
Memancing di sungai pegunungan atau kawasan terpencil sememangnya mampu mengundang bahaya kepada kaki pancing. Oleh itu wajarlah kita mempersiapkan diri dengan kelengkapan survival ini bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.
Pisau
Alat penting untuk aktiviti luar. Boleh digunakan untuk menyediakan makanan, membuat tapak khemah, dan juga boleh dijadikan alat pertahanan diri.
Lighter atau Mancis
Nak menyediakan unggun api dengan lebih mudah kita amat memerlukan alat ini. Kalau tak ada unggun api susah jugak nak bertahan dalam hutan.
Peti Kecemasan
Yang ni, kalau tak ada memang tak patut. Kecederaan boleh berlaku bila-bila masa. Jadi, sediakanlah payung sebelum hujan.
Tali
Tali amat penting kerana ia boleh membantu dalam pelbagai cara. Boleh digunakan untuk membina khemah dan juga amat berguna jika berlaku sebarang musibah yang tak diingini.
Wisel
Bila anda tersesat di dalam hutan, wisel amat berguna untuk membolehkan anda dikesan oleh penduduk sekitar ataupun pasukan penyelamat.
Tin atau Bekas Logam
Penting juga benda ni untuk masak air atau pun nak masak makanan. Macam periuk juga la… kalau tak ada periuk macam nak sediakan makanan.
Energy Bar
Kadang-kadang bila perut kosong sewaktu trekking boleh menyebabkan bahaya. Jadi lebih penting untuk kita sentiasa membawa protein @ energy bar setiap kali trekking di hutan atau sungai pegunungan.
Hammock
Hammock boleh menjadi tempat tidur yang lebih selesa jika memancing di hutan atau sungai pegunungan. Selain tempat tidur, ia juga boleh mengelakkan kita daripada haiwan berbisa yang mungkin ada di kawasan sekitar.
Plastik Sampah
Ha, yang ni paling penting dan wajib untuk kita bawa. Ingat, tiada majlis perbandaran yang akan buang sampah di hutan. Jadi ini mesti jadi tanggungjawab kita sendiri untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar. Ia boleh juga diubahsuai jadi baju hujan dan fly sheet.
Lampu Suluh
Lampu suluh amat penting jika anda memancing di waktu malam. Selain dijadikan sumber cahaya, alat ini juga berguna digunakan bila anda tersesat di dalam hutan.
Trip Retro – Cobia Buru Pecah Periuk!!

Permintaan sahabat akrab agar menguji bot pancing yang ingin dibeli dari seorang kenalan harus ditunaikan. Antara penjual dan bakal pembeli masing-masing meminta agar saya dapat membuat penilaian dan cadangan sebelum urusan jual beli termeterai.
Mulanya hanya merancang untuk ‘test run’ sahaja tapi timbul pula idea alang-alang pandu uji kenapa tak bawak pancing sekali, mana tau kalau tangan gatal dapat celup tali ke air pun jadilah. Kata sepakat test bot sambil layan jig. Komplot diatur sepintas lalu kerana kalau beria-ia pasti lain macam pula jadinya.
Uji Bot
Bot di parkir di jeti persendirian Kuala Lukut mempunyai kemudahan untuk akses serta pasang surut air tiada masalah untuk keluar masuk sepanjang masa. Bot yang sesekali digunakan ingin dijual oleh pemiliknya memandangkan lokasi pancing yang dikunjungi sekitar pesisir pantai.
Ketiadaan spot pancing serta masalah tekong yang kurang berani menerjah lokasi Zee Zone menjadi salah satu penyebab kenapa bot Cobia ini ingin dilepaskan oleh pemiliknya. Malah beliau turut memiliki 5 buah sampan berenjin 30 hingga 60 kuasa kuda dikira sudah memadai untuk memancing sekitar Kuala Lukut hingga ke Jimah Power Plant.
Pembeli baru pula bercadang untuk memindahkan bot dari Kuala Lukut ke lokasi baru di Pantai Timur. Sesuai atau tidak trip ujian bot ini bakal menjadi kata pemutus.
Bot Cobia dengan enjin kembar 115 kuasa kuda sedang diisi minyak ketika kami tiba di jeti. Setelah muatan barangan selesai, pemilik bot terus mengemudi bot dengan lancar menyusuri sungai Lukut hingga ke muka kuala. Kami berenam bergerak dengan kelajuan 22 knots menuju ke destinasi yang masih dalam samar-samar, atau kata lain hentam saja.
Pertama kali bersua dengan pemilik bot sudah nampak keramahan beliau dan kemudiannya membuka soalan “Kita nak ke mana ni?” Beliau tiada koordinat atau jigging spot di kawasan sekitar kerana aktiviti pancing dasar tepian jeti Jimah dan Shell lebih menjadi kepuasan buat dirinya.
Terjah Rumpai
Dengan bantuan GPS Maps kami terus pandu uji bot hingga sejauh 25 batu nautika iaitu kira-kira sejam perjalanan. Tatkala hampir melepasi laluan kapal hala ke Utara, kami terserempak dengan longgokan rumpai hanyut sepanjang susur arus pasang.
Ia berkemungkinan berpecah beberapa bahagian setelah dilanggar kapal dagang yang lalu lalang.
Setelah dihampiri kelihatan beberapa bayangan ikan di celah longgokkan rumpai hanyut tersebut. Saya kemudiannya memberi isyarat kepada semua untuk bersantai dengan sampah laut sekejap. Bayangan ikan pecah periuk jelas kelihatan sedang berselindung di bawah celahan rumpai hanyut.
Nasib baik ada beberapa ekor anak ikan tamban untuk dijadikan pembuka selera buat pecah periuk. Sementara jigger-jigger tegar pula menggunakan jig ringan yang dilekatkan octopus skirt pada mata kail. Gelaran Tekong Gelama yang pertama kali berpeluang merasai teknik memancing di sampah hanyut agak teruja kerana sesuatu yang baru buat dirinya.
Setelah diajar serba ringkas mengenai teknik menjerat pecah periuk, tamban yang dikerat-kerat dilontar di bawah apung rumpai.
Kejap sahaja nampak bayangan pecah periuk datang mendekati umpan kemudian terus meragut dan melarikan ia di bawah celahan rumpai laut. Saat bila umpan mula tidak kelihatan, tali pancing mula menegang barulah joran disentap.
Jigging Pecah Periuk
Leka bermain dengan pecah periuk dan pandu uji bot Cobia, sedar tak sedar jam sudah menghampiri 3 petang. Waktu keluar dari jeti sudah melepasi jam 10 pagi.
Masa cepat berlalu dan kali ini beri peluang pula kepada member yang berhajat untuk jigging. Tanpa koordinat dan pengalaman memancing di kawasan ini tentu sedikit kesukaran timbul mencari spot jigging terbaik.
Ketika itu kami berada di laluan utama kapal dagang. Sasaran diamati dan menilai faktor keselamatan terutama kawasan yang agak jauh dari alun kapal. Berpandukan kepada GPS Maps kawasan bertubir menjadi pilihan untuk kaedah slow jigging.
Dengan masa yang terhad, kami teruskan jigging sambil membiarkan tekong gelama dan pembantu menghulurkan umpan tamban ke dasar. Banyak juga yang harus dipelajari oleh tekong gelama untuk teknik berhanyut secara berkesan.
Mungkin selepas ini akan dibuat lawatan susulan agar ilmu memancing disalurkan dengan tepat dan meningkatkan lagi kepakaran mereka pada masa mendatang. Teknik dasar lawan teknik slow jigging di kawasan padang pancing yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.
Perbandingan boleh dibuat sekiranya ada tanda-tanda ketukan ikan di dasar, sama ada jigging atau tamban mati.
Masa berlalu, sambil berjigging dan menunggu sentapan ikan, pandangan masing-masing lebih tertumpu arah mentari condong ke Barat sambil tekong pula memandang arah selatan di mana kelibat kapal dagang menghala ke arah kami.
Sehingga jam 7 petang, teknik dasar dan slow jigging gagal membuahkan hasil. Umpan dan jig 160, 180, 200 dan 250 gram silih berganti dengan pelbagai warna, tapi ia bukanlah prasyarat untuk ikan meragutnya.
Kami terima hakikat lokasi berkenaan ikan ‘berpuasa’ seketika. Senja semakin menghampiri memaksa kami untuk menamatkan misi tanpa berbelah bagi. Bot meninggalkan destinasi dalam keadaan samar-samar malam menuju jeti berada kira-kira sejam perjalanan.
Di celah desingan enjin sangkut menderum, perut kami turut sama menyanyikan lagu nasi goreng USA bertemakan air sirap Bandung Kuala Lukut. Kepuasan hajat tercapai sebaik sahaja kedua menu tersebut berada di hadapan mata tanpa memikirkan lagi kenapa ikan buruan tidak berminat menjamah umpan. Yang penting kami tidak hilang selera.
Legenda Ikan Patin Sarawak

Kebanyakan masyarakat Melayu Sarawak leluhurnya adalah daripada negara-negara Nusantara seperti Indonesia dan yang lebih spesifik adalah leluhur yang berasal daripada Riau, Sumatera Barat.
Ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang memancing.
Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah.
Selama dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop telah melewati rumah orang tua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidupnya.
Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya.
Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.
Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat dan tetangga kedua merpelai telah diundang bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut.
Para undangan turut gembira menyaksikan kedua pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan. Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan saling menyayangi.
Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkannya sejak dari kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar.
Hingga berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih. Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan Dayang Kumunah kepada ayahnya. Ia pun kembali bahagia hidup bersama suami dan kelima-kelima anaknya.
Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya di serambi rumah mereka.
Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya, kecuali Dayang Kumunah.
Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya tetapi suaminya terus mendesak.
Akhirnya ia pun menuruti keinginan suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari belakang.
Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air.
Pada masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah pasrah.
Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat penyakit yang boleh membawa kepada kematian.
Awangku Usop dan anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas semua keturunan mereka selepas itu.
(Sumber : Borneo Oracle)
Fakta & Trivia Tentang Ikan ©

- Kebanyakan ikan tropika yang dijual di Amerika datangnya daripada Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
- Ikan mempunyai deria yang sangat baik termasuk deria penglihatan, sentuhan, rasa dan sesetengah ikan juga mempunyai deria bau dan deria dengar yang cukup baik.
- Paus biru merupakan mamalia berdarah panas yang bernafas dengan paru-paru. Panjangnya boleh mencapai 33 meter dengan berat 190 tan. Ia dipercayai haiwan terbesar yang pernah ada di dunia.

- Suara bersin paus biru boleh didengari sehingga 161 km jauhnya. Malah ia boleh mengeluarkan bunyi secara berterusan hingga 30 minit lamanya. Ia menggunakan suaranya untuk berburu dalam gelap di kedalaman dasar laut.
- Bunyi yang dikeluarkan oleh ikan hering berasal dari pancaran gas dari duburnya. Selain komunikasi antara ikan hering dengan yang lain, suara pancaran gas digunakan untuk menakutkan pemangsa.
- Ikan koi mampu berumur panjang sehingga 200 tahun.
- Ikan lumba-lumba telah digunakan sebagai pembantu peronda Angkatan Laut Amerika Syarikat sejak tahun 1960-an. Ikan ini menggunakan sonar biologi mereka untuk mencari objek tertentu.
- Ikan yu Harimau (Tiger Shark) dianggap binatang paling rakus. Ia memakan apa sahaja di sekelilingnya. Kajian pernah mendapati terdapat kasut, pinggan, hingga pecahan kelengkapan perang. Di dalam perut induknya, mereka saling melahap antara satu sama lain.
- Arapaima gigas, merupakan ikan air tawar terbesar di dunia. Ia boleh hidup sehingga 100 tahun dan banyak terdapat di Sungai Amazon.
- Walaupun ganas, Ikan piranha, biasanya menjadi makanan buaya Amazon dan juga burung bangau, terutama pada musim kemarau kerana banyak ikan ini akan terperangkap di lumpur.