Ikan merah suman yang dikenali dengan nama umum Japanese red sempena warna merah badannya (warna merah bendera Jepun?) merupakan ikan bergred tinggi yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae (snapper) sama seperti ikan jenahak dan merah lainnya. Nama saintifik bagi spesies idaman penggemar pancingan dasar laut dalam ini ialah Pinjalo pinjalo.
Berbanding ikan merah lainnya, merah suman nyata sedikit berbeza dengan bentuk corak kepalanya yang lebih bulat. Namun Ikan ini tinggal di kawasan lubang dan struktur karang bersama dengan ikan merah. Dikatakan Ikan ini lebih sedap berbanding ikan merah.
Taburan spesies Pinjalo pinjalo ini meliputi Indo-Pasifik Barat, Teluk Parsi hingga ke Teluk Papua New Guinea, utara ke Taiwan dan di perairan tropika termasuklah negara kita.
Ads
Spesies merah suman dewasa mendiami terumbu dan bahagian bawah batu. Mereka ditemui di kedalaman beberapa meter di terumbu karang terbuka. Di kebanyakan kawasan, mereka ditemui di perairan yang dalam dan biasanya 15 meter sehingga kedalaman 100 meter. Mereka memakan haiwan invertebrata benthic dan planktonik, dan mungkin ikan kecil.
Ads
Merah suman mampu membesar panjang sehingga 80 cm panjang namun saiz biasa yang berjaya dipancing sekitar 30 cm sahaja.
Sebagaimana ikan ikan merah, umpan yang biasa digunakan adalah isi ikan, hirisan sotong, umpan hidup, dan udang mati boleh digunakan untuk menjerat spesies ini.
Ads
Taksonomi:
Kingdom : Animalia
Phylum : Chordata
Class : Perciformes
Family : Lutjanidae
Genus : Pinjalo
Species : Pinjalo pinjalo
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Siakap merah atau kakap merah yang lebih dikenali dengan nama umum mangrove jack (MJ) atau mangrove red snapper tergolong dalam genus Lutjanus dan keluarga besar Lutjanidae dengan membawa nama saintifik, Lutjanus Argentimaculatus. Ikan siakap merah juga merupakan salah satu spesies daripada keluarga snapper (sebagaimana ikan merah dan jenahak). Justeru itu dapat diperhatikan siakap merah mempunyai gigi taring yang menonjol di rahang yang digunakan untuk menangkap dan menahan mangsa.
Mengikut data taburan spesies, ikan ini merupakan spesies natif di Lautan India dan barat Lautan Pasifik. Taburan ini termasuk di perairan di Afrika sehingga ke Samoa. Selain itu spesies ini turut boleh ditemui di perairan Australia, di kawasan Asia dan Asia Tenggara.
Daripada aspek morfologi, bagi siakap merah, warna pengenalan pada badannya sudah tentu berkisar dalam tona warna merah. Begitu pun, warna badan ikan siakap merah boleh berubah mengikut keadaan persekitaran. Bagi siakap merah, tona warna badannya boleh dilihat daripada warna seperti oren terbakar, sedikit warna perak sehingga ke warna coklat kemerahan bergantung kepada usia dan persekitaran.
Biasanya, ikan siakap merah yang ditangkap di kawasan muara akan mempunyai warna badan yang lebih menonjol berbanding yang ditangkap di luar kawasan pantai.
Daripada aspek habitat dan biologi pula, sesuai dengan nama mangrove jack, ikan siakap merah biasanya boleh ditemui di kawasan sistem muara yang mempunyai banyak pokok bakau. Pun begitu, spesies ini akan turun ke kawasan luar pantai apabila tiba masa untuk mereka bertelur. Malah dalam sesetengah keadaan, spesies ini turun sehingga beratus kilometer ke tengah laut untuk membiak sebelum naik semula ke muara dan sungai-sungai.
Siakap merah merupakan spesies karnivor, lantas menjadikannya antara ikan pemangsa utama di dalam rantaian makanan. Ikan siakap merah biasanya memburu ketika waktu malam dengan sasaran utamanya ialah ikan lain, krustasea, gastropoda dan molluska.
Pemangsa ini juga gemar menggunakan taktik serangan hendap ketika memburu makanannya. Mereka sering menjadikan akar bakau, kayu besar, batu dan mana-mana kawasan berhalangan lain sebagai tempat buruan utamanya keran kebanyakan ikan kecil akan berlindung di sini.
Siakap merah merupakan spesies yang cerdik dan pasti akan mencari kawasan berstruktur dalam usaha melepaskan diri. Apa yang pasti, larian seekor Mangrove Jack dewasa mampu membuatkan pemancing merasai adrenalina tulen lariannya dan jika berjaya mendaratkannya, pastinya menjadi kepuasan peribadi.
Siakap merah merupakan spesies yang dikatakan oportunis dan makan hampir apa sahaja. Bagi pemancing, umpan yang boleh anda cuba termasuklah udang, ketam atau ikan kecil. Biasanya siakap merah akan menyerang mangsanya melalui kepala jika umpan agak besar. Bagi siakap merah yang dewasa berhadapan dengan umpan seperti udang, biasanya spesies ini akan terus membaham keseluruhan udang dalam sekelip mata.
Siakap merah juga menjadi antara hidangan yang bernilai tinggi. Spesies ini memiliki rasa yang sangat lazat lebih-lebih lagi jika masih segar.
Ikan kerapu ialah kumpulan ikan dari beberapa genus yang bernaung di bawah subfamily Epinephelinae, di dalam keluarga besar Serranidae dan dalam order Perciformes. Namun, tidak semua ikan serranids (Serranidae) dipanggil kerapu, sementara ikan bass laut turut termasuk dalam famili Serranidae.
Nama kerapu biasanya diberikan kepada spesies di dalam salah satu daripada dua genus besar iaitu Epinephelus dan Mycteroperca. Di samping itu, spesies yang diklasifikasikan dalam genus kecil Cromileptes, Dermatolepis, Gracila, Saloptia dan Triso juga dipanggil kerapu.
Begitu juga ikan dalam genus Plectropomus yang dirujuk sebagai coral groupers. Semua genera semua diklasifikasikan dalam subfamily Epinephelinae itu. Ia sedikit memeningkan kepala apabila membicarakan pengkelasan saintifik ikan yang terlalu besar famili seperti kerapu ini.
Walau bagaimanapun, perkataan kerapu (grouper) amat meluas dipercayai berasal dari nama Portugis, grouper. Asal-usul nama ini dalam bahasa Portugis dipercayai dari bahasa asli Amerika Selatan asli.
Famili Serranidae mengandungi kira-kira 450 spesies dalam 65 genera, termasuk bass laut dan kerapu (subfamily Epinephelinae).
Kerapu adalah ikan teleosts, yang pada lazimnya mempunyai badan gempal dan mulut yang besar. Spesies ini tidak dibina untuk kepantasan atau renangan jarak jauh. Kerapu boleh membesar dengan saiz luar biasa dan tumbesaran panjang melebihi satu meter. Berat sehingga 100 kilogram bukan luar biasa walaupun dalam apa-apa kumpulan yang besar dan berbeza spesies.
Kerapu merupakan pemangsa yang menelan mangsa dengan sedutan daripada membaham dengan gigitan. Kerapu tidak mempunyai banyak gigi. Namun di tepi rahang mempunyai plat gigi penghancur yang menakjubkan. Kerapu lazimnya menjadikan ikan, sotong gurita, dan krustasea sebagai diet utama.
Sesetengah spesies lebih suka untuk menyerang hendap mangsanya manakala spesies lain merupakan pemangsa yang aktif. Mulut dan insang spesies ini membentuk satu sistem menghisap kuat yang menghisap mangsanya dalam dari jauh.
Kerapu juga menggunakan mulut mereka untuk menggali ke dalam pasir untuk membentuk tempat perlindungan mereka di bawah batu-batu besar, dilepaskan keluar melalui insang mereka.
Kerapu adalah hermafrodit protogynous dengan kebanyakannya monandric iaitu mereka matang hanya sebagai betina dan mempunyai keupayaan untuk menukar jantina selepas kematangan seksual. Dalam erti kata lainnya, kebanyakan kerapu lahir sebagai jantan dan mampu bertukar menjadi betina apabila mencapai tempoh matang. Justeru itu kerapu lebih cepat membiak berbanding siakap.
Beberapa spesies kerapu berkembang kira-kira satu kilogram setahun dan secara umumnya juvenil sehingga mencapai tiga kilogram, apabila mereka menjadi betina. Kerapu jantan terbesar sering mengawal harem mengandungi tiga hingga 15 betina. Walau bagaimanapun, sesetengah kerapu adalah gonochoristic.
Dengan begitu banyak jenis dan spesies kerapu, Atlantic goliath grouper atau kerapu Atlantik goliath atau itajara (Epinephelus itajara), juga dikenali sebagai jewfish adalah ikan air masin paling besar dalam keluarga kerapu.
Ikan gergasi ini boleh mencapai saiz yang sangat besar. Ia mampu membesar panjang sehingga 2.5 meter dan boleh mencapai berat sehingga 360 kilogram. Bayangkan jika spesies sebesar ini membaham umpan atau jig anda. Sekiranya ia tidak bergerak, pasti keadaannya sama seperti strike tukun atau kapal karam.
Rekod dunia untuk spesimen sukan memancing yang berjaya ditangkap adalah 308.44 kg, ditangkap di Pantai Fernandina, Florida, pada tahun 1961.
Ciri Fizikal: Leper memanjang, kilauan keperakan dan bergigi tajam
Diet: Anak ikan, krutesia dasar
Habitat: Asasnya hidup di dasar air tapi banyak memburu mangsa di permukaan menjelang malam. Kedalaman air dari 4 meter hingga 100 meter
Taburan: Timur laut Afrika, Laut merah turun ke India hingga Bangladesh.
Tempatan: Hampir sekeliling laut Semenanjug, Sabah dan Sarawak
Dalam kamus ikan terdapat 4 jenis ikan timah di perairan Malaysia, tapi yang difokuskan bulan ini ialah timah dari jenis jenis T. lepturus (largehead hairtail). Selain 3 lagi iaitu Tentoriceps cristatus (crested hairtail), Lepturacanthus savala (savalai hairtail) dan Eupleurogrammus muticus (malayan hairtail). Kesemua lebih dikenali sebagai ribbon fish dalam panggilan global. Jenis ikan timah ini biasanya dibezakan dari segi bentuk kepala, rupa barisan gigi dan saiz badan meleper.
Di pantai barat Semenanjung ikan ini lebih dikenali dengan nama ikan timah. Nelayan pantai timur memanggilnya ikan layur kerana ikan timah adalah satu gelaran spesies ikan berlainan keluarga di pantai timur. Ikan ini banyak dikeringkan memadangkan permintaan lebih tinggi jika dikeringkan.
Ikan timah pada asasnya ialah sejenis hidupan air yang unik dan cukup menarik. Berbentuk leper memanjang, berkulit licin berkilat seperti perak. Ekor halus mengecil di hujung, riben atau sirip dorsal bermula dari pangkal kepala hingga hujung ekor.
Sirip dorsal membarisi bahagian atas badan menghasilkan pergerakan unik ketika ia berenang seperti alunan ombak yang konsistan. Mempunyai gigi tajam seperti ikan malong di mana terdapat dua taring besar tajam membarisi bahagian atas mulut.
Walaupun badannya nipis , mulutnya mampu membuka luas ketika menyerang dan menerkam mangsa. Warna riben lebih gelap sedikit berbanding warna kilauan badannya. Matanya bersinar terang apabila menerima pancaran cahaya di malam hari. Rekod terbesar dilaporkan hingga 4 kaki memanjang. Beratnya hanya boleh mencecah purata kurang 1kg hingga 3 kg.
Boleh dijumpai bermain di kawasan pantai berbatu karang, tompokan batu karang kecil dan kawasan berpasir. Ia tidak mendiami satu spesifik lubuk khusus dan gemar merayau dari kedalaman air 6 kaki hingga 300 kaki atau hampir 100 batu nautika dari pantai.
Timah adalah sejenis ikan yang sering berpindah lokasi ke lokasi berikutnya. Hanya bermain di satu kawasan buruan dalam jangka masa kurang sebulan bergantung kepada pergerakan mangsanya sendiri. Spesies yang kecil gemar memburu anak sotong dan lebih tertumpu di perairan pantai dan air cetek. Ia juga seperti ikan parang yang banyak menghabiskan masa meronda di permukaan air memburu mangsa.
Banyak berlegar di permukaan air sambil memburu mangsa yang turut sama menikmati cahaya lampu. Mata bersinar di air banyak membantu ikan ini memburu pada malam hari sesuai dengan sifatnya bertambah rakus menjelang malam. Waktu dinihari saya sendiri jarang memperolehi ikan ini.
Jika habitat yang didiami adalah air cetek tidak masalah bagi ikan ini meneroka hingga ke dasar, tetapi jika kawasan tersebut mempunyai kedalamana lebih dari 200 kaki, ia banyak menghuni di pertengahan dan permukaan air sahaja.
Ikan timah juga adalah spesies karnibal yang tinggal dan bergerak secara berkumpulan. Ia akan menyerang sesama sendiri di kalangan ahli yang lemah mahupun cedera. Tidak mengenal belas kasihan dalam memperjudikan hidup di dunia bawah air yang kejam. Bila mangsa dalam cengkaman gigi taring hadapan sukar untuknya melepaskan diri lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...