
Ikan tenggiri boleh dipancing sama ada ketika air pasang besar mahupun pada waktu air pasang kecil. Apa yang membezakannya hanyalah lokasi pemburuannya.
Contohnya ketika arus laju, tenggiri lebih senang ditemui di kawasan yang dasarnya memiliki struktur.
Jika memancing di kawasan yang sederhana dalam sehingga 40 meter, carilah dasar yang mempunyai struktur berbukit.
Pada kebiasaannya ketika arus deras, ikan-ikan kecil akan menjadikan struktur berbukit ini kawasan berlindung.
Sama ada anda memancing dengan kaedah umpan hidup atau umpan tiruan, kawasan ini perlu dicuba kerana lazimnya tenggiri akan memburu makanan di kawasan lindungan ikan-ikan kecil ini.
Faktor habitat
Bagi mengenal pasti kawasan ini didiami oleh ikan-ikan kecil, bolehlah diturunkan apollo. Sekiranya berjaya menaikkan ikan-ikan kegemaran tenggiri seperti selar atau kembung,
gunalah ikan-ikan tersebut sebagai umpan sama ada dengan teknik pancingan hanyut ataupun dasar. Jika ingin berjigging, pastikan jig memasuki kawasan tersebut.
Faktor suhu air
Selain itu, faktor suhu air juga memainkan peranan tersendiri. Untuk mengetahui suhu air, bolehlah merujuk kepada alat sonar yang digunakan tekong.
Bagi laut tropika seperti perairan negara kita, suhu air melebihi 30 darjah celcius merupakan suhu yang paling produktif kerana ikan berada pada tahap paling aktif.
Bukan saja tenggiri, ikan-ikan lain juga aktif memburu makanan.
Faktor lokasi
Faktor seterusnya adalah mengenal pasti kawasan sambaran. Sekiranya menggunakan umpan hidup, bolehlah dilabuhkan ke beberapa kawasan sasaran sama ada di dasar, pertengahan dan pra permukaan air.
Jika berjigging pula, jig perlu diunjun dari dasar hingga ke permukaan dan pastikan di kawasan mana ia menerima sambaran.
Dan akhir sekali yang menjadi penentu kejayaan adalah pemilihan kelengkapan memancing yang tepat.
Sebagai contoh, set joran yang sepadan untuk menahan kuasa pecutan tenggiri. Tali pancing yang cukup panjang untuk dihela keluar oleh tenggiri dan perambut mata kail yang mampu menangkis ketajaman gigi tenggiri.
Seram Sejuk Di Bawah Tiang Jambatan Pulau Pinang

Penang Bridge atau jambatan pulau pinang yang merentasi selat utara (selat penang) sepanjang 13.5 kilometer siap pembinaannya dan diguna pakai pada 1985.
Manakala panjang jambatan di atas air pula sejauh 8.4 kilometer. Namun apa yang hendak dibicarakan bukanlah di bahagian atas jambatan yang menghubungkan georgetown di bahagian pulau dan seberang prai di tanah besar semenanjung, sebaliknya kisah di bawahnya
Sekitar awal tahun 1980-an iaitu semasa tempoh awal pembinaannya heboh diperkatakan bahawa Jambatan Pulau Pinang memerlukan 40 kepala manusia sebagai pemujaan.
Apabila siap pembinaannya dan diguna pakai pula, ia dijadikan pula sebagai platform terbaik untuk bunuh diri.
Dan ditambah dengan kisah-kisah mistik dan mitos menjadikan Jambatan Pulau Pinang umpama lokasi angker dan tidak selamat untuk dijadikan padang pancing.
Setelah terpaksa membatalkan plan sebelumnya, perancangan kali kedua barulah penulis berpeluang untuk memenuhi pelawaan rakan memancing, Cikgu Sabri.
Beliau beriya-iya benar mengajak penulis untuk mencuba pancingan di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Sebelum pergi, penulis buat homework sedikit tentang senario memancing di bawah jambatan dan maklum balas yang diterima ternyata banyak menjurus kepada selangkah ke alam mistik.
Setibanya di jeti nelayan Ujong Batu, Bagan Dalam, kami segera mencari pengusaha bot yang menyediakan servis menghantar pemancing ke pelantar di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Tidak sukar untuk mencari pengusaha bot ini kerana ramai yang sedia menanti di jeti.
Dalam masa yang sama juga serba sedikit info dapat diperolehi bagi menentukan tiang jambatan yang mana akan dituju nanti.
Selain servis menghantar dan mengambil pemancing dari bawah jambatan, pengusaha bot turut menghantar menyediakan servis menghantar makanan dua kali sehari.
Sebelum berlepas, kami mengisi perut dan membawa bekal untuk makan malam sekali kerana tiada sebarang kedai makan di bawah jambatan, yang ada hanyalah tiang dan pelantar kosong.
Semangat untuk ke bawah jambatan kian meluap-luap bila melihat ada pemancing yang baru pulang membawa hasil seekor siakap mega.
Segala gambaran mistik tentang hantu air, cik ponti hanyut atau mayat orang bunuh muncul dari air dan macam-macam lagi lenyap begitu saja.
Terbayang pula aksi-aksi bertarung dengan ikan-ikan mega yang lebih 30 tahun mendiami lubuk-lubuk di bawah jambatan.
Namun bayangan itu tak kekal lama apabila terbayang pula sekiranya terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke pelantar yang tinggi dari paras air.
Daripada lebih 80 tiang menghala Georgetown dan lebih 80 lebih lagi menghala ke Seberang Prai yang sesuai untuk memancing, kami memilih tiang bernombor 40 menghala ke Seberang Perai.
Tiang ini tiang merupakan rebutan kerana sering menaikkan ikan-ikan mega dan kami bernasib baik kerana ia belum berpenghuni.
Bertambah lega kerana tidak perlu memanjat tangga yang didirikan dari atas bot kerana pelantar sekadar beberapa kaki saja dari paras air.
Agak memakan masa juga untuk membiasakan diri berada di atas pelantar tanpa pengadang dengan angin timur yang bertiup kencang tanpa henti. Terutamanya pada malam hari.
Biarpun masih tempias cahaya dari lampu jambatan, namun pergerakan seperti terbatas. Terasa cuak sekiranya tersilap langkah.
Sementara menanti ragutan ikan, apa yang mampu dilakukan hanyalah membaringkan tubuh beralaskan tikar kecil di belakang tiang sambil menggigil kesejukan.
Masuk hari kedua barulah penulis dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. Hilang sudah rasa gayat dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada memancing.
Umpan hidup tidak bermasalah di tiang 40 kerana agak mudah juga untuk mendapatkan kasai dan bilis dengan menggunakan apollo.
Hanya sambaran ikan saja agak kurang. Dan hampir setiap kali ada rentapan kasar pula, larian ikan ke tukun dan ke bawah pelantar pula menyebabkan tali utama bergeser dengan teritip dan putus.
Hanya seekor jenahak dan kerapu berskala remaja saja yang berjaya ditarik keluar dan selamat didaratkan.

Tiada sebarang tangkapan mega sepanjang tempoh lebih 50 jam memancing dan menggigil kesejukan sepanjang dua malam tidur di bawah jambatan.
Mungkin nasib tidak menyebelahi ditambah pula set pancing yang digunakan kurang bersesuaian.
Sekiranya menggunakan set pancing yang lebih kasar dan lasak menangani tukun dan teritip, kemungkinan besar ada tangkapan mega didaratkan.
Yang pasti bawah Jambatan Pulau Pinang masih ada banyak ikan mega dan wajar dimuatkan dalam kalendar trip memancing.
Dan penulis juga selamat dari dipertontonkan adegan mistik atau insiden bunuh diri.
Yang banyak kelihatan hanyalah sampah-sampah berterbangan dari atas jambatan yang turut menyumbang kemusnahan hidupan laut.

Wallago Hunter Sibu

(Oleh: Pashaa Rimbabarra Anglers Oo)
Disini kami ingin berkongsi sedikit pengalaman kami memburu ikan tapah bersama pembaca Majalah Umpan.
Ikan tapah memang sukar untuk dijinakkan ada kalanya kami balik dengan tangan kosong juga. Namun itu sudah menjadi kebiasaan bagi setiap para pemancing.
Kami telah pergi ke beberapa spot dan sentiasa ingin meluaskan spot wallago hunter kami.
Pada awal bulan Januari lalu trip wallago hunter kami mencuba nasib di Sungai Pasai Siong.
Kawasan Sungai Pasai Siong terletak 20km dari bandar Sibu yang menjadi tempat tinggal kami.
Di Pasai Siong ini kami akan bertemu dengan Tekong Wilson Pilo. Tekong Wilson pilo merupakan seorang yang sangat berpengalaman.
Kami sebenarnya kesuntukan masa untuk memburu tapah kerana musim yang sesuai untuk memburu ikan ialah waktu ikan tapah bertelur dari bulan Jun hingga Januari.
Air pasang surut turut memainkan peranan dan musim ikan ini aktif ialah musim menetas telurnya di hulu sungai.
Teknik untuk memburu ikan tapah ialah casting dan untuk memikat si tapah memang sukar jika air tidak sesuai tapi semangat mesti kenta.
Gewang yang digunakan ialah Halco dan sungai tersebut memang berpontensi untuk kami mencipta rekod.
Spot yang kami tujui memakan masa selama dua jam dari jeti rumah panjang tekong kami Wilson Pilo dengan menggunakan bot.
Perjalanan kami bermula seawal jam 6.30 pagi dan sampai ke lokasi pada 830 pagi dan di situlah kami memulakan teknik casting.
Setelah berberapa jam kami mencuba, joran tekong kami disentap dengan rakusnya dan gewang Halco yang digunakan membuah hasil dengan mendaratkan sang tapah seberat 6kg.
Kami tidak menyangka bahwa ikan ini aktif pada air pasang besar. Ikan ini bersembunyi di sekitar rumput-rumpai dan di celah celah pokok kayu mati.
Situasi menjadikan kami semakin bersemangat untuk mengilat sang tapah.
Selepas berberapa jam selepas itu joran Pashaa Oo pula disentap juga oleh sang tapah seberat 2kg.
Trip kami pada hari itu amat membanggakan kami dan ia membuktikan bahawa sungai tersebut masih berpontensi dan masih banyak spesis ikan tapah di situ.
Walaupun membuahkan hasil namun kami masih mencari spot yang lain. Kawasan dan keluasan sungai tersebut sepanjang Sungai Rejang.
Air kekuning-kuningan dan kehitaman di hulu sungai merupakan spot kegemaran ikan tapah.
Ikan ini memang padu tarikannya apatah lagi saiz yang mencecah 10kg ke atas. Boleh putus tali kita dibuatnya.
Ikan ini memang rakus dengan sambarannya membuatkan kita menggeletar kaki tangan apabila strike yang kita tidak jangkakan.
Ikan tapah memang hidup di kawasan air tawar dan air paya. Ikan ini lebih aktif bila waktu malam namun kami belum mencuba pada malam hari di kawasan tersebut kerana terlalu jauh dari kawasan rumah panjang.
Jika diberikan kesempatan kami ingin mencuba teknik troling pada malam hari.
Ikan ini boleh mencecah berpuluh kilogram beratnya jika terkena pasti anda akan tersenyum jika boleh mendaratkan saiz idaman.
Namun trip kali ini hanya saiz 2kg dan 6kg yang kami daratkan namun kami syukur trip Wallago Hunter Sibu 2019 membuahkan hasil yang tak mengecewakan kami.
Punggah Tenggiri Perairan Sarawak

Perairan Sarawak sememangnya terkenal bagi kaki pancing laut dalam yang gemarkan beraksi dengan penghuni dasar yang agak ganas. Ekosistem yang masih terpelihara membuatkan lubuk Paloh menjadi pilihan.
Menggunakan khidmat bot MV Nemo, kami bergerak ke lubuk yang dijadualkan akan tiba 12 jam lagi. Perjalanan sejauh 114 batu nautika dari Kuching mengambil masa yang panjang menempuh ombak walaupun jika dihitung jaraknya lebih kurang 200 kilometer ke tengah lautan.
Umpan sotong dan ikan telah dibeli awal-awal lagi supaya kami tidak membuang masa mencari umpan. Penggunaan umpan tiruan seperti gewang, jig juga akan dipraktikkan sepanjang misi pemburuan. Kekili elektrik menjadi peralatan utama dalam trip ni selain pilihan menggunakan kekili spinning.
Mana tidaknya, kedalaman sekitar 100 meter memang memeritkan kalau semuanya dikayuh. Apatah lagi dengan arus yang agak laju, batu ladung bersaiz 18 hingga 24 terpaksa digunakan untuk mencari merah atau kerapu yang bersaiz mega.
Setibanya di lubuk pertama, tekong mengambil sedikit masa untuk memakir bot agar berada tepat di lubuk yang disasarkan.
Umpan sotong dihulur secepat mungkin kerana umpan yang mencecah dasar dahulu mempunyai peluang yang tinggi untuk memikat mangsa yang terkejut dengan makanan yang berada di sarangnya!
Memang benar telahan awal apabila hanya beberapa saat sahaja Alley menerima ragutan kasar yang cuba melarikan umpannya, sentapan kasar dibuat melawan asakan mangsa agar mata kail benar-benar tertancap kemas di mulut dan kukuh untuk didaratkan.
Sesekali mangsa mengenjut kekili namun teknologi yang telah dicipta berjaya menahan asakan mangsa secara lembut. Akhirnya spesies merah seberat 5 kg berjaya didaratkan ke dalam bot. Bertalu talu spesies merah dan spesies lain mengena umpan hingga sekeliling bot merasai tarikan dan asakan mangsa yang terjerat olah mata kail kami.
TENGGIRI MENGGILA!
Apabila waktu semakin senja, tekong bergerak ke lubuk yang terletak 2 jam perjalanan dari lubuk pertama tadi. Dengan kelajuan 10 knot dan suasana laut yang sedikit tenang melancarkan perjalanan ke lubuk tersebut.
Ilham yang berada di posisi belakang menggunakan kelebihan yang menggunakan teknik drifting atau lebih dikenali teknik melayang umpan. Dengan mencangkukkan umpan kembung disokong dengan perambut dawai 40 lb ia dilepaskan dalam jarak 20 hingga 30meter dari bot.
Mat yang duduk di bahagian tepi bot MV juga melayangkan umpan yang sama menggunakan belon agar kedudukan umpan berada sekitar kedalaman 7meter daripada permukaan.
Tanpa disangka kawanan tenggiri yang merapati bot juga tetarik dengan layangan umpan. Secara serentak joran Ilham dan Mat diasak dan gelendong kekili manual siri 6000 memuntahkan tali.
Bimbang dua ekor spesies pelagik ini memintal tali, Mat bertindak berganjak dari kedudukan asal berlari ke bahagian hadapan manakala Ilham masih bertahan di bahagian belakang mengawal lariannya.
Mangsa berjaya didaratkan dibalas dengan sorakan. Ilham berjaya mendaratkan tenggiri seberat 6 kilogram manakala Mat berjaya mendaratkan tenggiri seberat 5 kilogram.
Pa’an dan rakan-rakan yang lain menggunakan teknik jigging dan melontar sejauh mungkin di kawanan tenggiri. Berpeluh melontar jig bersaiz 180gram berulang kali akhirnya disambut juga spesies pelagik ini.
Dengan berbekalkan joran yang agak ringan, permainan tarik menarik sengaja dibiarkan berlarutan sehingga 15 minit. Mangsa yang agak kasar ini terpaksa digancu supaya dapat didaratkan dengan selamat ke atas dek bot MV.
Pertarungan melawan kawanan si gigi tajam ini berlanjutan sehingga jam 5pagi dan selepas itu ianya hilang dan senyap terus dari mengena mata kail.