Secara morfologi luaran ikan gerepoh, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap. Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.

 

Kenali Gerepoh – Monster Keluarga Trevally!!

 

Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam. Sesetengah gerepoh juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.

 

Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan. Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.

 

Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral. Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan gerepoh tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.

 

Kenali Gerepoh – Monster Keluarga Trevally!!

 

Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulau-pulau timur Afrika dan di utara Jepun.

 

Gerepoh juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang. Juvenil pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.

 

Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun. Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.

 

Kenali Gerepoh – Monster Keluarga Trevally!!

 

Spesies dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya. Kawasan cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.

 

Di Malaysia, gerepoh bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak. Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.

 

Gerepoh merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, gerepoh umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.

 

Apabila dewasa atau matang, gerepoh mampu mencapai berat 200 lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian. Apabila dewasa, biasanya gerepoh akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.

 

Kenali Gerepoh – Monster Keluarga Trevally!!

 

Ketika memburu, gerepoh menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya. Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya. Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.

 

Diet utama gerepoh ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, gerepoh mampu bertukar lebih bengis dan licik. Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut gerepoh.

 

Selain itu, kelicikan gerepoh juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. Gerepoh bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI