Di Sungai Kinta lebih-lebih lagi di sekitar kawasan Sungai Galah, terdapat banyak spot pancingan menarik yang menjadi pilihan kaki-kaki pancing dasar dan pengilat khususnya. Banyak juga terdapat taburan lombong pecah di sepanjang aliran sungai ini terutamanya dari Tronoh Mines.
Antara spesies ikan buruan yang terdapat di sini adalah sebarau, baung, jelawat, patin, toman, lampam, tapah, belida dan juga udang galah. Bagi saya yang gemar memburu sebarau sungai, di sinilah antara spot kegemaran saya di sekitar negeri Perak selain Sungai Kampar serta Hulu Belum.
Ads
Jarak perjalanan ke sini juga tidaklah begitu jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 30 – 40 minit dari pekan Tapah yang melalui Tapah Road, Chenderong Balai dan Ladang Rakyat.
Kaedah Pancingan & Faktor Pemilihan Air
Ads
Sebarau yang bersifat pelagik sudah pastinya mudah diburu dengan mengaplikasikan teknik mengilat gewang. Kebiasaannya waktu yang paling efektif bagi menduga sebarau di sini adalah dari seawal pagi dan lewat petang kerana spesies ini akan aktif mencari makan pada dua waktu ini.
Ads
Gewang-gewang yang lazim kami gunakan di sini adalah Rapala Shallow Shad Rap SSR5, Rapala Countdown CD5 dan Rapala Flat Rap 8cm berwarna natural seperti ‘Bleak’ dan ‘chrome’ serta skema warna terang seperti ‘Goldfish’, ‘Hot Tiger’, ‘Fire Tiger’ dan ‘Perch’ sekiranya kondisi air agak keruh.
Jika paras airnya sedikit tinggi, kami akan menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala Tail Dancer TD7 dan Rapala Shad Rap SR7.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bagi pemancing, nilai udang lipan terletak pada nyawanya. Ia tidak seperti sotong kurita yang berkesan sama ada digunakan ketika hidup mahupun sudah mati. Justeru udang lipan perlu disimpan hidup dengan sempurna. Kesilapan kaedah penyimpanan bakal mengakibat pemancing berputih.
Udang hidup haruslah disimpan di dalam bekas yang terdapat air masin (laut) dan oksigen mengalir masuk ke dalamnya. Manakala bekas simpanan udang lipan pula sebaiknya tertutup atau tidak terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.
Kunci utama bagi menjamin jangka hayat udang lipan adalah kualiti air masin yang diletakkan di dalam bekas simpanan. Air laut atau air masin yang digunakan harus terkawal tahap kemasinannya. Air masin yang sudah tercemar atau bercampur dengan air tawar bakal mengganggu ketahanan udang tersebut.
Begitu juga dengan pam udara yang digunakan haruslah berfungsi dengan baik. Lagi banyak pam yang digunakan maka lebih banyak oksigen yang dapat disalirkan.
Manakala bekas simpan seperti tong menyimpan ikan yang biasa digunakan haruslah dalam keadaan bersih dan bebas dari bau-bauan yang boleh menjejaskan kualiti air masin yang digunakan.
Cara cangkuk pada mata kail
Sebelum menjadikan udang lipan sebagai umpan, terlebih dahulu perlu diketahui cara-cara pengendalian udang tersebut bagi mengelak sebarang kecederaan berikutan keupayaan kuasa jentikan kaki depannya.
Udang lipan perlu dipegang dari arah belakang dengan menekan kepala dan ekornya sehingga berlipat. Jangan pula melipat udang terlalu kuat hingga boleh merosakan badannya.
Kemudian barulah guna mata kail dicangkukkan pada sisi ekornya. Jika ingin menggunakan dua mata kail, satu lagi dicangkuk pada sisi abdomen badannya. Kulit udang lipan agak keras, jadi pastikan guna mata kail yang kuat dan betul-betul tajam.
Sekiranya anda mengendalikan secara bijak dan berhemat, anda tidak risau kemungkinan akan dicederakan oleh kaki berpedangnya. Dan peganglah ia dengan penuh yakin… jangan macam acah-acah saja.
Kejayaan menewaskan ikan layaran dianggap sebagai lesen besar laut dalam. Namun untuk memperoleh lesen laut dalam ini bukanlah semudah yang disangka. Kami belanja sikit tip & panduan untuk korang yang berhajat untuk memancing layaran.
Peralatan & Persiapan
Kekili – Sebaiknya gunakan siri kekili 5000 dan ke atas yang boleh memuatkan tali sulam 40lb sekurang-kurangnya 200 meter.
Joran – Joran kekuatan 20lb-40lb atau PE 2-4 atau lebih.
Leader – 50lb atau bergantung kepada warna air. Kalau air jernih, guna di bawah 50 lb.
Mata kail – Wajib guna circle hook bagi kelestarian spesies layaran. Saiz 5/0 hingga 7/0 bergantung pada saiz umpan.
Pencarian & Pertarungan
Kejayaan misi memancing layaran banyak bergantung kepada umpan yang digunakan. Oleh yang demikian, dapatkan umpan hidup seperti tamban, selar, kembung atau sotong torak sebanyak yang mungkin ketika tekong berhenti mencari umpan di unjam-unjam.
Untuk mencari layaran, tekong akan mencari petunjuk dengan mengesan kewujudan burung-burung camar di permukaan laut. Burung-burung camar ini mengambil peluang mencuri ikan-ikan yang `dipengsankan’ oleh layaran sebelum menyambarnya.
Sebaiknya gunakan tiga set pancing sahaja bagi untuk memancing layaran bagi mengelakkan kejadian tali pancing bersilang sama ada ketika menghanyutkan umpan atau ketika layaran melarikan umpan. Dua set di bahagian belakang bot dan satu set di bahagian depan bot.
Ketika proses menghanyutkan umpan ini, korang masih boleh mencari umpan dengan teknik apollo. Apollo yang disangkutkan candat akan berpeluang memperoleh sotong.
Apabila salah satu pancing mengena, biarkan layaran melarikan umpan terlebih dahulu (tanpa drag), apabila ia berhenti seketika barulah gunakan drag dan hanya bertahan (tanpa strike) sehingga mata kail melekat pada paruh layaran. Kemudian barulah lakukan satu strike bagi mengukuhkan lagi tancapan mata kail.
Keseronokan utama memancing layaran adalah saat ketika ia melarikan umpan dengan pecutan yang menyebabkan spool berdesing memuntahkan tali. Justeru itulah pentingnya simpanan tali yang panjang dalam spool.
Jangan paksa layaran menghentikan lariannya, korang hanya perlu laraskan lagi tahap drag dan meminta bantuan tekong memandu bot mengikut larian ikan sekiranya perlu. Apabila ikan mula menghentikan larian barulah menarik tali masuk semula ke dalam spool.
Sebaik-baiknya jangan layan lama sangat sehingga layaran keletihan tahap maksima. Ia boleh menyebabkan spesies ini tertekan dan boleh menyebabkan kematian.
Pengendalian
Jika ingin bergambar dengan ikan, lakukan dengan pantas agar ikan tidak lemas akibat terlalu lama berada di luar air.
Untuk mendaratkan layaran, pegang kedua-dua bahagian paruhnya. Elakkan dari memegang hujungnya sahaja kerana boleh menyebabkan ia patah.
Paruh yang patah akan mengambil masa untuk tumbuh semula sekaligus merencatkan proses ia memburu makanan.
Sebelum lepaskan kembali, berikan bantuan oksigen dengan melalukan air ke insangnya. Lakukan sehingga ada pergerakkan ekornya seperti mahu berenang barulah lepaskannya.
Oleh kerana pari ikan yang suka mendap di dasar, peralatan halus dan lembut bukanlah lawannya. Tali pancing paling minimum yang disyorkan ialah 20lb.
Mesin atau kekili pula sekurang-kurangnya saiz 5000 dan paling penting tahan lasak. Joran pula sekurang-kurangnya berkekuatan PE2.
Waktu sesuai
Waktu sesuai ialah ketika arus tidak terlalu laju dan waktu di antara berlakunya perubahan pasang surut air. Pari menelan umpan tidak kira masa, sama ada pagi, petang dan malam.
Pari apabila menelan umpan dan terasa tekanan yang dikenakan ke atasnya akan mula melarikan diri.
Tenaga yang dimiliki pada permulaan ini sukar untuk ditangani pemancing. Jika berlaku keadaan ini kita perlu beri tali tapi jangan terlalu longgar dan tunggu sehingga larian pari lemah.
Semasa memberi tali, pada masa yang sama sentiasa berikan tekanan pari pari bertujuan meletihkan ia.
Jika ada peluang mengarau tali lakukan tanpa ragu-ragu. Bermain dengan pari banyak memerlukan kesabaran terutama apabila ia memekap di dasar dalam jangka masa yang lama.
Jenis pari
Jenis pari yang biasa makan umpan pemancing ialah pari benting, pari harimau, pari minyak, pari lalat, pari pasir, pari nyonya, pari daun, pari kulim, pari tanjung, ketuka dan
kadang kala pari lang. Pari paus, pari kebas dan pari serban adalah di antara pari yang tidak makan umpan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...