Ada ketika kita perlu melakukan ikatan sambungan leader dengan tali utama dalam masa yang amat singkat. Terutamanya ketika ikan sedang galak makan dan ketika itu jugalah leader atau perambut kita putus.
Ada banyak jenis ikatan penyambung tali utama dengan leader yang terbukti kuat tetapi agak sulit dan memakan masa untuk melakukannya. Sementara ikatan yang ringkas dan cepat siap pula kebanyakannya tak mampu bertahan lama.
Namun ada satu ikatan penyambungan sangat kuat dan cepat pula disiapkan. Walaupun ikatan Seaguar Knot ini agak kurang cantik dari segi kekemasan namun ia amat berkesan jika menggunakan leader yang tidak terlalu panjang.
Tutorial 1
Potong leader kira-kira panjang sedepa terlebih dahulu. Untuk ikatan ini leader perlu dipotong terlebih dahulu. Kemudian buat lingkaran pada hujung leader dan juga tali utama. Temukan kedua-dua tali itu secara bertindan.
Tutorial 2
Pegang hujung lingkaran kedua-dua tali dan buat pintalan beberapa kali.
Tutorial 3
Masukkan kedua-dua bahagian hujung tali ke dalam bahagian lubang di atas pintalan tali yang dihasilkan tadi.
Tutorial 4
Pegang bahagian simpulan dan tarik perlahan-lahan kedua-dua tali sehingga bahagian simpulan tersimpul kuat. Potong bahagian hujung tali rapat pada bahagian simpulan.
Ramai pemancing berpengalaman mengakui kebanyakan ikan lebih aktif mencari makan pada waktu malam. Terutamanya ikan spesies nokturnal.
Hal ini mungkin terjadi akibat fenomena pasang surut dan fasa-fasa bulan yang menjadikan ikan lebih aktif dan giat mencari makan di waktu malam berbanding siang hari.
Ada juga yang berpendapat ikan menjadi lebih aktif kerana suhu air yang mulai sejuk di waktu malam. Dan ikan-ikan bersaiz monster lazimnya keluar sarang pada waktu malam.
Hal ini memang harus diakui kerana tidak ramai kaki pancing yang gemar berembun dan menahan kesejukan pada malam hari semata-mata untuk memancing. Jadi, saingan anda semakin kurang terutamanya jika memancing di kawasan yang popular di kalangan kaki pancing. Justeru, potensi anda untuk mendapat hasil yang lumayan juga lebih tinggi.
Bagi yang gemarkan cabaran, memancing di waktu malam mesti menjadi pilihan mereka. Faktor cahaya yang terhad dan faktor-faktor lain akan menjadikan aktiviti memancing di malam hari lebih mencabar.
Walau bagaimanapun, sebagai pemancing anda haruslah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan walau di mana jua anda berada walaupun anda gemarkan cabaran memancing pada malam hari.
Umum mengetahui memancing di siang hari akan mendedahkan kaki pancing kepada ‘sunburn’ terutama jika tidak menggunakan pelindung muka dan tangan. Dengan memancing di malam hari pula, potensi-potensi untuk ‘sunburn’ akan hilang sama sekali dan anda boleh memancing dengan tenang tanpa merisaukan kulit anda terbakar dek panahan matahari.
Bukan senang nak melihat sendiri sotong berenang-renang di tepi bot dek limpahan cahaya lampu dan bukan juga senang nak menyaksikan kelip-kelip bila anda memancing di kawasan hutan dan paya bakau. Semua ni dapat dilihat bila anda memancing di waktu malam. Jadi, kesempatan yang ada itu, anda hargailah dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan tuhan.
Inilah kelebihan sebenar pagi penggemar aktiviti memancing waktu malam. Perasaan ini sukar untuk dihuraikan.
Ramai yang inginkan kebebasan ini tetapi gagal memperolehnya berikutan larangan dari keluarga (isteri) dan terlalu takut terserempak dengan hantu atau sebagainya.
Selain itu, anda akan merasa bebas dari memikirkan soal kerja kerana majikan tidak akan mencari atau mempersoalkan kenapa anda berada di padang pancing, bukannya di pejabat.
Selain digunakan secara terus (sebiji) dengan mencangkuknya pada mata kail, dihiris-hiris atau diperam terlebih dahulu, buah kelapa sawit juga boleh diproses untuk mendapatkan patinya. Pati sawit yang berlemak dan aroma inilah sebenarnya yang menjadi kesukaan kebanyakkan ikan air tawar terhadap buah sawit.
Berikut merupakan perkongsian cara-cara untuk menghasilkan pati (minyak) sawit yang boleh digunakan sebagai bahan perisa untuk dicampurkan dengan makanan ikan seperti roti atau untuk dijadikan umpan berkesan memancing ikan.
Cara Penyediaan:
Ambil kira-kira 50 biji buah sawit yang cukup masak dan tebal isinya.
Hiris atau racik sehalus mungkin sehingga keluar jusnya yang berminyak. Boleh juga hirisan halus ini dikisar untuk mendapatkan pati yang lebih banyak.
Cairkan dulu 1 tin kecil minyak sapi di dalam periuk kemudian masukkan pati sawit.
Masaklah dengan api kecil sehingga ia mendidih (menggelegak macam lahar gunung berapi) dan matikan api.
Biarkan ia menjadi sejuk, kemudian masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk.
Cara Penggunaan:
Apabila ingin menggunakan pati ini, panaskan saja setakat mana yang ingin digunakan. Kemudian campurkan dengan bahan perisa lain (perisa pandan atau strawberi) atau sos umpan lain yang diinginkan.
Untuk lebih berkesan, simpan pati campuran (umpan) ini di dalam bekas bertutup selama 3 hingga 5 hari sebelum digunakan bersama roti untuk memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...