Mata kail jenis ini didatangkan lengkap dengan pemberat pelbagai saiz dan bentuk yang dikhususkan bagi kegunaan pancingan teknik casting dan juga jigging. Lazimnya gewang soft plastic akan dicangkukkan pada mata kail ini. Selain soft plastic, umpan lain seperti anak ikan atau hirisan ikan juga boleh dicangkuk padanya.
Pada awal penciptaannya, mata kail untuk kegunaan aktiviti pancingan teknik jigging ini direka bentuk dengan duri pandan berada di bahagian luar teras. Namun kini kedudukan duri pandannya dibentuk sama sahaja dengan mata kail biasa.
Assist hooks ini diperbuat daripada pelbagai jenis logam dan corak bentuk bagi kesesuaian teknik jigging yang ingin dipraktikkan.
Double hook atau kail dua mata merupakan mata kail yang dikembarkan atau memiliki dua cangkuk. Kail dua mata ini biasanya dipasang pada gewang permukaan seperti jump frog atau soft frog bagi tujuan mengurangkan masalah tersangkut pada objek yang terdapat di permukaan air atau pun di dasar perairan.
IKLAN
Mata kail tiga atau mata tiga merupakan mata kail yang mempunyai tiga cangkuk. Ia digabungkan menjadi satu dengan tujuan meningkat peratus hook up berbanding mata kail tunggal. Mata tiga ini biasanya diperbuat daripada pelbagai jenis logam, saiz dan kekuatan.
Mata tiga ini lebih banyak dipasangkan pada gewang. Walau bagaimana dalam sesetengah teknik memancing ia turut digunakan menggantikan mata tunggal.
IKLAN
Saya tidak menemui nama global mata kail jenis ini dalam istilah mata kail. Namun ia masih tergolong dalam custom hooks. Biasanya mata tiga atau treble hooks dilekatkan dengan pemberat pada dasarnya sama ada dengan cara mengikat dipateri.
Walau bagaimana pun penggunaan mata sembat ini tidak dibenarkan dalam peraturan memancing. Selain digunakan untuk menyembat ikan, mata sembat turut digunakan dalam proses mencari joran yang jatuh ke lubuk memancing.
IKLAN
Mata kail belut merupakan satu-satunya 100% custom hooks. Oleh yang demikian tiada istilah khusus bagi mata kail jenis ini kerana pengeluar atau kilang yang menghasilkannya. Jadi, anda tidak akan menemuinya di kedai-kedai pancing.
Biasanya mata kail belut ini dihasilkan sendiri oleh pemancing belut. Biasanya juga mereka akan menggunakan dawai keras seperti lidi basikal dan membentuknya seperti mata berteras panjang tanpa duri pandan.
Tiger prawn hook atau mata kail udang harimau merupakan mata kail yang tergolong dalam custom hooks. Ia adalah mata kail udang atau prawn hook yang diubahsuai dengan menambahkan pemberat pada lengkungannya bagi membolehkan ia berkedudukan mendongak di dasar.
Tujuannya adalah untuk membolehkan hook up sempurna terhadap udang harimau sama ada ketika mengutis umpan atau cuba melarikan umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memang sakit kalau tengok orang sebelah je yang pacak… Orang sebelah je yang gasak, tapi kita membangau macam bangau panjang leher.
Kalau dapat ikan pun ada je masalah yang menyebabkan ikan gagal didaratkan. Bagi mengatasi masalah ini, ada baiknya kita buat homework sikit sebelum membuat lontaran pertama.
Tali reput
Buat pemeriksaan pada tali utama sama ada ia masih utuh atau sudah reput. Jika perlu buang beberapa kaki tali hadapan sebagai langkah keselamatan. Jangan sayang nak buang tali yang macam dah nak reput atau yang sudah luntur warnanya.
Ikatan
Jika menggunakan tali sulam dan perlu disambung dengan shock leader, pastikan ikatan sambungan itu kukuh dan kuat. Jika was-was, sebaiknya buat ikatan baru. Biar lambat asalkan tak lucut atau putus.
Jika menggunakan mata kail yang pernah digunakan, uji tahap ketajamannya dulu. Kalau dah kurang tajam, elok tukar yang baru. Kalau dah tumpul wajib buang terus jangan disimpan lagi.
Saiz tak ngam
Saiz dan jenis mata kail jugak perlu diperhatikan. Sebaiknya guna saiz mata kail yang sepadan dan elakkan guna mata kail kurang berkualiti. Mata kail yang kecil tak semestinya ikan kecil saja yang makan.
Set tak sepadan
Set pancing yang digunakan juga perlu sepadan dengan ikan target. Banyak kejadian ikan gagal didaratkan kerana joran atau kekili gagal menakluk ikan. Malah banyak kes kumpau disebabkan masalah asas ini.
Umpan salah
Umpan yang akan digunakan perlu dipastikan keberkesanannya. Sama sebagaimana pemancing lain gunakan. Kalau pemancing lain guna udang, kita pakailah udang. Kalau pemancing lain guna perisa pandan, kita gunalah pandan jugak.
Teknik silap
Jika umpan sudah bagus, pastikan teknik yang digunakan juga adalah sesuai. Sama ada teknik apung, gantung atau dasar. Yang penting kena pantau teknik apa yang cepat ikan ambil umpan.
Cara strike
Teknik strike atau menyentap ikan juga penting begitu juga dengan cara melayan ikan harus betul agar ikan berjaya didaratkan. Kalau strike siakap, jangan macam sentap udang galah. Kalau layan tenggiri jangan main macam layan gelama.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Ikan merah, jenahak dan siakap merah memiliki satu persamaan iaitu sangat lazat jika dijadikan kari! Jika dibandingkan, paling sedap ialah siakap merah. Nak-nak lagi bahagian kepalanya dijadikan kari dimasak terus ketika di atas bot memancing.
Bahan-Bahan:
800 gram kepala ikan siakap merah (lagi besar kepala lagi sedap)
Bahan untuk ditumbuk:
3 ulas bawang merah
3 ulas bawan putih
1 inci halia
1/4 biji bawang besar
Bahan untuk menumis:
3 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil halba campur
1 batang kecil kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
Sedikit daun kari
Bahan-bahan lain:
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 paket rempah gulai ikan
1 sudu besar serbuk cili
1 biji tomato di potong 4
5 batang bendi
garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
Bancuhkan serbuk kari dan serbuk cili menjadi pes yang pekat.
Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bahan yang ditumbuk kasar bersama bunga lawang, kayu manis, daun kari dan halba campur hingga naik bau.
Masukkan pes serbuk kari dan cili, tumis sehingga pecah minyak, kemudian masukkan ikan, tutup selama 3 minit di atas api sederhana.
Masukkan 2 cawan santan cair, biarkan sehingga mendidih, kemudian masukkan satu cawan santan pekat, garam dan gula secukup rasa.
Akhir sekali masukkan tomato dan bendi selama 2-3 minit atau hingga sedikit layu (kalau tak suka sayur tak perlu masukkan).
Hidang sedia untuk dihidangkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...