Ikan boleh ditangkap dengan pelbagai kaedah. Penggunaan joran dan kekili adalah salah satu daripadanya. Dalam konsep menangkap ikan dengan menggunakan joran itu saja sudah banyak cabangnya.
Ada kaedah yang biasa-biasa dan ada juga yang suka menangkap ikan dengan kaedah yang boleh membahayakan diri sendiri.
Bowfishing
Memanah ikan atau aerial bowfishing menjadi antara cara ekstrem memancing ikan di Eropah. Ketidakupayaan mengawal spesies ikan kap yang memenuhi sungai-sungai mengancam spesies asal di sana.
Saban tahun mereka menjadikan acara menangkap atau memancing ikan kap sebagai antara cara mengawal spesies ini. Memburu kap menjadi lebih ekstrem dengan pengenalan teknik memanah ikan kap yang sering melompat ke permukaan apabila bunyi enjin bot melalui sungai di sana.
Hand fishing
Menggagau ikan dengan menggunakan boleh dikatakan aktiviti tradisional bagi masyarakat tempatan.
Namun di luar negara, menggagau diangkat ke satu tahap yang lebih ekstrem. Aktiviti ini lebih dikenali dengan nama handfishing atau noodling dan spesies sasaran biasanya dari keluarga catfish.
Dengan tangan kosong dan saiz ikan yang besar, aktiviti ini tidak lari daripada risiko kecederaan tangan.
Ads
Extreme Kayak Fishing
Bagi pemancing tempatan, pancingan kayak masih baru di kalangan kita. Di luar negara pemancing yang mahukan lebih cabaran menjadikan pancingan kayak sebagai platform yang lebih ekstrem dan kadangkala menjadikannya lebih berisiko.
Dengan lambungan ombak dan bertarung sambil ditarik oleh pemangsa besar seperti layaran atau jerung cukup menjadikannya antara cara ekstrem untuk memancing.
Surfboard Fishing
Apabila memancing, pemancing biasanya memancing dari dalam bot atau dari daratan, asalkan memancing dari lokasi yang lebih selamat.
Namun apabila diangkat ke satu tahap yang lebih ekstrem, pemancing mula memancing dari atas papan luncur. Hanya dengan beralaskan sekeping papan luncur di permukaan air dan set pancing, pemancing akan bertarung cuba menaikkan mangsanya.
Ads
Spesies yang lebih ganas berisiko mendatangkan bahaya dan kecederaan kepada pemancing.
Rock Fishing
Memancing dari pantai berbatu kelihatan seolah-olah teknik pancingan biasa. Namun tidak bagi sesetengah kaki pancing di Australia dan New Zealand.
Lebih dikenali dengan nama rock fishing, teknik ini memerlukan pemancing memancing dari tebing pantai berbatu. Risiko bahaya dan ekstrem teknik ini datangnya daripada ombak yang menghempas kuat daratan berbatu.
Cara memancing ini dikatakan meragut nyawa pemancing setiap tahun di Australia.
Ads
Spearfishing
Menembak ikan merupakan antara salah satu teknik dalam memancing. Biasanya kita didedahkan dengan menyelam dan menembak ikan air tawar.
Bagi cara memancing yang lebih ekstrem, pernahkah anda terfikir menembak ikan yang lebih besar dan ganas seperti barracuda, tuna malah jerung?
Lebih dikenali dengan terma spearfishing, terdapat segelintir yang menjadikan teknik ini antara cara memancing yang ekstrem dengan memburu mangsa di air masin. Memang antara cara ekstrim dan berisiko tinggi.
Dulu-dulu orang memancing dapat ikan. Sekarang kalau tersilap lubuk, memancing bukan dapat ikan tetapi dapat orang. Ini bukan lawak, tetapi kisah benar seperti yang terjadi suatu ketika di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.
Seorang nelayan turun ke laut jam 6.30 petang untuk mencari ikan. Sebelum memulakan rutin harian, dia menemui mayat seorang kanak-kanak yang seminggu sebelumnya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.
Tidak dapat dipastikan angkara siapa menyebabkan mayat kanak-kanak 6 tahun, yang telah reput terdampar di situ. Apa yang pasti kanak-kanak malang itu bukan yang pertama terapung di situ. Seperti yang dilaporkan media, banyak lagi mayat telah ditemui terapung di kawasan perairan tersebut.
Ini membuktikan bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan menjadi lebih ganas daripada binatang buas. Mereka sanggup membunuh, dan mencampakkan mayat mangsa ke dalam sungai atau laut.
Sekiranya sungai dan laut boleh bercakap, pasti mereka menyatakan keluhan dan sesalan di atas perbuatan biadab manusia. Rupanya semakin tinggi peradaban, dan semakin canggih kehidupan, manusia menjadi semakin singkat fikiran. Semakin bodoh dan zalim.
Sungai dan laut yang sejak azali menjadi sumber utama kehidupan, sudah semacam tidak dihargai. Banyak sungai kita diletakkan pada status tidak selamat sebab airnya telah dicemari oleh pelbagai bahan toksik. Usahkan hendak digunakan untuk minuman, untuk dibuat mandi pun sudah tidak selamat.
Sungai dijadikan tempat buangan sisa industri. Kekotoran kilang dan pembangunan di hulu sungai, akan mencemarkan air. Sebab itu air sungai yang dulunya jernih dan dingin, kini sudah bertukar warna. Ada warna teh tarik, malah ada warna kopi-O. Tidak ada siapa yang berani mandi manda, apa lagi untuk minum air seperti itu.
Tidak sahaja sisa industri, sungai kita juga dicemari seribu satu sampah saraf. Orang kita tidak sedikit pun menghargai sungai. Semua yang tidak dikehendaki akan didamparkan dalam sungai – dari tisu pengelap peluh, kulit pisang, kulit durian, lampin bayi, tuala wanita, coli buruk, seluar dalam buruk, pendek kata apa sahaja dibuang ke dalam sungai.
Malah, akhir-akhir ini sungai juga menjadi tempat membuang bayi! Selalu kita membaca berita mengenai penemuan mayat bayi di dalam sungai. Insan tidak berdosa yang masih bertali pusat itu terapung-apung di dalam sungai. Alangkah zalimnya manusia.
Sebab itu memancing di kawasan yang dulu terkenal dengan pelbagai jenis ikan, kini mungkin tidak banyak ikan seperti dulu. Sepanjang hari memancing, ikan tidak menyambar umpan. Puas dan lenguh – malah ada yang terlena – memegang joran, tidak ada ikan yang sudi menghidu mata kail.
Kalau nasib baik, ada yang menyentap mata kail setelah menunggu sekian lama. Bukan main bersemangat melayan ikan di hujung joran. Terasa seperti menarik ikan besar, mungkin bapak haruan, atau paling tidak pun anak toman.
Rupa-rupanya nasib baik menjadi tidak baik, apabila yang ditarik dan melekat pada mata kail bukan anak toman, jauh sekali bapak haruan, sebaliknya seluar dalam yang koyak dan usang. Ku sangka ikan, rupanya seluar dalam saiz XXL. Kalau seluar dalam wanita boleh juga rendam dan airnya boleh buat ubat jerawat!
Bukan sahaja seluar dalam, ada juga benda-benda lain yang tersangkut pada mata kail, termasuk coli wanita, tuala wanita, lampin bayi. Kulit durian dan baldi buruk pun tersangkut pada mata kail. Puas dan bersemangat menarik joran rupa-rupanya yang melekat pada mata kail hanyalah selipar jepun putus tali. Begitulah kotornya sungai kita sekarang!
Maka teringat saya pada Sungai Ring di kampung saya di hulu Muar. Zaman kanak-kanak dulu sungai ini adalah sumber utama kehidupan seluruh penduduk kampung. Setengah abad dulu kampung saya – juga kampung-kampung lain sejiran – tidak ada bekalan air paip. Sungai inilah sumber air utama.
Air sungai ini digunakan untuk minuman, masakan segala makanan. Air sungai ini juga untuk cucian dan mandian harian. Di sini jugalah saya dan kawan-kawan sekolah menjadi ‘Tarzan’.
Setiap kali pulang dari sekolah, kami berhenti di permandian. Lempar beg sekolah di tebing, tanggal baju, tanggal seluar, berbogel kami terjun ke sungai, mandi dan berendam hingga semuanya kecut.
Kalau nasib tidak baik, apabila terlajak menjadi Tarzan dan tiba di rumah lewat, emak akan berleter. Lebih teruk lagi sekiranya abah tahu, saya akan di sesak dengan tali pinggang atau rotan. Ada amaran dari abah:
“Kalau engkau mandi lagi di sungai tu, aku repot rumah pasung, biar polis tangkap engkau!”
Amaran demi amaran, tetapi saya tidak ambil pot. Pertama, saya tahu mana ada polis yang hendak menangkap budak mandi sungai. Kedua, kalau betul polis tangkap dan dimasukkan dalam lokap rumah pasung (balai polis) mesti tidak cukup lokap sebab ramai budak-budak mandi sungai.
Jadi, walaupun kena rotan, saya tidak pernah serik untuk menjadi Tarzan di Sungai Ring. Airnya yang jernih lagi dingin itu terasa segar betul meresap ke seluruh tubuh. Kalau rasa dahaga ketika mandi, teguk terus air sungai itu, walaupun ada teman-teman berkata:
“Ahhh, engkau minum air kentut aku!”
Di sungai itu juga penduduk mendapat sumber protein. Abah memasang lukah sebelah petang – umpannya biji getah yang direbus – dan sebelah pagi sebelum ke sekolah saya mengangkat lukah, gembira sekali melihat haruan, puyu, terbul menggelepar di dalam lukah. Sekali sekala masuk juga ketam air tawar, di tempat saya dipanggil ‘kertah’.
Ada juga yang menjala. Mula-mula taburkan umpan kepala parut yang ditumbuk dan digaul dengan ubi rebus. Campakkan umpan dalam air, sepuluh minit kemudian tebar jala, dan akan tersangkut terbul, tonjeng, anak baung atau sebarau.
Bagi pemancing pula, umpannya cacing atau telur kerengga, pasti tidak akan kecewa. Tidak sampai setengah hari menghulur joran, pasti pulang dengan toman, baung, malah kalau nasib baik dapat pula udang galah sebesar lengan budak.
Sekali turun memancing, cukup makan sekeluarga. Musim air besar, atau bah, ada ikan-ikan besar seperti tapah, ketutu. Tetapi, silap-silap gaya buaya pun ada!
Pendek kata Sungai Ring adalah sumber rezeki untuk penduduk setempat. Itu setengah abad dulu! Hari ini orang gila pun tidak sanggup menjadi Tarzan di situ. Sungai itu telah diluruskan. Pembangunan telah mencemarkan air sungai tersebut. Tidak lagi jernih, airnya kita keruh sepanjang masa, bertoksik dan tidak boleh diminum.
Pelbagai spesies ikan sudah pupus. Jangankan seluang dan kertah, buaya tembaga pun tidak sanggup hidup di sungai tersebut. Kalau ada haruan dan puyu pun warnanya sudah hitam legam seperti besi. Orang tidak berani memakan ikan di situ sebab mengetahui ikan di situ makan sekian banyak toksik.
Saya percaya kalau pasang lukah sekarang tidak ada haruan atau terbul yang masuk. Kemungkinan besar lukah akan dipenuhi lampin bayi, tuala wanita atau coli buruk.
Manusia tidak menghargai sungai, maka sungai pun tidak lagi memberi rezeki. Bayangkan sekiranya satu hari nanti semua sungai dicemari, di mana kita hendak memancing? Fikirkan dengan serius!
Memancing bukanlah satu ibadah namun ia bukanlah satu pekerjaan yang sia-sia. Malah dengan memancing juga kita boleh memperoleh berkah sekiranya melakukannya dengan cara yang betul.
Jangan lupa membaca Bismillah dan selawat ke atas nabi sebelum baling umpan atau memulakan aktiviti memancing.
Jangan terlalu bising semasa memancing umpama keadaan di temasya. Hormati persekitaran serta pemancing yang lain.
Jangan hebah-hebahkan kalau anda hendak pergi memancing, cukuplah sekadar memberitahu kepada rakan rapat dan ahli keluarga terdekat.
Jangan membangga diri dengan hasil tangkapan sebaliknya bersyukurlah kerana mungkin ada rakan yang tidak bernasib baik seperti anda.
Jika memperoleh hasil yang sedikit atau ikan kecil, bersyukurlah kerana itu rezeki yang diberikan kepada kita.
Jangan lupa bersedekah dengan hasil yang kita dapat. InsyaAllah kita akan memperoleh rezeki yang lebih bagus apabila memancing lagi.
Hasil tangkapan yang didapat hendaklah dihormati sebagaimana makhluk bernyawa yang lain.
Jangan menzalimi haiwan. Walaupun ikan yang ditangkap bukanlah ikan sasaran, jangan sesekali menzaliminya dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.
Niat memancing kerana untuk mencari rezeki. Dari situlah kita akan memperoleh keberkatan dalam memancing.
Jangan pergi memancing jika orang tua mahupun isteri tak merestui kerana restu sangat penting dalam memperolehi keberkatan.
Saya baru lagi kena benda ni, lokasi Puchong Jaya. Selangor. Nasib baik la member aku jerit-jerit nama aku, port lombong sebelah timur ada hutan kecik. Aku try je masuk pasal nampak dari belah barat, port nampak cantek. Dah sampai belah timur nak patah balik belah barat, parking motor belah barat lombong. Aku masuk hutan tu.
Nak balik pasal nak ikut tepi lombong tak boleh semak rimbun, aku masuk je dalam hutan tu. Aku pusing-pusing dekat 30 minit. Hutan tu bukan rimbun sangat adalah dalam 200 meter persegi. Rasa dah macam kena culik bunian. Nasiblah kawan jerit-jerit ajak balik baru sedar saya dah ada sebelah utara lombong tu. Bahagia je rasa bila dah nampak muka member yg nampak marah tu pasal dari tadi jerit-jerit ajak balik.
(Oleh: Rohman Mawet)
Penangan Menggasak Kaloi
Kes aku bersama kawan-kawan berlaku di Tasik Manong, Batu 3 Jalan Yong Peng. Kejadian di kaki Bukit Jintan. Masa tu tahun 90-an. Kita orang bergasak ikan kaloi berpuluh-puluh kilogram. Umpan udang kampung (udang bangkrok nama dia), kaloi dia besar-besar talam saiz dia. Setakat saiz-saiz pinggan tu kasi lepas je. Ikan sumbat dalam guni baja 50 kg penuh.
Kita orang pergi berenam. Ada sorang member ni siap bawak balik tunggul kayu. Tunggul tu sebijik rupa ikan kaloi. Ikat kat belakang motor. Kita orang memang tak tau dia ambik tunggul tu untuk bawak balik! Akibatnya… ambik kau!
Hampir empat kali pusing-pusing kita orang tetap jumpe jalan yang sama. Aduhhh… kompom sesat ni tak pun kene tutup jalan. So kita orang meeting la… tiba-tiba aku terpandang tunggul tu!
Aku cakap nak buang tunggul tu dia cakap baik buang ikan daripada buang tunggul tu. Tapi aku berkeras jugak… setelah aku ambik dan buang jauh-jauh, Alhamdulillah. Sekali round je… rupa-rupanya jalan nak keluar tu sebelah aje rupenya… wakakakaka. Selamat!
(Oleh: Mohd Zamza Mohd Zamza)
Sesat Belakang Rumah Je
Ado la satu cerito… tapi kelakarlah jugak. Poie ngonjon haruan dengan 3 orang kawan ni. Port ea dalam hutan belakang rumah sorang brader ni. Mintak la dio tunjukkan jalan ko port tu. Bilo dah sampai kita orang pun mulolah mancing dan brader ni cakap nak balik.
Tak lamo lepas tu… dio pusing balik mintak den hantar kan sobab sosek tak jumpo jalan walhal topek tu betul-betul belakang rumah dio jo. Polik ko tak polik tu… hahaha.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...