Dalam taksonomi pengkelasan saintifik, sotong dikelaskan di dalam kumpulan Cephalopoda, subclass Coleoidea, dan order Teuthida.
Terdapat dua suborders yang utama iaitu Myopsina dan Oegopsina. Oegopsina lebih merujuk kepada kumpulan sotong gergasi atau giant squid.
Teuthidia merupakan order cephalopod terbesar iaitu sekitar 300 spesies di dalam 29 famili.
Para saintis mengandaikan terdapat lebih kurang 200 spesies sotong yang masih belum dikenal pasti.
Secara umumnya sotong mempunyai lapan lengan dan dua tentakel. Ada juga jenis sotong yang mempunyai 10 lengan.
Tentakelnya berfungsi untuk menangkap mangsa dan pegangannya dikukuhkan lagi dengan bantuan lengan.
Setiap lengan dan tentakelnya mempunyai tiup penyedut bulat yang bertindak sebagai penyedut yang menguatkan pegangan.
Lengannya akan membantu menghalakan mangsa ke arah mulut. Kesemua lengannya bersambung terus ke bahagian kepala.
Pada bahagian kepalanya terdapat sepasang mata yang besar. Mata yang besar memudahkan ia untuk mencari makanan dan mengesan musuh.
Sotong agak menyerupai ikan berdasarkan bentuk badannya serta mempunyai sepasang sirip renang di hujung badan.
Gabungan tiub tubuh dan siripnya yang aktif memberikan kelebihan kepada sotong untuk memecut dan berhenti secara tiba-tiba.
IKLAN
Salah satu keistimewaan sotong ialah memiliki pasi atau simpanan dakwat hitamnya. Selalunya sotong memancutkan dakwatnya apabila ia rasa terancam.
Jika pancutan dakwatnya terkena mata, ia akan mengakibatkan pandangan kita menjadi kabur dalam beberapa minit.
Dalam tempoh berkenaan sotong sudah mampu untuk melarikan dari dari musuhnya. Ada spesies sotong yang mampu mengawal pancutan dakwatnya untuk dilepaskan sedikit demi sedikit secara berulang-ulang.
Antara keistimewaan lain sotong ialah kewujudan chromataphores yang membantu sotong untuk menyamar mengikut warna persekitarannya.
Chromataphore juga berfungsi semasa ritual mengawan. Semasa proses menyamar, Chromataphores pada badan sotong akan menghasilkan cahaya maya yang menarik minat ketam dan ikan-ikan kecil untuk menghampirinya.
Majoriti sotong mempunyai panjang badan tidak lebih dari 40cm (24 inci). Giant squid pula mampu mencapai panjang sehingga 14meter.
IKLAN
Sotong yang paling besar mampu mencapai berat sehingga 1,000 paun. Sotong Humboldt yang ganas mampu menyerang ikan jerung untuk dijadikan makanannya.
Sotong bernafas menggunakan insang seperti ikan dan kebanyakkannya mampu hidup selama tempoh lebih kurang setahun.
Sotong suka hidup di kawasan panas dan hanya sedikit hidup di kawasan yang sejuk dan dalam.
Menurut saintis, sotong merupakan satu spesies yang boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kualiti air laut. Sotong dikatakan tidak boleh hidup di kawasan yang tercemar.
Kawasan yang mengandungi sotong menunjukkan kualiti air di kawasn berkenaan adalah baik. Sotong hidup secara berkumpulan dan berpindah randah.
Sotong akan mengikuti pola pergerakan makanannya. Ia akan berhenti di kawasan yang selamat dan mempunyai makanan yang cukup.
IKLAN
Sotong juga berhenti di sesuatu lokasi untuk bertelur tetapi tempoh persinggahan berkenaan tidak lama.
Perubahan cuaca terutamanya pemasanan global boleh merencat pertumbuhan dan pembiakan sotong.
Sotong dapat mencerna makanannya dengan baik di kawasan sederhana panas. Pertambahan suhu akan merendahkan kemandirian sotong untuk hidup dan membiak.
Pemanasan global juga akan menghadkan kewujudan makanannya seperti anak-anak ikan, udang dan ketam.
Taksonomi:
Kingdom: Animalia
Phylum: Mollusca
Class: Cephalopoda
Order: Oegopsida
Suborder: Myopsina dan Oegopsina
(sumber: sotonglaut.blogspot.com)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
INFO TRIP
Jumlah ahli : 9 orang
Jumlah sampan : 3 orang (kapasiti 5 termasuk boatman, jurumudi dan 3 pemancing)
Kos keseluruhan: RM 13,000
Tempoh: 4 hari 3 malam
Sasaran: Kelah merah, kejor, sebarau, baung
Tip: Tubuh badan perlu sihat, mampu mengharungi air dan merentas denai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pelbagai acara telah disusun oleh Prepat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd dalam penganjuran International Agro Farm 2018, bermula pada 29 Oktober hingga 4 November nanti.
Di antaranya adalah khemah-khemah jualan sebanyak 60 khemah dan 30 food truck, acara sukan lasak ATV, bot berhias, aktiviti menunggang kuda, zumba dan senamrobik serta petunjukan bunga api di setiap malam selama 7 hari berturut-turut.
Beberapa acara pertandingan juga telah disusun seperti pertandingan memancing yang dijangka akan disertai lebih 700 orang pemancing.
Juara bagi pertandingan memancing ini akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 18,000.00.
Selain daripada itu pertandingan karaoke, pertandingan memasak dan gubahan, serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak juga akan dijalankan.
Sebagai simbolik pertandingan memancing yang akan dijalankan pada 3 November nanti, majlis pelepasan ikan air tawar di tasik Taman Rekreasi Sementa, Perpat Resort Agro Farm
(M) Sdn Bhd telah disempurnakan oleh YB Puan Dr. Daroyah Alwi, Ahli Dewan Negeri Adun Sementa diiringi oleh Pengarah Urusan Perpat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd, Dato’ Murad Khalib.
Bagi penggemar aktiviti memancing yang berminat untuk menyertai pertandingan ini nanti bolehlah menyediakan umpan ikan rohu berikutan kesemua spesies yang dilepaskan adalah spesies ikan rohu dalam anggaran berat 1-3 kilogram.
Namun itu tidaklah memberi makna ikan rohu terberat akan muncul sebagai juara berikutan sudah sekian lama spesies ikan lain yang lebih besar seperti ikan patin mendiami tasik tersebut.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
SHARK DODOO ANGLERS merupakan group memancing yang menghimpunkan pemancing hampir dari serata negeri.
Objektif utamanya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli serta berkongsi teknik dan kemahiran memancing.
Atas tujuan itu, penganjuran pertama trip memancing Shark DoDoo Anglers telah diadakan pada tahun lepas (8 dan 9 September 2018) dengan mempraktikkan sepenuhnya teknik light jigging.
Event ini melibatkan dua buah bot dengan penyertaan seramai 12 orang.
Bagi menjadikannya sebagai aktiviti tahunan, penganjuran kali ke-2 telah dirancang. Penyertaan ahli juga semakin bertambah.
Maka pada 27-28 April 2019 telah berlangsungnya penganjuran siri ke-2 trip memancing Shark DoDoo Anglers di Rompin, Pahang melibatkan penyertaan seramai 19 orang dengan 3 buah bot.
Pada sebelah petang 26 April kebanyakan daripada kami mula sampai di Kuala Rompin, Pahang. Kebanyakan daripada kami adalah dari daerah dan negeri yang berbeza.
Ada yang datang dari Pengkalan Hulu, Perak, Johor, Nilai N.Sembilan, Melaka, Kelantan, Selangor & Kuala Lumpur.
Kami menginap di salah sebuah homestay yang tidak jauh daripada jeti Tok4, Rompin. Jeti di mana kumpulan kami akan berkumpul pada keesokkan harinya.
Jeti ini sememangnya tidak asing bagi pemancing yang pernah turun memancing di Kuala Rompin.
Aktiviti pada malam tersebut adalah mempersiapkan dan memperkemaskan kelengkapan memancing. Kemudian undian telah dibuat untuk menentukan bot masing-masing.
Alhamdulillah sepanjang 2 hari kami bersama, ada juga hasil untuk dibawa balik. Berdasarkan potensi yang memberangsang, Shark DoDoo Anglers bercadang untuk melangsungkan edisi ketiga tahun 2020 akan dibuka untuk penyertaan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...