Pada permulaannya, bayan akan memberi tekanan yang paling maksimum, jelas kelihatan joran akan membengkok. Kita tidak perlu merasa panik dan tunggu saja, di mana tidak perlu terburu-buru membuat karauan.
Sekejap saja tekanan semakin kendur dan mulalah mengarau kekili anda, pasti akan merasa seakan menarik seketul batu yang besar.
Daya juang bayan memang kuat sebaik saja meragut umpan, tetapi sekejap saja ia akan mengangkat bendera putih. Tetapi yang penting, kita dapat mengawalnya daripada menyelinap ke dalam lubang atau struktur berbatu dan karang.
Ads
Sekiranya ikan terlebih dahulu menyelinap ke dalam struktur berbatu, lupakan niat anda ingin bergambar dengan spesies cantik berwarna-warni ini.
Ads
Perambut kasar 80lb atau lebih disarankan. Ini bukan kerana gigi kapak yang tajam, tetapi untuk mengelakkan perambut mudah putus sebaik saja bergesel dasar berbatu dan berteritip.
Panjang perambut cukuplah sedepa, paling elok sekiranya anda dapat meletakkan umpan anda betul-betul di atas struktur berkarang, dengan batu ladung diangkat sedikit ke atas.
Drag hendaklah dikunci mati, di mana kita tidak boleh bermain tarik tali dengannya. Memancing bayan disarankan menggunakan joran yang agak keras dengan kekili berkualiti tinggi, agar sistem tegangan berfungsi dengan baik.
Pernah sebelum ini seorang pemancing menggunakan kekili murah. Sebaik saja dihentam bayan, tali masih lagi keluar dari spool, walaupun sistem tegangan sudah di tahap paling maksimum. Mungkin bayan besar sudah membaham umpannya. Ia satu kerugian yang amat dikesali.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berkongsi kereta untuk pergi memancing merupakan satu rutin yang biasa diamalkan oleh para pemancing. Tidak sama ada lokasi memancing dalam jarak jauh atau dekat. Ia adalah satu langkah yang bijak dan menjimatkan.
Namun, demi keselamatan bersama, beberapa panduan atau etika berkongsi kereta ini perlulah diamalkan oleh semua ahli trip.
Panduan Bagi Pemandu
Pandu dengan cermat dan berhemat. Tak kiralah kereta sendiri atau kereta member sentiasa peka pada pemanduan.
Pastikan sampai ke destinasi dengan selamat. Tak guna sampai cepat tapi dalam keadaan yang sakit-sakit.
Jangan berangan strike lebih-lebih. Kalau boleh jangan berangan langsung. Takut nanti sambil berangan pun boleh kumpau.
Jangan paksa drive sebab mengantuk atau letih. Jangan sayang nak bagi kereta pada member untuk drive.
Co-Pilot
Navigate jalan. Tolong cadangkan route yang lebih cepat dan selamat.
Jangan tidur! Sentiasa pantau keadaan pemandu dan gaya pemanduannya.
Jadi penghibur atau tukang cerita. Cerita bohong pun tak apa janji ada interaksi dengan pemandu terutamanya.
Jadi pembantu keperluan pemandu seperti berikan air minuman, nyalakan rokok atau sebagainya.
Kebanyakan pantang larang melibatkan aktiviti memancing ini diwarisi oleh pemancing masa kini dari pemancing terdahulu.
Walaupun ada pantang larang yang kedengaran agak wajar, namun bukan sedikit yang sekali dengar saja dah nampak mengarut.
Apa kata kita kaji balik pantang larang ini dan pertimbang dengan waras akal agar tidak jauh terpesong.
JANGAN LETAK SET PANCING SEBELAH TONG SAMPAH… NANTI KUMPAU!
Admin langsung tidak nampak apa kaitan kumpau dengan meletakkan barang pancing bersebelahan dengan tong sampah.
Lainlah kalau letak dalam tong sampah dan dah bukan lagi kumpau, tapi langsung tak boleh nak memancing kalau sampah tu dah dipungut oleh lori sampah.
JANGAN GUNA UMPAN BANCUHAN KUNYIT DAN TEPUNG… NANTI BUAYA MENGAMUK!
Katanya, jika di sungai yang dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh mengamuk?
Admin tak berani jugak nak komen… hahaha. Ada ke sesiapa yang boleh sahkan buaya tak suka bau kunyit?
KEPAL TANAH JIKA TERSESAT DI HUTAN…
Jika tersesat di dalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, ada petua yang agak misteri iaitu dengan cara telanjang dan buang air kecil.
Selepas itu, ambil tanah di antara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Khabarnya jalan pulang akan ditemui.
Macam baik punya kencing je ni. Hehehehe… korang pernah buat ke?
JANGAN PAKAI SELIPAR ATAU KASUT ATAS BOT
Ada juga beranggapan benda-benda di bawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.
Kalau inilah sebabnya, admin rasa dah jauh sangat mengarutnya. Kalau ada yang buat pantang larang macam ni elok dengan dia sekali dihumban ke dalam air.
Boleh ke korang berkaki ayam pijak lantai bot di waktu panas terik?
MELUDAH UMPAN SEBELUM BUAT BALINGAN… BARU ADA ONG!
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama di dalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru.
Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang. Admin tak kisah pun… asal jangan meludah time ada kat sebelah je.
JANGAN BERPATAH BALIK JIKA TERTINGGAL BARANG… NANTI KUMPAU!
Dilarang patah balik ke rumah sekiranya ada tertinggal barang. Ada yang beranggapan akan berlaku perkara tidak baik dan juga tidak akan dapat hasil tangkapan.
Admin pun tak faham benda macam ni pun ada yang percaya. Kalau korang tertinggal paspot nak pergi memancing oversea, takkan tak nak berpatah balik kot?
JANGAN LANGKAH JORAN… NANTI KUMPAU!
Admin percaya masih ramai yang berpegang pada pantang larang mengarut ni. Tak habis-habis dengan masalah kumpau.
Apa pun memang tak bagus langkah joran apatah lagi joran member yang mahal harganya. Buatnya terpijak, tak ke termenung nak bayar ganti).
JANGAN TEGUR KALAU TERNAMPAK BENDA-BENDA PELIK
Yang ni admin setuju sangat la… hahaha. Kalau terhidu benda wangi atau nampak api terbang ke bunyi mengilai ke… diam-diam sudah.
Kalau tak tahan, cabut je jangan cakap banyak. Kalau nak cabut tu jangan cabut seorang diri je, ajak la rakan sekali walaupun dia tak nampak apa-apa.
JANGAN BASUH TANGAN KAT DALAM AIR TEMPAT MEMANCING
Admin rasa kena tengok tempat jugalah. Kalau memancing kat kolam, takkan tak boleh basuh tangan guna air kolam tu.
Kalau memancing kat parit yang airnya macam longkang, admin pun tak nak basuh tangan.
JANGAN POTONG TALI PANCING GUNA GIGI
Admin rasa pantang larang ni direka oleh pemancing yang kerjayanya ialah doktor gigi kerana sebab kenapa tak boleh potong tali pancing dengan gigi tak dinyatakan.
Dari aspek kesihatan memang tak bagus gigit tali pancing ni apatah lagi kalau gigit tali sulam.
Hutan simpan Ulu Pering diselimuti oleh kepekatan malam tanpa ditemani oleh cahaya bulan. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang menghidupkan malam di hutan simpan ini. Bersatu bersama nyanyian arus sungai yang mengalir laju dicelah-celah bongkah batu besar yang berceratuk di tebing dan tengah sungai.
Aku menggeliat seketika. Badan yang letih dan mata yang mengantuk, membuatkan aku terasa tubuh seperti mahu melayang-layang. Perjalanan ke sini tadi mengambil masa hampir empat jam lamanya. Tiga jam perjalanan berkereta dan sejam berjalan kaki meredah belukar lalang setinggi pinggang orang dewasa.
Kalau diikutkan badan memang penat tetapi apabila aku melihat Zahim dan Zahirudin masih segar melayan joran masing-masing yang agak galak dimakan ikan, aku kuatkan semangat untuk mencontohi kerajinan mereka berdua. Manalah tahu kalau-kalau malam ini aku mendapat ikan kelisa yang menjadi idamanku.
Aku mula memancing. Di tepi khemah berbentuk A itu, Zairi dan Mazin masih rancak berbual sambil menghirup kopi panas. Aku tidak tahu apa topik yang mereka bualkan kerana kebisingan arus sungai yang bagaikan tiada berpenghujung.
Malam semakin larut. Mataku terasa semakin berat. Aku benar-benar mengantuk kini. Akhirnya aku mengalah. Malam itu aku cuma mendapat dua ekor ikan baung seberat 500 gram. Umpan yang aku gunakan bagai tidak dapat memikat hati penghuni di dasar sungai untuk memakannya. Aku mengerling ke arah Zahim dan Zahirudin. Mereka masih lagi setia menjadi penunggu di tebing sungai.
Zairi dan Mazin juga masih lagi rancak berbual. Kali ini aku dapat menangkap topik perbualan mereka. Semuanya berkisar tentang bola dan jualan rumah yang semakin mencecah tinggi di Kuala Lumpur. Aku berjalan masuk ke khemah. Merebahkan badan di atas kanvas biru yang dijadikan alas perbaringan. Bantalku hanyalah beg galas yang berisi pakaian dan sehelai kain pelikat. Tidak sampai beberapa minit, aku sudah terlena.
Ketika tidur itulah, aku didatangi oleh dua orang wanita yang sungguh cantik. Mereka memanggil daripada sebelah kanan pokok balak tinggi yang menjulang berhampiran khemah yang aku dirikan. Aku katakan mereka cantik kerana seumur hidupku dua puluh tiga tahun ini, inilah kali pertama aku memandang wanita yang paras rupanya bagaikan bidadari.
Kulit mereka putih, alis mata melentik dan terbentuk indah, hidung mancung. Bibir pula kemerah-merahan. Mata mereka sangat indah bagaikan bulan yang bersinar penuh. Jujur aku katakan, aku sudah jatuh cinta pada mereka berdua!
“Saudara Fazrul, dari tadi kami asyik memandang saudara. Sejak saudara melalui perkampungan kami siang tadi. Saudara tak seperti sahabat saudara yang lain. Kami suka melihat saudara solat dan berwirid selepas itu. Suara saudara membaca surah Al Fatihah sungguh mendayu-dayu dan menarik perhatian kami untuk bersahabat dengan saudara. Sudikah saudara menjadikan kami berdua sahabat?” tanya seorang wanita cantik itu sambil tersenyum padaku. Ya Allah, mereka tahu namaku rupanya.
“Siapakah saudari berdua?” suaraku akhirnya terkeluar setelah rasa terkejutku hilang. “Nama saya Putri Khaisara. Ini pula adinda saya, namanya Putri Kasturi. Kami sebenarnya merupakan anak penghulu yang menjaga perkampungan di sini,” jawab salah seorang puteri itu sambil tersenyum dan menampakkan susunan giginya yang putih dan bersih.
Otak warasku sempat juga berfikir. Mana ada perkampungan di dalam hutan simpan yang tebal ini. setakat perkampungan orang asli itu mungkin ada tetapi daripada paras rupa dan pakaian kebaya yang mereka pakai, aku percaya kedua-dua beradik ini datang daripada keturunan orang yang berada. Siapakah mereka yang sebenarnya?
Kami terus berbual-bual hinggalah bunyi kokokan ayam jantan kedengaran bersahut-sahutan. Ini menandakan waktu subuh hampir masuk. Sebelum mereka minta diri untuk beredar, aku memaklumkan kepada mereka keinginan hatiku untuk memancing ikan idamanku iaitu kelisa atau kelah emas. Mereka berdua hanya ketawa sambil mengatakan itu perkara yang sangat mudah!
Aku hanya tersedar apabila dering handphone yang telah aku set berbunyi. Berat sungguh untuk aku membuka kelopak mata. Peristiwa yang aku alami tadi aku anggap hanyalah satu mainan mimpi yang berlaku akibat badan letih dan tidur di dalam hutan yang asing bagiku.
Selesai solat subuh dan berwirid, aku menyambung aktiviti memancing dengan misiku untuk memburu kelisa atau ikan kelah. Dan tanpa diduga, pagi itu sesuatu yang luar biasa berlaku. Setiap kali aku melabuhkan joran, pasti kelah idaman akan tersungkur pada mata kailku.
Peristiwa itu membuatkan rakan-rakanku terasa amat pelik. Hanya aku daripada kami berlima yang berjaya mendaratkan kelah sebesar lengan lelaki dewasa. Mereka berempat hanya mendapat ikan yang ‘biasa biasa’ saja seperti baung dan sebarau.
Sehingga kini, aku masih lagi ‘bersahabat’ dengan kedua orang puteri yang jelita itu. Kini aku faham. Mereka sebenarnya berasal daripada perkampungan bunian Islam yang ada di situ.
Mungkin kerana kami berlima berniat baik dan mengerjakan suruhan Allah dengan taat seperti bersolat lima waktu, maka kami tidaklah diganggu dengan peristiwa yang aneh atau menakutkan. Hingga kini, setiap kali aku memancing di sini, ikan kelas gred A pasti menjadi kepunyaanku dan peristiwa ini kekal rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...