Spesies Chicla temensis ini berasal dari lembangan Orinoco dan Rio Negro, serta beberapa sungai kecil di pusat Amazon, di Brazil, Venezuela dan Guyana.
Dalam julat asalnya, ia pada dasarnya terhad kepada sungai hitam dan cabang anak sungainya.
Namun percubaan pengenalan telah dibuat dari julat asalnya, tetapi ia tidak dapat ditubuhkan di Florida atau Texas. Sebaliknya, ia telah berkembang di Singapura.
C. Temensis adalah spesies cichlid Amerika Selatan yang sangat besar. Ia merupakan sumbermakanan bernilai dan ikan sukan yang berharga.
Ia mampu membesar panjang sehingga 1 meter (3.3 kaki) dan berat sehingga 13 kg (29lb). Dengan memiliki saiz sedemikian ia bukan sahaja cichlid terbesar di Amerika Selatan, dan mungkin cichlid terbesar di dunia!
Ads
C. temensis menyerupai spesies ikan merak atau peacock bass lain, tetapi umumnya lebih panjang dan langsing.
Spesies dewasa sangat berubah-ubah dalam corak warna, yang mana ia menyebabkan kekeliruan dalam penentuan jantina dan pembiakan.
Hanya pada tahun 2012 pengesahan telah dilakukan corak dan paten spesies yang mampu membiak dan sebaliknya.
Seperkara yang unik tentang spesies c. temensis ini kerana mempunyai 2 fasa warna iaitu ‘ASSU’ seperti warna peacock bass yang sering kita lihat di negara kita dan fasa warna ‘PACA’ di mana warna badannya menjadi lebih gelap.
Fasa warna paca sering berlaku apabila ikan ini berada pada musim membiak.
Ads
Manakala paten warna ikan ini agak kompleks kerana variasi morfologinya. Selalunya mempunyai bintik hitam (assu) atau bintik putih/kuning (paca) pada garisan melintang pada badannya.
Selain itu, C. temensis mempunyai 3 garisan bar pada badannya dalam kedua-dua fasa. Terdapat juga corak pada bahagian mata hingga ke hujung bahagian operkulum yang menjadi antara paten warna kepada ikan ini.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan ceramin-ceramin (Sabah) atau ebek bukanlah satu nama spesies ikan yang janggal bagi pemancing di Malaysia.
Tergolong dalam kalangan keluarga Carangidae, ikan ebek atau nama sebenarnya, Alectis indica merupakan ikan jack yang mampu membesar sehingga saiz yang cukup besar, atau lebih sinonim dengan terma kaki pancing iaitu saiz mega.
Ikan ebek merupakan sejenis spesies ikan marin yang mudah ditemui di perairan tropika seperti Lautan Pasifik yang melangkaui Afrika Timur ke India, Asia, Indonesia, Australia dan juga Malaysia.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidaklah sesukar mana, bermula dari kawasan muara hingga ke lautan lepas.
Mungkin disebabkan itu, ebek atau nama lainnya, diamond trevally menjadi antara spesies yang sering menjadi buruan pemancing di Malaysia.
Malah kekuatan pertarungan di hujung kail juga cukup untuk memberikan kepuasan pancingan kerana ebek cukup agresif sebaik sahaja kail tercangkuk kemas di mulutnya.
Walaupun mampu membesar sehingga keberatan 25kg dan panjang sehingga 1.6 meter, kebiasaan spesies ebek yang dipancing di perairan Malaysia bersaiz lebih kecil.
Ebek yang berat sekitar 6-7 kg sudah dianggap saiz yang besar jika dinaikkan menggunakan joran dan kekili.
Sinonim
Ebek atau diamond trevally merupakan salah satu daripada tiga spesies ikan jack daripada genus Alectis di mana kumpulan ikan ini datang daripada 33 genera dalam keluarga Carangidae.
Carangidae pula merupakan ikan jenis perciformes dalam suborder yang digelar Percoidae.
Spesies ini asalnya diterangkan secara saintifik oleh pengkaji naturalis Jerman iaitu Eduard Rüppell pada tahun 1830 di bawah nama binomial Scyris indicus, hasil spesimen yang dikumpul dari Laut Merah.
Selepas penamaan Ruppell itu, beberapa orang pengkaji lain tanpa disedari telah menerangkan semula spesies ini, dengan nama-nama seperti Hynnis insanus
(Valenciennes, 1862), Caranx gallus (Klunzinger, 1879) dan Hynnis momsa (Herre, 1927), yang merujuk kepada spesies yang sama.
Selang beberapa tahun, pengelasan asal Ruppell juga telah disemak semula; di mana asalnya spesies ini diletakkan dalam genera Seriolichthys, dan akhirnya diletakkan dalam genus Alectis oleh James Douglas Ogilby pada tahun 1913.
Lantas, nama spesies ini telah ditetapkan sebagai Alectis indicus dalam cetakan sains. Bagaimanapun genus Alectis adalah genus feminin, dengan itu indica merupakan ejaan spesies yang betul.
Taburan Spesies Dan Habitat
Secara saintifiknya, taburan spesies ebek tertumpu di kawasan tropika seperti Lautan Hindi dan Barat Lautan Pasifik merangkumi Madagascar, Afrika Timur, Laut Merah hingga ke India, China, Asia Tenggara, utara Jepun hingga ke selatan Indonesia serta utara Australia.
Selalunya, ikan ebek akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20meter hingga 100meter sebagai habitatnya.
Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus laut. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara.
Morfologi
Dari segi morfologi luaran ikan ebek, spesies ini mempunyai bentuk kebiasaan pada spesies ikan jack. Badan ikan ebek mempunyai bentuk yang bersudut yang agak menonjol selain daripada badan nipis mampat yang kuat.
Pengenalan utama bagi spesies ebek boleh diperhatikan pada bahagian kepalanya yang mempunyai bentuk sedikit cekung berhampiran matanya yang membezakannya antara saudara terdekat dalam genus Alectis.
Dengan sedikit imaginasi, pemancing dapat melihat bentuk bersudut ikan ini seakan-akan sebutir berlian apatah lagi ditambah dengan warna perak berkilat pada badannya yang memukau apabila disimbah cahaya matahari.
Sirip dorsal ikan ebek menunjukkan bentuk yang melengkung ke belakang dan bentuk sudut yang jelas bentuk badannya dapat dilihat pada unjuran antara sirip dorsal lembut dan sirip anal lembut yang menggariskan bentuk badannya ke bahagian ekor.
Bagi sirip pektoral pula, spesies ebek mempunyai sirip pektoral yang panjang dan melengkung sehingga ke garisan lengkung lateral.
Badannya kelihatan seolah-olah tidak bersisik, namun jika diperhatikan lebih dekat, dapat diperhatikan kehadiran sisik-sisik kecil dan halus yang tertanam pada badannya.
Garisan lateral pada badannya jelas menonjol dan melengkung pada bahagian anterior dan kehadiran sisik kasar scutes antara 6-11 scutes juga kelihatan pada bahagian kaudal pedunkel.
Bagi ebek juvenil, sirip anal dan dorsalnya seakan filamen yang lebih panjang berbanding ebek dewasa.
Bagi ebek dewasa, warna badannya ialah perak terang dan menyilaukan hingga ke warna perak biru kehijauan, sering kali warna bahagian kepala lebih gelap dan beransur perak apabila semakin ke bawah.
Bahagian operculum atas ebek mempunyai tompok hitam kecil. Warna sirip berfilamen lembut ebek pula biasanya berwarna biru atau hitam.
Biologi Dan Diet
Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin alam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya seterusnya menjadikan senarai tersebut sebagai diet pemakanan utama.
Bagi kitaran persenyawaan pula, tidak banyak diketahui berkaitan ikan ebek. Namun pemerhatian sebuah kajian di Indonesia mendapati persenyawaan spesies Alectis indica
berlaku di kawasan beting yang berkedalaman antara 35-45meter berhampiran kawasan berkepulauan.
Hanya dua jenis ikan ibu kerisi dicatatkan dalam kamus ikan masa kini iaitu Pristipomoides multidens dan Pristipomoides typus. Spesies P. multidens adalah lebih besar dari P. typus dan ia banyak di Pantai Timur Semenanjung berbanding P. typus mudah diperoleh sekitar laut dalam di Pulau Penang hingga Teluk Benggal.
Di Pantai Timur ikan ini lebih mendapat perhatian berbanding jenahak mahupun merah sebab itu nilainya amat baik di pasaran. Isinya lebih lembut. Jumlah tangkapannya tidak memberangsangkan seperti mana ikan merah. Ibu kerisi bukanlah gamefish. Ia diburu kerana harga dan kelembutan yang dimiliki spesies unik ini.
Ibu kerisi atau goldband snapper mampu membesar sehingga 90cm panjang dengan anggaran berat melebihi skala 20 kg. Namun spesimen yang biasa ditemui sekitar 70cm sahaja. Ibu kerisi matang apabila mencapai 35-50cm dan membiak di antara bulan Mei hingga Ogos. Anggaran usia maksimum boleh mencapai 30 tahun.
Bagi saya ibu kerisi berwarna ‘lembut’ sehalus isinya berbanding kerisi bali lebih terserlah warna badan. Ia cukup cantik dipandang apatah lagi jika dapat melihat kilauan warna ketika biasan dan pancaran cahaya matahari.
Asasnya berwarna seperti jenis kerisi kecil lain dan kilauan perak lebih memancar hampir 70%. Jalur kekuningan halus memanjang dari kepala hingga pangkal ekor untuk P. Typus. Bergigi taring lebih kecil dari yang dimiliki oleh siakap merah. Ekor slim bercabang boleh menghasilkan pecutan baik dalam air.
Ibu kerisi kini lebih tertumpu di kawasan air dalam minimum 150kaki tidak seperti dahulu boleh dijumpai merayau di kawasan persisiran pantai 50 kaki. Lokasi tumpuan kini adalah lubang dan boleh dikatakan banyak mendiami perairan Penang dan sekitar laut di kawasan cari gali minyak. Ia berada di laut (selat) sempit dan juga laut luas.
Kebanyakan lokasi dihuninya adalah dasar keras sama ada berkarang, batu keras dan pinggir lokasi berkenaan. Paling hampir dengan pantai yang pernah saya dapat ialah bahagian timur Pulau Bidung (kedalaman air 160 kaki) dan selebihnya di lokasi yang berjam-jam lamanya.
Ikan kerisi ini aktif untuk kedua-dua waktu siang dan malam. Rekod tangkapan saya lebih banyak di siang hari berbanding malam. Kuat melawan ketika bawah pertengahan air dan muncul pelampung di mulut menandakan ia sudah barotrauma, tidak mampu berbuat apa lagi.
Ciri fizikal: Seakan ikan kerisi kecil kecuali perbezaan saiz jelas ketara
Diet: Ikan pelagic, sotong, krustasea serta hidupan dasar lain
Habitat: Dasar berkarang dan tanah keras dengan kedalaman purata 50 hingga 200meter.
Taburan: Laut Arab, Asia Tenggara hingga selatan Jepun.
Peminat sukan memancing di Malaysia wajib tahu dan kenal spesies ini. Spesies pemangsa air tawar ini bolehlah ditabalkan sebagai pemangsa teratas dalam rantaian makanan dan antara spesies air tawar yang kuat dan ganas.
Aksi ganas, kekuatan dan stamina ikan ini cukup membuatkan kaki pancing berpeluh untuk mendaratkannya.
Dengan bentuk kepala seperti ular yang besar, spesies Channa micropeltes atau giant snakehead merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Tidak syak lagi sesiapa saja yang mempunyai hobi memancing atau mengilat ikan air tawar, pasti akan kenal dan sedia maklum akan kerakusan sang toman dalam pertarungan.
Secara global, ikan toman lebih dikenali sebagai giant snakehead. Tergolong dalam famili Channidae, sama sebagaimana haruan dan bujuk namun toman mampu membesar sehingga saiz trofi.
Ikan toman juga merupakan salah satu spesies natif atau spesies ikan asal di Malaysia.
Taburan spesies
Taburan ikan sangat meluas terutama di kawasan Asia Tenggara. Bagi kebanyakan lokasi di Asia Tenggara, ikan toman merupakan spesies natif kepada tempat ini.
Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera merupakan antara kawasan yang mempunyai taburan ikan toman.
Selain itu, ikan toman terdapat di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun bukan merupakan spesies asal.
Oleh sebab kesan daripada aktiviti manusia yang memperkenalkan spesies ini ke perairan mereka, beberapa tempat dikatakan telah didominasi oleh spesies ini.
Antara kawasan tersebut termasuklah Wisconsin, Maryland dan Virginia.
Habitat dan ekologi
Ikan toman merupakan spesies yang hidup di persekitaran air tawar. Toman biasanya boleh dijumpai di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik dan terusan.
Bagi toman juvenil, biasanya akan bergerak dan memburu makanan secara berkumpulan.
Bagi kebanyakan kaki di Malaysia, lokasi utama mencari toman ialah seperti tasik semula jadi, tasik buatan, sungai-sungai, lombong atau paya yang terbiar.
Toman juga gemar pada kawasan berarus perlahan dan dalam.
Morfologi dan biologi
Seperti ramai yang sedia maklum, anak-anak toman atau fri toman berwarna merah dan bergerak berkumpulan.
Pergerakan ini biasanya oleh sepasang induk toman atau lebih bagi mengelakkan anak-anak ini menjadi mangsa serangan kepada ikan atau pemangsa lain.
Selepas lebih kurang dua bulan, warnanya akan berubah menjadi oren dengan jalur hitam akan muncul pada garisan lateral.
Apabila semakin membesar, ikan toman akan kehilangan warna merah dan jalurnya akan pecah dan akan menghasilkan corak seakan batik pada badannya.
Warna merah pada badannya akan hilang dan akan menjadi warna biru kehitaman pada bahagian atas ikan ini.
Ikan toman merupakan spesies yang paling agresif berbanding 35 spesies snakehead yang lain. Spesies ini juga boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih 2 meter dan berat mencecah 20 kg.
Selain mempunyai barisan gigi yang tajam seperti pisau, ia turut memiliki rahang yang sangat kuat. Paduan gigi dan rahang toman ini merupakan senjata yang menggerunkan.
Ikan toman biasanya memburu ikan yang lebih kecil daripadanya sebagai diet makanan utama.
Selain ikan, toman juga kadangkala menjadikan krustasia dan haiwan amfibia sebagai dietnya.
Apabila musim mengawan, ikan toman akan memilih kawasan yang mempunyai tumbuhan akuatik yang agak banyak sebagai tempat melepaskan telur.
Pemburu berkepala ular yang agresif
Ketika memburu mangsanya, toman akan membengkokkan dirinya seperti huruf S sebelum melakukan pecutan dengan menghentam mangsanya.
Mulutnya yang siap dengan barisan gigi tajam akan membaham mangsanya. Kekuatan rahangnya juga memberikan impak yang lebih kuat semasa membaham mangsanya.
Secara kasarnya, ikan toman boleh memberikan satu imaginasi yang agak menakutkan. Dengan sepasang rahang kuat dan dibarisi dengan gigi tajam serta berbadan tegap dan
padu, cukup memberikan impak sebagai pemangsa yang rakus. Apatah lagi dengan kepala berbentuk ular dan corak pada badannya menambahkan lagi kegerunan pada spesies ini.
Walaupun terkenal dengan kerakusan dan sifat agresifnya, ikan toman merupakan induk yang sangat baik.
Sepasang induk (kadangkala lebih) akan menjaga sarang tempat penetasan telur dan akan menjaga serta mengawasi anak yang baru menetas.
Induk ini akan menyerang dan bertindak lebih agresif ketika proses menjaga anak-anaknya.
Ia akan menjaga sehingga anak-anaknya cukup dewasa untuk hidup sendiri atau sehingga musim mengawan berikutnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...