Haruan todak atau juga disebut ruan todak merupakan anggota keluarga snakehead (haruan & toman) dari Genus yang sama dengan haruan atau toman dengan membawa nama saintifik Channa Gachua. Di peringkat global ia dinamakan sebagai dwarf snakehead dan merupakan spesies paling kecil dalam keluarga snakehead.
Spesies kerdil ini bertaburan amat luas. Ia boleh dijumpai di China, Indochina, Myanmar, kepulauan Andaman, India, Sri Lanka, Afghanistan ke Iran. Ke selatan pula ia bertaburan dari Thailand, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera, Borneo, Jawa dan Madura.
Ads
Spesies yang ditemui oleh saintis Hamilton-Buchanan di Sungai Gangga, India pada tahun 1822 tidak mampu membesar melebihi 25cm. Spesimen yang biasa ditemui sekitar 10-20cm sahaja.
Ruan todak menjadikan sungai hutan dan paya cetek sebagai habitatnya. Walau bagaimana pun ia turut pernah dijumpai di dalam perigi, longkang, tasik, sungai dan kolam-kolam kecil. Ia turut mampu hidup di kawasan tanah tinggi sehingga 3,500 meter.
Ruan todak merupakan ikan cinonet yang cantik. Badannya kelabu keperangan dan terang di bahagian bawah. Bergantung kepada mood ikan ini, ia boleh berwarna terang atau berjalur hitam melintang pada bahagian belakang dan tepi.
Ads
Siripnya apabila menegak kelihatan hitam keperangan, kadangkala berjalur. Sirip ekor dan dorsal berbingkai merah oren. Warna ini lebih menyerlah pada ikan jantan dan individu yang tinggal di habitat yang lebih berasid.
Sirip analnya berbingkai putih atau kuning. Sirip pektoralnya kuning oren dengan empat hingga enam belang gelap melinting dan biru atau hijau gelap pada latar belakang. Bahagian bawah kepala berbintik seperti marmar dan ketika aktif, ia membentuk kilauan biru terang.
Warnanya yang hidup dan saiznya yang kecil menyebabkan ruan todak menjadi spesies popular ikan akuarium. Ia adalah spesies yang tahan lasak, mudah dipelihara dan cantik berada di dalam akuarium.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Peminat sukan memancing di Malaysia wajib tahu dan kenal spesies ini. Spesies pemangsa air tawar ini bolehlah ditabalkan sebagai pemangsa teratas dalam rantaian makanan dan antara spesies air tawar yang kuat dan ganas.
Aksi ganas, kekuatan dan stamina ikan ini cukup membuatkan kaki pancing berpeluh untuk mendaratkannya.
Dengan bentuk kepala seperti ular yang besar, spesies Channa micropeltes atau giant snakehead merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Tidak syak lagi sesiapa saja yang mempunyai hobi memancing atau mengilat ikan air tawar, pasti akan kenal dan sedia maklum akan kerakusan sang toman dalam pertarungan.
Secara global, ikan toman lebih dikenali sebagai giant snakehead. Tergolong dalam famili Channidae, sama sebagaimana haruan dan bujuk namun toman mampu membesar sehingga saiz trofi.
Ikan toman juga merupakan salah satu spesies natif atau spesies ikan asal di Malaysia.
Taburan spesies
Taburan ikan sangat meluas terutama di kawasan Asia Tenggara. Bagi kebanyakan lokasi di Asia Tenggara, ikan toman merupakan spesies natif kepada tempat ini.
Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera merupakan antara kawasan yang mempunyai taburan ikan toman.
Selain itu, ikan toman terdapat di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun bukan merupakan spesies asal.
Oleh sebab kesan daripada aktiviti manusia yang memperkenalkan spesies ini ke perairan mereka, beberapa tempat dikatakan telah didominasi oleh spesies ini.
Antara kawasan tersebut termasuklah Wisconsin, Maryland dan Virginia.
Habitat dan ekologi
Ikan toman merupakan spesies yang hidup di persekitaran air tawar. Toman biasanya boleh dijumpai di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik dan terusan.
Bagi toman juvenil, biasanya akan bergerak dan memburu makanan secara berkumpulan.
Bagi kebanyakan kaki di Malaysia, lokasi utama mencari toman ialah seperti tasik semula jadi, tasik buatan, sungai-sungai, lombong atau paya yang terbiar.
Toman juga gemar pada kawasan berarus perlahan dan dalam.
Morfologi dan biologi
Seperti ramai yang sedia maklum, anak-anak toman atau fri toman berwarna merah dan bergerak berkumpulan.
Pergerakan ini biasanya oleh sepasang induk toman atau lebih bagi mengelakkan anak-anak ini menjadi mangsa serangan kepada ikan atau pemangsa lain.
Selepas lebih kurang dua bulan, warnanya akan berubah menjadi oren dengan jalur hitam akan muncul pada garisan lateral.
Apabila semakin membesar, ikan toman akan kehilangan warna merah dan jalurnya akan pecah dan akan menghasilkan corak seakan batik pada badannya.
Warna merah pada badannya akan hilang dan akan menjadi warna biru kehitaman pada bahagian atas ikan ini.
Ikan toman merupakan spesies yang paling agresif berbanding 35 spesies snakehead yang lain. Spesies ini juga boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih 2 meter dan berat mencecah 20 kg.
Selain mempunyai barisan gigi yang tajam seperti pisau, ia turut memiliki rahang yang sangat kuat. Paduan gigi dan rahang toman ini merupakan senjata yang menggerunkan.
Ikan toman biasanya memburu ikan yang lebih kecil daripadanya sebagai diet makanan utama.
Selain ikan, toman juga kadangkala menjadikan krustasia dan haiwan amfibia sebagai dietnya.
Apabila musim mengawan, ikan toman akan memilih kawasan yang mempunyai tumbuhan akuatik yang agak banyak sebagai tempat melepaskan telur.
Pemburu berkepala ular yang agresif
Ketika memburu mangsanya, toman akan membengkokkan dirinya seperti huruf S sebelum melakukan pecutan dengan menghentam mangsanya.
Mulutnya yang siap dengan barisan gigi tajam akan membaham mangsanya. Kekuatan rahangnya juga memberikan impak yang lebih kuat semasa membaham mangsanya.
Secara kasarnya, ikan toman boleh memberikan satu imaginasi yang agak menakutkan. Dengan sepasang rahang kuat dan dibarisi dengan gigi tajam serta berbadan tegap dan
padu, cukup memberikan impak sebagai pemangsa yang rakus. Apatah lagi dengan kepala berbentuk ular dan corak pada badannya menambahkan lagi kegerunan pada spesies ini.
Walaupun terkenal dengan kerakusan dan sifat agresifnya, ikan toman merupakan induk yang sangat baik.
Sepasang induk (kadangkala lebih) akan menjaga sarang tempat penetasan telur dan akan menjaga serta mengawasi anak yang baru menetas.
Induk ini akan menyerang dan bertindak lebih agresif ketika proses menjaga anak-anaknya.
Ia akan menjaga sehingga anak-anaknya cukup dewasa untuk hidup sendiri atau sehingga musim mengawan berikutnya.
Pemancing di Malaysia sering dimomokkan dengan cerita sang tapah membaham monyet, anjing, kucing dan sebagainya. Ironinya, spesies ini memang antara spesies yang misteri malah di Perak, terdapat mitos mengatakan yang sesetengah keturunan tidak boleh memakan atau membunuh ikan tapah ini. Namun, kombinasi kekuatan, misteri dan mitos ini menjadikan tapah antara spesies legenda di Malaysia.
Dalam kebanyakan laporan, ikan tapah atau nama saintifiknya iaitu Wallago attu sememangnya pemburu hendap yang sangat kuat. Wallago attu merupakan spesies catfish atau ikan bermisai seperti keli dan baung. Ikan tapah mampu membesar sehingga 6 kaki panjang. Bayangkan saiznya yang hampir sebesar manusia malah ada kes spesies ini ditemui lebih besar daripada manusia.
TABURAN SPESIES
Ikan tapah boleh ditemui di sungai-sungai dan tasik di Asia. Tapah merupakan penghuni dasar atau demersal dan gemarkan kawasan yang dalam. Pun begitu, terdapat juga tapah yang saiznya lebih kecil mendiami sungai berarus dan kawasan berbatu.
Antara taburan tapah di Asia termasuklah Pakistan, India, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Vietnam, Kemboja, Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Indonesia. Di Malaysia, ikan tapah cukup popular di negeri Pahang dan Perak sehinggakan terdapat tempat yang dipanggil Tapah di Perak.
BIOLOGI
Secara biologi, ikan tapah biasanya mendiami sungai yang besar dan tasik yang luas serta dalam. Tapah merupakan pemburu hendap dan pemangsa yang sangat kuat serta ganas ketika memburu. Biasanya ikan tapah akan bersembunyi di dasar badan air dan akan menyerang mangsanya dengan rakus.
Ketika di dasar, ikan tapah akan memilih kawasan atau lubuk yang berbatu atau berlumpur yang dalam, tidak berarus tau berarus perlahan. Ikan tapah mampu berada di dasar dalam tempoh masa yang agak lama dan menjadikan ikan kecil dan organisma dasar sebagai diet utamanya. Antara diet utamanya ialah serangga, ikan yang lebih kecil, krustasia dan moluska.
Ikan tapah biasanya aktif pada musim panas dan selalunya membiak atau bersenyawa ketika awal monsun. Jika di Sungai Mekong, ikan tapah dilaporkan akan bergerak ke sungai kecil dan terusan ketika waktu hujan. Setelah itu, spesies ini akan kembali ke sungai utama ketika musim panas dan akan mencari lubuk yang dalam sebagai tempat persembunyian.
Ketika musim mengawan inilah biasanya nelayan menjadikan jangka masa ini sebagai masa yang sesuai untuk menangkap spesies tapah. Tapah yang baru melepaskan telur akan aktif sewaktu kembali ke sungai-sungai besar. Terdapat pendapat mengatakan, kaum Iban di Sarawak biasa menangkap ikan tapah pada waktu ini dengan tangkapan yang mampu mencecah sehingga 50kg.
Ikan tapah mempunyai mulut yang luas dan sepasang rahang yang sangat kuat untuk memburu. Dengan kombinasi kekuatan rahang dan gigi konikal, spesies ini memang menjadi antara pemangsa yang sangat digeruni.
MORFOLOGI
Bentuk badan ikan tapah agak panjang dan mempunyai tubuh yang padat. Ikan ini boleh membesar sehingga 2.4 meter panjang. Kepalanya lebar dan menirus ke bawah seperti keli, dengan mulut yang besar. Bukaan mulutnya menjangkau hingga ke belakang matanya.
Gigi ikan ini amat tajam namun tidak bertaring sebaliknya mempunyai set gigi kecil yang banyak. Mata ikan tapah kecil dan terletak di sisi kepalanya. Ikan Tapah mempunyai dua pasang duri, dengan sirip dorsal yang kecil dan sirip kaudal yang amat kuat untuk henjutan kekuatan.
ANCAMAN POPULASI
Eksploitasi tanpa kawalan terutama dalam penangkapan ikan ini secara berlebihan membuatkan populasi ikan ini telah menurun sejak kebelakangan ini. Selain tangkapan berlebihan, kemusnahan habitat dan ekosistem alam juga menjurus ke arah penurunan populasi spesies ini.
Perkataan hampala yang merujuk kepada genus ikan ini diambil dari bahasa Jawa sementara perkataan dispar dari bahasa Latin yang membawa maksud ‘tidak seperti,
berbeza’, merujuk pada perbezaan pola warna dan morfologi yang memisahkannya dari H. macrolepidota, salah satu spesies dari genus ini.
Taburan
Sebarau bertompok dianggap spesies endemik ke bahagian Lembah Sungai Mekong yang mengalir melalui Laos utara sebelum membentuk perbatasan dengan Thailand dan akhirnya memasuki Kemboja tepat di bawah air terjun Khone Pha Pheng.
Dengan demikian taburan ini bertindan dengan congenernya yang luas, H. macrolepidota.
Jenis lokaliti adalah ‘Monam Mun di Udon, Thailand’, yang kelihatannya sesuai dengan bahagian bawah Sungai Mun, anak sungai yang bergabung dengan Mekong di Ubon Ratchathani, Thailand timur.
Habitat
Spotted hampala barb menyukai terutama sungai air jernih, teroksigenasi baik, dengan substrat pasir, kerikil, batu atau lumpur meskipun mudah beradaptasi dan dapat ditemukan di dataran tinggi dan dataran rendah, perairan statik atau mengalir.
Ciri pengenalan utamanya memiliki tompok midlateral bulat pada badan di bawah sirip dorsal pada spesies dewasa dan juvenil, sirip ekor kekelabuan polos tidak memiliki tanda berbentuk titisan air mata hitam di pipi dan barbel selalunya lebih pendek dari lebar mata.
Sebarau bertompok ini menjadikan udang, ketam, bersama dengan beberapa larva serangga dan beberapa ikan kecil sebagai sumber makanannya. Spesies terkecil dari keluarga sebarau ini mampu membesar panjang sekitar 30-35cm sahaja.
Ketika musim hujan, ia diketahui bermigrasi ke daerah hutan yang tergenang untuk mencari makan dan bertelur. Walaupun banyak menghuni sungai pergunungan berarus
deras, sekarang ia dapat ditemui di banyak badan air yang diusahakan dari aktiviti manusia seperti pertanian dan pembendungan saluran sungai.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...