Secara etimologi, Hampala adalah merujuk dari nama bahasa Jawa bagi menjelaskan ikan untuk genus ini. Hampala ialah genus bagi 6 spesies ikan dalam keluarga besar Cyprinidae (ikan kap) dan 3 Spesies utama daripada genus ini ditemui Asia Tenggara.
3 Daripada spesies ini boleh ditemui hanya di Kepulauan Borneo dan perairan Indonesia itu Hampala macrolepidota, Hampala bimaculata dan Hampala ampalong.
Sebagaimana yang ramai ketahui, H. macrolepidota yang dikenali sebagai jungle barb atau sebarau merupakan spesies yang boleh ditemui Semenanjung Malaysia dan Borneo.
Namun bagi spesies H. bimaculata ia dikenali sebagai sebarau dua belang, dungan, arungan dan barb hampala. Sebarau dua belang ini dikatakan hanya boleh ditemui di Borneo dan perairan Indonesia.
Ads
Lantaran ia tidak boleh ditemui di Semenanjung Malaysia maka ia menjadi ikan sukan sasaran para pengilat yang berkunjung ke kepulauan Borneo terutamanya di Sarawak. Ikan sebarau dua belang adalah spesies endimik di Borneo. Ia dicirikan oleh dua barisan tompok menegak pada sisi badannya.
Kedudukan dua belang hitamnya itu terletak di bawah sirip dan dorsal dan satu pada caudal peduncle (sudut bahagian yang menyambung badan dan ekor ikan). Selain ditangkap sebagai sumber protien, ikan sebarau dua belang juga amat popular dalam aktiviti sukan memancing.
Ads
Ikan buruan pengilat ini sangat sensitif terhadap kualiti. Justeru ia lebih mudah ditemui terutamanya di sungai pengunungan atau sungai yang bebas dari sumber pencemaran.
Ads
Menurut pemancing yang pernah memancing sebarau biasa dan sebarau dua belang ini, dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang.
Badan yang lebih aerodinamik melawan arus dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan sebarau Borneo ini.
Dalam pada itu sesetengah pemancing mendakwa sebarau dua belang ini sebenarnya turut ditemui di Semenanjung Malaysia namun taburannya amat kecil.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pengkelasan taksonomi bagi menjelaskan Rasbora adalah genera ikan dalam keluarga besar Cyprinidae. Atau lebih mudah untuk difahami, Rasbora ialah kumpulan ikan yang bernaung di bawah nama seluang. Mereka berasal dari habitat air tawar di Selatan dan Asia Tenggara, serta tenggara China.
Beberapa spesies lebih mudah ditemui di dalam akuarium. Sebagaimana nama genus, ia turut dikekalkan nama genus sebagai nama umumnya, rasbora. Rasbora digunakan untuk banyak spesies dalam genus Rasbora, serta beberapa spesies di genus atau genera Brevibora, Boraras, Megarasbora, Metzia, Microdevario, Microrasbora, Rasboroides, Rasbosoma, Sawbwa, Trigonopoma dan Trigonostigma. Sebahagian daripada genera yang berkaitan ini termasuk dalam genus Rasbora pada masa lalu.
Rasbora adalah spesies ikan-ikan kecil yang hanya mampu membesar panjang sehingga 17 cm dan kebanyakan spesimen yang ditemui tidak melebihi 10 cm. Kebanyakan spesies yang ditemui mempunyai jalur vertikal yang gelap.
Menurut laman web FishBase, kini terdapat 84 spesies yang diiktiraf dalam genus ini. Ini berbeza sedikit berbanding laporan dibuat oleh Catalog Of Fishes, di mana beberapa spesies ini dianggap sinonim juvenil dan beberapa yang lain (tidak disenaraikan di bawah) diiktiraf sebagai spesies yang sah.
Perbezaan luaran yang ketara antara sebarau berbanding ikan-ikan lain dari keluarga Cyprinidae (ikan kap) adalah wujudnya satu jalur hitam menurun dari dasar anterior sirip dorsal ke sirip ventral.
Secara saintifik ikan sebarau dikenali dengan nama Hampala sp. Di sarawak ikan ini lebih dikenali dengan nama adong dan barau-barau. Rasanya yang sedap dengan kandungan protein yang tinggi membolehkan ikan ini laris di pasaran dan dijual dengan harga yang agak mahal.
Sebarau besar yang melebihi saiz 25cm panjang lebih digemari kerana mempunyai tulang yang kurang berbanding ikan kecil.
Di kalangan pemancing, kehebatannya bersaing dan kerakusan apabila menyambar umpan lebih memberikan kepuasan. Sifat agresifnya iu membolehkan ia diklasifikasikan sebagai ikan yang sangat garang setanding dengan toman walaupun saiznya lebih kecil.
Umumnya ikan sebarau suka mendiami sungai-sungai jernih dengan air yang mengalir serta dasar berpasir dan sedikit berlumpur. Melalui taburannya ini bagai pegawai sungai kerana ia boleh ditemui di semua zon sungai, dari kawasan pertemuan antara air tawar dan air masin hingga ke zon paling hulu.
Namun melalui kajian, taburan sebarau berbeza mengikut saiznya. Anak-anak ikan bersaiz kurang dari 10 cm biasanya lebih menggemari sungai cetek yang berbatu dengan aliran air deras. Apabila ia mencapai saiz antara 11 hingga 20 cm, ia mula berpindah ke habitat yang lebih luas, berair jernih dan mengalir dengan perlahan.
Kawasan yang bertakung dengan kedalaman melebihi 3 meter, berdinding dan berdasarkan batu dan sedikit lumpur dengan aliran air yang perlahan pula menjadi pilihan sebarau melebihi 21cm.
Kawasan kediaman ikan-ikan dewasa yang bersaiz besar ini lazimnya dikenali sebagai lubuk (deep pool).
Kebanyakan sebarau dewasa mendiami lubuk-lubuk di hulu sungai yang terdapat ranting pokok tenggelam sepanjang hari. Keadaan ini turut memberi cabaran kepada para pemancing kerana cabaran perburuan sebarau bermula dari masa mencari kawasan pemancingan strategik lagi.
Untuk mencari lubuk sebarau, pemancing mungkin perlu berjalan beberapa jam mengharungi sungai berbatu dan berair deras menuju ke hulu sungai. Oleh itu pemancing bukan saja perlu mempunyai kecekapan mengendalikan peralatan memancing tetapi juga perlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Disamping itu, ikan sebarau juga amat sensitif terhadap bunyi-bunyi yang ganjil. Pemancing perlu berhati-hati agar segala tingkah laku dan pergerakan tidak mengganggu ikan ini.
Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan bahawa warna pakaian juga perlu dititikberatkan apabila hendak memburu sebarau seperti mana kelah. Pakaian yang cerah boleh dikesan ikan yang berada di dalam air.
Melalui ujian pemakanan yang telah dibuat, didapati tabiat pemakanan ikan ini berbeza mengikut peringkat hidup ataupun saiz.
Pada peringkat larva, ia memakan plankton dan lumut-lumut yang melekat pada batu atau daun tumbuhan air.
Tumbuh-tumbuhan air, serangga kecil, larva ikan dan organisma krustasea seperti anak-anak udang pula akan menjadi makanan sebarau pada peringkat juvenil. Pada peringkat dewasa, ikan ini bersifat karnivor sepenuhnya dengan menjadikan haiwan kecil yang lain sebagai mangsanya.
Berbeza dengan ikan karnivor dari famili Channidae (snakehead) yang lebih suka menunggu atau menghendap mangsa, sebarau dewasa merupakan ikan yang aktif dan bergerak dalam kumpulan semasa keluar memburu mangsanya yang terdiri daripada ikan seluang, terbul, lampam sungai dan anak-anak ikan yang lain termasuk anak ikan toman.
Sebarau gemar menyambar mangsa dengan ganas dan sangat mudah tertarik kepada objek-objek yang bergerak. Ini membolehkan para pemancing menggunakan umpan tiruan untuk menipunya.
Sebagaimana kebanyakan ikan lain, sebarau juga mempunyai masa makannya sendiri. Tetapi masa makan ikan ini berbeza mengikut peringkat umur. Ikan kecil akan keluar mencari makan pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala ikan juvenil memburu pada sebelah petang dan awal malam.
Ini sekali lagi memberi cabaran kepada kaki pancing yang ingin menawan sebarau bersaiz besar dengan keupayaan tersendiri. Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa masa yang sesuai untuk memancing sebarau adalah antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 5 petang hingga 7 malam.
Berdasarkan kajian pembiakan pula, sebarau boleh membiak sepanjang tahun dengan kitaran pembiakan bermula pada bulan September hingga Disember. Walaupun ikan ini mampu membesar sehingga 70cm panjang, ikan jantan mula matang apabila mencapai saiz 15cm.
Manakala ikan betina mula menunjukkan kematangan dan sedia untuk membiak apabila saiz 18cm. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapat sebarau yang kurang dari 20cm, adalah baik jika ia dilepaskan semula kerana mereka belum matang.
Proses pembiakan biasanya berlaku semasa musim tengkujuh iaitu apabila paras air sungai atau tasik meningkat.
Pada masa ini, ikan jantan dan betina yang telah matang akan berenang ke hulu sungai untuk mengawan. Kawasan hulu yang berair jernih, berbatu kecil dengan aliran air yang perlahan menjadi pilihan untuk melepaskan telur.
Telur-telur yang dilepaskan akan melekat pada batu dan tumbuhan air di sekitar tebing sungai. Setelah si anak mencapai peringkat juvenil dan mampu berenang melawan arus, ia akan berenang menuju kawasan berjeram untuk memulakan hidup baru sebelum mendiami lubuk yang sesuai apabila meningkat dewasa.
Keadaan hari ini yang telah banyak terganggu oleh aktiviti manusia dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pengekalan alam sekitar menyebabkan sebarau semakin sukar ditemui.
Kehilangan atau gangguan terhadap kawasan sungai yang mengalir jernih dan berpasir menjadi punca utama kesusutan sumber ini. Sumber ini penting untuk dinikmati pada masa akan datang sama ada untuk makanan atau tujuan sukan memancing. Oleh itu kajian terhadap spesies sebarau perlu digiatkan lagi.
Walaupun dikenali dengan nama peacock bass, spesies ini sebenarnya bukan dari kumpulan ikan bass.
Peacock bass atau ikan raja menurut panggilan sesetengah pemancing merupakan sekumpulan spesies ikan air tawar yang datang dari genus Cichla.
Spesies yang berasal dari Amerika Selatan ini merupakan antara spesies yang rakus dan cepat membiak.
Di negara Brazil, di mana spesies ini mempunyai taburan paling besar, ikan ini mendapat pelbagai gelaran.
Gelaran tucunare merupakan nama paling popular di Brazil dan Peru sementara di Venezuela, spesies ini lebih dikenali sebagai pavon (peacock/butterfly).
Ketika ini terdapat 15 spesies yang datangnya daripada genus Cicla. Spesies ini merupakan spesies ikan natif bagi kebanyakan sungai di Amerika Selatan.
Kawasan asal spesies ini termasuklah Sungai Amazon, Lembah Sungai Orinaco dan Guyana.
Spesies peacock bass ini juga pernah diperkenalkan di beberapa kawasan lain di dunia. Oleh kerana ikan ini cepat membiak dan agresif, spesies ini mempunyai kadar survival yang
sangat tinggi malah mampu mengancam spesies ikan asal lantas menyebabkan ekosistem asal di sesetengah tempat terganggu.
Secara fizikal, morfologi luaran bagi bagi peacock bass bergantung kepada spesies dan peringkat tumbesarannya.
Sesetengah peacock bass jantan mempunyai bonggol yang besar di bahagian kepalanya apabila mencapai peringkat matang.
Bagi semua spesies peacock bass, dapat diperhatikan corak yang berlainan pada badannya.
Namun pada bahagian kaudal pedunkel iaitu sambungan badan dan ekornya, dapat dilihat kehadiran tompokan hitam bulat di situ.
Ini merupakan tanda yang hadir pada kesemua spesies ikan ini. Bagi spesies Cichla acellaris, dapat diperhatikan morfologi luaran utama dari segi corak badannya iaitu terdapat dua corak vertikal memanjang.
Seterusnya di bahagian bawah berhampiran abdomen di bawah sirip pektoral, terdapat satu lagi corak barisan hitam.
Kebanyakan spesies peacock bass boleh ditemui di kawasan air berarus dan air tenang dengan struktur seperti batu atau tumbuhan akuatik.
Selalunya ikan ini bergerak secara berkumpulan. Ikan ini merupakan pemangsa dan sangat agresif.
Ia menjadikan ikan kecil malah sesetengah tidak segan untuk menyerang ikan yang bersaiz besar sebagai diet utamanya.
Oleh kerana tabiat agresifnya, ikan ini tidak sesuai diternak kerana sifat pelahapnya.
Di Malaysia, ikan peacock bass telah dilabelkan sebagai ikan pendatang atau ikan alien.
Dalam kontek sains, ikan ini dikira sebagai perosak yang berisiko tinggi kerana kehadiran ikan ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekosistem asal.
Antara implikasi kehadiran ikan ini tanpa kawalan ialah kepupusan spesies asal ikan tempatan kerana persaingan untuk mendapatkan makanan dan habitat dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Selain itu, sifat ikan ini yang begitu agresif menjadikan ikan ini pemangsa kepadaq spesies ikan tempatan.
Walaupun spesies peacock bass merupakan spesies pendatang, nilainya dari sudut pancingan sukan memang tidak dapat dinafikan.
Pemancing Malaysia sekarang ini rata-riti bersetuju bahawa perlawanan di hujung pancing dengan peacock bass sangat mengujakan.
Sekali gus menimbulkan persoalan yang tidak terjawab apakah amalan tangkap dan lepas turut wajar dilakukan terhadap spesies peacock bass ini.
Di luar negara, spesies ini diangkat sebagai ikan trofi bagi pancingan ikan air tawar. Spesies C. temensis merupakan spesies yang mampu membesar sehingga panjang 99cm!
Di Malaysia, selalunya kita dapat menjumpai spesies C. ocellaris yang juga berkualiti sebagai ikan sukan selain mampu membesar sehingga 74cm panjang.
Namun, dipercayai bukan spesies C.ocellaris saja menceroboh masuk berikutan spesies terbesar Cichla iaitu C.temensis sudah pun menjarah perairan kita.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...