Lokasi terakhir kami ialah memancing di sebuah Empangan yang berhampiran dengan Pantai Desaru iaitu Empangan Sungai Lebam. Kami menyewa sebuah bot laju untuk casting di empangan ini.
Empangan ini sangat dikenali oleh kaki pancing yang tinggal berhampiran kerana populasi toman yang banyak mendiami Empangan ini. Selain itu dikhabarkan juga, terdapat patin dan tapah bersaiz gadang pernah ditewaskan oleh pemancing sebelum ini di sini.
Cuaca yang berangin dan mendung memberi kelebihan untuk casting sepanjang hari. Memancing di empangan ini tidak mengecewakan. Banyak ikan toman berjaya diperoleh di sini. Gewang minnow dan selaman dalam cukup laku lebih-lebih lagi buat toman bersaiz remaja.
Ads
Terdapat juga di beberapa lokasi empangan ini diselaputi rumput-rumput panjang. Kami dapati, toman juga banyak menghendap mangsa di celah-celah rumput yang panjang.
Umpan katak tiruan kalis sangkut juga yang dibawa memberi banyak kelebihan semasa memancing di sini. Artoz juga berjaya menangkap seekor haruan yang beratnya hampir 2 kg. Setiap hasil tangkapan di empangan ini kami lepaskan semula dengan selamat.
Ads
Kembali Pulang
Tamatnya memancing di Empangan Sungai Lebam, bermakna kami telah mengakhiri trip marathon kami di Johor Bahru.
Ads
Lokasi berbeza-beza serta variasi pancingan yang pelbagai telah kami kunjung sepanjang 5 hari kami berada di Negeri Johor. Pancingan di kolam, muara, laut dan empangan ternyata telah memberi kami satu kepuasan memancing yang maksimum.
Walaupun tidak semua kunjungan kami berjaya, tetapi kami tetap gembira memancing di negeri Johor ini dan amat berterima kasih kepada warga JFT terutama Che Wan kerana sudi melayan kami sepanjang kami berada di sini. Kami pasti akan kembali lagi ke negeri Johor kerana banyak lagi spot-spot menarik untuk memancing yang belum kami kunjungi lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Gabungan idea dan konsep melancong sambil memancing amat menarik minat kumpulan saya berdasarkan cerita-cerita daripada rakan pemancing yang sudah berpengalaman memancing di Pulau Aur.
Lokasi memancing di sini yang terkenal dengan keindahan pantai dan taman laut menguatkan semangat kami untuk mengalami pengalaman memancing sedemikian.
Maka bot Tuna Biru menjadi pilihan kami untuk merealisasikan hajat kami ke sana. Selepas mendapatkan nombor yang perlu dihubungi, kami pun mengatur jadual dan membuat
tempahan 3-4 bulan awal kerana terlalu banyak permintaan tempahan dengan jadual yang padat dari pemilik bot.
Jika ada pemancing yang ingin menikmati pengalaman memancing sambil bersantai saya berpendapat memancing di Pulau Aur, Mersing adalah pilihan yang paling tepat.
Ini merujuk kepada pengalaman saya memancing di sana baru-baru ini.
Kami seramai 8 orang dari KL tiba pada hari yang dijanjikan. Tanpa membuang masa, kami terus berjumpa dengan tekong Sham yang kelihatan masih muda tetapi kaya dengan pengalaman.
Selepas memunggah barang ke dalam bot, kami terus menuju ke Pulau Aur yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan.
Bot Tuna Biru
Sebelum kami mula memancing. Bot Tuna Biru singgah di unjam berhampiran untuk sesi appollo ikan umpan. Memang mudah untuk memancing appollo di sini.
Appollo kami sering full house di unjam yang singgah. Dengan pantas ia memenuhkan stok umpan hidup kami.
Selepas kami tamat sesi appollo, kami mula melakukan teknik trolling.
Dengan menggunakan gewang tundaan Rapala magnum red head, kami trolling berhampiran unjam.
Diketahui di kawasan unjam memang menjadi tempat menghendap bagi ikan-ikan pelagik seperti ikan tenggiri dan alu-alu.
Selepas bot berpusing-pusing beberapa kali di kawasan unjam, kami menerima satu strike yang padu.
Dengan penuh cermat kami melayan tarikan ikan, akhirnya seekor ikan tenggiri berjaya didaratkan.
Kami menyambung lagi sesi trolling di kawasan tersebut dan hasilnya beberapa ekor ikan tenggiri lagi dan belitong berjaya didaratkan.
Selepas puas melayan tarikan ikan di unjam, kami berpindah berhampiran perairan Pulau Aur untuk memancing dasar.
Tekong akan mensasarkan kawasan lubang dan karang yang kaya dengan ikan. Selepas 45 minit perjalanan, bot berlabuh di kawasan karang.
Maka bermulalah sesi memancing dasar pula. Memandangkan kedalaman air sedalam 60-70 meter, tekong mencadangkan kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 60lb dan batu ladung bersaiz 14.
Dengan berumpankan isi sotong dan ikan kembung hasil apollo sebelum ini, dengan mudah kami berpesta ikan kerapu. Saiznya juga amat memuaskan sekitar 1kg-2.5kg.
Sekali sekala ada juga rakan kami yang berjaya memperoleh kerapu seberat anggaran 4-5kg.
Kami memancing sepuas hati pada hari pertama trip ini berlangsung dan apabila hampir pukul 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Aur.
Santai Pulau Aur
Apa yang menarik tentang trip ini ialah, jumlah kos memancing yang telah dibayar oleh kumpulan kami merangkumi kos penginapan chalet dan makan minum.
Setibanya di pulau ini, kami dibawa bersiar-siar terlebih dahulu menaiki speed boat di sekitar Pulau Aur.
Kemudian barulah kami berlabuh di Pulau Dayang yang terletak bertentangan dengan Pulau Aur.
Chalet yang disediakan amat selesa dengan kemudahan yang sangat memuaskan. Selepas kami check-in di chalet, kami menikmati keindahan pantai pulau tersebut.
Ada juga beberapa orang rakan kami yang tidak menahan keinginan untuk bermandi manda serta bersnorkeling di tepi pantai. Memang mengujakan!.
Ada juga lebih bersantai-santai di pantai sambil merehatkan badan dan menikmati air kelapa muda di tempat rehat yang disediakan.
Selepas kami membersihkan diri, kami dijemput oleh tekong dan awak-awak untuk menikmati makan malam bersama mereka.
Lubuk Merah dan Kerapu
Hari kedua, seawal 6.00 pagi kami terus keluar dan menuju ke lubuk yang berikutnya. Dengan teknik perambut 2 mata seperti semalam, kami mula menurunkan umpan secara perlahan-lahan.
Apabila umpan sampai ke dasar dengan pantas rod kami menunjukkan ada tanda getuan ikan memakan umpan yang diturunkan.
Rakan-rakan yang lain juga mengalami situasi yang sama. Nampak gayanya ikan-ikan di sini amat pelahap.
Ikan merah, ibu kerisi dan ikan kerapu berjaya didaratkan di lubuk ini. Selepas puas melayan ikan di sini, kami bergerak ke lokasi yang lain.
Pelbagai ikan yang menghuni karang berjaya kami naikkan tanpa perlu menunggu lama.
Kami meneruskan rutin memancing sehingga petang dan pulang ke chalet seperti semalam. Tanpa disedari kami hampir memenuhkan tong-tong kami.
Hari ketiga kami menyambung rutin kami seperti hari-hari sebelum ini. Memandangkan ini hari terakhir kami memancing bersama Tuna Biru, kami akan memancing sambil menuju pulang ke jeti.
Pelbagai ikan lagi berjaya kami daratkan pada hari ke terakhir. Tepat pukul 3 petang kami tiba di jeti di Bandar Mersing.
Ikan kami bahagikan sama rata kepada semua ahli trip dan sempat singgah membeli keropok lekor yang terkenal di Mersing.
Selepas selesai urusan kami di sini, kami bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur.
Next Trip
Selepas mengalami pengalaman yang begitu mengujakan, ia telah menjelaskan kepada diri saya kenapa Mersing dan Pulau Aur menjadi pilihan terbaik untuk memancing.
Memancing sambil bersantai di Pulau Aur yang indah selama 3 hari 2 malam merupakan pengalaman terbaik sepanjang menceburi dunia memancing ini.
Walaupun tidak dapat merasai pengalaman memancing pada waktu malam di Pulau Aur seperti trip-trip lain sebelum ini, ia tidak memberi kesan kepada kumpulan kami kerana stok ikan yang kami perolehi sudah lebih daripada mencukupi.
Sikap tekong Sham dan ayahnya yang peramah juga menjadi salah satu faktor kenapa ramai kaki pancing gemar menggunakan khidmat mereka.
Pada saya, trip sebegini amat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak hendak memancing lama di laut.
Atas faktor-faktor tersebut jugalah, kumpulan kami tidak ketinggalan untuk membuat tempahan awal untuk trip akan datang sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Kakap merah merupakan ikan yang bersifat pemalu tetapi sangat agresif meragut umpan dan daya lawannya yang hebat sering menjadi buruan dan trofi kaki pancing yang berlabuh di pelantar minyak atau gas pada waktu malam. Ikan ini sangat sukar dijerat dan jarang dapat dipancing kerana tabiatnya yang suka menghuni kawasan tiang yang dipenuhi teritip dasar pelantar.
Kejadian ini berlaku sekitar jam 1.00 pagi setelah penat berjigging. Empat orang daripada kami berehat di luar kabin sambil baring-baring. Salah seorang awak-awak bot memasang set pancingan dasar (set kekili elektrik) dengan menggunakan perambut tanduk berumpankan ikan seekor, dilabuhkan ke dasar kemudian diangkat dua hingga tiga depa dari dasar agar umpan tergantung.
Beliau kemudian meninggalkan rod berikat dan menyambung semula kerja menguruskan ikan hasil jigging untuk disimpan dan membasuh lantai bot penuh lendir ikan.
Sejurus kemudian secara tiba-tiba joran pancingan dasar tersebut melentur. Loceng yang dipasang pada hujung berkerincing seperti direntap ikan bersaiz kasar. Terkejut kami satu bot dibuatnya. Pertarungan agak sengit dan akhirnya mangsa pun timbul di permukaan air.
“Mak janda dah ada kat bawah ni!” Awak-awak bot menjerit.
Mak janda?! Kakap merah la maknanya tu. Kami yang tengah tidur-tidur ayam terus bangkit dan tanpa membuang masa terus melompat ke spot masing-masing dan setting peralatan pancingan dasar. Dua belah kiri dan dua belah kanan bot.
Tidak sampai satu jam satu persatu joran kami direntap penghuni dasar dan bermulalah kisah menggasak kakap merah. 12 ekor kakap merah berjaya didaratkan. Jangka masa situasi ini berlaku lebih kurang dua hingga tiga jam sahaja. Kemudian suasana kembali menjadi sunyi sepi sehinggalah terbit fajar.
Menurut tekong bot, Azlan Salleh atau lebih dikenali sebagai Pok Lan, kebiasaannya pada satu-satu trip pemancing hanya mampu mendaratkan ikan kakap merah ini dalam satu hingga ekor sahaja.
Tetapi kali ini group kami bertuah kerana berjaya mendaratkan berbelas ekor kakap merah bersaiz kasar. Andai kata tiada kejadian rabut, putus atau terlucut mungkin lebih lagi dapat diangkut keluar dari lubuk kakap merah tersebut.
Untuk bergerak merentas jeram dan melalui alur sungai ia bukanlah sesuatu yang mudah ditambah lagi jika kurangnya pengalaman memahami bentuk halangan yang terdapat di laluan tersebut. Risiko yang boleh terjadi adalah seperti bot terbalik atau lebih parah lagi bot pecah akibat hentakan pada batu atau kayu.
Kebiasaannya permukaan air akan kelihatan memecahkan alur air menandakan terdapat sesuatu berada di bawah dan ia perlu dielak. Bagi misi sebegini sampan kayu adalah yang paling sesuai kerana ketahanannya apabila terkena batu ataupun kayu dan ia lebih stabil berbanding sampan daripada jenis fiber.
Bahagian perut sampan yang sama paras dengan kipas enjin sangkut menjadikan enjin sangkut lebih terjaga berbanding perut sampan yang tinggi dan kipas enjin sangkut terdedah kepada pelanggaran objek seperti batu atau kayu.
Bagi jeram yang tidak tinggi kebiasaannya bot masih mampu mendaki secara perlahan asalkan perut sampan tidak tersangkut. Sebaiknya seorang jurumudi di bahagian hadapan membantu mengawal muncung bot agar sentiasa berada dalam kedudukan yang dikehendaki.
Jadi, bagi anda yang tidak mahir dengan laluan air, jangan sesekali membawa bot berkenaan. Beri keutamaan kepada mereka yang mahir mengendalikan bot terutama jika sungai tersebut mempunyai banyak jeram.
Jangan bawa barang berlebihan kerana ia akan menyebabkan keseimbangan bot menjadi sukar dikawal. Dan paling penting jangan lupa pakai jaket keselamatan walaupun di kawasan air cetek, apatah lagi jika terdapat batuan yang banyak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...