
Peralatan terminal seperti gewang termasuklah jig, direka cipta untuk siap sedia digunakan. Atau dalam erti kata tidak perlu sebarang bentuk modifikasi.
Tetapi, sekiranya anda seorang yang kreatif dan inovatif, tiada salahnya untuk melakukan kerja modifikasi bagi menambahbaikan aksi sesuatu gewang.
Peralatan Keperluan:
Jig mikro (berbadan tebal)
Split ring plier
Plastik keras
Gergaji kecil
Pengikir besi
Pita pelekat kertas
Super glue
Cara membuatnya:
LANGKAH 1
- Tanggalkan mata kail dan split ring dari jig mikro sekiranya masih ada pada jig.
- Lekatkan pita pelekat kertas pada tepi badan jig mikro (berkedudukan 45 darjah ). Pita pelekat sebagai garis panduan ketika proses menggergaji badan jig mikro. Boleh juga jika menandanya dengan marker dakwat kekal.
LANGKAH 2
- Tampalkan juga pita pelekat pada bahagian bawah dan tepi mikro jig.
- Gergaji secara mengiring pada kedudukan 45 darjah dan gunakan pita pelekat sebagai panduan.
LANGKAH 3
- Gergaji sehingga setengah dari badan jig mikro.
- Kemudian gunakan pengikir besi untuk meluaskan kawasan yang digergaji.
LANGKAH 4
- Bahagian digergaji yang sudah dibesarkan mengikut ketebalan plastik keras yang akan digunakan.
- Letakkan pita pelekat sebagai penanda bahagian yang hendak digunakan dan panduan memotong.
LANGKAH 5
- Gergaji plastik keras yang telah ditandakan dengan pita pelekat tadi.
- Letakkan plastik keras tadi di bahagian tengah jig mikro. Letakkan pita pelekat sebagai penanda untuk memotong plastik keras.
LANGKAH 6
- Lekat pita pelekat pada kedudukan senget.
- Potong bahagian pita pelekat tadi (gunakan pisau, pembaris dan berhati-hati).
LANGKAH 7
- Bentuk lidah yang telah siap dipotong dari plastik keras.
- Lidah jig mikro yang sudah siap.
LANGKAH 8
- Gunakan super glue untuk lekatkan lidah jig mikro atau anda boleh menggunakan apa saja pelekat yang kuat untuk mencantumnya.
- Biarkan super glue kering. Kemudian bolehlah digunakan dengan teknik casting.
Sentap – Kemalangan Fizikal & Mental Yang Menimpa Pemancing!!

Mabuk laut
Ia merupakan kemalangan yang paling pahit yang dapat dirasai ketika kemalangan. Risiko yang kerap terjadi kepada kaki pancing yang tidak biasa atau tidak selalu turun memancing di laut.
Kepada yang alah dan mabuk laut, tetapi mahu turun memancing di laut, persediaan perlulah dilakukan dengan baik.
Telan pil tahan mabuk setengah atau sejam sebelum menaiki bot. Selain itu elakkan makan makanan yang berminyak dan berlemak sebelum menaiki bot.
Rehat dan tidur yang cukup sebelum trip ke laut adalah tonik terbaik sebelum anda seronok memancing tanpa diganggu mabuk laut. Buat persiapan awal setup memancing.
Kena sailang
Barang peribadi Telefon bimbit, kamera antara gajet yang majoritinya kaki pancing akan bawa setiap kali memancing.
Kaki pancing perlu bersedia dengan beg kalis air untuk melindungi dua barangan ini dari terkena hujan atau jatuh ke dalam air.
Elakkan meninggalkan kereta di kawasan yang terpencil dan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang pengawasan.
Kes tayar kereta hilang dicuri, kereta di pecah masuk atau hilang antara kes-kes yang pernah berlaku. Jangan jadikan anda mangsa keadaan.
Kumpau
Kumpau atau kumpau berdarah adalah istilah terma yang masyhur dan sering diguna pakai dalam hobi ini bila tidak dapat ikan. Ia adalah risiko yang kaki pancing perlu sedar.
Ingat, hobi memancing bukanlah satu bentuk pekerjaan, sebaliknya ia lebih kepada satu hobi yang mampu memberi keasyikan dan ketenangan diri pada ketika bertarung menaikkan ikan buat insan-insan yang terpilih.
Kumpau merupakan kemalangan yang paling hampir dengan pemancing dan kemalangan yang paling banyak menimpa pemancing.
Kena sorok
Bagi kaki trekking memburu ikan sungai pergunungan seperti kelah dan tengas berkemungkinan tinggi akan berhadapan dengan kemalangan jenis.
Kena sorok atau disesatkan oleh penunggu hutan dari kalangan jin ini merupakan perkara lumrah yang berlaku.
Untuk mengatasi perkara ini daripada berlaku kepada anda maka kenalah jaga tata tertib sebagaimana memasuki sesuatu tempat yang bukan hak milik kita.
Kita sendiri pun kalau orang luar buat hal kat kampung halaman kita sendiri pun boleh naik angin juga.
Kena samun
Kejadian pemancing kena samun malah hingga membabitkan kehilangan nyawa sememangnya isu yang tidak boleh diabaikan begitu saja.
Sekarang ini makin menjadi-jadi pula kejadian samun terhadap pemancing. Jadi, kita sebagai pemancing jangan bertindak terlalu berani sangat dengan memancing seorang diri di kawasan terpencil.
Ia satu pengajaran juga kepada kaki pancing yang kedekut sangat tidak mahu berkongsi spot dengan orang lain dan menanggung risiko apabila memancing seorang diri.
Kena tinggal
Gejala kena tinggal (tak diajak dalam sesuatu trip memancing) ini merupakan fenomena terbaru dalam dunia memancing yang boleh menyebabkan kemalangan jiwa.
Sesiapa yang pernah mengalaminya saja yang dapat gambarkan remuknya hati dari kesan kemalangan tersebut.
Kecederaan sebab ikan
Selain disengat ikan berbisa, ikan-ikan yang bergigi tajam atau memiliki sirip berduri juga boleh mengundang kemalangan yang tidak diingini.
Ikan-ikan bergigi tajam seperti toman, alu-alu atau malong sudah diketahui boleh mendatangkan kemalangan jika tidak dikendalikan dengan hati-hati.
Begitu juga dengan ikan patin. Walaupun tidak memiliki bisa namun sirip berduri atau sengatnya itu boleh mendatangkan kecederaan yang menyakitkan jika menembusi anggota badan.
Malah ikan puyu sekecil dua jari itu juga boleh menimbulkan masalah yang amat besar jika melompat masuk ke dalam mulut.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Panduan Pancing Toman!!

Pemilihan joran
Joran berkekuatan sekurang-kurangnya 10-20lb dengan aksi sederhana berat (medium heavy) adalah disarankan.
Namun joran berkuatan 15-30lb dengan aksi sederhana berat merupakan pilihan yang terbaik. Bukanlah bermakna joran di bawah 10-20lb tidak boleh digunakan.
Nak guna joran 4-10lb pun boleh tetapi boleh ke joran tersebut beraksi sempurna jika strike toman melebihi 5 kilogram?
Peranan joran bukan sahaja untuk menarik atau mengepam ikan, sebaliknya juga untuk menyentap mata kail masuk ke rahang ikan toman yang keras.
Saiz panjang joran yang ideal ialah 6-8 kaki. Joran melebihi 6 kaki lazimnya lebih efisien untuk membuat lontaran menggunakan umpan seperti ikan keli hidup ke spot yang lebih jauh, sekiranya memancing dari daratan.
Jika menggunakan bot atau boating, joran berukuran 5-6 kaki lebih efisien.
Pemilihan kekili
Kekili saiz siri 3000 hingga 5000 paling sesuai digunakan. Tak kiralah kekili untuk kegunaan air tawar atau air masin semuanya boleh digunakan.
Yang penting kekili tersebut memiliki longkang gelendung atau spool yang dalam bagi mengisi tali tangsi yang mencukupi.
Daya seretan kekili atau drag kekili juga tidak perlu sehingga belasan kilogram. Drag 4 kg pun sudah memadai kerana boleh menggunakan bantuan tangan terhadap spool bagi mengekang larian toman.
Tali pancing sesuai
Penggunaan tali tangsi atau mono adalah disarankan untuk memancing toman. Tali sulam juga boleh digunakan tetapi haruslah disambung dengan shockleader 2-3 meter.
Ia bertujuan bagi mengurangkan risiko tali utama berbelit atau berpintal terutamanya jika menggunakan umpan hidup seperti ikan keli atau ikan lampam.
Tali tangsi yang tahan lasak dan geseran berkuatan 20-35lb adalah pilihan terbaik. Justeru itulah kekili saiz siri 3000 hingga 5000 adalah pilihan sesuai bagi memuatkan tali tangsi 20-35 lb ini.
Tali tangsi berwarna jernih atau kehijauan lebih sesuai digunakan atau tali yang sepadan dengan warna air lokasi pancingan toman tersebut.
Pemilihan mata kail
Boleh dikatakan banyak jenis mata kail seperti octopus hook, siwash hook atau circle hook boleh digunakan.
Saiz mata kail sederhana sekitar 2/0-4/0 sesuai digunakan bergantung kepada saiz umpan yang digunakan.
Apa yang penting mata kail mestilah tajam dan kukuh untuk menembus mulut dan rahang ikan toman yang keras. Shank atau teras mata kail sebaiknya yang sederhana tetapi kuat.
Teras yang halus bagus untuk strike tetapi dikhuatiri tidak mampu bertahan. Sementara teras yang tebal pula menyulitkan untuk hook up yang kemas.
Sebaiknya juga gunakan mata kail daripada material black nickel. Jumlah penggunaan mata kail pula bergantung kepada saiz umpan. Namun penggunaan 1 hingga 2 mata kail sahaja sudah memadai.
Perambut sesuai
Perambut mono filamen atau fluorocarbon 30-50lb sepanjang sekaki disambungkan dengan perambut dawai atau kabel 20-30lb kira-kira sejengkal.
Sebaiknya pilihlah dawai lembut yang disalut getah hitam. Yang penting perambut mata kail wajib menggunakan dawai atau kabel kerana toman bukan saja memiliki barisan gigi yang tajam bahkan rahang kuat yang mampu mematahkan mata kail.
Penggunaan perambut tanpa dawai pun boleh digunakan tetapi ia lebih bergantung kepada nasib. Kalau nasib baik, naiklah toman tapi kebanyakkannya jarang yang bernasib baik.
Umpan hidup
Apa sahaja benda berdaging boleh digunakan sebagai umpan toman. Namun umpan yang biasa digunakan adalah ikan hidup atau ikan mati.
Ikan keli, lampam dan puyu merupakan umpan hidup yang lazim digunakan dan berkesan. Untuk lebih berkesan, sebaiknya guna umpan yang boleh diperoleh di habitat yang sama dengan toman tersebut.
Sekiranya lubuk tersebut turut ada sebarau maka gunalah ikan sebarau sama ada hidup atau mati. Sudah sekian lama dikatakan toman dan sebarau saling bermusuhan.
Mengenal Identiti Spesies Udang Lipan

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Arthropoda
Subphylum: Crustacea
Class: Malacostraca
Order: Stomatopoda
Family: Squillidae
Genus: Squilla
Species: S. mantis
Binomial name: Squilla mantis (Linnaeus, 1758)
Synonyms
Cancer mantis Linnaeus, 1758
Udang lipan atau udang mentadak (mantis) adalah kumpulan stomatopod, adalah jenis krustasea air masin dari Order Stomatopoda. Terdapat sekurang-kurang 450 spesies udang lipan di perairan dunia.
Dalam masyarakat Assyrians kuno ia digelar ‘belalang laut’, di Australia ia digelar ‘udang pembunuh’ dan juga‘pemotong ibu jari’ kerana keupayaan haiwan ini untuk menimbulkan kesakitan luar biasa jika tidak ditangani dengan baik ketika memegangnya.
Ia mempunyai kuku cakar berkuasa yang digunakan untuk membunuh mangsa atau memecahkan cengkerang mangsa. Dan di Malaysia ia lebih dikenali sebagai udang lipan walaupun rupanya lebih mirip kepada mentadak (mantis).
Udang lipan biasanya membesar sekitar 10 cm. Namun sesetengah spesimen boleh mencapai sehingga 38cm. Udang lipan terbesar yang pernah ditangkap mempunyai panjang 46 cm dan ia ditangkap di Indian River, Fort Pierce, Florida, di Amerika Syarikat.
Kerapas (carapace) udang (kulit tebal, kulit tebal yang merangkumi krustasea dan beberapa spesies lain) merangkumi hanya bahagian belakang kepala dan empat segmen pertama thorax.
Udang lipan adalah antara pemangsa yang paling penting di kebanyakan habitat laut cetek, tropika dan subtropika. Walau bagaimanapun, mereka kurang difahami kerana banyak spesies menghabiskan sebahagian besar hidup mereka di dalam kolong dan lubang.
Udang lipan yang kami ingin ketengahkan di sini ialah dari jenis udang lipan yang biasa digunakan oleh pemancing sebagai umpan yang kerap digunakan untuk memancing ikan dasar bersisik di laut seperti jenahak dan kerapu.
Keunikan lain dari udang ini mempunyai dua mata yang berputar 360 darjah berfungsi sebagai radar. Kebiasaan udang ini bersembunyi dan berdiam diri di bebatuan dan balik karang sambil menunggu mangsanya.
Udang lipan termasuk salah satu hewan karnivor yang boleh membunuh ikan dengan ukuran lima kali lebih besar dari badannya. Dan jenis udang lipan yang menjadi pilihan kami ini membawa nama umum silver mantis shrimp atau squilla mantis.