Trip ini diatur setelah trip untuk memancing ke Pulau Sembilan terpaksa dibatalkan akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.

Untuk tidak mahu mengambil risiko harta dan nyawa maka Pak Chu mencadangkan agar kami memancing di dalam hutan di Batu Pahat.

 

Sungainya lebar, panjang, sedikit berjeram dengan airnya yang bersih. Masih belum tercemar dengan pencemaran sampah sarap yang biasa kita lihat di bandar.

Pak Chu memang biasa memancing dan memasang jala di sungai ini. Kebetulan sekarang musim air kering, Pak Chu bercadang untuk mengintai lubuk-lubuk dalam yang dikatakan tempat spesies baung berkumpul.

 

Pada hari yang dijanjikan,kami bertiga sudah bertolak menuju ke rumah Pak Chu di Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan untuk mengambilnya dengan kereta.

Kemudian barulah kami meneruskan perjalanan menuju ke Batu Pahat dengan mengikut jalan lama. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah.

 

Dari jalan besar, kami memandu melalui jalan tanah yang sedikit berlopak sehingga tiba di satu kawasan lapang.

Di situlah, saya meletakkan kereta sebelum perjalanan diteruskan ke destinasi yang dituju.

Setengah jam berjalan kaki, barulah kami tiba di lubuk pertama. Hampir dua jam kami memasang joran di sini, satu kelibat ikan pun tidak kelihatan.

 

Hampa dengan keadaan itu, Pak Chu mengambil keputusan menukar lokasi ke lubuk kedua yang terletak hampir 500 meter dari lubuk pertama.

Ketika itu, hari sudah beransur petang. Saya dan Hamdan terus mendirikan khemah dan mencari kayu api.

Kemudian tanpa disuruh, saya menanak nasi dan membuat sambal ikan sardin. Pak Chu dan Andak pula leka memasang jaring di dalam air separas pinggang.

 

“Minta-minta adalah rezeki kita malam ini,” kata Hamdan.

“InsyaAllah,” jawab saya. Bab-bab rezeki ini memang payah untuk diduga.

 

Nasib baiklah, saya sempat membeli empat tin sardin, sedikit ikan masin gelama basah dan ikan bilis untuk dijadikan hidangan makan kami selama tiga hari dua malam di sini.

Beras dan roti pula merupakan bekalan wajib yang memang dibawa setiap kali kami keluar untuk menjaring ini.

 

IKLAN

“Iddin, tengok ni…” Andak menjerit sambil tangannya menunjuk dua ekor ikan baung yang menggeletik di tangannya.

Saya tersenyum girang. Alhamdulillah, belum lama jaring dipasang, sudah ada ikan yang mengena. Baung pulak tu…aduh, terliur saya dibuatnya.

 

Andak terus membersihkan ikan baung bersaiz sederhana itu. Setiap sekor dipotong dua.

Saya pula terus memotong cili api, bawang besar, bawang putih, serai, kunyit hidup dan halia yang dibawa. Saya mahu masak asam rebus sahaja.

Sebaik sahaja air menggelegak, terus saya masukkan ikan baung tadi bersama asam keping, sedikit garam dan serbuk perasa. Jadilah untuk makan malam kami sebentar lagi.

 

Siang sudah mengengsot pergi. Senja datang merangkak sebelum hutan kecil itu mula diserkup kegelapan malam.

Ketika itulah Pak Chu mula memasang unggun api bertujuan untuk menghalau nyamuk dan sebagai ‘pendinding’ daripada binatang buas yang mungkin tak kami duga kehadirannya.

Badan yang penat, unggas yang berbunyi di kawasan sekeliling membuatkan saya lebih selesa untuk berada di dalam khemah.

 

Dalam keadaan khayal melayan penat badan dan mata yang mula mengantuk itulah, saya terdengar perbualan antara Pak Chu, Andak dan Hamdan.

Sebagai orang tua yang berpengalaman dengan hal-hal hutan, Pak Chu memberitahu beberapa pantang larang yang perlu dielakkan semasa memancing di hutan atau tengah laut.

 

Antaranya ialah, jangan bercakap besar atau takbur, jangan buang air kecil atau besar pada sembarangan tempat, jangan mengambil barang-barang pelik atau aneh yang kita jumpa di dalam hutan contohnya.

Kalau memancing di tengah hutan atau laut, jangan bawa bahan mentah seperti daging segar kerana dikhuatiri akan menjadi tumpuan makhluk halus.

IKLAN

 

Kalau berada di tengah hutan, jangan sembarangan menyuluh ke atas, dikhuatiri tersuluh hantu-hantu yang bergantungan di pohon-pohon besar.

Banyak jugalah ‘pesanan’ dan tip yang Pak Chu berikan. Antara mamai mendengar, akhirnya ‘suara-suara’ itu hilang daripada pendengaran. Saya tertidur dalam keadaan kepenatan!

 

Hanya pada jam dua setengah pagi, saya tersedar kerana terasa mahu membuang air kecil. Di kiri kanan saya terbaring Andak dan Hamdan.

Pak Chu pula sudah terbaring di atas kanvas berdekatan dengan unggun api yang hanya tinggal bara sahaja. Serba salah juga saya mahu pergi ke sungai dalam dinihari itu.

 

Kalau diikutkan hati, mahu saja saya mengejutkan Andak atau Hamdan untuk menemani saya.

Tapi takut kalau dikatakan pengecut pula. Dengan ucapan bismillah, saya melangkah ke anak sungai dengan lampu picit di tangan.

 

Selesai membuang air kecil, ketika mahu memusingkan badan, saya terdengar kocakan air sungai yang agak kuat. Seolah-olah ia sengaja dilakukan untuk menarik perhatian saya.

Saya cuba buat tak endah saja dengan kejadian itu namun belakang saya pula dibaling dengan batu kecil. Sakit juga dibuatnya.

Akhirnya, saya memberanikan diri untuk menyuluh ke tengah sungai.

 

Dengan bantuan cahaya daripada lampu picit, saya dapat melihat dua orang wanita berkulit putih mulus, berambut panjang sedang mandi di tengah sungai sambil berkemban dengan kain batik. Berderau darah saya seketika.

IKLAN

Mereka merenung saya sambil tersenyum dan melambai tangan seolah-olah mengajak saya untuk turut serta mandi bersama mereka.

Cantik paras wajah mereka sukar untuk saya gambarkan.

 

Senyuman yang dilemparkan bagaikan magnet yang menarik saya untuk datang mendapatkan mereka.

Namun, belum sempat kaki saya melangkah ke gigi air, bahu saya ditepuk dua kali dari arah belakang. Saya berpaling.

Pak Chu berdiri di belakang saya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

 

Apabila saya memusingkan kepala untuk memandang ke tengah sungai, kelibat dua gadis jelita itu hilang begitu saja.

Keadaan sunyi kembali dan ketika itulah baru saya rasa badan saya berpeluh dengan lutut menggigil ketakutan.

 

“Jom masuk balik khemah,” hanya itu kata-kata Pak Chu. Suara dan mukanya serius. Saya hanya mampu mengangguk dan berjalan dengan lemah ke khemah.

Puas saya cuba untuk memejamkan mata kembali namun gagal. Akhirnya saya tertidur juga tapi bersulamkan mimpi ngeri berjumpa dengan pontianak yang mukanya sungguh menakutkan serta asyik mahu menerkam saya.

 

Keesokan harinya, baru Pak Chu membuka cerita sewaktu kami bersarapan roti yang di cicah dengan baki sardin semalam.

Kata Pak Chu, perempuan cantik yang saya jumpa semalam ialah penunggu air yang selalu mengganggu pemancing di tengah hutan.

 

Kalau kita meranduk air untuk pergi ke arah mereka, kita akan mati lemas kerana biasanya penunggu itu akan membawa kita masuk ke lubuk yang paling dalam dan banyak kayu di dasarnya.

Saya bernasib baik kerana Pak Chu terjaga sewaktu saya melintasinya sewaktu mahu ke sungai.

 

Petang itu, kami bergegas pulang ke rumah. Trip kali ini hanya membuahkan lima ekor ikan baung dan sebesen besar ikan putih sebesar tapak tangan.

Saya pulang dengan membawa satu kenangan mistik. Namun jauh di sudut hati, saya tidak akan serik lagi untuk ke sini pada masa akan datang.

Bukankah dunia Allah yang luas ini kita kongsi bersama makhluknya yang lain? Wallahualam.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI