Untuk memikat senangin, terutama sekali pemancing harus tahu keadaan pasang surut air. Pada kebiasaannya, paras air pasang dari 1.8 ke 3.0 meter merupakan waktu yang terbaik.
Apabila air mula pasang, tunggu sehingga paras air naik ke separuh nak penuh baru boleh cuba untuk memikat senangin. Keadaan air pula wajib berarus.
Tetapi tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan. Cubalah memikat sehingga paras air hampir pasang penuh.
Apabila air sudah pasang penuh, senangin agak kurang makan dan tidak aktif. Tunggulah sehingga air mula bergerak sudut dan mencuba lagi memikat sehingga paras air surut dan kembali normal.
Ads
Lazimnya senangin sangat suka dengan keadaan dasar yang berpasir dan tidak terlalu dalam. Jangkaan dalam 2-3 meter kedalaman air.
Untuk memikat senangin, pemancing boleh cuba teknik top water (popping), gewang crank selaman dalam dan micro jig (10-20 gram) mengikut tempat dan kelajuan air.
Pemilihan gewang sebaiknya tidak terlalu besar. Memadai gewang bersaiz 7cm hingga 9 cm. Untuk teknik popping pula, pemancing harus memilih popper yang agak bising (bunyi kuat) untuk menarik perhatian senangin.
Ads
Selain itu teknik karauan juga memainkan peranan. Kebiasaannya, karauan laju dan jerk menjadi keutamaan. Bagi penggunaan gewang crank selaman dalam pula, lakukan karauan seperti biasa sahaja.
Hanya baling dan karau santai. Bagi penggunaan micro jig pula, teknik jerk hujung joran dan karau untuk dua atau tiga pusingan dilakukan berulang kali.
Ads
Sebaiknya setiap balingan ke sesuatu spot yang sama itu diulang beberapa kali sebelum beralih ke spot yang lain.
Kebiasaannya senangin memburu makanan secara berkumpulan. Oleh yang demikian, pemancing boleh melontar gewang di tempat yang sama apabila nampak ada pemangsa mula menyambar gewang. Kemungkinan senangin yang lain pula akan menyambar gewang yang anda lontarkan.
Senangin juga memiliki aksi akrobatik apabila terkena gewang. Seperti siakap, ia juga berkebolehan memutuskan tali pancing dengan pipinya yang tajam. Jadi pemancing harus pandai control drag sewaktu ikan mengena dan berhati-hati melayan sehingga ikan selamat didaratkan.
Untuk pengetahuan semua, tip dan panduan ini amat berkesan di padang pancing khususnya di muara Sungai Penor, Kuantan. Mungkin di lokasi lain sebelah pantai barat sedikit berbeza namun tiada ruginya jika pemancing ingin mencubanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Gerepoh atau atau nama saintifiknya Caranx ignobilis merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae.
Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally, ikan yang mempunyai bentuk kepala curam yang kelihatan gagah dan sirip kaudal yang kuat sering menjadi obsesi kegilaan kaki pancing.
GT merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja di singgahsana sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang.
Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, GT menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set ‘heavy’ sekalipun.
Sesetengahnya pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, GT akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan
hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang.
Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
MORFOLOGI
Secara morfologi luaran ikan GT, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap.
Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam.
Sesetengah GT juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan GT.
Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral.
Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan GT tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
TABURAN DAN HABITAT
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulaupulau timur Afrika dan di utara Jepun.
GT juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang.
Juvenil GT pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun.
Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
GT dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya.
Kawasan berair cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, GT bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak.
Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
SAIZ DAN KITARAN HIDUP
GT merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, GT umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, GT mampu mencapai berat 200lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian.
Apabila dewasa, biasanya GT akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
DIET PEMAKANAN
Ketika memburu, GT menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya.
Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya.
Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama GT ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, GT mampu bertukar lebih bengis dan licik.
Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut GT.
Selain itu, kelicikan GT juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. GT bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Di sebaliknya ikan yang biasa kita tangkap dijadikan sumber protein, ikan hiasan, ada juga ikan yang lebih besar saiznya dari manusia, mampu mencederakan dan membunuh dan sebagainya. Dan terdapat juga beberapa fakta luar biasa yang perlu diketahui tentang ikan dan juga moluska atau sesiput.
Hidupan Marin Genius
Dolfin
Otak ikan lumba-lumba atau dolfin berfungsi untuk komunikasi sosial, mampu mengolah maklumat, menyelesaikan masalah dan cergas dalam menerima perkara-perkara baru. Tidak hairanlah ikan lumba-lumba pernah membantu peronda pasukan tentera laut Amerika Syarikat sekitar tahun 1960-an. Ikan ini menggunakan sonar biologi mereka untuk mencari objek tertentu.
Sotong Kurita
Pelbagai kajian telah dilakukan untuk menguji kecerdasan haiwan ini. Antaranya, meletakkan ketam di dalam bekas dalam takungan. Ternyata sotong kurita mampu membuka bekas dan menangkap ketam berkenaan.
Jadi, pastikan anda tidak menggunakan sotong kurita hidup sebagai umpan jika memancing secara bersauh kerana berkemungkinan besar ia menyorok di dalam apa-apa saja bekas atau botol yang ditemuinya.
Hidupan Panjang Usia
Ikan Koi
Ikan ini merupakan simbol dari negara matahari terbit, Jepun. Bukan sahaja harganya mahal, hayatnya juga boleh lama, iaitu lebih dari 200 tahun. Ikan koi yang paling tua yang pernah direkodkan adalah koi betina yang diberi nama Hanako yang mati pada 7 Julai 1977 (1751 – 7 July 1977).
Ikan yang dipelihara oleh beberapa penjaga ini mati ketika berumur 226 tahun di bawah penjagaan Dr. Komei Koshihara.
Paus bowhead
Paus bowhead merupakan mamalia laut yang hidupnya paling lama. Antara rekod yang pernah dicatatkan tentang mamalia ini adalah 211 tahun umurnya.
Geoducks
Ia salah satu keluarga moluska yang berumur panjang. Kerang yang hidup di air masin ini mampu hidup sehingga 160 tahun. Bagaimana untuk mengetahui umurnya? Ia boleh dilihat dari leher yang panjangnya boleh melebihi 1meter panjang.
Dengan nama santifiknya Tachypleus gigas, belangkas dikenali dengan nama umum Indo-Pacific horseshoe crab, Indonesian horseshoe crab, Indian horseshoe crab, atau southern horseshoe crab, merupakan salah satu daripada spesies hidup dalam keluarga ketam.
Belangkas boleh ditemui di pesisir pantai di Asia Tenggara dan selatan pada kedalaman sehingga 40 meter. Ia mampu membesar panjang termasuk ekor sehingga 50cm dan dengan kelebaran cengkerang sehingga 26cm.
Bentuk badannya yang bercengkerang dan dilihat seakan-akan kereta kebal mini yang berwarna kehijauan.
Kebiasaannya, bagi nelayan di Malaysia, belangkas amat mudah ditangkap menggunakan jaring atau pukat yang dipasang memanjang di pesisiran pantai berpasir.
Apabila air mulai bergerak pasang, belangkas akan bergerak ke pesisir pantai dan dari situlah ia akan terperangkap di jaring yang dipasang merentasi pantai.
Tahukah anda, belangkas juga boleh ditangkap menggunakan tangan. Caranya dengan memerhatikan kelompok buih di atas air (sepanjang gigi air). Dengan cara ini, Ia memerlukan daya penglihatan yang tajam untuk menangkap spesies ini.
Kebiasaannya, belangkas akan diperolehi sepasang, iaitu jantan dan betina. Kebanyakan penangkap belangkas, hanya akan mengambil belangkas betina manakala jantan akan
dilepaskan. Ia disebabkan betina bersaiz lebih besar, lebih banyak isi dan mengandungi telur.
Sumber makanan
Untuk menyiang belangkas ia memerlukan ketelitian kerana anda perlu membuang saluran najis hingga ke kantung perutnya yang berada di tengah-tengah anggota kakinya hingga ke dubur iaitu pangkal ekor tajamnya.
Ini kerana, bahagian tersebut mengandungi sejenis toksin yang boleh membuat pemakannya berasa mabuk dan pening kepala. Untuk resipi, belangkas boleh dimasak asam pedas kering atau masak lemak cili api (salai terlebih dahulu).
Rasa isinya memang manis seperti isi ketam dan telurnya yang banyak dan rasanya seakan kuning telur asin yang menyelerakan.
Umpan power
Selain dijadikan masakan, belangkas juga amat popular di kalangan kaki pancing laut mahupun kolam kerana keupayaannya dijadikan umpan yang berkesan untuk memikat ikan.
Untuk pancingan laut, biasanya, pemancing akan menggunakan telur belangkas dan dikepal bersama mata kail untuk menjerat pelbagai jenis ikan. Ia memang terbukti mampu menjinakkan spesies bersengat seperti sembilang, belukang dan duri.
Manakala untuk pancingan air tawar, belangkas lazimnya diproses menjadi minyak yang dicampur bersama dedak atau pallet untuk menjerat rohu, patin, jelawat dan lampam.
Keberkesanan minyak belangkas ini menjadi ia umpama senjata utama khususnya oleh pemburu ikan rohu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...