Semasa menetap di Taman Perling, yang mana mana rumah pula berhampiran sungai Skudai, saya kerap memancing dengan menggunakan bot menduga perairan Selat Tebrau.

Begitu juga kawasan-kawasan berhampiran seperti Gelang Patah yang mana banyak terdapat spot untuk memapancing. Salah satunya berhampiran Pulau Serimbun hingga ke jambatan laluan Link Kedua Tuas.

 

Sekitar lewat tahun 90-an ramai pemancing dari Tebing Runtuh, Gelang Patah, telah berjaya memperolehi beberapa ekor tebal pipi dengan agak mudah setelah seharian memancing.

Saiz purata sekilogram hingga 3 kilogram di perairan Selat Tebrau iaitu berhampiran dengan Pulau Serimbun ke Jambatan laluan Link Kedua Tuas.

 

Kawasan ini juga merupakan sempadan antarabangsa antara dua negara iaitu Singapura dan Malaysia. Berhampiran Pulau Serimbun terdapat paluh atau laluan yang agak dalam.

Kawasan paluh tersebut adalah berpasir dengan dasar mendatar di sepanjang perairan selat tersebut dan mempunyai kedalaman sekitar 15 hingga 35 meter.

 

Waktu paling sesuai untuk memancing ialah ketika air gerak pasang dan gerak surut dengan umpan udang hidup atau udang mati segar.

Terdapat pelbagai spesies di kawasan ini seperti ikan karang, talang, barracuda, pari, mayung, siakap dan banyak lagi.

IKLAN

 

Pulau Serimbun juga mempunyai potensi untuk memancing spesies tebal pipi ini sewaktu air bani atau air mati dan jika kegiatan menjaring dikurangkan maka baki yang tinggal akan menjadi habuan pemancing yang biasanya menggidamkan pelbagai spesies ikan yang besar-besar.

 

Nama tebal pipi mungkin adalah satu nama spesies yang jarang didengari di kalangan pemancing baru. Apatah lagi bagi pemancing terus memilih teknik jigging di laut luas dan tidak pernah mencuba pancingan muara dan estuari.

 

Saya sendiri pada awalnya agak sukar untuk membayangkan rupa spesies ikan yang dikatakan mempunyai pipi tebal ini.

Saya tidak dapat bayangkan sebesar manakah pipi yang dikatakan tebal atau muka yang dipanggil ‘tembam’ atau pipi yang montel. Kerana sifat pipinya maka ikan ini mendapat namanya.

IKLAN

 

Info Spesies : Kenali Ikan Tebal Pipi

 

Ikan tebal pipi atau javelin grunt / longhead grunt dalam panggilan antarabangsa dan nama saintifiknya Pomadasys auritus boleh dipancing sepanjang waktu namun ia lebih senang dicari pada bulan November hingga April.

Berdasarkan pengalaman saya ia adalah waktu yang paling baik untuk memperolehi spesies ini.

 

Tebal Pipi boleh ditemui di kedalaman air sehingga 60 meter. Muara sungai dan pesisir pantai yang dalamnya lebih dari 10 meter juga menjadi pilihan spesies yang mempunyai pipi kiri dan kanan yang tebal dan keras ini.

IKLAN

Jarang didengari ia bejaya dipancing pada kedalaman kurang dari 3 meter kerana sifat ikan tebal pipi ini gemar kepada air yang lebih dalam.

 

Sekiranya kualiti air bersih atau jernih di kawasan dasar, warna terutama di bawah perutnya lebih kuning dari bahagian badan yang lain kerana sisik yang bertindak balas dengan air persekitaran.

la lebih gemar kepada kawasan dasar berpasir dan kadang-kala merayau di kawasan batu karang kecil atau berkelompok kecil di kawasan berpasir sesuai dengan tabiatnya mencari makanan di dasar.

Dipercayai, spesies ini lebih banyak terdapat di Pantai Barat semenanjung.

 

Info Spesies : Kenali Ikan Tebal Pipi

 

Sumber : Zulkifflee Hussin

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI