Boleh dikatakan ia adalah batu ladung pertama yang digunakan atau dikenali oleh pemancing. Sememangnya sejak dari kecil lagi pemancing didedahkan dengan batu ladung hidup atau turut dikenali sebagai batu biji kana.
Batu ladung hidup merupakan sejenis pemberat yang membenarkan tali pancing utamabergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Kebiasaannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ia juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial.
Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis batu hidup yang popular ketika ini ialah ladung biji kana dan ladung bulat.
Batu Ladung Bulat
Pemberat berbentuk bulat (lebih kepada bentuk buah pear) ini juga popular sebagai batu mati atau batu gantung pertama yang dikenali oleh pemancing sebagaimana batu ladung hidup. Pemberat ini sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur. Tetapi ia tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut.
Ads
Cara penggunaan batu ladung ini bergantung pada keadaan air di kawasan anda memancing. Jika kawasan tersebut berarus deras, gunakanlah saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.
Batu Ladung Panjang
Ads
Batu Ladung berbentuk seperti silinder panjang juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di pantai, kolam mahupun tasik. Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai ataupun kuala.
Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang. Bentuknya yang tirus menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang.
Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.
Ads
Batu Ladung Sauh
Pemberat yang dilengkapkan dengan dawai logam umpama kaki labah-labah tetapi kelihatan seperti bentuk jauh ini amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Terutamanya pemancing pantai. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras terutamanya sewaktu air jalan pasang ataupun jalan surut.
Kegunaan dawai di sekeliling batu sauh ini adalah untuk memastikan batu ini dapat mencengkam dasar laut sekali gus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras. Walaupun kelihatan seperti lebih mudah tersangkut namun ia dihasilkan untuk ditarik keluar dari kawasan sangkut dengan mudah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Mari kita lihat spesies-spesies ikan penyambar gewang yang menjadi buruan ramai pengilat muara.
Siakap
Tak dapat dinafikan lagi ikan siakap atau barramundi merupakan spesies sasaran casting nombor satu di muara.
Ia juga disebabkan oleh kewujudannya yang bertaburan di merata muara seluruh negeri hingga ke Sabah dan Sarawak.
Kepuasan sebenar bagi kaki casting ialah melihat aksi akrobatiknya dalam usaha meloloskan diri apabila tercangkuk mata kail.
MJ aka Siakap merah
Walaupun saiznya tidak mampu mengatasi ikan siakap atau kakap putih, namun siakap merah atau mangrove jack (MJ) tetap menduduki ranking antara teratas spesies sasaran casting muara.
Sebagaimana siakap putih, ia juga spesies yang mudah ditemui di serata negeri dan aksinya melarikan gewang ke celah-celah bangkar kayu merupakan cabaran menyeronokan bagi kaki casting.
Bandang
Ikan bandang atau lebih popular dipanggil ladyfish merupakan ikan yang paling mencabar kesabaran pengilat.
Selain taburan yang kurang meluas, ia juga antara ikan yang sulit untuk didaratkan. Rahangnya yang bertulang keras dan kemampuan melibas gewang dari mulutnya membuatkan ia sukar untuk didaratkan.
Namun ia memberikan satu kepuasan yang unik kepada sesiapa yang berjaya menewaskannya walaupun bersaiz kecil.
Bulan
Ikan bulan atau tarpon bolehlah dianggap sebagai lesen P bagi pengilat muara. Selagi belum berjaya mendaratkannya, maka anda belum boleh memiliki lesen penuh.
Bagi lokasi yang mudah untuk mendaratan siakap dan MJ, ikan bulan hanya dianggap sebagai hiburan semata.
Tetapi dalam method pancingan ultralight, ia merupakan spesies yang cukup menyeronokkan dan spesies sasaran utama.
Jenahak
Sebagaimana spesies siakap merah, ikan jenahak juga menjadikan kawasan estuari membiak dan membesar sebelum berhijrah ke laut lepas apabila matang.
Namun, berbanding siakap merah yang lebih mudah, untuk memperolehi jenahak adalah lebih sukar.
Sebaliknya ia lebih mudah jika dipancing dengan teknik dasar atau casting dengan menggunakan umpan hidup. Atas sebab itu ia adalah satu bonus jika berjaya menjinakkan jenahak.
Kerapu
Tidak mengira apa saja jenis kerapu, ia merupakan spesies sasaran utama penggemar casting muara.
Lebih-lebih lagi jika berjaya menjinakkan kerapu harimau yang bersaiz kasar. Kerapu sememangnya terkenal sebagai spesies yang sukar untuk ditewaskan terutamanya pada minit awal apabila mata kail tercangkuk pada mulutnya.
Hanya jika berjaya mengekang benamannya ke sarang atau bangkar maka kejayaan menjadi milik pemancing.
Kurau
Mengilat ikan kurau mungkin agak janggal bagi pemancing di negara kita. Namun di negara Australia, ikan kurau merupakan spesies sasaran utama acara casting.
Mungkin disebabkan kesukaran untuk mengesan lubuk dan laluan, atau juga belum ditemui gewang yang sepadan dengan diet pemakanannya.
Jika perkara ini diatasi pasti ikan kurau pasti akan menjadi spesies sasaran paling atas dalam acara mengilat di muara.
Tembaring
Tidak dapat disangkal lagi ikan tembaring atau kanai dan lebih popular dengan nama singkatan BB (black bass) merupakan spesies paling agresif membaham dan menghancurkan gewang.
Hanya kerana ia boleh ditemui di beberapa lokasi di perairan Sabah, ia tidak menduduki carta paling atas spesies muara yang paling banyak diburu.
Namun bagi pengilat tegar teknik casting ini, ia merupakan lesen yang wajib diperolehi walaupun hanya sekali.
Alu-alu
Alu-alu atau barracuda mungkin tidak menduduki barisan teratas spesies sasaran casting.
Sebaliknya mungkin menjadi spesies yang dibenci ekoran memiliki senjata tajam yang mampu merosakkan atau lebih teruk lagi memutuskan sambungan gewang dengan set casting pemancing.
Walau bagaimana pun ia jugak spesies yang menghiburkan apabila tercangkuk pada mata gewang.
GT
Sebut saja nama gerepoh atau nama globalnya yang melambangkan gergasi iaitu giant trevally (GT) dan habitat yang gergasi ini sering ditemui di laut dalam, mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa ia juga boleh ditemui dan dipancing di muara.
Walaupun GT yang sering ditemui di muara berstatus juvenile, namun ia tetap mewarisi kekuatan dan kelincahan giant trevally.
Talang
Mengilat ikan talang di muara dan kuala sungai terutamanya di pantai timur semenanjung Malaysia kini menjadi satu fenomena.
Malah ia turut dijadikan acara tahunan merebut sesuatu kejuaraan. Ia jelas menggambarkan bahawa ikan talang bukan saja menjadi spesies sasaran aktiviti jigging, bahkan sudah dijadikan spesies sasaran utama aktiviti lure casting di muara.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tau ke makna kumpau? Kumpau merupakan musuh utama pemancing. Tidak kira jenis pancingan apa, ia tidak lepas lari dari bayangan kumpau. Untuk kali ini, kami kupas punca yang boleh menyebabkan kumpau dalam teknik pancingan mengilat atau casting.
Set pancing yang betul
Peralatan pancing yang tepat adalah penting untuk memastikan ikan sasaran lebih mudah dinaikkan. jika mengilat di kawasan yang mempunyai banyak reba, set pancing yang lebih kuat diperlukan. Jika mengilat ikan yang kurang kuat tetapi cepat culas seperti PB, set pancing yang lebih halus diperlukan untuk memastikan ikan tidak mudah kenal umpan tiruan yang digunakan.
Peralatan sesuai juga bermaksud ia sesuai dengan gewang yang digunakan. Gewang yang lebih berat tidak sesuai dipadankan dengan set yang kecil dan begitu juga sebaliknya. Ketepatan dan jarak lontaran juga dipengaruhi oleh set mengilat yang digunakan, jadi perlulah menggunakan peralatan yang sesuai.
Kenal pasti lubuk
Spot mengilat juga dikenali sebagai lubuk di satu-satu tempat. Jika di empangan, kawasan anak sungai yang keluar ke arah empangan, teluk-teluk yang mempunyai anak air serta di kawasan bereba adalah lubuk yang perlu diambil perhatian.
Casting tanpa arah tujuan di empangan yang luas, memang agak sukar untuk mendapatkan sambaran dan ia memenatkan. Lubuk perlulah dikenalpasti sebelum mengilat di satu-satu tempat. Adalah lebih baik menggunakan guide pancing yang berpengalaman dengan tempat tersebut untuk memudahkan lagi pencarian ikan buruan.
Masa yang tepat
Mengilat tidak bermakna anda boleh memancing sepanjang hari. Awal pagi dan lewat petang biasanya adalah waktu sesuai untuk mengilat sebarau dan waktu matahari sudah mula naik pula adalah masa toman menimbul ketika di tasik.
Jika di muara perhatikan juga air pasang surut. Apabila keadaan sungai berarus ikan lebih aktif dan mudah untuk memujuknya berbanding ketika air surut atau tidak bergerak langsung.
Musim hujan atau kemarau juga memberikan keputusan berbeza begantung kepada jenis ikan yang disasarkan. Sebarau lebih mudah didapati ketika musim hujan dan air tasik sedikit keruh, manakala jika mengilat tembaring atau blackbass di delta sungai, musim kemarau pula adalah waktu terbaik.
Cuaca ketika memancing juga perlu diperhatikan. Biasanya ketika hari mahu hujan iaitu tekanan barometer menjadi rendah, ikan kurang aktif dan jarang berkeliaran mencari makanan. Waktu selepas hujan adalah waktu terbaik untuk memancing di kebanyakan tempat.
Pemilihan gewang
Perkara paling utama untuk memikat ikan dengan gewang ialah gewang yang mampu menipu ikan tersebut. Gewang yang mampu meniru aksi atau renangan ikan yang menjadi buruan ikan sasaran adalah paling sesuai digunakan. Ia bergantung juga bergantung kepada warna serta saiz gewang yang paling sepadan.
Untuk memilih gewang yang sesuai, pemancing perlulah mengambil kira jenis ikan yang disasarkan dan juga lokasi pancingan. Gewang yang berbeza kedalaman memainkan peranan ketika mengilat kerana ikan berada di paras yang berbeza mengikut lokasi.
Ikan yang menimbul di tengah tasik lazimnya lebih gemarkan gewang yang mampu menyelam lebih dalam.
Ketepatan balingan
Ketika mengilat, lontaran gewang adalah kunci utama gewang mendapat perhatian ikan. Lontaran perlulah tepat dan sampai ke kawasan serangan ikan.
Lontaran yang tersasar dan tidak sampai akan menyebabkan ikan tidak sempat membuat sambaran ataupun tidak menyedari kehadiran gewang.
Ini lebih penting jika memancing dari tebing yang luas. Ikan ada kalanya duduk jauh sedikit dari tebing dan memaksa pemancing melontar dengan jauh untuk sampai ke kawasan ia bermain.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...