Teknik pancingan trolling menjadi lebih berjaya sekiranya mengaplikasikan struktur gewang yang mampu dan berkebolehan berenang dengan pantas mengikut kelajuan bot. Jadi kami menggunakan gewang tundaan jenama Strike Pro Titan 14 cm untuk menewaskan si pemangsa ini.
Strike Pro Titan berkemampuan beraksi semula jadi secara berputar ketika di dalam air. Struktur badan penuh diperbuat dari jenis kayu balsa beri kelebihan pada gewang ini supaya tidak mudah pecah dan retak ketika dihentam kuat barracuda.
Jika mulakan pancingan pancingan di awal di tengah hari seelok-eloknya warna yang berkilau seperti emas dan perak dijadikan pilihan. Kami juga menjangkakan keadaan pastinya lebih sukar sekiranya tidak mengaplikasikan gewang yang berdiameter lebih besar.
Kelajuan Bot
Mengambil kira pengalaman trolling yang lalu, kelajuan bot kami tetapkan diantara 3 knot hingga 5 knot. Kami merasakan jika bot terlalu perlahan dan laju tidak sesuai untuk melakukan trolling kerana kurang berdaya saing dengan ikan sasaran iaitu barracuda. Justeru jika pemancing di luar sana ingin melakukan trolling, bot haruslah dipacu dalam kelajuan yang betul.
Untuk pancingan trolling, perkara yang harus dititikberatkan ialah kedudukan gewang yang kelihatan mudah dilihat dan spesies ikan sasaran yang ingin didaratkan.
Pemilihan Mata Kail
Barracuda dan juga tenggiri adalah jenis ikan yang gemar memburu mangsa secara menyambar dan laju. Satu perkara yang harus dititikberatkan lagi adalah pemilihan mata kail juga mestilah betul, iaitu kuat, lasak dan mudah hook-up.
Justeru kami menggunakan mata kail dari jenis “Big Game Hook” yang mana matanya menegak lurus ke pangkal. Ini kerana apabila ikan tersebut menyambar pada gewang mata kail akan secara terus sahaja mencangkuk pada ikan tersebut.
Mata kail jenis ini mempunyai daya ketahanan yang cukup lasak dan kuat. Malah tidak akan mudah melurus semasa hentakan mahupun hentaman yang kuat dan agresif dari ikan sasaran. Kekuatan mata kail haruslah 10 kali ganda anggaran berat ikan sasaran untuk menampung kuasa sentapannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Persediaan adalah amat penting bagi sesuatu trip, persedian bukan hanya dari segi peralatan memancing namun dari segi cuaca dan pasang surut air juga harus dititikberatkan. Memandangkan sekarang adalah musim peralihan monsun, maka kepekaan pemancing terhadap cuaca merupakan salah satu faktor penentu kejayaan sesuatu trip.
Kebetulan salah seorang dari ahli trip kami iaitu penulis sendiri berkhidmat di Jabatan Meteorologi Malaysia, maka penulis membantu dari segi tinjauan cuaca terutama berkenaan forecast, nowcast dan amaran cuaca semasa. Dari segi peralatan memancing kami memang sentiasa bersedia namun kami kerap menghubungi tekong bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan trip tersebut.
Bagi kaki jigging terutama di perairan Selat Melaka pasti tahu berkenaan pangkalan Persatuan Nelayan Teluk Kemang, di sini juga lokasi pertemuan kami bagi trip kali ini. Setelah membawa peralatan memancing naik ke atas bot, tepat jam 8.30 pagi, bot yang dipandu oleh tekong Apex Kecil membawa kami ke lubuk pertama iaitu lebih kurang 45 minit dari pantai.
Setelah melihat sonar serta kelajuan arus, tekong mengesyorkan kami menggunakan teknik fast jigging iaitu menggunakan metal jig seberat antara 60g hingga 100g bagi memburu tenggiri . Setelah hampir 30 minit mengunjun metal jig tiba-tiba rod Alang melengkung dan reel menjerit serta memuntahkan tali tanpa henti.
Kebijaksanaan tekong mengawal bot dan mengikuti larian si peragut jig membuahkan hasil apabila Alang berjaya mendaratkan seekor gerong belang seberat 4.3kg. Selepas aksi tersebut suasana menjadi sepi kerana tiada sebarang ragutan dari penghuni dasar dan tekong membawa kami ke lubuk yang lain.
Lebih kurang jam satu petang tekong membawa kami ke lubuk kapal karam, kami mempertaruhkan jig 80g hingga 150g dan ternyata ia disambut mesra oleh si talang. Suasana atas bot menjadi kecoh apabila terdapat pemancing memperoleh strike secara serentak dan tali pula bersilang antara satu sama lain.
Aksi akrobatik si talang untuk melepaskan diri juga sangat menghiburkan dan aksi tersebut juga menyebabkan kebanyakan dari kami putih mata kerana si talang berjaya melepaskan diri.
Jam menunjukkan hampir ke angka dua setengah petang namun seekor pun ikan target masih belum kami peroleh. Tekong membawa kami ke lubuk yang mempunyai karang di dasarnya dan kami mempertaruhkan jig seberat antara 80g hingga 150g.
Arus laut yang perlahan dan angin permukaan yang lemah membuatkan permukaan laut seolah hamparan permaidani biru yang luas. Jig yang diturunkan secara menegak tepat ke zone strike meningkatkan peratusan kami untuk strike dan ternyata ia sangat berhasil apabila dalam tempoh dua jam kesemua ahli dan tekong berjaya mendaratkan enam ekor bantal emas dan yang paling besar berskala 5.4kg.
Tepat jam enam petang tekong memaklumkan bahawa ini drift terakhir untuk trip ini, drift terakhir kami selama hampir sepuluh minit tidak mendapat sambutan dari penghuni dasar laut Port Dickson. Perjalanan balik ke pangkalan Persatuan Nelayan Teluk Kemang dimanfaatkan untuk berehat dan mengemas peralatan memancing.
Sampai di pangkalan Persatuan Nelayan Teluk Kemang hasil tangkapan dibahagi sama rata dan semua ahli trip tidur lena sebelah malamnya apabila tidur beralaskan bantal emas.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perairan Sedili sememangnya sudah cukup gah dengan pelbagai khazanah laut yang sentiasa membuat pemancing terigau-igau. Pelbagai spesies lautan yang berupaya melemahkan kepala lutut pemancing apabila bertarung dengannya.
Terdapat banyak spesies gred A boleh di pancing di perairan ini. Jika berkesempatan ke Sedili anda boleh cuba menerokai lubuk lubuk yang sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika kena cara dan waktunya.
Kemudahan bot-bot pancing di Sedili boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘darat & laut’. Bot darat membawa pemancing di kawasan sekitar Tukun Batu & Tukun Yu. Sesuai dengan namanya bot darat, servisnya adalah menduga lubuk lubuk sekitar 2 jam perjalanan dari jeti.
Walaupun tidak jauh dari pantai terdapat juga spesies ikan mega yang mampu membuat pemancing keletihan melawan asakan. Tenggiri, alu alu, aruan tasik, merah, ketarap malah yu kemejan sebesar budak 12 tahun pernah menjamah pancing sepanjang lawatan saya ke Sedili.
Kategori bot laut pula membawa pemancing jauh ke tengah sekitar Karang Ngah, Karang Long, Karang Laut , Pulau Aur dan Pulau Tinggi. Terdapat beratus-ratus lubuk ikan yang terbentuk disebabkan kapal karam, karang dan juga kawah dasar laut. Unjam-unjam persendirian yang dibuat sendiri oleh masyarakat nelayan Sedili juga banyak.
Semenjak kunjungan pertama saya ke Sedili hingga sekarang khidmat Tekong Mat Setia dan ayahnya Pak Aris memang menjadi pilihan utama saya. Ini adalah kerana kedua-dua tekong ini serta awak-awaknya Rambo dan Bobby tidak lokek ilmu, rajin dan sentiasa membuat perancangan rapi untuk memilih lubuk-lubuk yang berpotensi.
Lubuk Tenggiri
Tidak sah jika tidak mengaitkan Sedili dengan ikan tenggirinya. Lubuk seperti Karang Ngah dan Karang Long sememangnya amat terkenal dengan populasi tenggiri batang atau nama saintifiknya Scomberomorus commerson.
Spesies pemangsa ini seolah-olah bermastautin di sini kerana ia boleh di pancing sepanjang tahun. Banyak cara tenggiri batang ini boleh dijerat termasuklah dengan kaedah jigging atau mengunjun, namun cara paling popular di lubuk ini ialah dengan drift menggunakan umpan ikan kembong, tamban atau selar.
Kekili mendatar atau spinning boleh digunakan untuk kaedah drift. Penggunaan tali utama fluorocarbon amat sesuai disambung terus dengan coated steel 20lb sepanjang 6 inci. Dua bentuk mata kail Owner atau Gamakatsu (cutting point) mesti diikat pada coated steel itu.
Kebiasaannya tenggiri akan membaham bahagian kepala umpan dan kemudian barulah ia akan menelan semua umpan itu. Jika terasa halangan, tenggiri itu akan memuntahkan semula umpan. Sebab itulah kita selalu melihat umpan dihiris seperti pisau.
Selain itu tenggiri Sedili juga terkenal kerana kepandaian memutuskan tali utama ketika ia berenang laju menuju ke arah bot. Selalunya pemancing akan berhenti mengarau kerana menyangka ikan sudah terlepas. Ketika inilah tenggiri memutuskan tali utama.
Ebek Lubuk 60
Lubuk 60 diberi nama kerana kedalamannya iaitu lebih kurang 60 depa. Lubuk ini berbentuk kawah terletak berdekatan Tukun Yu. Di kalangan nelayan, lubuk ini terkenal dengan ikan ebek atau nama saintifiknya Alectis indicus. Ikan ebek ini sentiasa berlegar di sekitar lubuk mencari makanan. Diet utamanya sotong segar dan udang hidup.
Untuk memancingnya perambut mestilah panjang sekurang kurangnya 2 meter supaya umpan melayang cantik seolah melambai-lambai ebek untuk melahapnya.
Mata kail yang kukuh diperlukan kerana ebek akan memecut dan menjunam ke dasar di awal larian. Setelah letih ikan ini akan mengiring dan sesekali akan memecut membuatkan kita merasa amat letih untuk menaikkan ikan ini.
Set yang selalu saya gunakan untuk bertarung dengan Ebek ialah kekili mendatar Penn siri 50, rod PE 3-5, tali utama Power Pro 50lb dan perambut 3 meter suffix 40lb. Mata kail Gamakatsu saiz 3/0 berumpankan udang hidup kerap menjerat ebek di Lubuk 60. Selalunya ikan ini amat aktif pada sebelah pagi dan senja.
Banyak lagi spesies lain terdapat di perairan Sedili yang mampu memberikan debaran ketika cuba menawannya. Aruan tasik yang terkenal ganas, ikan jahan yang selalu meluruskan swivel Rosco, malah yu kemejan yang akan membuat kita terpaksa bergilir-gilir menahan renangan tanpa hentinya.
Sepanjang minat pancingan saya, Sedili banyak memberikan ilmu dan pengalaman praktikal yang tidak dapat dibeli di mana-mana kedai sekalipun.
Oleh: Fresh
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Lain padang lain belalang, lain pemancing lain minatnya. Ada pemancing yang minat pancingan air tawar, ada pemancing yang minat pancingan air masin.
Ada pemancing yang turun ke laut untuk berjigging, ada juga yang turun ke laut untuk pancingan dasar memburu ikan-ikan gred A.
Namun, jarang-jarang kedapatan pemancing turun ke laut semata-mata untuk memancing ikan-ikan kecil atau lebih mudah diistilahkan sebagai ikan lauk dengan teknik Apollo.
Apatah lagi trip tersebut hanya dilakukan oleh dua pemancing sahaja. Perjalanan darat berpuluh kilometer, bayar sewa bot mahal-mahal hanya untuk layan Apollo.
Namun bagi Farah dan anak gadisnya Ateqa, ia bukanlah sesuatu yang pelik.
“Saya tak minat pancing ikan besar… Penat nak tarik,” ujar Farah apabila ditanya kenapa memilih untuk melayan Apollo sahaja.
“Lagipun tak boring. Sekejap saja dah dapat ikan,” tambah Ateqa pula yang pada dasarnya ada benarnya juga.
Sememangnya ada keseronokan sendiri pancingan Apollo ini. Selain seronok dan tidak memerah keringat dan tenaga seperti bertarung dengan gerepoh atau layaran, pancingan apollo ini dapat melalaikan diri dari melayan rasa mual mabuk laut.
Dan yang pastinya pancingan Apollo hampir sifar peratus pulang dengan tangan kosong atau kumpau.
Sepadan dengan pancingan santai dan melayan Apollo sahaja, kelengkapan pancing yang dibawa oleh dua pemancing wanita ini sepadan dengan kaedah pancingannya.
Satu set joran mengilat dan dua set ultra ringan. Walaupun sekadar trip santai melayan Apollo, ada ketikanya Ateqa turut sama berjigging menggunakan set jigging milik tekong.
Khususnya apabila gerombolan ikan tongkol memasuki radius pancingan Apollo. Begitu juga apabila tekong menyandat sotong.
Ateqa turut sama mencubanya kecuali pancingan dasar sahaja beliau tidak praktikkan.
Sementara bagi pihak tekong yang bertanggungjawab, meskipun sekadar memancing ikan lauk, ia bukanlah satu tugas mudah.
Tekong tidak boleh sekadar berlabuh di hadapan mana-mana kapal yang berlabuh di kawasan kapal parking.
Tekong perlu bijak memilih kapal yang sudah parkir lebih dari seminggu kerana di kawasan kapal yang sudah lama parkir sahaja menjadi tumpuan ikan-ikan lauk seperti cencaru, selar, kembung dan selayang.
Kemudian, apabila hasil pancingan mula perlahan, tekong perlu berpindah mencari kawasan kapal lain pula.
Seperkara lain yang lebih menggembirakan dua beranak ini apabila kembali ke darat, sebahagian kecil ikan-ikan lauk ini akan dibawa ke restoran untuk dimasak.
Dan tiada masakan yang lebih enak berbanding ikan-ikan segar dari laut terus ke kuali.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...