Tidak kiralah sama ada sengat pari, sembilang, baung atau apa-apa lagi ikan yang bersengat… ceritakan kepada kami pengalaman berdenyut anda itu. Sekurang-kurangnya ia menjadi teladan kepada pemancing lain agar berhati-hati ketika memancing ikan jenis bersengat ini.
“Sengat sembilang pernah kena… sembilang usat pun pernah. Tambah-tambah lagi time Maghrib pulak kena, memang padu teruk la. Sembilang punya penangan pulak memancut darah macam kes jenayah. Hahaha…”
AMIRUL RASYID ABD AZIZ
“Pernah kena sengat sembilang masa nak buka mata kail. Time zaman-zaman hero dulu buka pakai tangan je… sekali melekat kat jari daa. Dah cabut semua… try ikut petua orang gigit ekor ikan tu. Time tu bukan takat gigit ekor je… siap gigit separuh lagi tak dan jugak tetap sakit. Lepas tu nak dikencingkan tapi air tak mau keluar pulak dah. Terpaksa suruh member kencingkan.
Tak fasal-pasal kena kencing hidup-hidup dengan member. Sudahnya ke klinik jugak. (Pesanan khidmat masyarakat dari saya… standby la playar kalau pergi memancing).”
HARRACE FADYLA
Ads
“Semilang punya penangan 3 hari 3 malam aku tak tau perubahan siang ke malam, malam ke siang. 6 kali injection pun tak jalan. Rasa macam nak kerat je jari. Kebas sampai la ni padahal dah berbulan-bulah dah kenanya. Finally doktor sahkan jari aku takleh kembali normal. Nampak tak power tak power semilang.”
AZMI AZRIEL FARHAN
“Haha… saya pernah kena sengat ikan sembilang sampai bengkak kaki. Nasib baik sepupu berpengalaman. Sepupu saya ikat tali kat paha tak nak bagi bisa naik smpai atas. Dia letak air bateri kereta dekat tempat kena sengat. Sakit cuma Allah je yang tahu… tapi dalam masa sehari bengkak tu surut. Alhamdulillah sembuh.”
AIDIL AKMAL
Ads
“Aku pernah kena sengat sembilang kampung je. Besar jari telunjuk je ikannya. Tapi time habis mancing dan nak balik, tangan dah tak boleh nak bawak motor. Nyut nyut nyuuutttt rasanya!”
KHAIROL ANUAR LATIP
“Kena duri ikan belukang. Terpacak kat jari. Mungkin dah tertusuk sampai tulang jari kot. Makan masa 3 bulan jugak baru hilang rasa sengal dengan kebas kat area kena tusuk tu.”
ZARIFF RAZALI
Ads
“Pernah kena sengat dengan ikan kitang. Sekali kena terus nyut-nyut. Tak tahan sangat… kencing terus kat tangan. Lepas tu rendam dalam air laut… Alhamdulillah. Lepas tu mula dah kurang sakitnya.”
HAFIZ SHAFINAS
“3 hari tengok jiran duduk cabut rumput kat laman rumah dia. Tanya apa pasal rajin sangat. Dia kata kena sengat sembilang. Tak boleh duduk diam tangan berdenyut-denyut… Hahaha. Tak sangka pulak sengat sembilang ni boleh buat orang jadi rajin.”
MARWAN DLUFFY
“Rasanya semua jenis ikan dah kena sengat kecuali pari. Sakit tu je nak kabo… kena ibu sembilang sampai habis makanan dalam peti ais mak aku, aku makan.”
KHARUL RIDZUAN ISMAIL
”Nak share satu petua… kalau kena sengat cepat-cepat belah perut ikan tu ambil hempedu ikan dan letak pada tempat yang kena sengat. Insha-Allah… tapi kalau ikan laut tak tau la. Hehehe… setakat ni try ikan sungai je.”
FADHYL WAN
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Macam-macam kejadian dan insiden yang berlaku dalam aktiviti memancing hari ini. Malah kejadian yang meragut nyawa pun bukan sedikit terjadi. Tak terkecuali kejadian samun. Bagi mengelak kejadian ini menimpa pada diri korang, di sini kami sediakan sedikit tip untuk mencegahnya.
Survey Port Dulu
Jangan terus memancing apabila menemui sesebuah padang pancing yang belum pernah anda pancing sebelumnya. Apatah lagi jika di lokasi tersebut tidak kelihatan pemancing lain yang memancing di tempat tersebut.
Jangan Mancing Solo
Seboleh-bolehnya jangan memancing secara bersendirian walaupun di lokasi yang biasa anda pancing dan dianggap kawasan selamat. Bila keadaan terdesak, penyamun tak mengira lokasi lagi dah.
Elak kawasan terpencil
Elakkan dari memancing di kawasan terpencil atau terlindung dari pandangan orang walaupun di lokasi tersebut ada pemancing lain yang memancing, namun pemancing lain tidak dapat melihat kedudukan anda di kawasan tersebut.
Keselamatan Kenderaan
Jika boleh, pilihlah spot memancing yang tidak jauh dari tempat anda memarkir kenderaan. Dalam pada masa yang sama anda turut dapat memantau status keselamatan kenderaan juga.
Mancing Malam
Elakkan memancing waktu-waktu sunyi seperti tengah malam atau terlalu awal pagi serta ketika tidak pemancing lain yang memancing pada waktu tersebut.
Jangan terlalu renggang
Sebaiknya juga jangan memancing terlalu jauh dengan pemancing lain walaupun hanya memancing di kolam berbayar. Ini kerana kejadian samun turut berlaku di lokasi memancing seperti ini.
Bawa senjata
Bawa senjata untuk mempertahankan diri terutamanya jika memancing di kawasan yang berisiko atau terdedah kepada sebarang aktiviti jenayah.
Jangan Leka
Jangan terlalu fokus terhadap memancing dan mengabaikan sebarang aktiviti berhampiran terutamanya kehadiran seseorang yang mencurigakan. Apatah lagi seseorang yang tidak kelihatan seperti seorang pemancing.
Biar nampak selekeh
Jangan kelihatan terlalu mewah ketika memancing kerana secara tidak langsung sebenarnya ia mengundang untuk disamun. Biarlah kelihatan selekeh kerana penampilan tersebut lebih selamat.
Pisahkan dokumen penting
Bawa dokumen dan barangan yang penting sahaja ketika memancing. Jika perlu pisah-pisahkan barangan dan dokumen tersebut. Jangan simpan kesemuanya dalam dompet.
Pada tahun 2012, World Wide Fund for Nature (WWF) telah mencadangkan beberapa cara untuk memelihara sumber perairan umum seperti berikut.
Pastikan Peraliran Sungai Berterusan
Perairan sungai terhalang (fragmentation of rivers) adalah faktor utama kemusnahan biodiversiti dan perikanan. Ini kerana masalah ini boleh menjejaskan kelajuan perairan sungai dan turut menjejaskan kualiti habitat itu. Pemelihara perairan sungai dan sambungan sistem perairan umum adalah penting untuk kepelbagaian hidupan akuatik.
Melabur Dalam Penyelidikan
Banyak aspek dalam sumber perairan umum dan individu yang terlibat masih belum dikaji dengan teliti. Hasil dapatan kajian-kajian itu adalah sangat penting bagi pihak berkuasa menghasilkan dasar, polisi dan peraturan yang berkesan.
Menguruskan Habitat Ikan Dan Stok Ikan
Habitat ikan merupakan asas bagi perikanan yang produktif, tetapi banyak habitatnya telah dimusnahkan atau diubah. Usaha untuk memulihkan dan pertambahan habitat akuatik adalah penting. Selain itu, usaha pengurusan stok ikan melalui nurseri dan pelepasan stok ikan yang lebih matang ke habitat juga adalah wajib diteruskan.
Membentuk Pakatan, Melibatkan Komuniti
Kepentingan penduduk di kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada sumber perairan umum boleh terlepas pandang dalam proses perancangan pembangunan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu. Dengan ini, mereka perlu ada wakil untuk menyuarakan pandangan mereka dan yang mampu membawa impak atas keputusan yang dijanakan.
Perancangan, Perundangan, Pelaksanaan, Dan Penguatkuasaan Yang Berkesan.
Prinsip-prinsip yang digariskan di atas semua memerlukan undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan, dan memerlukan semua bidang dasar yang berkaitan, termasuk pengurusan perikanan dan sumber air, peraturan pemasaran, kebajikan penduduk persekitaran, dan perlindungan alam sekitar. Proses perancangan perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan dan menangani isu-isu pada skala yang sesuai, dengan mengambil kira kesan kumulatif daripada perubahan.
Kesimpulan
Ramai percaya bahawa di mana ada air, di situ ada ikan. Tetapi, ini telah terlepas pandang bahawa hidupan akuatik adalah rumit dan sangat sensitif terhadap keadaan air. Kelajuan aliran air, kualiti air, suhu air, dan sambungan sungai dengan sungai lain, tasik, dan tanah bencah adalah sangat penting bagi hidupan akuatik.
WWF International pernah menyatakan bahawa perlindungan hanya atas tanah bencah dan sungai-sungai tertentu sebenarnya masih tidak cukup untuk memelihara kepelbagaian hidupan akuatik; usaha pemeliharaan harus dilakukan dengan menyeluruh, dan kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan.
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...