“Ikan apa yang selalu naik di kelong tu, wak?” tanya saya berbasa-basi sambil menanti air pasang di Jeti Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor.
Masalah mendapan lumpur menyebabkan bot dan sampan tidak boleh keluar masuk ke kuala ketika air laut sedang surut. Maka kami terpaksalah melangut sementara tunggu air pasang.
“Bukan ada ikan pun… kalau nak mancing sembilang bolehlah.”
Mak aii… bersahaja betul jawapan Wak Anuar tu. Tak ubah jawapan kawan-kawan bila minta pendapat hasil pancingan di kelong kupang milik Wak Anuar tersebut. Tersentap juga semangat dibuatnya. Rasa macam nak kensel saja trip ke kelongnya itu.
Namun, kejujuran Wak Anuar wajar dipuji kerana berani menyatakan situasi sebenar pancingan di kelong kupangnya. Menurut Wak Anuar, pada asalnya kelong kupangnya itu bukanlah kelong memancing sebaliknya pondok yang dibina untuk memantau ternakan kupangnya lebih 10 tahun yang lalu.
Gelaran kelong kupang itu hanya wujud hasil panggilan pemancing. Setelah kupang tidak sesuai lagi diternak ekoran pelbagai masalah, terutama mendapan lumpur yang menebal sehingga 13 kaki dalam tempoh 5 tahun terakhir, maka kelong itu bertukar status menjadi kelong memancing.
Ads
Perjalanan dengan sampan selama 10 minit ke kelong kupang dari jeti persendirian Kampung Banting tatkala air pasang, tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar situasi yang dinyatakan oleh Wak Anuar.
Yang pasti, kelibat 10 orang pemancing yang sedang memancing di atas gelegar buluh yang ditenggelami air pasang membukti Wak Anuar berkata benar bahawa hanya sembilang yang banyak bermukim di kelongnya. Itu pun tidak menyeluruh sebaliknya perlu pandai mencari lubuk-lubuknya di tiang-tiang pelantar kelong.
Ads
Cerita dari mulut ke mulut mengenai lubuk pari yang menjadi tujuan sebenar saya ke kelong kupang ini sebenarnya bukan cerita kosong. Sebaliknya ia terbukti dengan deretan ekor pari yang dipaku pada alang kelong.
Lantaran, 50 ekor udang hidup yang dibeli sebagai umpan pari tidak dibiarkan lama di dalam tong umpan. Balingan umpan udang hidup segera disambut. Tapi bukannya pari, sebaliknya dikerjakan oleh gelama yang merupakan penghuni lain selain sembilang.
Ads
Apabila air surut sepenuhnya, barulah terserlah dilema yang diluahkan oleh Wak Anuar. Sekeliling kelong seluas mata memandang umpama keadaan padang datar yang dilapisi lumpur selepas banjir.
Aktiviti memancing bukan saja tidak boleh lagi dilakukan, malah kelong sudah terputus hubungan dengan daratan. Situasi inilah yang membingungkan Wak Anuar tentang masa hadapan kelong kupangnya.
Hendak diusahakan ternakan kupang sudah tidak bersesuaian, hendak dibiarkan usang dimakan usia, ramai pemancing yang masih mahu menziarahinya, hendak dijadikan kelong memancing, bukan sedikit pula belanja baik pulih.
Ikan pun dah tak banyak masuk selain sembilang dan gelama. Yang pasti, hari ini atau esok para pemancing bakal kehilangan spot memancing yang sedia ketandusan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Kelang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini.
Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak.
Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat.
Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu
di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan.
Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka.
Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan.
Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Walaupun dari pangkalan yang berlainan, namun kami terus berhubung dan bertukar maklumat mengenai koordinat memancing antara satu sama lain. Sehinggalah pada suatu ketika, kami mula merancang untuk memancing bersama dalam satu sampan.
Pertemuan pertama di atas bot milik beliau pada hari yang dijanjikan. Ketika saya bersama rakan pancing lain tiba di pangkalannya, beliau sedang menyiapkan peralatan di sampan. Tanpa berbicara panjang bot yang siap terus dikemudikan menuju ke lokasi memancing setelah semua perkakas pancing dan umpan siap diuruskan.
Sampan beliau mudah dikenali kerana ia paling panjang yang berada di pangkalan, dipacu oleh enjin kembar 150 kuasa kuda jenis Big foot. Sampan 33 kaki ini dilengkapi dengan tandas tertutup ditempah dari Ibrahim Fibre yang beroperasi berdekatan dengan Kompleks Rakan Muda Sementa, Klang.
Sesuai dengan muatan 6 orang pemancing tapi kalau berempat lebih selesa. Sampan ini turut dilengkapi dengan tangki bekalan air tawar 200 liter untuk wuduk dan kegunaan perkumuhan. Kapten Hj Khairi Khairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Kapten sahaja cukup peramah.
Beliau adalah kaki pancing hardcore, pernah beberapa kali mengemudi sampan fiber miliknya dari jeti Sementa ke Pulau Jarak. Perkara yang jarang-jarang dibuat oleh kaki pancing sekiranya mengemudikan sampan. Kalau bot kayu lain cerita.
Antara destinasi popular beliau ialah Rumah Api Permatang Sedepa dan lokasi yang berdekatan dengan kawasan sempadan. Sebelum ini beliau banyak kali menyertai Labuan IGFA Game Fish di bawah label TEAM BUDU.
Sudah beberapa kali saya mengikut Kapten memancing di kawasan selat ini menggunakan sampan milik beliau. Untuk kunjungan terbaru ini dicatatkan sebagai tatapan untuk pembaca mengenai persekitaran memancing di kawasan yang terlalu hampir dengan kapal dagang dan kontena bagak.
Entah kenapa hari itu umpan kehabisan namun perancangan tetap diteruskan juga. Pagi berempat bergerak tanpa bekalan umpan sama sekali. Kapten bersahaja memacu bot ke arah boya sempadan laluan kapal dalam pagi yang agak sedikit berolak. Ikan yang dicari di boya tidak muncul-muncul.
Yang diperolehi cuma ikan-ikan plata, umpan yang paling tidak digemari pemancing tetapi tidak buat kapten. Kemudian kami beralih arah ke tali sauh kapal dagang yang berlabuh sementara di sepanjang Pantai Kelanang.
Sukar hari itu untuk mendapatkan umpan ikan tamban, mana-mana sahaja hanya plata dan cencaru. Usaha mencari ikan tamban berterusan sehingga akhirnya dapat juga dalam jumlah lebih kurang 10 ekor. Cukuplah untuk memancing seketika dan habis bekalan cari lagi, itu saranan Kapten.
Kemudian Kapten membawa kami ke lokasi tumpuan beliau memancing sejak akhir-akhir ini. Lubuk tersebut seperti kawah kecil sedalam 180 kaki dengan tebing dasar sedalam 140 kaki.
Tatkala menyiapkan kelengkapan perang, terpandang beberapa buah kapal cukup comel besarnya melintasi hanya beberapa meter dari kedudukan kami. Tak perasan kehadiran kapal kerana bunyi enjinnya terlalu senyap. Kapten buat tak kisah saja sambil memasang dua ekor ikan plata hidup pada pancing stail apollonya.
Beliau sebenarnya cukup arif dengan selok-belok pergerakan kapal dagang yang mundar-mandir di kawasan tersebut dengan bantuan GPS. Paparan pada skrin GPS jelas mengesan kedudukan kami yang agak selamat dari laluan kapal sempadan.
Susah dan berbahaya kalau memancing di sini tanpa mengetahui selok-belok laluan khusus untuk kapal dagang. Bila tekong buat tak endah, kami pun teruskan sahaja menyiapkan perambut. Bila ditanya Kapten, pakai apa sahaja perambut asalkan kuat.
Beliau menggunakan 80lb perambut apollo dua mata perambut, kami pula menggunakan satu perambut dua mata kail memandangkan saiz tamban agak besar. Berlatarbelakangkan irama muzik 60-an dari radio milik tekong, kami mula menunggu sentuhan ikan di dasar.
Bila hampir memasuki koordinat ‘strike’ Kapten akan bersuara memberi arahan supaya kami ‘standby’. Tali dihulurkan lagi dalam beberapa meter bagi mengelakkan umpan merentasi kawah terlalu ke atas.
Untuk itu ladung perlu sentiasa terseret di dasar sambil umpan akan melayang sedikit 1 meter dari dasar. Teknik ini amat berkesan bagi mengelakkan tali pancing tersangkut karang atau sebarang objek di dasar tempat ikan gemar menyepi.
.
Dalam beberapa detik setelah kapten melaung amaran berjaga, satu joran mengena. Walaupun agak kasar di permulaan babak, namun separuh air ikan sudah keletihan untuk menarik keluar tali dari gelendong kekili elektrik. Seekor kerapu untuk babak permulaan sudah dikira baik.
Selang beberapa detik ketika koordinat sampan mula keluar dari kawah kami menerima strike kedua. Kali ini mainan ikan agak bertenaga sehingga berjaya memberhentikan putaran kekili buat seketika. Nasib perambut 80lb yang disarankan dapat mengekang ikan sebelum ia tewas menampakkan merah di permukaan air.
5.5 kg merah untuk strike kedua. Ini kira sudah bagus. Bila sampan sudah jauh terkeluar dari kawah, kami mengulangi semula laluan asal supaya sampan akan melewati lubuk sasaran. Di pusingan kedua dengan baki beberapa ekor tamban, rentak yang sama di guna pakai.
Kali kedua bila bot masuk kawah, dua strike mengena dalam selang beberapa detik. Hasilnya satu tewas dan satu lagi ditewaskan. Takpe seri.. Kami mengulanginya lagi untuk pusingan ketiga. Kebetulan umpan tamban mati baki digunakan semuanya. Harapan terakhir.
Pusingan ketiga laluan disasarkan sedikit berbeza namun masih mengharungi kawah yang sama. Di pusingan ketiga, kena lagi ragutan kasar daripada pemangsa dasar. Yang kami pasti ikan spesies ikan merah mengikut cara mainannya dan di koordinat tersebut ikan jenahak amat jarang sekali diperolehi.
Entah mengapa di pertengahan perlawanan tiba-tiba sahaja tiada lagi tegangan tali, pemangsa yang melawan sudah tidak meloloskan diri…. Bila rabut kali kedua, pasti kawah berkenaan akan kosong, ikan ‘hilang’ mengikuti ‘rakan sekampung’ berpindah ke lokasi lain.
Kebetulan umpan juga turut habis memaksa Kapten menghidupkan enjin sampan menuju ke boya merah terletak kira-kira 2 batu nautika dari kedudukan kami.
Kebetulan hari itu boya ini cukup meriah dengan ikan selar dan selar kuning. Sedang orang di hadapan mendapatkan anak selar, Kapten di belakang tiba-tiba sibuk mengepam jorannya.
Umpan hidup yang dihulurkan disambut sang talang. Teruja juga melihat permainan talang yang sedang digempur Kapten. Beberapa kali lompatan ke udara sebelum ia tewas di birai sampan. Dalam masa mencari umpan hidup, sudah dua ekor talang dapat dijerat Kapten di belakang sampan.
Talang bukanlah pilihan untuk trip hari itu, cukup umpan sampan beredar menuju spot pancing kedua terletak kira-kira 4 batu nautika ke arah Timur Laut, satu lagi destinasi kegemaran Kapten.
Kedalaman hampir sama dengan koordinat pertama, set dan teknik pancing yang sama diteruskan. Hari sudah agak petang apabila sesi pancing kedua dimulakan. Setelah 45 minit berlalu tiada sambutan dari pemangsa dasar kami kemudiannya berkemas untuk pulang.
Semasa karau umpan ke atas, tidak semena-mena satu lagi sambaran diterima. Talang penutup tirai memberi sedikit kelegaan sebelum kipas enjin sampan berputar ligat memacu sampan pulang ke tempat ia diparkir.
Jika merujuk kepada bahasa Thailand, bung membawa maksud kolam dan pla buk adalah ikan patin Mekong.
Maka apabila nama Bung Pla Buk disebut, maka anda sendiri sudah boleh membayangkan sendiri situasi dan keadaannya.
Bung Pla Buk merupakan kolam pancing air tawar komersial bersaiz sederhana kira-kira tiga jam perjalanan atau 230km dari Pattaya.
Ia terletak kira-kira 20 km ke barat ibu kota wilayah bersejarah Ayutthaya dan lebih kurang satu jam perjalanan dari Bangkok.
Bung pla buk atau bung senna mengikut sebutan masyarakat tempatan ini mempunyai banyak ikan patin terutamanya patin Mekong.
Kami diberitahu oleh pihak kolam bahawa kolam ini mempunyai lebih daripada 200 ekor ikan patin Mekong bersaiz 80 kg atas.
Ikan di sini kebanyakannya memakan sekam padi atau hong, dicampurkan dengan roti hancur.
Pada akhir Julai tahun lalu kami bersama team Weebass Malaysia dan Thailand dan juga team Burn International meluangkan masa selama dua hari di sini.
Kumpulan kami seramai 18 orang dari seluruh Malaysia ke sini untuk mencuba peralatan baru dari Weebass dan Burn International.
Selain itu, misi kami untuk dua hari ini adalah untuk memberi peluang kepada lady anglers dalam kumpulan kami menarik ikan patin Mekong mega.
Pada hari pertama, cuaca pada waktu pagi agak mendung. Ini menyebabkan ikan tidak begitu aktif. Walau bagaimanapun, kami dapat juga menaikkan lebih daripada 10 ekor ikan sebelum tengah hari.
Haiza turut menaikkan seekor patin Mekong bersaiz 30 kg. Sebelah petang sekitar jam tiga, hujan turun pula turun lebih kurang 30 minit.
Selepas hujan cuaca bertukar panas dan kembali aftif. Kami menaikkan banyak ikan berlainan saiz. Sebelum senja, beberapa ekor ikan bersaiz mega berjaya dinaikkan.
Salah satu daripadanya dinaikkan oleh tester Weebass Thailand dengan anggaran berat sekitar 80kg.
Pada hari kedua, cuaca juga agak mendung dan tiupan angin agak kuat berbanding kelmarin. Ini menyebabkan kami tidak dapat memancing dengan teknik apungan.
Kami dipaksa memancing teknik dasar menggunakan umpan roti sahaja. Walau bagaimanapun selepas beberapa jam, hasrat kami tercapai juga apabila kesemua lady anglers berjaya bertarung dan menaikkan patin Mekong masing-masing.
Hujan lebat yang melanda pada sebelah petang menyebabkan kami terpaksa menamatkan sesi memancing lebih awal.
Selepas meluangkan dua hari di kolam, kami amat gembira kerana misi kami tercapai. Haiza selaku ketua lady anglers turut gembira kerana dapat menimba pengalaman baharu yang begitu menyeronokkan.
Meskipun sesi memancing di sini agak mencabar, kami akan membuat perancangan untuk kembali lagi pada musim panas nanti.
Kami percaya cabaran yang bakal kami tempohi nanti lebih mencabar dan penuh keseronokan!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...