Di Pantai Timur ikan ini lebih mendapat perhatian berbanding jenahak mahupun merah sebab itu nilainya amat baik di pasaran. Isinya lebih lembut.
Jumlah tangkapannya kasar tidak memberangsangkan seperti mana ikan merah. Ibu kerisi bukanlah gamefish. Ia diburu kerana harga dan kelembutan yang dimiliki spesies unik ini.
Ibu kerisi atau goldband snapper mampu membesar sehingga 90cm panjang dengan anggaran berat melebihi skala 20 kg.
Namun spesimen yang biasa ditemui sekitar 70cm sahaja. Ibu kerisi matang apabila mencapai 35-50cm dan membiak di antara bulan Mei hingga Ogos. Anggaran usia maksimum boleh mencapai 30 tahun.
Bagi saya ibu kerisi berwarna ‘lembut’ sehalus isinya berbanding kerisi bali lebih terserlah warna badan.
Ia cukup cantik dipandang apatah lagi jika dapat melihat kilauan warna ketika biasan dan pancaran cahaya matahari.
Asasnya berwarna seperti jenis kerisi kecil lain dan kilauan perak lebih memancar hampir 70%. Jalur kekuningan halus memanjang dari kepala hingga pangkal ekor untuk P. Typus.
Bergigi taring lebih kecil dari yang dimiliki oleh siakap merah. Ekor slim bercabang boleh menghasilkan pecutan baik dalam air.
Ads
Ibu kerisi kini lebih tertumpu di kawasan air dalam minimum 150kaki tidak seperti dahulu boleh dijumpai merayau di kawasan persisiran pantai 50kaki.
Lokasi tumpuan kini adalah lubang dan boleh dikatakan banyak mendiami perairan Penang dan sekitar laut di kawasan cari gali minyak. Ia berada di laut (selat) sempit dan juga laut luas.
Kebanyakan lokasi dihuninya adalah dasar keras sama ada berkarang, batu keras dan pinggir lokasi berkenaan. Paling hampir dengan pantai yang pernah saya dapat ialah
bahagian timur Pulau Bidung (kedalaman air 160 kaki) dan selebihnya di lokasi yang berjam-jam lamanya.
Ikan kerisi ini aktif untuk kedua-dua waktu siang dan malam. Rekod tangkapan saya lebih banyak di siang hari berbanding malam.
Ads
Kuat melawan ketika bawah pertengahan air dan muncul pelampung di mulut menandakan ia sudah barotrauma, tidak mampu berbuat apa lagi.
Ikan belukang, bedukang, kedukang atau apa sahaja nama lainnya adalah sejenis ikan duri atau ikan bermisai yang lazimnya boleh didapati di tepi pantai berlumpur dan kuala sungai. Ikan dengan nama umum sagor catfish, sagor sea-catfish atau Sunda sea-catfish ini tergolong dalam keluarga besar Ariidae, dalam genus Hexanematichthys dengan nama saintifiknya Hexanematichtys sagor.
Taburan ikan belukang amat meluas meliputi pesisir Lautan Hindi, bermula dari pantai-pantai di wilayah India, Pakistan, Sri Lanka, Asia Tenggara hingga ke Malaysia, Indonesia dan Filipina. Ikan belukang hidup di laut berlumpur berdekatan pantai dan di estuaria (badan air setengah tertutup di wilayah pesisir dengan satu sistem sungai atau lebih yang mengalir masuk ke dalamnya, serta terhubung bebas dengan laut terbuka. Kebanyakan muara sungai ke laut membentuk estuaria namun tidak demikian jika bermuara ke danau, waduk atau ke sungai yang lebih besar). Sagor catfish ini sering merayau sama ada ke hulu atau ke hilir hingga ke sempadan air pasang tinggi.
Daripada aspek morfologi, ikan belukang merupakan ikan bersaiz sederhana. Memiliki badan licin tanpa sisik. Ia mampu membesar panjang sehingga 45 cm namun kebanyakan spesimen yang ditemui sekitar 30 cm sahaja. Ikan belukang memiliki bentuk kepala memipih datar ke arah muncung, dilengkapi dengan tiga pasang sesungut. Sepasang sesungut yang paling panjang berada pada rahang atas, panjang mampu mencapai pertengahan sirip pektoral atau lebih.
Bahagian atau sisi atas kepala ikan belukang terbentuk keping-keping tulang umpama perisai yang berpola kasar permukaannya. Lekuk fontanel yang memanjang di tengah dahi di antara dua belah mata. Bentuk arah kepala belakang membundar, dan bentuk sirip anal umpama saya kupu-kupu. Ikan belukang dibarisi gigi berbentuk kerucut dan tersusun dalam barisan melintang pada empat plag yang berderet di langit-langit mulut (palatum), plag gigi yang sebelah depan (plag maksilar) melengkung sempit dari sisi ke sisi.
Pada siri sirip dorsal dan kedua-dua sirip pektoral ikan ini masing-masing memiliki duri atau patil yang bergerigi dan berbisa. Sisi atas dan samping atau tepi badan ikan berwarna keabu-abuan gelap kecoklatan atau kebiruan, sisi bawah atau abdomen berwarna putih susu, lazimnya hadir 10 atau lebih garis-garis melintang putih keperakan, kebiruan, atau kehijauan. Semua siripnya berwarna kusam kehitaman, hanya bahagian filamen dari sirip dorsal yang berwarna terang.
Daripada aspek ekonomi, ikan belukang bukanlah ikan yang bernilai tinggi sekali gus menjadikannya ikan yang kurang di pasaran. Justeru ia tidak ditangkap secara komersial dan tiada sebarang ancaman kepupusan terhadap spesies ini. Sementara dari sudut perikanan rekreasi pula, ikan belukang lebih dianggap sebagai ikan pengacau yang menghabiskan umpan. Namun spesimen yang kasar berupaya menghadirkan keseronokan dalam sesi memancing dan bernilai amat tinggi jika hadir di meja timbang sesuatu pertandingan memancing.
Ikan merah suman yang dikenali dengan nama umum Japanese red sempena warna merah badannya (warna merah bendera Jepun?) merupakan ikan bergred tinggi yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae (snapper) sama seperti ikan jenahak dan merah lainnya. Nama saintifik bagi spesies idaman penggemar pancingan dasar laut dalam ini ialah Pinjalo pinjalo.
Berbanding ikan merah lainnya, merah suman nyata sedikit berbeza dengan bentuk corak kepalanya yang lebih bulat. Namun Ikan ini tinggal di kawasan lubang dan struktur karang bersama dengan ikan merah. Dikatakan Ikan ini lebih sedap berbanding ikan merah.
Taburan spesies Pinjalo pinjalo ini meliputi Indo-Pasifik Barat, Teluk Parsi hingga ke Teluk Papua New Guinea, utara ke Taiwan dan di perairan tropika termasuklah negara kita.
Spesies merah suman dewasa mendiami terumbu dan bahagian bawah batu. Mereka ditemui di kedalaman beberapa meter di terumbu karang terbuka. Di kebanyakan kawasan, mereka ditemui di perairan yang dalam dan biasanya 15 meter sehingga kedalaman 100 meter. Mereka memakan haiwan invertebrata benthic dan planktonik, dan mungkin ikan kecil.
Merah suman mampu membesar panjang sehingga 80 cm panjang namun saiz biasa yang berjaya dipancing sekitar 30 cm sahaja.
Sebagaimana ikan ikan merah, umpan yang biasa digunakan adalah isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, dan udang mati boleh digunakan untuk menjerat spesies ini.
Jenahak merupakan salah satu spesies ikan pancingan yang cukup dikenali di negara kita. Spesies ini merupakan antara spesies ikan yang menjadi idaman kepada mana-mana kaki pancing. Kehebatan tentangan di hujung kail spesies jenahak bukanlah merupakan sebab utama spesies air masin ini menjadi buruan, sebaliknya nilai komersial spesies Lutjanus johnii ini melonjak ialah dek kerana rasa isinya yang sedap.
Bagi pemancing yang mempunyai obsesi yang tinggi terhadap spesies ikan jenis snapper ini pastinya pernah mendengar gelaran seperti jenahak bantal atau bantal emas yang merupakan nama timangan khas ikan bersisik emas ini.
Biarpun tidak memiliki abiliti melawan yang luar biasa seperti spesies ikan sukan yang lain, mana-mana pemancing yang berjaya menaikkan si bantal emas ini pastinya merasakan kepuasan yang tersendiri. Ibarat sudah boleh tidur lena dengan ‘bantal emas’ tersebut.
Secara global, spesies jenahak dikenali dengan nama John’s snapper. Nama Golden snapper juga merujuk kepada spesies jenahak namun beberapa spesies snapper lain juga mendapat gelaran yang sama di sesetengah tempat.
Sesetengah kawasan seperti Australia menggelar spesies ini dengan nama Fingermark bream, merujuk kepada tanda tompokan hitam pada badannya. Selalunya, John’s snapper digunakan untuk merujuk spesies L. johnii yang besar atau dewasa sementara Fingermark bream merujuk kepada juvenil spesies ini.
Keadaan ini serupa dengan lapangan pancing kita dalam soal kekeliruan sama ada ikan jenahak dan ikan tetanda merupakan spesies yang sama atau berlainan. Jadi, dalam kekeliruan ini, dapat disimpulkan jenahak dan tetanda merupakan spesies ikan yang sama.
tetanda
TABURAN SPESIES
Pola taburan spesies jenahak boleh ditemui di kebanyakan kawasan perairan barat Indo-Pasifik. Golden snapper boleh ditemui bermula dari Afrika Timur hingga ke Fiji serta utara Pulau Ryukyu dan selatan Australia.
Di perairan Malaysia, spesies ini boleh ditemui di kebanyakan perairan dari kawasan muara hingga ke laut lepas. Bagi kaki pancing, spot memburu jenahak lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat terutama di sepanjang Selat Melaka.
Spot-spot berstruktur seperti kapal karam, kawah, lopak di laluan kapal Selat Melaka, batu karang antara spot pilihan kaki pancing mencari si bantal emas ini.
MORFOLOGI
Daripada segi morfologi luaran, spesies jenahak mempunyai warna badan yang agak memukau. Sisik ikan jenahak biasanya berwarna kuning perak hingga keemasan bergantung kepada persekitaran. Warna badannya akan bertukar kepada warna putih perak apabila dilihat pada bahagian bawah badan dan kepalanya.
Tompokan berwarna hitam pula dapat dilihat pada bahagian antara garisan lateral dan di anterior sirip dorsal lembutnya. Tompokan hitam ini biasanya bersaiz lebih besar daripada diameter matanya dan beransur pudar apabila dewasa. Bahagian dorsal kepalanya berbentuk sedikit curam hingga ke mulut. Duri pada sirip dorsalnya berjumlah 10 manakala jumlah pada dorsal lembut pula antara 13 hingga 14.
Spesies jenahak biasanya mampu membesar sehingga panjang 1 meter biarpun spesimen yang sering ditemui mempunyai panjang sekitar 50 cm. Beratnya pula mampu mencecah sehingga 10 kg dalam persekitaran yang ideal. Terdapat juga kekeliruan antara spesies L. johnii dan Lutjanus ehrenbergii namun pengelasan saintifik oleh Bock pada 1996 mengatakan keduanya merupakan spesies berbeza. L. ehrenbergii hampir menyerupai L. johnii, seperti ikan tetanda yang kita sering lihat. Namun garisan sisik dan warna spesies ini berbeza.
L. ehrenbergii
HABITAT DAN EKOLOGI
Habitat bagi spesies ikan tropika ini lebih tertumpu kepada kawasan berkarang dan juga kawasan perairan yang mempunyai struktur bagi jenahak dewasa. Bagi jenahak juvenil pula, lebih mudah ditemui di kawasan muara, paya bakau dan kadangkala boleh ditemui jauh hingga ke kawasan air tawar yang berarus. Jadi, spesies ini boleh dikategorikan kepada spesies ikan marin dan air payau (brackishwater) bergantung kepada tumbesarannya.
Spesies jenahak merupakan spesies ikan yang bersifat oceanodromous di mana spesies ikan begini merupakan ikan yang bermigrasi bergantung kepada kitaran hidupnya. Selalunya, migrasi jenahak berlaku ketika mengawan serta disebabkan kawasan pemakanannya. Oleh itu, terdapat pola taburan yang merata-rata spesies ini di kebanyakan perairan di seluruh dunia.
Dalam memburu mangsanya, spesies snapper ini akan memilih kawasan trofik berkarang lebih-lebih lagi kawasan perairan yang mempunyai turbiditi atau kekeruhan yang tinggi. Spesies ini juga boleh ditemui dalam kedalaman sehingga 80 meter.
Spesies ini yang menghuni ke dalam lebih 10 meter biasanya terdedah kepada kerosakan fizikal pada tisu badan iaitu Barotrauma yang menyebabkan pelampung (air bladder) dalam badannya terkeluar. Hal ini sering berlaku dan dapat dilihat terutama ketika aktiviti memancing.
DIET
Dalam rantaian makanan dalam persekitaran ideal, si bantal emas ini merupakan tertiary consumer, yang bermaksud pemangsa karnivor unggul yang menghuni carta teratas dalam piramid makanan. Ini bermaksud, jenahak dewasa merupakan ikan karnivor yang menjadikan karnivor lain atau pemangsa kedua sebagai mangsanya.
Diet utama bagi spesies ini tertumpu kepada ikan bertulang, ikan pelagik, udang dan ketam. Selain itu, organisma bentik atau zoobenthos seperti mysids dan cephalopod juga menjadi diet bagi spesies ini bergantung kepada kitaran hidupnya.
TAKSONOMI
Kingdom : Animalia
Phylum : Chordata
Class : Actinopterygii
Order : Perciformes
Family : Lutjanidae
Genus : Lutjanus
Species : Lutjanus johnii (Bloch, 1792)
Nama lain : Jenahak, Jenahak tanda, Jenak, Tetanda, John’s snapper, Golden snapper
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...