Setelah berehat hampir sebulan setengah di dockyard, selepas kembali dari Laut Andaman, Sea Splash kembali bergerak keluar dari muara Kuala Kedah. Namun kali ini Sea Splash kembali ke laut lepas  dengan pelbagai pembaharuan. Segala kekurangan dan kelemahan pada Sea Splash telah diperbaiki dan dinaik taraf.

 

Bagi kejayaan dan kelancaran trip singkat ini, Dato Shukri telah mengundang beberapa orang tekong tersohor dari Kuala Kedah yang berpengalaman luas dengan lubuk-lubuk di sekitar Tukun Perak dan beberapa orang juruteknik yang mahir membaik pulih enjin dan pendawaian. Walaupun kesemua ahli trip percubaan pertama ke Tukun Perak melebihi 20 orang, namun ruang di Sea Splash masih selesa bagi menampungnya.

 

Sekitar jam 5 pagi barulah Sea Splash dapat berlepas ke Tukun Perak. Dengan jarak melebihi 80 batu nautika dari Kuala Kedah, dan dengan kelajuan 7-8 knot ia memakan masa lebih dari 10 jam untuk sampai.

 

GT Frenzy Depan Mata Di Tukun Perak

 

Hampir separuh perjalanan bot terpaksa berlabuh di satu kawasan unjam berikutan mengalami sedikit masalah teknikal. Nampaknya gangguan teknikal ketika ke Burma Banks dahulu seperti mahu berulang kembali.

 

Sementara menanti juruteknik membaik pulih masalah yang dihadapi, dapatlah juga kami membuat sedikit warm up dengan berjigging. Namun lokasi tersebut bukanlah lubuk yang berpotensi. Tiada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan.

 

Jam 6 petang barulah kami tiba ke Tukun Perak. Sebaik saja sauh bot dilabuhkan dengan jarak lebih 200 meter dari sisi pulau, kelihatan gerombolan gerepoh atau GT boiling di bahagian hadapan pulau. Apa boleh buat… boleh tengok sajalah. Memandangkan bot sudah dilabuhkan, maka aktiviti memancing segera dilakukan.

 

GT Frenzy Depan Mata Di Tukun Perak

 

Ada yang melabuhkan umpan dengan teknik dasar, ada yang berjigging dan saya pula bersama dua orang pemancing yang lain mengambil tempat di platform bahagian atas bot untuk popping. Dengan harapan gerombolan gerepoh dengan saiz kasar itu bergerak ke arah kami.

 

Tidak menunggu lama rakan yang memancing dengan cara jigging dan bottom menerima habuan masing-masing apabila umpan dan jig disambar tongkol dengan saiz anggaran 5-8 kilogram. Melihat pada hasil tersebut timbul pula rasa kesal kerana memilih untuk popping.

 

GT Frenzy Depan Mata Di Tukun Perak

 

Ketika hampir berputus asa dengan usaha popping itu dua orang rakan yang turut popping di bahagian bawah bot menerima habuan berpenat lelah. Namun kedua-duanya berpihak kepada gerepoh apabila rabut ketika sedang bertarung. Sementara saya pula hanya sempat merasa sambaran namun tidak lekat. Setelah itu kelibat gerepoh hilang begitu saja.

 

Tukun Perak Waktu Malam

 

Bila malam menjelma saya lebih banyak jadi pemerhati kerana kesempitan ruang. Pemancing-pemancing bottom mengambil tempat masing-masing. Sesekali saja menyelit dengan mengaplikasikan teknik slow pitch jigging. Itu pun tak lama kerana arus agak laju yang menyebabkan jig digunakan mengganggu tali pancing pemancing lain.

 

GT Frenzy Depan Mata Di Tukun Perak

 

Tambah pula struktur dasar berbatu dan berkarang membuatkan saya mengambil keputusan untuk gantung joran selepas seketul jig berkubur begitu saja.

 

Setelah mengisi perut saya terus masuk tidur sehinggalah terjaga sekitar jam 3 pagi apabila terdengar keriuhan pemancing mendaratkan ikan. Geram pula bila melihat ada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan idaman jigging perlahan saya iaitu siakap merah.

 

Melihat pada lubuk yang agak berpotensi saya turut sama memancing dasar menggunakan set pancing jigging perlahan sehingga terbit matahari. Namun langsung tidak menerima sebarang getuan.

 

GT Frenzy Depan Mata Di Tukun Perak

 

Apabila matahari mula menampakkan dirinya, salah seorang tekong mengambil keputusan untuk berhanyut mengelilingi pulau. Ia cukup menggembirakan kami para pengamal sport fishing. Keputusan yang bagus untuk mencari gerepoh dengan aksi popping.

 

Tekong yang berpengalaman itu merapati tebing pulang pada jarak yang selamat. Selepas dua kali mengelilingi pulau tanpa sebarang hasil, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menamatkan sesi memancing di Tukun Perak ini dan bergerak ke Pulau Payar dan memancing di tuas-tuas kepunyaan mereka.

 

GT Frenzy Depan Mata Di Tukun Perak

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI