Namun kuasa henjutannya tidak boleh dipertikaikan di kalangan pemancing.
Belitong biasanya berlegar-legar berkumpulan di perairan laut lepas di kawasan perairan tropika dan sub tropika. Bagi anak belitong atau juvenil, biasanya bersifat pelagik.
Isinya tidak mempunyai nilai yang tinggi namun kuasa pecutan belitong mampu untuk membuatkan kaki pancing keliling bot untuk mendaratkannya.
6. GEREPOH
Nama saintifik : Caranx ignobilis Nama umum : Giant Trevally, GT Nama tempatan : Gerepoh
Gerepoh atau Giant Trevally (GT) cukup terkenal bagi kebanyakan kaki pancing di negara kita. Kekuatan lariannya mampu membuatkan pemancing tidak senang duduk dan tentangan gerepoh juga membangkitkan sensasi pertarungan yang sebenar.
Perairan Pulau Jarak, Pulau Sembilan di Perak merupakan antara lokasi tumpuan mudah bagi pemancing yang mahu merasai sensasi tarikan gerepoh.
Untuk yang bersaiz gadang, ikan ini banyak di dapati di sekitar pelantar-pelantar minyak. Ia biasanya berlegar-legar di kawasan yang mempunyai karang dan kawanan ikan kerana lokasi tersebut mudah baginya untuk mencari makanan.
7. GERONG BELANG
Nama saintifik : Gnathanodon speciosus Nama umum : Golden Trevally, Golden jack Nama tempatan : Gerong belang, Gerong-gerong
Gerong belang merupakan salah satu spesies daripada kumpulan trevally yang ganas. Spesies yang mampu melakukan larian yang kuat dan padu ini merupakan salah satu spesies idaman untuk pertarungan bagi pemancing kita.
Gerong belang gemar mendiami perairan marin yang terdiri daripada terumbu karang kerana lokasi tersebut menjadi sumber utama dietnya.
Gerong belang juvenil berwarna agak kekuningan dan dewasa agak kehitaman ditambah dengan kehadiran jalur di badannya.
Spesies ini bergerak berkumpulan dan biasa mengekori jerung dan ikan besar lain bagi perlindungan daripada pemangsa.
8. BANDANG
Nama saintifik : Elops Ladyfish Nama umum : Ladyfish Nama tempatan : Bandang
Ikan bandang atau ladyfish ini juga merupakan antara spesies tarikan utama untuk dijinakkan menggunakan set pancingan layang.
Selain itu, kaedah casting juga boleh dipraktikkan. Bandang mampu hidup di kawasan air payau dan bandang dewasa gemar kawasan yang muara cetek berlumpur, kawasan terumbu cetek dan pantai berpasir.
Bandang dewasa biasanya berenang secara solo dan sirip dorsal dibiarkan timbul di permukaan ketika berenang.
Cacing bentik, krustasia dan moluska merupakan diet utama spesies ini. Spesies bandang ini merupakan antara salah satu spesies ikan sukan terpenting di dunia.
Memang tidak dinafikan ada kaki pancing yang membuang terus mata kail selepas digunakan kerana tanggapan mereka, jika digunakan selepas ini ia tidak lagi kuat, tidak tajam dan mudah patah. Jika jenis harga murah terpulanglah kepada anda sama ada mahu menggunakannya semula ataupun tidak. Tetapi bagaimana dengan mata kail berharga mahal?
Satu set assist hook (dua mata kail) ada yang berharga hingga puluhan ringgit. Kurang-kurang pun belasan ringgit juga la. Tentu fikir berbelas kali nak dibuang, bukan?
Tahukah anda mata kail tersebut sebenarnya masih lagi boleh digunakan dan berfungsi baik jika anda mengendali dengan baik. Untuk penjimatan juga, adalah lebih baik sebenarnya anda menggunakan mata kail tahan karat.
Ia tahan lama dan selamat digunakan berulang kali. Jika ingin memancing di laut, pilih mata kail yang bertulis saltwater pada bungkusannya kerana ia sememangnya berupaya menahan hakisan air masin.
Cara penjagaan mata kail
Selepas pulang daripada memancing terutamanya di laut (air masin), jangan sesekali lupa untuk bersihkan dan bilas dengan air tawar. Kemudian keringkan di bawah sinaran cahaya matahari.
Selepas dikeringkan, periksa satu persatu mata kail. Perhatikan mana bahagian yang ada tanda karat. Jika ada, gosok dengan kertas pasir. Penting untuk anda menyimpannya dalam kotak pancing anda. Sila amati semula, jika kurang tajam, boleh gunakan kikir halus (handlife) dan asah pada bahagian berkenaan.
Jika mata kail agak berkarat adalah lebih baik anda membuangnya sahaja. Paling penting, mata kail yang telah anda bersihkan ini jangan sesekali dicampurkan ke dalam bekas atau pek mata kail yang masih belum digunakan. Anda perlu menyediakan satu bekas khas untuk mata kail yang terpakai.
Perkara yang sama juga jika anda menggunakan assist hook atau mata kail gewang. Jangan simpan begitu saja gewang-gewang di dalam tackle box selepas digunakan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...