Terdapat pelbagai nama tempatan bagi spesies ini iaitu potok, belida selat, selat mahupun tongkos. Walau bagaimana pun ia lebih popular sebagai ikan potok dengan nama Inggerisnya Asiatic knifefish atau common knifefish. Namun tidak banyak yang diperkatakan tentang ikan ini dalam media cetak mahupun media elektronik.
Secara fisiologi, ikan potok tidak banyak beza dengan saudara rapatnya dalam keluarga Notopteridae. Kesimpulannya, perbezaan antara ketiga-tiga spesies iaitu belida sungai, belida bintik dan potok hanya boleh dilihat pada corak badan serta saiz maksimum ikan ini.
IKLAN
Ikan potok mempunyai warna badan sekata seperti belida namun ia tidak mampu membesar sehingga besar maksimum ikan belida lainnya. Ada yang mengatakan ikan potok tidak memiliki badan yang bongkok seperti belida.
IKLAN
Namun ia agak sukar untuk dibuat perbandingan ini pada pandangan mata kasar kecuali dapat meletakkan dua spesies yang sama saiz bersebelahan.
IKLAN
Spesies belida terkecil dalam famil Notopteridae ini mudah ditemui dalam kepelbagaian habitat dan perairan negara. Ia bukanlah spesies buruan pemancing sukan sebagaimana ikan belida sungai dan belida bintik.
Tentu saja ikan potok tidak menjadi spesies sasaran dalam memancing berikutan saiz yang kecil. Ia biasanya terpancing dengan tidak sengaja, lazimnya ketika memancing ikan-ikan kecil lainnya seperti sepat atau puyu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan belida merupakan spesies ikan air tawar yang datang daripada keluarga Notopteridae. Dengan bentuk badan primitifnya seperti bilah sabit atau pisau serta tarian back flip dalam pertarungan, spesies pemangsa nokturnal ini memiliki karisma tersendiri sekaligus membuatkannya tidak jemu dipandang.
Ikan belida mempunyai tarikan yang unik. Bentuk badannya yang seakan-akan bilah sabit menjadikannya antara faktor yang menarik untuk dilihat. Walaupun mempunyai bentuk yang pipih, namun kekuatan dari sudut pertarungan di mata pancing tidak boleh sesekali dipandang remeh.
Juga dikenali sebagai giant featherback, ikan belida merupakan antara spesies ikan air tawar yang licik. Malah di negara kita sendiri pun, ikan ini boleh dikategorikan antara spesies yang agak sukar diperoleh terutamanya yang bersaiz besar.
Jika dalam pertarungan dengan kaki pancing pula, ikan belida mempunyai karisma yang tersendiri.
Lompatan akrobatik dengan lenturan badannya kelihatan cukup berkarisma menyerupai pertarungan dengan ikan siakap, bezanya lokasi memancing spesies ini lebih sukar berbanding siakap lantas menaikkan nilai ikan ini.
Selain itu, walaupun mempunyai tulang yang banyak, jika kena caranya, spesies belida cukup enak untuk dijadikan hidangan makan.
Morfologi
Giant featherback atau belida mempunyai morfologi luaran yang cukup menarik. Memiliki badan yang nipis dan memanjang memberikan bentuk seakan sabit atau pisau kepada ikan belida.
Tambahan pula warna perak pada badannya terutama pada perut yang semakin menggelap apabila menuju ke bahagian ekor menambahkan lagi karisma kepada bentuk badan ikan belida.
Ekor atau sirip kaudal ikan belida bersaiz kecil dan bergabung dengan sirip anal yang menjadikannya hampir keseluruhan badannya. Sirip dorsal ikan belida kecil dan tirus ke atas yang memberikannya gelaran ‘featherback’.
Selain itu, alunan ekornya mampu memegang ikan ini supaya kekal statik di dalam air selain mampu membuat renangan ke belakang. Spesies daripada keluarga Notopteridae mempunyai pelampung renangan (swim bladder) yang istimewa.
Walaupun tidak bersifat terlalu vaskular, organ ini mampu menyerap oksigen daripada udara dan boleh berfungsi untuk menghasilkan bunyi dengan menekan udara melalui rongga sempit ke dalam pharynx.
Taburan & Habitat
Taburan spesies ikan belida boleh ditemui di lembangan Sungai Mekong, Laos, Kemboja, aliran Sungai Chao Phraya dan Mae Klong di Thailand, Sumatera dan Borneo. Di semenanjung Malaysia pula, ikan belida boleh ditemui di sungai-sungai serta tasik-tasik utama di Malaysia.
Selalunya, pada sungai-sungai utama, ikan belida gemar bermain di lembangan yang lebih rendah, bermakna pada aliran sungai yang tidak terlalu dalam ke hulu.
Selain itu, sungai-sungai kecil atau sungai pegunungan yang mempunyai substrat yang kompleks dengan batuan serta kayu-kayu yang tenggelam juga menjadi habitat kepada ikan belida.
Ketika persenyawaan pula, ikan belida akan mengawal telurnya hingga menetas. Selalunya ikan belida akan melepaskan telurnya di kawasan tersorok di sebalik kayu atau reba yang tenggelam dalam keadaan kawasan air yang tenang.
Ikan belida boleh dikategorikan sebagai spesies nokturnal kerana lebih aktif memburu mangsanya pada waktu malam. Pemangsa ini selalu menjadikan ikan kecil sebagai mangsanya. Selain daripada ikan kecil, belida juga menjadikan krustasea dan invertebrata lain sebagai makanannya. Dalam keadaan lain, ikan belida juga menjadikan mangsa yang telah mati sebagai diet alternatif.
Bagi spesies belida yang dijadikan ikan hiasan, diet seperti bloodworm, cacing, udang mati atau udang hidup serta hirisan ikan juga boleh digunakan sebagai sumber makanan ikan belida. Walaupun pelet boleh digunakan, namun disarankan agar tidak dijadikan sebagai sumber diet utama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan haruan palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing.
Haruan palas atau nama globalnya black snakehead adalah spesies snakehead yang berasal dari Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina, dan Singapura. Spesies yang penting secara komersial ini mencapai panjang 30 cm (12 in). Nama globalnya ini dipercayai merujuk kepada warna pada pola warnanya yang hitam.
Black Snakehead mendiami sungai-sungai besar hingga sedang yang terdiri dari air paya gambut berasid dan akar yang terendam. Black Snakehead memakan haiwan kecil dan tidak berbahaya bagi manusia.
Ikan snakehead ini memiliki tubuh yang panjang dan ramping dengan keseimbangan badan yang panjang. Mereka memiliki mulut yang luas dan rahang yang kuat dengan gigi tajam umpama taring.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perbezaan luaran yang ketara antara sebarau berbanding ikan-ikan lain dari keluarga Cyprinidae (ikan kap) adalah wujudnya satu jalur hitam menurun dari dasar anterior sirip dorsal ke sirip ventral.
Secara saintifik ikan sebarau dikenali dengan nama Hampala sp. Di sarawak ikan ini lebih dikenali dengan nama adong dan barau-barau. Rasanya yang sedap dengan kandungan protein yang tinggi membolehkan ikan ini laris di pasaran dan dijual dengan harga yang agak mahal.
Sebarau besar yang melebihi saiz 25cm panjang lebih digemari kerana mempunyai tulang yang kurang berbanding ikan kecil.
Di kalangan pemancing, kehebatannya bersaing dan kerakusan apabila menyambar umpan lebih memberikan kepuasan. Sifat agresifnya iu membolehkan ia diklasifikasikan sebagai ikan yang sangat garang setanding dengan toman walaupun saiznya lebih kecil.
Umumnya ikan sebarau suka mendiami sungai-sungai jernih dengan air yang mengalir serta dasar berpasir dan sedikit berlumpur. Melalui taburannya ini bagai pegawai sungai kerana ia boleh ditemui di semua zon sungai, dari kawasan pertemuan antara air tawar dan air masin hingga ke zon paling hulu.
Namun melalui kajian, taburan sebarau berbeza mengikut saiznya. Anak-anak ikan bersaiz kurang dari 10 cm biasanya lebih menggemari sungai cetek yang berbatu dengan aliran air deras. Apabila ia mencapai saiz antara 11 hingga 20 cm, ia mula berpindah ke habitat yang lebih luas, berair jernih dan mengalir dengan perlahan.
Kawasan yang bertakung dengan kedalaman melebihi 3 meter, berdinding dan berdasarkan batu dan sedikit lumpur dengan aliran air yang perlahan pula menjadi pilihan sebarau melebihi 21cm.
Kawasan kediaman ikan-ikan dewasa yang bersaiz besar ini lazimnya dikenali sebagai lubuk (deep pool).
Kebanyakan sebarau dewasa mendiami lubuk-lubuk di hulu sungai yang terdapat ranting pokok tenggelam sepanjang hari. Keadaan ini turut memberi cabaran kepada para pemancing kerana cabaran perburuan sebarau bermula dari masa mencari kawasan pemancingan strategik lagi.
Untuk mencari lubuk sebarau, pemancing mungkin perlu berjalan beberapa jam mengharungi sungai berbatu dan berair deras menuju ke hulu sungai. Oleh itu pemancing bukan saja perlu mempunyai kecekapan mengendalikan peralatan memancing tetapi juga perlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Disamping itu, ikan sebarau juga amat sensitif terhadap bunyi-bunyi yang ganjil. Pemancing perlu berhati-hati agar segala tingkah laku dan pergerakan tidak mengganggu ikan ini.
Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan bahawa warna pakaian juga perlu dititikberatkan apabila hendak memburu sebarau seperti mana kelah. Pakaian yang cerah boleh dikesan ikan yang berada di dalam air.
Melalui ujian pemakanan yang telah dibuat, didapati tabiat pemakanan ikan ini berbeza mengikut peringkat hidup ataupun saiz.
Pada peringkat larva, ia memakan plankton dan lumut-lumut yang melekat pada batu atau daun tumbuhan air.
Tumbuh-tumbuhan air, serangga kecil, larva ikan dan organisma krustasea seperti anak-anak udang pula akan menjadi makanan sebarau pada peringkat juvenil. Pada peringkat dewasa, ikan ini bersifat karnivor sepenuhnya dengan menjadikan haiwan kecil yang lain sebagai mangsanya.
Berbeza dengan ikan karnivor dari famili Channidae (snakehead) yang lebih suka menunggu atau menghendap mangsa, sebarau dewasa merupakan ikan yang aktif dan bergerak dalam kumpulan semasa keluar memburu mangsanya yang terdiri daripada ikan seluang, terbul, lampam sungai dan anak-anak ikan yang lain termasuk anak ikan toman.
Sebarau gemar menyambar mangsa dengan ganas dan sangat mudah tertarik kepada objek-objek yang bergerak. Ini membolehkan para pemancing menggunakan umpan tiruan untuk menipunya.
Sebagaimana kebanyakan ikan lain, sebarau juga mempunyai masa makannya sendiri. Tetapi masa makan ikan ini berbeza mengikut peringkat umur. Ikan kecil akan keluar mencari makan pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala ikan juvenil memburu pada sebelah petang dan awal malam.
Ini sekali lagi memberi cabaran kepada kaki pancing yang ingin menawan sebarau bersaiz besar dengan keupayaan tersendiri. Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa masa yang sesuai untuk memancing sebarau adalah antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 5 petang hingga 7 malam.
Berdasarkan kajian pembiakan pula, sebarau boleh membiak sepanjang tahun dengan kitaran pembiakan bermula pada bulan September hingga Disember. Walaupun ikan ini mampu membesar sehingga 70cm panjang, ikan jantan mula matang apabila mencapai saiz 15cm.
Manakala ikan betina mula menunjukkan kematangan dan sedia untuk membiak apabila saiz 18cm. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapat sebarau yang kurang dari 20cm, adalah baik jika ia dilepaskan semula kerana mereka belum matang.
Proses pembiakan biasanya berlaku semasa musim tengkujuh iaitu apabila paras air sungai atau tasik meningkat.
Pada masa ini, ikan jantan dan betina yang telah matang akan berenang ke hulu sungai untuk mengawan. Kawasan hulu yang berair jernih, berbatu kecil dengan aliran air yang perlahan menjadi pilihan untuk melepaskan telur.
Telur-telur yang dilepaskan akan melekat pada batu dan tumbuhan air di sekitar tebing sungai. Setelah si anak mencapai peringkat juvenil dan mampu berenang melawan arus, ia akan berenang menuju kawasan berjeram untuk memulakan hidup baru sebelum mendiami lubuk yang sesuai apabila meningkat dewasa.
Keadaan hari ini yang telah banyak terganggu oleh aktiviti manusia dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pengekalan alam sekitar menyebabkan sebarau semakin sukar ditemui.
Kehilangan atau gangguan terhadap kawasan sungai yang mengalir jernih dan berpasir menjadi punca utama kesusutan sumber ini. Sumber ini penting untuk dinikmati pada masa akan datang sama ada untuk makanan atau tujuan sukan memancing. Oleh itu kajian terhadap spesies sebarau perlu digiatkan lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...