Bertam atau nama botaninya Eugeissona tristis merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga palma yang tumbuh serumpun. Anatomi bertam seakan-akan salak dan kelubi dari segi saiz batang dan durinya. Lazimnya pokok bertam digunakan sebagai atap pondok atau rumah tradisional, namun tidak ramai yang tahu ia juga boleh digunakan sebagai joran memancing.
Bagi pemancing yang lahirnya di bandar dan kawasan pantai, pasti tidak tahu akan wujudnya teknik pancingan begini. Namun bagi anak desa, ia merupakan teknik pancingan yang sangat popular dan saya percaya, ramai kaki pancing yang ada pada hari ini, masa kecilnya belajar memancing menggunakan joran bertam.
Batang bertam sesuai dijadikan joran memancing kerana tumbuhan ini tidak mempunyai batang berkayu, justeru ia sangatlah ringan. Strukturnya adalah teras seumpama gabus yang disalut kulit yang keras seumpama buluh.
IKLAN
Batang bertam yang hendak dijadikan joran akan dipilih berdasarkan lapang pancingan. Bagi pancingan tali air, joran yang pendek pada kadar 5-6 kaki diperlukan. Bagi pancingan paya, kolam dan sungai, joran sehingga 10 kaki diperlukan.
Kriteria utama pemilihan adalah batang yang lurus dan tua. Bertam yang muda sangat lembut, kurang sesuai untuk dijadikan joran. Sewaktu menebang bertam, berhati-hati dengan duri di sekitar batangnya.
IKLAN
Bertam yang sudah ditebang perlulah dibuang daun dan durinya, namun dua helai daun perlulah ditinggalkan sedikit untuk tujuan mengikat tali pancing. Ia berfungsi sebagai penahan tali pancing agar tidak terlucut dari ikatan.
Potongan di hujung joran pula adalah berdasarkan saiz ikan sasaran anda. Bagi ikan-ikan kecil di tali air khususnya, hujung joran perlulah dipotong menghampiri pucuk bertam bagi memudahkan kita mengesan getuan halus ikan, terutamanya yang menggunakan ladung.
IKLAN
Manakala bagi ikan sasaran melebihi 1kg, anda perlu memotong hujung joran menghampiri pangkalnya kerana ia lebih besar dan kuat.
Bertam yang sudah ditebang seelok-eloknya dijemur selama 3 hingga 7 hari untuk mengeringkan bendalir di dalam terasnya. Joran perlu disandarkan pada dinding atau pokok. Untuk mendapatkan batang joran yang lurus, bertama perlu digantungkan pada pokok yang tinggi dengan tambahan pemberat di pangkal joran.
Joran bertam yang sudah kering memiliki daya lenturan yang tinggi. Percaya atau tidak, kami pernah mendaratkan patin seberat 2kg dan juga labi-labi dengan hanya menggunakan joran bertam. Sedikit teknik perlu dilakukan kerana umum mengetahui patin gemar melakukan henjutan di saat-saat akhir, apatah lagi dengan menggunakan joran yang mustahil untuk tali keluar mengikut rentak ikan.
Vertical jigging digunakan untuk mengumpan ikan yang mendiami dasar dengan cara melepaskan jig secara menegak atau ke depan sehingga ia tenggelam ke dasar laut. Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat untuk mengayakan jig besi di dalam air.
Jig cast pula digunakan untuk mengumpan ikan predator yang bermain di pertengahan atau di permukaan air. Teknik ini sering kali digunakan untuk menjerat ikan tenggiri. Caranya, Jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan yang sedang berenang.
Joran jigging mestilah halus, ringan dan tahan lasak. Kebiasaan panjang rod jigging antara 5.5 hingga 6.5 kaki. Rod handle atau pemegang joran biasanya lebih panjang berbanding joran casting bagi tujuan menggayakannya lebih mudah.
Saiz kekili yang berbeza juga perlu dipadankan dengan berat jig yang anda gunakan. Misalnya, kekili saiz 4000-6000 sesuai untuk jig seberat 40 gram – 100 gram, saiz 8000-10000 untuk jig seberat 100 gram – 400 gram dan untuk jig seberat 400 gram ke atas, kekili bersaiz 10000 ke atas sesuai digunakan.
Untuk menentukan saiz jig yang boleh anda gunakan, anda harus mengambil kira kedalaman air di lokasi memancing anda. Misalnya, kedalaman 100kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100gm dan begitulah seterusnya. Senang cerita, jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam.
Ini kerana pemilihan saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar. Saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan ikan bermain sekali gus mengelakkan tersasar akibat dibawa arus.
Bagi menjimatkan kos jigging, anda boleh membuat sendiri ikatan mata kail jig atau assist hooks. Ada banyak cara untuk membuatnya dan ia tidaklah sukar. Anda boleh rujuk dalam segmen DIY di laman sesawang Umpan.
Warna jig juga memainkan peranan besar. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis luminous adalah pilihan utama. Spesies seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan.
Tali sulam atau braided line menjadi pilihan utama untuk teknik jigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali di sisi dalam gelendong kekili anda.
Penggunaan shock leader atau juga amat penting untuk teknik jigging. Ini kerana dengan leader ini ia mampu menampung main line apabila mendapat asakan secara tiba-tiba. Tali jenis fluorocarbon adalah lebih disarankan kerana ia lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air.
“Memancing kena enjoy, jangan ada sebarang tekanan, barulah perasaan gembira dan feeling akan mengalir dalam diri kita.”
“Untuk menjadi seorang pemancing yang baik, perlu senantiasa belajar banyak perkara tentang ilmu memancing dan jika sudah berilmu jangan lokek dan sombong untuk berkongsikan dengan pemancing lain terutama pemancing baru,”
itu kata azimat dari otai yang begitu professional dan dikenali dalam arena pancingan tanah air, Mejar (B) Ismail Feisol.
Bercerita dengan lebih lanjut perihal mengenai dirinya, Ismail atau lebih senang disebut Mejar atau ‘Major’ dikalangan orang yang mengenali dirinya, berkata memancing kini sudah begitu sebati dengan dirinya.
“Saya minat memancing sejak dari kecil lagi. Keluarga saya memang gila memancing termasuklah datuk nenek saya dan tempat favourite memancing kami sekeluarga adalah perairan Pulau Langkawi dan sekitar negeri Kedah.”
“Bahkan, pada awal usia kanak-kanak saya telahpun dibawa oleh keluarga memancing di laut dan ketika usia lima tahun saya telah berjaya merasai pengalaman bagaimana bergasak menaikkan ikan yu besar.”
“Kalau nak tahu, dua hari lepas saya dan isteri bernikah, saya pergi berbulan madu dan bulan madu kami itu sebenarnya kami pergi memancing di Langkawi,” katanya.
“Selepas menamatkan pengajian, barulah saya betul-betul serius dengan arena pemancingan dalam negara, luar negara, menternak dan buat bisnes berkaitan ikan, terlibat dengan pelbagai program dokumentari dan banyak lagi.”
“Sejak itu jugalah saya diundang sebagai kolumnis untuk kebanyakan penerbitan di tanah air berkaitan hobi memancing,” katanya yang telah memancing hampir keseluruhan tempat memancing terbaik dunia.
Ujar Major lagi, program dokumentari memancing pertama beliau di kaca televisyen adalah Pancing-Pancing yang disiarkan di RTM pada tahun 1996, dimana beliau bergandingan
dengan personaliti Maznah Zulkifli. Program berkenaan diterbitkan oleh Pesona Pictures dan disiarkan selama tiga tahun.
Disebabkan master mengenai serba-serbi tentang ikan baik kaedah pemancingan, teknik, kefahaman mengenai fisiologi ikan, bapa kepada tiga cahaya mata ini seringkali diundang
memberi ceramah mengenai Fishing World-Sport & Field oleh kebanyakan negara di dunia seperti Australia, Amerika Syarikat, Thailand, Denmark, New Zealand, Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan banyak lagi.
Walaupun menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1978, hobi memancing dan minatnya tentang ikan tidak pernah surut. Bahkan sebenarnya `memang tidak boleh tinggal langsung`.
Bertugas memerangi ancaman komunis di Royal Belum sekitar tahun 1980-an, turut mendekatkan dirinya dengan peluang memancing di kawasan `syurga ikan` (Orang awam dilarang masuk disebabkan darurat ketika ini).
Katanya, waktu itu hanya tuhan sahaja yang tahu, bagaimana seronoknya memancing ikan di kawasan yang banyak ikan dan bersaiz mega terutama ikan kelah.
SAMBUNG PENGAJIAN
Pada tahun 1993, Ismail bersara wajib dari ATM dengan berjaya menyandang jawatan mejar.
Disebabkan minatnya mendalam dengan dunia ikan, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Oceanic Institute Brest, di Perancis dalam bidang fisiologi ikan selama enam bulan.
Bahkan Ismail juga dilantik pernah dilantik ‘produk tester’ jenama terkenal dunia seperti Lucky Craft, Duel, Ofmer, serta jenama lain.
Malah pengeluar gewang tersohor dunia, Lucky Craft telah mengiktiraf Ismail sebagai pemancing professional dan beliau satu-satunya pemancing dari Malaysia dan Asia Tenggara mendapat pengiktirafan berkenaan.
Tambah Ismail, harus diingat, memancing ini perlu sentiasa enjoy dan untuk memancing sebenarnya boleh pakai apa sahaja peralatan memancing, asalkan ia bersesuaian dengan ikan yang hendak dipancing.
Nasihatnya terutama kepada pemancing baru, tidak perlu terikut-ikut menggunakan set pancing mahal, ikut kemampuan poket masing-masing.
Pada masa yang sama sentiasa amalkan etika memancing yang betul seperti sentiasa lakukan catch & release, ambil ikan untuk makan hanya bila perlu dan sentiasa menjaga kelestarian alam padang pancing.
Tidak sesekali mahu berbangga dengan apa yang dikecapinya ketika ini, Ismail menambah, seorang pemancing sejati adalah pemancing yang dihormati kawan dan juga lawan.
HARAPAN
“Jika kita lihat, arena pancingan tanah air semakin berkembang dengan saban hari kita melihat ramai orang diluar sana mula berjinak-jinak dengan hobi ini.
Ia jelas member satu petanda yang baik, kepada semua pihak sama ada pihak pengeluar barangan pancing dan juga pihak kerajaan.
“Sayangnya, padang pancing yang kita ada sekarang ini semakin kekurangan ikan dan perlu satu gerakkan yang lebih intensif dilakukan oleh semua pihak.
Ancaman ikan pendatang yang bermahajalela sehingga memusnahkan populasi ikan tempatan juga harus diambil tindakan.
“Untuk semua kaki pancing, memancinglah sepenuh hati, kerana ia satu hobi yang amat menyeronokkan.
Sebagai seorang pemancing sentiasa amalkan etika-etika pemancing, sentiasa setiakawan dan jangan sesekali cuba merendahkan moral pemancing lain terutama pemancing-pemancing baru,” katanya mengakhiri perbualan.
Nama penuh: Ismail Feisol
Tarikh Lahir: 11 Ogos 1959
Tempat Lahir: Sitiawan Perak, dibesarkan di Kedah
Pekerjaan: Pemancing professional, ahli perniagaan, konsultan, penceramah jemputan
Hobi selain memancing: Mengambil gambar, kumpul senjata melayu lama & pemetik api Zippo koleksi khas
Lokasi memancing disifatkan terbaik dunia: Australia perairan air tawar dan air masin, Denmark dan perairan Sabah.
Kebanyakan spesies hidupan laut mendiami kawasan tengah laut. Kecuali beberapa spesies yang memang mendiami alur sungai atau selat menghala ke laut.
Hampir semua ikan laut ini bergerak mengikut arus pasang lalu menghampiri pantai atau masuk ke selat-selat atau muara sungai.
Ini adalah kerana ia memburu mangsa sebagai sumber makanan terutamanya udang, anak ikan, anak ketam dan cacing laut (perumpun).
Waktu arus mula pasang, udang dan anak ikan akan berpusu-pusu menghampiri pantai atau masuk ke selat atau muara sungai.
Ketika inilah banyak spesies ikan lain yang juga menghampiri pantai, atau masuk ke selat atau muara sungai.
Ia bisanya memburu udang atau anak ikan. Ikan yang paling ketara mengikut arus pasang surut ialah ikan belanak.
Bila arus mula pasang, gerombolan ikan belanak akan kelihatan di pinggir pantai dan masuk ke alur-alur sungai di pinggir laut.
Ikan belanak sangat digemari oleh ikan-ikan besar seperti siakap, pari, dan beberapa jenis ikan besar yang lain.
Ikan sembilang pula sangat gemar memakan udang dan perumpun laut yang juga mula aktif ketika arus mula pasang.
Sebab itulah masa terbaik untuk memancing sembilang adalah ketika arus mula pasang. Begiitu juga untuk memancing siakap dan pari.
Spesies ketam juga mula aktif mencari makan ketika arus mula pasang hinggalah air penuh. Jadi kalau nak menangkap ketam pun itulah juga masa yang sesuai.
Apabila arus mula surut, kebanyakan spesies ikan sudah mula kurang aktif, jadi kurang sesuai untuk memancing atau memukat.
Sebab itulah untuk menjadi nelayan atau memancing, kita harus sangat memahami kitaran peredaran air laut supaya kita boleh memilih waktu yang tepat dan sesuai untuk memulakan aktiviti dan menghentikan aktiviti bila waktunya sudah kurang produktif.
Inilah kunci untuk mendapat hasil yang berbaloi dan tidak pulang dengan tangan kosong. Ilmu ini sudah lama diamalkan oleh orang tua-tua kita semenjak dahulu kala.
Nampak tak hebatnya orang tua-tua Melayu dahulu kala. Ilmu ni nampak simple tapi sebenarnya mereka sangat memahami tentang ilmu falak samudera, hidrografi laut, ekologi dan sifat-sifat haiwan atau biologi hidupan laut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...