Di mana tertulis amaran larangan memancing, maka di situlah mereka akan memancing! Contoh paling mudah ialah di atas jambatan sungai. Walau jelas terpampang papan tanda larangan memancing, tetap berbaris sepanjang jambatan dengan pemancing. Begitu juga di tempat-tempat lain seperti tasik rekreasi atau kawasan persendirian.
Anehnya, walaupun belum pasti kawasan tersebut banyak terdapat ikan, mereka tetap akan cerobohinya berikutan daya tarik amaran pada papan tanda tersebut. Semua pemancing seperti sependapat bahawa tempat yang dilarang memancing itulah yang seronok dijadikan spot memancing. Hasil sudah jadi nombor dua. Janji dapat memancing.
Secara jujurnya pernah tak anda melanggar peraturan larangan memancing sebegini? Kalau pernah buat, jom kita kongsi bersama spot atau lokasi larangan yang pernah anda terjah!
“Bohong la cakap kalau tak pernah. Masa tu mancing malam kat kolam dalam UTHM. Sudahnya kena hambat dengan guard.”
Duden Ridhzuan
“Jeti Feri Majlis Perbandaran Kuantan… kena halau dengan pak guard. Masa kena halau itu la siakap lalu sepasang. Putih je mata… kikikiki.”
Azman Nordin
Ads
“Pernah… dekat empangan Sembrong, Johor. Masuk dalam pagar kawasan dam. Baung punya banyak besar-besar… gila tak ceroboh! Sekali satu hari ada polis dok kejar. Mencicit lari keluar. Sampai selipar pun hilang entah ke mana. Hahaha…!”
Adlizan Ijan
“Sekadar papan tanda… aku peduli apa. Kalau dah tengok ikan macam pesta minta makan kat situ. Tapi jangan tiru macam saya… hahahahhahahha. Port rahsia jeti awam Darwin, Australia.”
Ull Ungkallazi
“Kolam takungan Agrobest Nenasi, Pekan. Haruan dengan bulan peeghhhh… toksah nak cakap. Berbuih lepas hujan dia melompat. Tapi tapi apakan daya… taman larangan! Huhuhu.”
Ads
Salamander Cool
“Saya masuk kolam smart kat Desa Petaling. Akibatnya pancing patah oleh libasan ikan hitam yang tak diketahui spesies apa. Ngeri siot!”
Mohamad Faizal Daud
“Macam biasa la loji kumbahan jadi sasaran gasak keli dengan tilapia. Tapi tak makan la ikan tu. Bagi free kat Bangla dengan Nepal. Janji dapat lepas gian memancing. Hahahaha.”
Ahmad Fahmi Ahmad
“Penang Port. Kawasan hujung port… ikan kerapu berenang-renang celah batu macam ikan puyu je dia punya banyak. Hang boleh ka tengok saja?”
Ads
Ayie Azzahari
“Port biasa atas jambatan la… mana lagi. Memang dah cukup jelas papan tanda dilarang memancing. Kumpau pun tetap nak memancing jugak. Memang pelik pemancing ni, admin.”
Azri Matt Jc
“Pernah! Pernah masuk casting kat kolam kondominium, penuh dengan toman. Sampai kena halau dengan security guard. Dia cakap ada penghuni komplen. Itu pun nak komplen… entah apa-apa. (Lokasi – Kasuma Resort, Kuching).”
Mohd Safwan Mohd Noor
“Avani Sepang Goldcoast Resort tapi memancing dalam bilik je la. Tapi memang menjadi… campak angkat campak angkat! Ikan macam cendol kat bawah beb!”
Azlan Abdul Wahab
“McD Port Dickson.… memang tak perasan ada signboard larangan memancing. Patut pun orang usha semacam je… hahaha.”
Hafizi Kamarudiin
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam dunia memancing, umpan bolehlah dikatakan antara perkara paling penting selain tali dan mata kail yang harus dititikberatkan oleh si pemancing.
Sama ada umpan ‘tipu’ atau umpan ‘betul’, ia adalah elemen penting untuk mendapatkan ikan. Kalau takde umpan macam mana pulak hendak dipikat ikan idaman masing-masing?
Jadi, untuk isu wacana ini, penulis berasa terpanggil untuk bercerita perihal ‘umpan power’.
Isu ini juga sering menjadi buah mulut dan menimbulkan banyak persoalan di kalangan kaki pancing. Iyelah, wujud ke istilah umpan power ni? Sejauh mana keberkesanannya?
Terlebih dahulu penulis hendak rungkaikan dahulu maksud istilah umpan power ini.
Umpan power bukanlah bermaksud umpan yang anda gunakan boleh mengeluarkan sejenis ‘super power’ atau magis untuk mendapatkan ikan.
Istilah ini lebih merujuk kepada umpan yang digunakan menepati citarasa dan sering menarik perhatian ikan idaman anda.
Kalau dapat kita lihat, bagi peminat pancingan kolam air tawar istilah umpan power ini memang benar-benar wujud.
“Kejap-kejap, dia je yang pacakkk!! Umpan powerlah tu!”.
Situasi dan dialog ini memang dah diskripkan oleh kaki pancing kolam sebab ini memang perkara biasa.
Dari awal memancing asyik member sebelah je strike ikan. Mau tak berbulu dibuatnya?
Biasanya bagi kes pemancing tegar kolam air tawar, mereka gemar melakukan kajian demi kajian untuk membaca diet ikan sasaran mereka.
Pelbagai resipi dicuba dan dicampur. Kadangkala umpan alternatif seperti siput atau ketam pun boleh jadi umpan power untuk kaki pancing.
Bila sudah menjumpai resipi yang benar-benar mampu menambat selera ikan memang tak menang tanganlah memungut hasilnya.
Tapi tak semua tempat akan berpandukan pada satu resipi sahaja. Harus diingat, ‘lain padang, lain belalangnya.
Kajian tentang ‘setting’ umpan dan rencah-rencah yang diperlukan ini haruslah berterusan demi mendapatkan hasil yang memuaskan.
Itu bagi pancingan kolam air tawar. Bagaimana pula dengan lapangan pancing yang lain? Ada juga ke istilah umpan power?
Bagi penulis sendiri, istilah umpan power ini lebih sesuai dan menjurus kepada pancingan kolam air tawar sahaja.
Iyelah, untuk lapangan yang lain, biasanya umpan yang lebih kurang sama sahaja digunakan.
Sebagai contoh, penggunaan umpan hidup seperti udang, sotong dan ikan ketika memancing di laut.
Boleh dikatakan umpan ini antara umpan biasa yang sering digunakan kaki pancing. Kalau nak kata member sebelah asyik ‘strike’ ikan dan anda asyik membangau, janganlah disalahkan umpan yang anda gunakan.
Jika umpan dah sama, mungkin ada perkara lain yang tak sama. Misalnya panjang, diameter, warna perambut tak sama.
Mata kail berbeza saiz dan beberapa perkara lain lagi. Jika semuanya sama ‘sebijik’ dengan rakan sebelah, mungkin ‘luck’ anda tiada pada waktu dan di tempat itu. Mungkin rezeki anda ditempat atau hari lain. Siapa yang tahu kan?
Berbeza pula dengan teknik casting dan jigging yang menggunakan umpan tiruan. Biasanya penggunaan umpan tiruan ini juga memerlukan ‘trial and error’.
Anda harus ada banyak koleksi gewang yang mempunyai warna dan bentuk yang berlainan untuk memujuk spesis pemangsa menyambar umpan anda.
Biasanya bila umpan dah ok, kena lihat pula teknik dan gaya yang anda persembahkan. Insyaallah, jika kena umpan dan gayanya pasti ada ikan yang tertarik untuk menyambar.
Bagi penulis, kerajinan anda casting dan meneliti tabiat dan tahu spot spesies yang diburu juga akan memberi nilai tambah sekaligus membutirkan hasil yang baik.
Jadi, kesimpulan yang dapat penulis simpulkan, istilah umpan power ni tidaklah secara menyeluruh boleh diguna pakai oleh kaki pancing.
Bagi pemancing tegar kolam air tawar memang penulis akui umpan yang power memainkan peranan yang amat besar untuk mendapatkan hasil.
Tapi bagi lapangan yang lain, semuanya bergantung kepada teknik yang dipersembahkan dan mungkin sedikit tuah untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.
Apa kata netizen:
“Di United Kingdom, umpan paling power adalah ‘white rag’, sejenis pumpun besar dan panjang. White rag susah didapati dan menjadi rebutan pemancing pancingan pantai di sini.
Keistimewaan umpan ini adalah ia mampu menarik perhatian ikan walaupun kawasan itu kekurangan ikan yang giat memakan umpan.
Memadai dengan secebis bahagian digunakan secara ‘tipping bait’ dapat menentukan hari ‘ kumpau’ atau hari menghidang ‘ fresh fish and chips’ ala Barat.
Oleh sebab itu kebanyakan pertandingan memancing di sini menghalang penggunaan White Rag.”
– Pendapat 1
“Umpan power hanya wujud 10% dalam diari hidup saya. Teknik 30% dan selebihnya rezeki yang tertulis. Baik di kolam memancing, sungai mahupun lautan.
Umpan power teknik tak betul belum tentu boleh mendaratkan hasil. Teknik cantik, umpan tak power boleh menjaminkan hasil.
Teknik seperti saiz/ panjang perambut, saiz batu, saiz mata kail memainkan peranan yang penting dalam dunia hanyir kita ni.”
– Pendapat 2
“Umpan power pada saya hanya kebetulan saja. Jika di laut terbuka, sungai dan tempat-tempat semula jadi, faktor rajin menukar umpan dan teknik pancingan itu yang utama.
Manakala di kolam atau lombong, umpan power ni boleh diguna pakai kerana diet ikan itu yang terbiasa dengan umpan power tersebut.”
– Pendapat 3
“Bagi saya umpan power bergantung pada spesis yang ingin dicari. Kalau baung biasanya tapa atau ulat sagu. Jika air masin umpan power semestinya umpan yang fresh.
Bergantung pada keadaan dan ikan yang dicari. Namun secara peribadi,istilah umpan power memang wujud khususnya di kolam memancing komersial air tawar.”
Pendapat 4
“Bagi saya umpan juga memainkan peranan penting. Baru-baru ni saya memancing di Perak. Kami memancing bertiga dan menggunakan umpan yang berlainan perisa.
Dua umpan langsung tidak disambar ikan walaupun kami baling ditempat yang sama hanya satu umpan saja yang disambar ikan.
Jadi istilah umpan power ni boleh dikatakan wujud dalam diari pemancing. Apa yang saya nyatakan ini bukan untuk umpan dedak sahaja, malah termasuklah gewang yang boleh diklasifikasikan sebagai gewang ‘killer’.”
Hebat diperkatakan sejak kebelakangan ini, bahawa pemancing suka berpuak-puak dan tidak bersatu. Tidak seperti zaman dahulu.
Benarkah dakwaan ini?
Bila ditanya pada rakan-rakan pemancing, ada yang kata benar, ada yang kata tidak. Malah, ada yang kata ini hanyalah isu remeh yang tidak perlu dibesarkan. Benar atau pun tidak, penulis menyerahkan kepada penilain tuan-tuan dan puan-puan yang sangat dihormati sekalian.
Cuma, kita boleh cuba mengenal pasti apakah ‘faktor’ atau ‘punca’ dakwaan ini, berdasarkan kajian saintis terkenal dunia, berkaitan psikologi dan sosiologi pemancing. Antaranya:
A: Pengkhususan rekreasi (recreation specialization) = Merupakan tahap pengkhususan seseorang dalam aktiviti memancing.
Contohnya: Pemancing ikan toman, boleh dikategorikan kepada: 1)pemancing biasa, 2)pemancing sekali-sekala, 3)pemancing mahir teknik, dan 4)pemancing mahir teknik dan lokasi. Ini berdasarkan kemahiran (skill) dan peralatan (equipment) yang digunakan untuk memburu toman.
Ini bermakna, lain pemancing lain tahap mereka. Walaupun pemancing biasa (kategori 1) mereka tetap juga pemancing toman. Begitu juga dengan spesies lain, dan teknik memancing yang lain.
‘Pengkhususan rekreasi’ pemancing perlu difahami, agar kita tahu, apa kelebihan dan kekurangan rakan pemancing kita.
B: Pembahagian pemancing (angler segmentation) = Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan atau segmen tertentu, berdasarkan ‘sikap’ dan ‘tingkah laku’ mereka.
Contohnya: ‘Sikap menangkap ikan’ (catch attitude). Pemancing boleh dibahagikan kepada mereka yang suka: 1)menangkap ikan besar, 2)menangkap banyak ikan, 3)membawa balik ikan ke rumah, atau 4)tidak mengapa jika tidak mendapat ikan.
Betul, tidak dapat ikan pun dikira sebagai segmen memancing. Ada yang ‘kumpau’ tetapi masih gembira dengan trip memancing mereka.
Akan tetapi C&R bergantung kepada spesies, saiz, jumlah ikan yang ditangkap, lokasi, serta dengan siapa mereka memancing. Setiap pemancing mempunyai pendapat tersendiri tentang C&R.
Perbezaan dalam ‘pembahagian pemancing’ sangat perlu dihormati, kerana ianya boleh menjadi ‘sensitif’ bagi sesetengah individu.
C: Kontinum pemancing (angler continuum) = Merupakan ‘julat’ atau ‘lingkungan’ di kalangan pemancing.
Contoh lain: Pengelibatan memancing atau kekerapan pergi memancing, boleh dibahagikan kepada: 1)kurang penglibatan (cth: setahun sekali), 2)sederhana penglibatan, 3)tinggi penglibatan (cth: mereka yang memancing hampir setiap hari).
Ia boleh merangkumi pelbagai aspek, seperti kemahiran melempar gewang, kemahiran menyelenggara kekili, malah mengikat mata kail pun, boleh mempunyai kontinum tersendiri. Jadi, tanggapan bahawa orang yang tidak pandai mengikat mata kail, bukan pemancing, adalah kurang tepat.
Justeru, penting untuk kita menghormati pemancing lain, terutama mereka yang berada dalam kontinum yang berbeza dengan kita.
D: Kumpulan pemancing dan sub-kumpulan pemancing (angler groups and angler sub-groups) = Ini merupakan perkara biasa yang kita dengar, iaitu pemancing mempunyai kumpulan tersendiri.
Kumpulan ini bergantung kepada faktor seperti teknik (bottom vs casting vs jigging vs fly), lokasi (kolam vs sungai vs tasik vs pesisir pantai vs laut dalam), spesies (toman vs sebarau vs kelah vs sepat vs lampam), kolam (kolam air masin vs kolam air tawar vs kolam udang), menyertai pertandingan (suka pertandingan vs tidak suka pertandingan), dan banyak lagi kumpulan yang lain.
Selain faktor latar belakang seperti jantina, umur, tahap pendidikan, pekerjaan, dan pendapatan, juga boleh dijadikan kumpulan pemancing.
Kumpulan-kumpulan yang wujud menunjukkan diversiti atau kepelbagaian dalam dunia memancing. Sudah tentu, kita dididik agar meraikan kepelbagaian dalam hidup kita.
E: Motif tersembunyi memancing (fishingunderlyingmotives) = Motif, motivasi, atau tujuan, bermaksud mengapa pemancing keluar memancing. Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan tertentu, berdasarkan motif memancing mereka.
Contohnya: Pemancing yang keluar bersama keluarga, mempunyai motif berbeza dengan pemancing yang ingin menangkap banyak ikan. Teknik, pendekatan, dan usaha (effort) mereka akan jadi berbeza.
Contoh lain: Pemancing yang motifnya mahu kesunyian dan bersendirian, tidak mungkin boleh bersama dengan pemancing yang mahu bersama rakan untuk bersembang. Ini boleh menimbulkan konflik.
Begitu juga dengan motif lain seperti untuk mendapatkan rekreasi, untuk menikmati alam sekitar, untuk berseronok, dan lain-lain lagi.
Motif memancing sangat penting untuk difahami, agar kita tahu apa tujuan pemancing, selain untuk mendapatkan ‘strike’.
Hakikatnya
Ramai sahaja pemancing yang ‘cool’ dan ‘chill’ dengan rakan-rakan pemancing, walaupun terdapat perbezaan pendapat, latar belakang, kumpulan, sikap, serta kemahiran.
Ramai sahaja yang ‘okay’ dengan rakan-rakan baharu, walaupun mereka telah mencapai tahap tertinggi (otai, masta, sifu, mahaguru). Malah ada yang sudi menurunkan ilmu dan kemahiran, seikhlas hati.
Mungkin, ada seorang-dua yang agak ekstrim dan agak menonjol, yang boleh menjejaskan keakraban rakan-rakan pemancing lain. Saya kata, mungkin…
Penting
Adakah penting untuk memahami kepelbagaian serta perbezaan kumpulan pemancing?
Ya, penting. Kerana kita akan lebih mengenali siapa mereka ini, dan apa yang mereka mahukan.
Justeru, kepuasan memancing, selain dari ‘strike’ dapat dipenuhi. Serta, pembangunan perikanan rekreasi di Malaysia dapat diperbaiki.
Berdasarkan komen dan maklumbalas dari pelbagai kumpulan, segmen, dan motif yang wujud.
Terbaik
Perkara terbaik adalah pemancing harus bijak dalam menilai sesuatu isu atau perkara yang dibangkitkan, agar keharmonian sesama pemancing dikekalkan.
Toleransi, saling menghormati, dan berlapang dada, merupakan elemen pendamai, yang perlu ada dalam setiap diri pemancing. Sekaligus, dakwaan pemancing suka berpuak-puak dapat ditangkis sepenuhnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...