
Barang yang diperlukan:
Tali tangsi 20-25lb
Mata kail saiz 4
Playar
Playar pemotong
Super glue
Cara-cara menghasilkannya.
- Ukur tali dua jengkal.
- Kemudian lipat dua tali berkenaan.
- Kemudian lipat tiga.
- Masukkan swivel ke dalam gelungan tali.
- Letakkan swivel di tengah tali. Lebihkan satu jengkal.
- Potong tali selepas diukur.
- Ikat swivel pada mana-mana objek yang kuat. Kemudian asingkan tali yang paling panjang dan mulakan sulaman sebanyak 15 kali.
- Ukur sama panjang dan potong lipatan tali tadi.
- Pisahkan kesemua tali dan ia akan kelihatan seperti ini.
- Ambil 1 bahagian tali, kemudian ambil tali yang panjang dan pintal sebanyak 5 kali pada tali yang diasingkan tadi.
- Setelah dipintal, jerut dengan kuat seperti gambar di atas.
- Lengkapkan pintalan pada semua bahagian tali.
- Hasil tali yang telah dijerut.
- Gunakan sebarang objek sebagai pengukur bagi mendapatkan ukuran yang sama.
- Hasil daripada tali yang telah ditanda
- Mulakan ikatan mata kail.
- Tarik dengan kuat dan berhati-hati.
- Potong lebihan pada tali perambut.
- Letakkan super glue pada setiap ikatan mata kail.Mata kail rambai yang telah siap.
Tobat Nak Mancing Lagi Di Lubuk Tobat

Kisah ini diceritakan oleh seorang rakan yang sememangnya seorang kaki pancing tegar. Ia sudah lama berlaku di negeri Selangor. Begini ceritanya…
Tengah hari yang cerah, cuaca yang baik untuk pergi ke Lubuk Tobat. Matnoor dan Bob menyiapkan persiapan mereka untuk memancing ikan tengas. Di Lubuk Tobat memang terkenal dengan ikan tengas yang besar sehingga mencecah lebih 3kg.
Perjalanan bermula dengan menaiki motosikal dan bersambung dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut. Pada jam 2 petang mereka tiba di Lubuk Tobat dan agak memenatkan, mereka pun merehatkan diri di tepi jeram sungai sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.
“Letak je dah lekat ikan tengas,” kata Matnoor pada Bob dengan senyum melebar. Memang lapar betul ikan tengas di sini. Matnoor dan Bob asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.
Tidak lama kemudian ikan semakin kurang menyambar umpan. Bob mula naik mencari port yang lebih sesuai lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Matnoor. Biarlah Matnoor seorang diri terus melayan di lubuk tersebut.
Tidak sampai setengah jam, Matnoor melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arah Matnoor. Sebaik sahaja sampai di tepi Matnoor, Bob menepuk bahu Matnoor sambil bersuara cemas.
“Mat… jom blah!”
Dengan tiba-tiba, selepas ditepuk oleh Bob, Matnoor melihat keadaan sekeliling menjadi gelap gelita, mereka memang terkelu melihat keadaan sekeliling, mereka merasakan keadaan baru jam 4 atau 5 petang, tetapi jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam.
Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang dijadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah. Dalam serba kepayahan dan mendebarkan mereka berjaya juga keluar dari kawasan tersebut.
Sehingga ke hari ini, Bob dan Matnoor masih mengatakan mereka baru sahaja tiba di Lubuk Tobat, tetapi hari sudah gelap dengan tiba-tiba. Memang sukar untuk diterima oleh akal. Mujur tak disesatkan atau hilang begitu saja.
Teknik Khas Mengail Udang Kara

Udang kara merupakan sejenis udang yang memiliki harga agak keras disebabkan kelazatan rasanya. udang kara biasanya ditangkap oleh para nelayan dengan menggunakan jaring di pesisir pantai yang berkarang. Tapi tahukah korang bahawa udang kara juga boleh dipancing?
Biasanya para pemancing tebing di pesisir pantai yang berkarang berjaya mendaratkan udang kara, yang pada umumnya tidak disengajakan.
Jika menjadikan udang kara sebagai sasaran utama memancing di kawasan dipenuhi karang ini bukanlah kerja mudah kerana pada kebiasaannya umpan dimakan oleh ikan lain yang banyak berkeliaran.
Cara memancing udang kara sebenarnya tidaklah susah sangat. Apa yang penting ialah menyediakan perambut mata kail yang khusus.
Perambut khusus tersebut ialah perambut cabang atau Y dengan empat mata kail berangkai sebagaimana gambarajah yang disertakan ini. Pilihan mata kail yang efektif ialah dari jenis wormer hooks.
Perambut yang disarankan adalah jenis monofilament dengan ukuran diameter 0.28mm.
Teknik pancingan adalah pancingan dasar dengan menggunakan pemberat atau batu ladung hidup kecil yang dimasukkan ke tali utama.
Saiz batu ladung bergantung kepada kelajuan arus. Tidak perlu terlalu besar tetapi pastikan ia tidak dihanyutkan oleh arus dengan mudah.
Pemilihan joran memadai yang tidak terlalu kaku dan reel berukuran kecil saja. Setup ultralight fishing pun boleh digunakan untuk memancing udang kara.
Panjang joran disesuaikan dengan spot memancing kerana udang kara biasanya bersembunyi di balik karang.
Umpan seperti udang hidup atau segar, hirisan ikan segar atau sotong segar boleh digunakan untuk memancing udang kara. Apa yang penting, umpan perlulah dihantar tepat ke kawasan berkarang ini.
Memandangkan udang kara adalah haiwan nokturnal yang aktif pada waktu malam maka waktu yang tepat untuk memancing udang kara adalah ketika bulan tidak bersinar pada malam hari.
Ketika malam gelap pekat udang kara akan keluar dan lebih aktif mencari makan. udang kara sangat sensitif terhadapan cahaya maka dari itu kurangkan penggunaan lampu suluh dan jangan gunakan lampu suluh yang terlalu terang untuk memilih spot.
Ketahui Kapasiti Bot Dan Kuasa Enjin Sangkut!!

Kesesuaian di antara sampan dengan enjin sangkut perlu di titik beratkan kerana padanan yang sesuai banyak mempengaruhi soal keselamatan, penjimatan bahan bakar dan penjimatan masa.
Berkata soal keselamatan, adalah tidak wajar bagi fiber 10 kaki di sumbatkan enjin sangkut 30 kuasa kuda.
Padanan begini boleh mengundang risiko walaupun bot masih mampu timbul di permukaan air namun bebanan enjin seberat 50 hingga 60 kilogram dan ditambah lagi dengan penumpang maka tampungan beban bot akan melebihi kapasiti sebenar.
Semakin besar kuasa kuda pada sesebuah enjin sangkut semakin laju lah menyusuri air. Namun padanan yang sesuai perlu diambil kira tentang keselamatan dan penjimatan minyak.
Kelajuan yang boleh dicapai dengan padanan sebegini boleh mengundang padah apabila throttle di pulas habis kerana ia mampu mencecah 15knot dan apa saja boleh berlaku dengan kelajuan sedemikian di laut, tasik atau sungai.
Kemalangan seperti bot terbalik atau terlanggar kayu akan menjadi lebih tinggi berbanding dengan kelajuan mengikut keperluan sebenar.
Ini adalah anggaran mengikut kesesuaian tampungan sesebuah bot dan janaan tenaga penggerak enjin sangkut dalam satu-satu masa. Contoh di atas boleh diguna pakai kerana kebiasaannya bot direka hanya untuk menampung berat mengikut kapasiti jisim yang telah dikira secara tepat.
Saiz bot yang biasa dijual di pasaran adalah standard namun kita boleh menempah mengikut kehendak dan kesesuaian penggunaannya.
Kiraan di atas adalah untuk rekreasi memancing dan bukan bertujuan untuk perlumbaan sukan air.
Ada pemilik bot memasang enjin sangkut melebihi kapasiti sebenar bot untuk tujuan tertentu namun bagi kaki pancing perkara pertama yang perlu diambil kira adalah keselamatan dan selebihnya barulah melihat aspek kelajuan sesebuah bot.
Kuasa tinggi yang ada pada enjin bot mampu memberi kepuasan kepada pemandunya dan pemancing lain untuk beralih dari satu lubuk ke satu lubuk.
Enjin yang lebih berkuasa tinggi bagi bot yang lebih besar.
Selain itu, padanan kuasa yang ada pada enjin tersebut mampu menolak bot menyusuri laluan mengikut kehendak pemandunya dengan lancar dan dapat menjimatkan bahan bakar.
Apungan mengikut kapasiti akan mengurangkan tekanan kepada bot untuk bergerak dan ini akan menjadikan perjalanan akan menjadi cepat dan lebih menjimatkan.