Spesies dari keluarga ikan kap, B. gonionotus memiliki badan yang sangat mampat. Profil belakang badannya melengkung. Berkepala kecil dengan muncung mendongak ke atas.
Memiliki sesungut yang sangat asas atau hampir tiada. Warnanya apabila dalam keadaan segar berwarna putih keperakan, kadang-kadang hampir berwarna emas.
Sirip dorsal dan sirip kaudal kelabu dan hampir kelabu kekuningan, sirip anal dan sirip pelvik oren cerah, sirip pektoral seperti kuning pucat.
Lampam jawa mampu membesar sehingga 40.5cm sementara berat maksimumnya secara rasmi tidak pernah dicatatkan.
Ads
Silver barb atau Java barb boleh ditemui di kawasan air dalam, sungai berjeram, sungai, dataran banjir, dan kadang-kadang di dalam takungan.
Nampaknya lebih suka habitat air statik dan bukannya air yang mengalir. Mereka menjadikan bahan tumbuhan dan invertebrate sebagai makanannya.
Ia juga merupakan spesies migrasi tetapi tidak dianggap sebagai penghijrah jarak jauh. Ia lebih merupaka penghijrah domestik yang bergerak dari Delta Mekong ke sungai kecil dan terusan dan ke daerah banjir semasa musim hujan dan kembali lagi ketika air surut.
Ads
Sesetengah laporan menunjukkan bahawa penghijrahan huluan ikan ini dicetuskan oleh hujan pertama dan paras air yang semakin meningkat.
Apabila ia menemui anak sungai, terusan atau aliran ia bergerak ke hulu dan akhirnya ke kawasan banjir. Apabila air merosot, ia kembali ke kanal dan sungai dan ke Mekong lagi.
Ads
Ia Sering digunakan sebagai ‘pituitary donor’ untuk penyebaran buatan dalam akuakultur. Berguna dalam mengurangkan tumbuhan yang berlebihan di dalam takungan.
Satu spesimen yang berukuran 45cm (2,100 g) dilaporkan ditangkap dari Dan Tchang Reservoir, Thailand pada 8 Julai 2003.
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan haruan merupakan sejenis ikan air tawar atau spesies ikan yang suka menyendiri di mana ia sering memilih kawasan habitat berpaya, parit atau sawah padi sebagai perumah. Ikan ini juga amat mudah dikesan terutama di kawasan semak yang berair cetek di mana kita boleh menangkapnya dengan memancing, menjala, menjaring atau cara lain.
Ikan haruan adalah jenis pemangsa yang memakan haiwan lain seperti anak-anak ikan, katak, serangga dan sebagainya. Ia selalunya mampu bersembunyi di kawasan lubuknya tanpa diketahui oleh mangsanya dan bergerak pantas menangkap mangsa untuk makan.
Apabila ikan haruan nampak mangsanya, ia akan menyambar umpan dan mata kail dengan mulut yang besar ke dalam mulutnya dan apa yang paling menarik, adalah ikan haruan hanya memakan umpan hidup dan jarang menyambar umpan mati yang tidak bergerak.
Selalunya ia telan semua umpan sehingga masuk ke dalam perut dan jarang sekali akan terlepas semula. Kalau terlepas disebabkan tali kail putus akibat hebat rentapan yang kuat atau pun disebabkan oleh ikatan mata kail terlucut.
Habitat dan taburan ikan haruan ada dan sesuai pada air tawar yang agak tenang dengan keseimbangan pH7 iaitu tahap air paling sesuai baginya. Ini bermakna, ada berapa laporan mengatakan ia lebih selesa berada pada tahap air sedikit masam bercampur kelat. Ikan Haruan memang didapati tidak suka berada di kawasan yang terdedah matahari.
Justeru, ia lebih gemar untuk bersembunyi di tempat teduh dan terlindung. Tidak hairan jika ia lebih selesa berada di kawasan bersuhu sejuk dengan suhu air sekitar 26 darjah Celsius seperti di dalam lubuk sawah padi yang tenang airnya agar ia dapat mengesan gegaran atau pergerakan dilakukan oleh mangsanya.
Ikan ini dikatakan mampu membesar sehingga 25 centimeter panjang dengan kadar berat mencecah lebih 1 kilogram seekor. Di negara Asia pula taburannya adalah agak menyeluruh. Ia boleh didapati dengan mudah di negara seperti di India, Pakistan, Bangladesh, Lembangan Sungai Mekong, Chao Phraya, Sumatera serta Kepulauan Jawa selain di Malaysia.
Rujukan dari beberapa sumber di Malaysia yang dilaporkan oleh pemancing ikan haruan bahawa ikan haruan banyak berada di kawasan seperti di Pahang yang banyak mempunyai lubuk.
Ikan ini banyak menghuni kawasan anak sungai di kawasan pendalaman, terutama di Jerantut, Lipis, Rompin, dan Kuantan. Kawasan lain yang mempunyai lubuk seperti ini pastinya memang ada ikan haruan tinggal.
Ikan Haruan sering menjadi buruan ramai berikutan ia mempunyai nilai komersial dan khasiat perubatan. Bagi menjamin sumber terus berkekalan, kaedah pemburuan secara berhemah perlu diterapkan.
Kaedah menangkap yang boleh mengurangkan populasi haruan adalah dengan menggunakan renjatan eletrik, racun, tuba atau bahan letupan memang dilarang. Kaedah buruk ini terus menyumbang kepupusan baka ikan itu bahkan memusnahkan ekosistem sama sekali.
Selain daripada dibuat sup, ikan haruan yang didakwa membantu mempercepatkan luka dalaman, ia juga boleh dimasak pelbagai cara. Bagi orang Melayu, haruan masak lemak cili api bercampur daun kesom begitu digemari. Bagi masyarakat Cina, sup ikan haruan bercampur rempah perubatan dan haruan kukus amat popular.
Nama-nama tempatan lain sepat adalah seperti sepat sawah, sepat ronggeng, sepat biru, sepat sapek, sepat benua dan macam-macam lagi.
Ikan ini telah digunakan sebagai sumber makanan yang dimakan dan juga merupakan speseis ikan yang sesuai untuk dijadikan ikan hiasan atau ornamental fish.
Ikan Sepat merupakan sejenis ikan air tawar yang mudah didapati dikawasan sungai, anak sungai, tasik, kolam, lubuk dan sebagainya sama ada di kawasan air mengalir atau air statik.
Ikan yang berbentuk pipih ini mempunyai mulut yang kecil di hadapannya. Ikan ini mempunyai sepasang sesungut panjang dan beberapa sirip di bahagian sisi, di atas serta bawahnya.
Ikan ini mempunyai sisik nipis yang bersusun senget dengan warna gelap dan agak keras.
Terdapat dua titik hitam atau black dot sama ada pada bahagian tengah badan atau bahagian belakang badan di kedua-dua belah. Titik ini merupakan tanda paling mudah untuk mengenali ikan sepat dalam air.
Struktur dalaman organ ikan sepat seperti juga jenis-jenis ikan Gourami dan ikan haruan dan ikan puyu mempunyai labyrinth di ruang insangnya yang membolehkan ikan ini hidup walaupun di kawasan air yang kurang oksigen.
Ikan ini banyak terdapat di kawasan sawah padi dan juga dalam tali air sawah walaupun kerja pembajakan tanah, penggunaan racun dan air sawah dikeringkan pada setiap musim.
Dalam habitat semulajadi selalunya ikan sepat akan makan lumut, tumbuhan air dan anak-anak ikan kecil yang boleh dimasukkan ke dalam mulutnya yang kecil.
Ikan betina akan bertelur di bawah buih-buih putih di permukaan air yang tenang di mana ikan sepat jantan akan menjaga telur-telur tersebut sambil mempersenyawakannya.
Setelah menetas lazimnya anak ikan sepat akan diasuh oleh sepat jantan sehingga anak ikan tersebut mampu mencari makan sendiri.
Ikan ini hidup secara berkumpulan dan akan timbul dipermukaan air untuk menyedut udara dan jika lokasi ikan sepat sangat padat maka akan banyak kelihatan ikan dari permukaan air.
Walau pun ikan sepat tahan di lubuk yang kurang oksigen akan tetapi ikan ini mudah mabuk serta cepat mati apabila di luar dari air selepas ditangkap.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Perbezaan luaran yang ketara antara sebarau berbanding ikan-ikan lain dari keluarga Cyprinidae (ikan kap) adalah wujudnya satu jalur hitam menurun dari dasar anterior sirip dorsal ke sirip ventral.
Secara saintifik ikan sebarau dikenali dengan nama Hampala sp. Di sarawak ikan ini lebih dikenali dengan nama adong dan barau-barau. Rasanya yang sedap dengan kandungan protein yang tinggi membolehkan ikan ini laris di pasaran dan dijual dengan harga yang agak mahal.
Sebarau besar yang melebihi saiz 25cm panjang lebih digemari kerana mempunyai tulang yang kurang berbanding ikan kecil.
Di kalangan pemancing, kehebatannya bersaing dan kerakusan apabila menyambar umpan lebih memberikan kepuasan. Sifat agresifnya iu membolehkan ia diklasifikasikan sebagai ikan yang sangat garang setanding dengan toman walaupun saiznya lebih kecil.
Umumnya ikan sebarau suka mendiami sungai-sungai jernih dengan air yang mengalir serta dasar berpasir dan sedikit berlumpur. Melalui taburannya ini bagai pegawai sungai kerana ia boleh ditemui di semua zon sungai, dari kawasan pertemuan antara air tawar dan air masin hingga ke zon paling hulu.
Namun melalui kajian, taburan sebarau berbeza mengikut saiznya. Anak-anak ikan bersaiz kurang dari 10 cm biasanya lebih menggemari sungai cetek yang berbatu dengan aliran air deras. Apabila ia mencapai saiz antara 11 hingga 20 cm, ia mula berpindah ke habitat yang lebih luas, berair jernih dan mengalir dengan perlahan.
Kawasan yang bertakung dengan kedalaman melebihi 3 meter, berdinding dan berdasarkan batu dan sedikit lumpur dengan aliran air yang perlahan pula menjadi pilihan sebarau melebihi 21cm.
Kawasan kediaman ikan-ikan dewasa yang bersaiz besar ini lazimnya dikenali sebagai lubuk (deep pool).
Kebanyakan sebarau dewasa mendiami lubuk-lubuk di hulu sungai yang terdapat ranting pokok tenggelam sepanjang hari. Keadaan ini turut memberi cabaran kepada para pemancing kerana cabaran perburuan sebarau bermula dari masa mencari kawasan pemancingan strategik lagi.
Untuk mencari lubuk sebarau, pemancing mungkin perlu berjalan beberapa jam mengharungi sungai berbatu dan berair deras menuju ke hulu sungai. Oleh itu pemancing bukan saja perlu mempunyai kecekapan mengendalikan peralatan memancing tetapi juga perlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Disamping itu, ikan sebarau juga amat sensitif terhadap bunyi-bunyi yang ganjil. Pemancing perlu berhati-hati agar segala tingkah laku dan pergerakan tidak mengganggu ikan ini.
Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan bahawa warna pakaian juga perlu dititikberatkan apabila hendak memburu sebarau seperti mana kelah. Pakaian yang cerah boleh dikesan ikan yang berada di dalam air.
Melalui ujian pemakanan yang telah dibuat, didapati tabiat pemakanan ikan ini berbeza mengikut peringkat hidup ataupun saiz.
Pada peringkat larva, ia memakan plankton dan lumut-lumut yang melekat pada batu atau daun tumbuhan air.
Tumbuh-tumbuhan air, serangga kecil, larva ikan dan organisma krustasea seperti anak-anak udang pula akan menjadi makanan sebarau pada peringkat juvenil. Pada peringkat dewasa, ikan ini bersifat karnivor sepenuhnya dengan menjadikan haiwan kecil yang lain sebagai mangsanya.
Berbeza dengan ikan karnivor dari famili Channidae (snakehead) yang lebih suka menunggu atau menghendap mangsa, sebarau dewasa merupakan ikan yang aktif dan bergerak dalam kumpulan semasa keluar memburu mangsanya yang terdiri daripada ikan seluang, terbul, lampam sungai dan anak-anak ikan yang lain termasuk anak ikan toman.
Sebarau gemar menyambar mangsa dengan ganas dan sangat mudah tertarik kepada objek-objek yang bergerak. Ini membolehkan para pemancing menggunakan umpan tiruan untuk menipunya.
Sebagaimana kebanyakan ikan lain, sebarau juga mempunyai masa makannya sendiri. Tetapi masa makan ikan ini berbeza mengikut peringkat umur. Ikan kecil akan keluar mencari makan pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala ikan juvenil memburu pada sebelah petang dan awal malam.
Ini sekali lagi memberi cabaran kepada kaki pancing yang ingin menawan sebarau bersaiz besar dengan keupayaan tersendiri. Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa masa yang sesuai untuk memancing sebarau adalah antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 5 petang hingga 7 malam.
Berdasarkan kajian pembiakan pula, sebarau boleh membiak sepanjang tahun dengan kitaran pembiakan bermula pada bulan September hingga Disember. Walaupun ikan ini mampu membesar sehingga 70cm panjang, ikan jantan mula matang apabila mencapai saiz 15cm.
Manakala ikan betina mula menunjukkan kematangan dan sedia untuk membiak apabila saiz 18cm. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapat sebarau yang kurang dari 20cm, adalah baik jika ia dilepaskan semula kerana mereka belum matang.
Proses pembiakan biasanya berlaku semasa musim tengkujuh iaitu apabila paras air sungai atau tasik meningkat.
Pada masa ini, ikan jantan dan betina yang telah matang akan berenang ke hulu sungai untuk mengawan. Kawasan hulu yang berair jernih, berbatu kecil dengan aliran air yang perlahan menjadi pilihan untuk melepaskan telur.
Telur-telur yang dilepaskan akan melekat pada batu dan tumbuhan air di sekitar tebing sungai. Setelah si anak mencapai peringkat juvenil dan mampu berenang melawan arus, ia akan berenang menuju kawasan berjeram untuk memulakan hidup baru sebelum mendiami lubuk yang sesuai apabila meningkat dewasa.
Keadaan hari ini yang telah banyak terganggu oleh aktiviti manusia dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pengekalan alam sekitar menyebabkan sebarau semakin sukar ditemui.
Kehilangan atau gangguan terhadap kawasan sungai yang mengalir jernih dan berpasir menjadi punca utama kesusutan sumber ini. Sumber ini penting untuk dinikmati pada masa akan datang sama ada untuk makanan atau tujuan sukan memancing. Oleh itu kajian terhadap spesies sebarau perlu digiatkan lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...