ZANA: Saya suka memancing ni dari kecil lagi tapi sekadar suka-suka macam tu saja. Tetapi jadi sangat aktif semenjak join Kelab Pemancing Wanita (WAC).
Mungkin sebab dah jumpa geng seangkatan yang meminati dunia pancing.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi lain?
ZANA: Saya memilih hobi ini bukan saja untuk hilangkan stress kerja tetapi juga mendalami lebih banyak ilmu tentang ikan dan hidupan akuatik.
Selain itu banyak memberikan pengalaman yang di luar jangka. Dan paling menyeronokan ia dapat kurangkan kos untuk membeli ikan di pasar.
Lagipun, dengan memancing sendiri barulah dapat makan ikan yang masih segar terus dari ladang.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi sepanjang memancing dan apa harapan anda untuk meneruskan hobi ini?
ZANA: Saya nampak sebarang rintangan jika kita lakukan sesuatu itu dengan penuh minat dan komitmen.
Tanpa rintangan sesuatu yang dihasilkan itu macam tak mencabar dan tak menyeronokkan.
Harapan saya tentulah ingin melihat masyarakat dapat menerima kehadiran wanita dalam industri memancing ini dengan hati lebih terbuka.
UMPAN: Ceritakan pengalaman manis & pahit ketika memancing?
ZANA: Kenangan pahit ialah mendapat kemalangan di Kelong Mamud di Lukut yang mana sebahagian kelong itu roboh.
Dalam kejadian itu saya tidak sempat untuk menyelamatkan diri. Tangan saya telah dihimpap tiang kelong dan mendapat kecederaan yang teruk pada tangan kiri saya yang turut menyebabkan cacat seumur hidup.
Namun peristiwa itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus memancing bersama geng seangkatan khususnya bersama geng WAC. Lagipun banyak lagi kenangan manis bersama WAC.
Dalam kes kelong roboh ini saya turut terhutang budi dengan pengasas WAC iaitu Normala Abd Rahman yang begitu mengambil berat dan menguruskan perkara berkaitan.
UMPAN: Pencapaian membanggakan dan apa sasaran anda seterusnya?
ZANA: Setakat ini tak ada la sangat pencapaian yang boleh dibanggakan. Lagipun saya memancing hanya untuk seronok-seronok.
Dapat ikan daun baru, tebal pipi, Ikan bulan, ikan kerapu memancing di kelong Pulau Ketam itu pun sudah cukup menyeronokkan pada saya.
UMPAN: Sejak bila bergelar pengusaha umpan memancing kolam air tawar?
APUL: Alhamdulillah… sebenarnya saya masih baru lagi dalam bidang pengusahaan umpan memancing ini.
Saya bermula dari tahun 2017 dan mampu bertahan sehingga sekarang.
UMPAN: Kenapa anda memilih usaha ini?
APUL: Sebenarnya ini adalah hobi saya sejak dari kecil lagi. Saya meminati hobi memancing ini dari arwah ayah saya, dia yang banyak mengajar saya dalam bidang memancing ini.
Saya memilih usaha ini kerana saya ingin berkongsi ilmu bersama sama dengan pemancing di luar sana.
UMPAN: Apa cabaran dan harapan anda dalam meneruskan usaha ini?
Kalau dari segi cabaran tu biasanya persaingan la yang utama. Sebab sedia maklum sekarang ni sudah banyak pengusaha umpan kolam air tawar ini, tetapi saya yakin setiap produk ada pengguna dan penggemarnya.
Harapan saya agar produk ini akan lebih meluas dan dapat memberi kepuasan kepada pengguna.
UMPAN: Ceritakan apa kelebihan produk anda?
APUL: Kelebihan umpan ini adalah ianya mudah digunakan sama ada digunakan dengan pelet, dedak, roti ataupun tepung.
Dan yang paling penting umpan ini ianya sangat murah dan berpatutan.
UMPAN: Cerita sedikit pencapaian membanggakan yang pernah diperolehi?
APUL: Dari segi pencapaian pulak ramai pengguna berpuas hati dapat merasa menarik ikan ataupun membawa pulang hasil tangkapan setelah menggunakan umpan ini.
Malah ada juga yang berjaya dalam pertandingan ataupun rangking papan/bulanan kolam pancing.
Seingat penulis, semasa menemu bual Shamsul Ghau Ghau dahulu, dia ada memberitahu bahawa figura ini juga mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti hanyir ini. Namun masih tidak berkesempatan untuk bersemuka sehinggalah mendapat peluang baru-baru ini.
Bertemu dengan pemilik nama Zul Huzaimy ini, penulis langsung tidak menyangka penglibatan beliau di dalam dunia hanyir ini bermula sejak kecil lagi. Tidak lokek berkongsi pengalaman awal ketika memancing, Zul Huzaimy memberitahu penglibatan beliau dalam dunia hanyir ini bermula seawal usia 7 tahun.
Beberapa orang bapa saudara beliau menjadi individu awal yang bertanggungjawab mengajar beliau ilmu memancing sejak kecil. Apatah lagi, membesar di Gerik, kawasan sekitar Tasik Banding menjadi spot pancing utama.
Ikan-ikan sungai menjadi spesies yang sering dipancing sejak kecil dengan secara tidak langsung lebih tertumpu kepada teknik mengilat dan teknik pancingan dasar. Selain itu, sebagai anak jati Gerik, selain memancing, memukat ketika pesta ikan loma dan aktiviti ‘meniruk’ juga antara aktiviti biasa baginya.
TASIK KENYIR DAN ALUCAST
Sekitar tahun 2008 merupakan detik di mana aktiviti memancing beliau lebih aktif apabila berkenalan dengan sahabat-sahabat pancing daripada grup Cakar Rimau yang sekarang ini lebih dikenali dengan nama Alucast atau Aluminium Caster.
Perkenalan ini juga antara titik penting dalam karier memancing beliau apabila dapat belajar dengan lebih teknikal tentang teknik memancing terutamanya penggunaan baitcaster dan perihal bot.
Abang Wan dan Amza Ya (sekadar menyebut beberapa nama) antara individu yang banyak berkongsi ilmu memancing kepada beliau.
Selain itu, Tasik Kenyir juga merupakan antara lokasi pancing kegemarannya. Malah Zul Huzaimy pernah membeli sebuah boat house sekitar tahun 2007 dek kerana minat memancing yang mendalam serta tarikan tersendiri Tasik Kenyir bagi kaki pancing.
Beliau juga menjalankan perniagaan pakej memancing menggunakan boat house tersebut selama hampir 4 tahun sebelum menjualnya disebabkan kekangan masa dan beberapa masalah lain terutama berkaitan isu persekitaran dan stok ikan berkurangan yang sedikit sebanyak menjejaskan industri pancingan rekreasi.
PANDANGAN TENTANG LAPANGAN PANCING TANAHAIR
Menyentuh tentang lapangan pancing tanah air, Zul Huzaimy secara peribadi berpendapat Malaysia cukup beruntung kerana mempunyai sumber dan khazanah pancing yang banyak memandangkan kedudukan geografi negara yang dikelilingi pantai yang panjang serta khazanah hutan hujan antara yang tertua di dunia.
Begitu pun, kekayaan sumber alam ini seharusnya datang dengan kesedaran individu yang tinggi untuk menjaga kelestarian sumber ini.
Tidak dinafikan, banyak sumber yang seharusnya boleh dieksploitasi secara positif, namun beliau tidak menolak terdapat isu-isu berkaitan pemancing rekreasi yang seharusnya ditangani dengan lebih berkesan.
Isu pelesenan kaki pancing dan kemusnahan ekosistem antara isu seharusnya ditangani dengan lebih berkesan oleh pihak berwajib yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
Pelbagai pihak harus mengambil peranan masing-masing dalam melestarikan industri pancingan tanpa sebarang bentuk kepentingan peribadi. Amalan seperti tangkap dan lepas dan pancingan bermusim pula seharusnya lebih banyak diamalkan bermula daripada individu pemancing sendiri biarpun tiada ‘guidelines’ yang rasmi.
Selain itu, beliau juga berpendapat peranan institusi pengajian tinggi amat penting terutama dalam kajian dan pembangunan terhadap sungai-sungai tempatan.
Tidak sekadar omongan kosong, beliau pernah membantu pihak UIA Kuantan mendapatkan spesies toman sebagai spesimen untuk kajian penghasilan produk Omega3 berasaskan spesies tempatan.
Apa sekalipun, Zul Huzaimy yang juga memiliki lesen Assistant Instructor untuk aktiviti scuba diving ini berharap ekosistem dan sumber alam khususnya di Malaysia dapat dilestarikan seterusnya lapangan pancing kita akan turut menerima kesan yang positif.
“Sekarang ini, lupakan menuding jari mencari punca salah siapa, sebaliknya lebih baik kita sama-sama fokus bagaimana untuk menjadikan ekosistem ini lebih baik. Secara peribadi saya harap lapangan pancing kita tak jadi ‘terlalu lapang’ seperti padang jarak padang tekukur pula nanti,” ujar beliau sedikit berseloroh sebelum menamatkan pertemuan kami.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...