Ikan toman bunga atau kerandang merupakan spesies ikan berkepala ular atau berada dalam keluarga snakeHead.
Berkongsi persaudaraan dengan ikan haruan serta toman. Nama umum toman bunga ialah emperor snakehead dan dikelaskan dengan nama saintifik Channa marulloides.
Manakala panggilan tempatan lain ialah kerandang, jelai, jaloi, kuang, jahai dan sebagainya lagi.
Berbeza dengan ikan toman, ikan kerandang ini lebih tirus dan mempunyai badan yang panjang.
Ikan toman bunga mendiami sungai, tasik dan kawasan berpaya berair gambut, mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan Ph airnya rendah, sama seperti ikan haruan dan ikan Bujuk.
Ikan ini juga gemar tinggal di kawasan sungai pergunungan. Ikan ini mempunyai nilai yang tinggi dalam industri akuarium kerana rupa bentuknya yang cantik.
Ads
Ikan toman bunga merupakan spesies yang paling cantik dalam keluarga snakehead atau genus Channa.
Namun jangan terpedaya dengan kecantikannya kerana ia tetap merupakan spesies bergigi tajam dan agresif.
Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing.
Berbanding saudaranya yang lain, populasi ikan toman bunga mengalami kemerosotan yang agak teruk. Hari ini ia semakin sukar untuk ditemui.
Ikan ini juga boleh didapati di selatan Thailand, Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Ikan kelah atau nama Inggerisnya Mahseer merupakan spesies ikan kap sungai dalam keluarga Cyprinidae yang bersisik besar. Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies kelah agak sukar dibezakan kerana spesies ini mempunyai sifat luaran yang hampir sama. Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor.
Menurut penyelidikan, terdapat pula tiga spesies dalam genus Tor iaitu Tor tambroides, Tor douronensis dan Tor tambra di negara kita. Gelaran mahseer lazimnya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Dan di negara kita juga spesies kelah telah dikenal pasti sebagai Tor tambroides atau Malayan mahseer. Dipercayai, kelah merah yang terdapat di Semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Terengganu dan Kelantan dirujuk sebagai Tor tamroides. Begitu juga dengan empurau di Sarawak. Manakala spesies semah di Sarawak dan pelian di Sabah dirujuk sebagai Tor duoronensis.
Sementara itu tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.
Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Kawasan sebegini merangkumi Malaysia, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India. Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai. Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi dan berenang melawan arus ke hulu sungai. Di hulu sungai ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.
Daripada aspek morfologi, badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus di mana ia memberi kelebihan ketika berenang melawan arus dan menongkah jeram. Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik. Sementara sirip dorsal ikan kelah lazimnya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal. Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau copper mahseer dari genus Neolissochilus.
Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang. Sebagaimana spesies ikan kap yang lain, ikan kelah merupakan haiwan omnivor yang tidak hanya makan alga, krustasea, serangga, katak dan ikan-ikan mangsa yang lain, tetapi juga buah dan bunga yang berguguran dari pohon-pohon yang tumbuh di tepi-tepi sungai. Ikan kelah bukan sahaja terkenal dengan keenakan rasa isinya yang bertekstur halus itu, malah daya juangnya juga adalah sangat mencabar bagi pemancing untuk mendaratkannya . Justeru, kombinasi daya juang yang hebat serta isinya yang sedap maka ia menjadi buruan peminat sukan memancing ikan air tawar.
Suatu ketika dahulu atau masih kekal diperkatakan sehingga ke hari ini, sungai-sungai di Sarawak cukup sinonim dengan dua perkara; buaya dan udang galah. Sekali gus menepati kata-kata orang, kalau ada udang, ada buaya. Atas sebab itulah penulis sangat teruja apabila berpeluang untuk memancing udang galah atau jenggo di Sarawak.
Pancingan udang galah mungkin tidak segah atau sepopular pancingan ikan di sungai mahupun laut dalam. Namun ia memiliki keunikan dan keseronokan tersendiri. Penulis sendiri amat menggemari pancingan santai ini. Apatah lagi berpeluang memancingnya di sungai yang menjadi banglo sang jenggo ini. Keterujaan yang sama turut dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Masing-masing mula membayangkan berapa kilo udang galah seorang yang bakal dibawa pulang.
Perjalanan seawal pagi dari Bandaraya Miri ke Batu Niah memakan masa sekitar 1 jam. Setibanya di jeti Kampung Sepupok, papan tanda yang mempamerkan amaran kewujudan sang bedal di sungai tersebut sedikit sebanyak menyentap keterujaan kami.
Suasana bertukar krik krik krik seketika. Kami yang tak biasa memancing di lubuk yang turut menjadi kediaman buaya sudah tentu kecut perut dibuatnya. Khususnya wakil media dari Australia yang sejak dari sesi briefing lagi sudah cuak apabila diberitahu oleh juru pandu pancing tentang kewujudan buaya air masin di lokasi pancingan udang. Walau bagaimana pun kerisauan itu tidaklah terlalu mengganggu fikiran ekoran insiden melibatkan buaya di sungai tersebut hampir tidak pernah berlaku.
Hanya makluman daripada penyewa bot memancing di sungai tersebut agak merenjat keterujaan kami. Menurut beliau, tarikh dan waktu yang kami pilih untuk memancing udang tidak bagus. Udang agak sukar untuk diperolehi ekoran faktor air masin yang jauh memasuki sistem sungai. Air sungai menjadi agak masin dan perlu jauh mudik ke hulu sungai untuk mencari udang.
Anehnya faktor ini langsung tidak dinyatakan ketika perbincangan penyewaan bot sebelumnya. Pendapat yang sama turut disuarakan oleh jurumudi bot yang bakal membawa kami. Kesimpulannya, waktu itu lebih sesuai memancing ikan berbanding memancing udang galah.
Namun apa kan daya, alang-alang bot pun dah disewa, kelengkapan memancing udang semuanya dah pun disiapkan, sama ada musim atau bukan, trip memancing udang galah harus dilangsungkan juga.
Berumpankan anak udang hidup, empat buah bot fiber dengan saiz bot dan kuasa enjin yang berbeza menuju ke hulu Sungai Niah. Dari kawasan sungai yang airnya masih masin, payau dan tawar sepenuhnya dijelajahi. Dari kawasan air masin dan payau, hasil tangkapan menjurus kepada ikan duri.
Sementara di kawasan air tawar pula didominasi ikan belida dan baung. Si jenggo yang menjadi sasaran utama ternyata sukar untuk dicari. Dari empat buah bot fiber, ada bot yang langsung gagal mendaratkan walau seekor udang ‘megi’.
Seharian ke hulu ke hilir dengan hasil yang amat mengecewakan, akhirnya jurumudi membuka mulut punca sebenar kesukaran untuk memburu udang galah. Faktor air masin hanyalah penyebab kecil, punca sebenar adalah angkara ketamakan individu yang mahu mengaut keuntungan dengan mudah dan pantas.
Ekoran harga udang galah yang kian meningkat di pasaran sehingga jauh lebih mahal berbanding di semenanjung, justeru menuba sungai adalah cara yang paling efektif untuk mengutip udang galah.
Malah, sebelum kedatangan kami, sistem sungai itu sudah beberapa dituba oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Hanya sedikit rezeki pada kami kerana dapatlah juga menaikkan beberapa ekor udang galah.
Perbezaan luaran yang ketara antara sebarau berbanding ikan-ikan lain dari keluarga Cyprinidae (ikan kap) adalah wujudnya satu jalur hitam menurun dari dasar anterior sirip dorsal ke sirip ventral.
Secara saintifik ikan sebarau dikenali dengan nama Hampala sp. Di sarawak ikan ini lebih dikenali dengan nama adong dan barau-barau. Rasanya yang sedap dengan kandungan protein yang tinggi membolehkan ikan ini laris di pasaran dan dijual dengan harga yang agak mahal.
Sebarau besar yang melebihi saiz 25cm panjang lebih digemari kerana mempunyai tulang yang kurang berbanding ikan kecil.
Di kalangan pemancing, kehebatannya bersaing dan kerakusan apabila menyambar umpan lebih memberikan kepuasan. Sifat agresifnya iu membolehkan ia diklasifikasikan sebagai ikan yang sangat garang setanding dengan toman walaupun saiznya lebih kecil.
Umumnya ikan sebarau suka mendiami sungai-sungai jernih dengan air yang mengalir serta dasar berpasir dan sedikit berlumpur. Melalui taburannya ini bagai pegawai sungai kerana ia boleh ditemui di semua zon sungai, dari kawasan pertemuan antara air tawar dan air masin hingga ke zon paling hulu.
Namun melalui kajian, taburan sebarau berbeza mengikut saiznya. Anak-anak ikan bersaiz kurang dari 10 cm biasanya lebih menggemari sungai cetek yang berbatu dengan aliran air deras. Apabila ia mencapai saiz antara 11 hingga 20 cm, ia mula berpindah ke habitat yang lebih luas, berair jernih dan mengalir dengan perlahan.
Kawasan yang bertakung dengan kedalaman melebihi 3 meter, berdinding dan berdasarkan batu dan sedikit lumpur dengan aliran air yang perlahan pula menjadi pilihan sebarau melebihi 21cm.
Kawasan kediaman ikan-ikan dewasa yang bersaiz besar ini lazimnya dikenali sebagai lubuk (deep pool).
Kebanyakan sebarau dewasa mendiami lubuk-lubuk di hulu sungai yang terdapat ranting pokok tenggelam sepanjang hari. Keadaan ini turut memberi cabaran kepada para pemancing kerana cabaran perburuan sebarau bermula dari masa mencari kawasan pemancingan strategik lagi.
Untuk mencari lubuk sebarau, pemancing mungkin perlu berjalan beberapa jam mengharungi sungai berbatu dan berair deras menuju ke hulu sungai. Oleh itu pemancing bukan saja perlu mempunyai kecekapan mengendalikan peralatan memancing tetapi juga perlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Disamping itu, ikan sebarau juga amat sensitif terhadap bunyi-bunyi yang ganjil. Pemancing perlu berhati-hati agar segala tingkah laku dan pergerakan tidak mengganggu ikan ini.
Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan bahawa warna pakaian juga perlu dititikberatkan apabila hendak memburu sebarau seperti mana kelah. Pakaian yang cerah boleh dikesan ikan yang berada di dalam air.
Melalui ujian pemakanan yang telah dibuat, didapati tabiat pemakanan ikan ini berbeza mengikut peringkat hidup ataupun saiz.
Pada peringkat larva, ia memakan plankton dan lumut-lumut yang melekat pada batu atau daun tumbuhan air.
Tumbuh-tumbuhan air, serangga kecil, larva ikan dan organisma krustasea seperti anak-anak udang pula akan menjadi makanan sebarau pada peringkat juvenil. Pada peringkat dewasa, ikan ini bersifat karnivor sepenuhnya dengan menjadikan haiwan kecil yang lain sebagai mangsanya.
Berbeza dengan ikan karnivor dari famili Channidae (snakehead) yang lebih suka menunggu atau menghendap mangsa, sebarau dewasa merupakan ikan yang aktif dan bergerak dalam kumpulan semasa keluar memburu mangsanya yang terdiri daripada ikan seluang, terbul, lampam sungai dan anak-anak ikan yang lain termasuk anak ikan toman.
Sebarau gemar menyambar mangsa dengan ganas dan sangat mudah tertarik kepada objek-objek yang bergerak. Ini membolehkan para pemancing menggunakan umpan tiruan untuk menipunya.
Sebagaimana kebanyakan ikan lain, sebarau juga mempunyai masa makannya sendiri. Tetapi masa makan ikan ini berbeza mengikut peringkat umur. Ikan kecil akan keluar mencari makan pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala ikan juvenil memburu pada sebelah petang dan awal malam.
Ini sekali lagi memberi cabaran kepada kaki pancing yang ingin menawan sebarau bersaiz besar dengan keupayaan tersendiri. Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa masa yang sesuai untuk memancing sebarau adalah antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 5 petang hingga 7 malam.
Berdasarkan kajian pembiakan pula, sebarau boleh membiak sepanjang tahun dengan kitaran pembiakan bermula pada bulan September hingga Disember. Walaupun ikan ini mampu membesar sehingga 70cm panjang, ikan jantan mula matang apabila mencapai saiz 15cm.
Manakala ikan betina mula menunjukkan kematangan dan sedia untuk membiak apabila saiz 18cm. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapat sebarau yang kurang dari 20cm, adalah baik jika ia dilepaskan semula kerana mereka belum matang.
Proses pembiakan biasanya berlaku semasa musim tengkujuh iaitu apabila paras air sungai atau tasik meningkat.
Pada masa ini, ikan jantan dan betina yang telah matang akan berenang ke hulu sungai untuk mengawan. Kawasan hulu yang berair jernih, berbatu kecil dengan aliran air yang perlahan menjadi pilihan untuk melepaskan telur.
Telur-telur yang dilepaskan akan melekat pada batu dan tumbuhan air di sekitar tebing sungai. Setelah si anak mencapai peringkat juvenil dan mampu berenang melawan arus, ia akan berenang menuju kawasan berjeram untuk memulakan hidup baru sebelum mendiami lubuk yang sesuai apabila meningkat dewasa.
Keadaan hari ini yang telah banyak terganggu oleh aktiviti manusia dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pengekalan alam sekitar menyebabkan sebarau semakin sukar ditemui.
Kehilangan atau gangguan terhadap kawasan sungai yang mengalir jernih dan berpasir menjadi punca utama kesusutan sumber ini. Sumber ini penting untuk dinikmati pada masa akan datang sama ada untuk makanan atau tujuan sukan memancing. Oleh itu kajian terhadap spesies sebarau perlu digiatkan lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...