Apabila dikenali ikan yang dipancing itu ialah layaran, cubalah untuk tidak memanjangkan tempoh pertarungan. Pertarungan yang panjang sehingga melebihi 30 minit akan meningkatkan tekanan atau stress pada ikan.
Ia turut menjejaskan mekanisma dan sistem biologi ikan yang tidak dapat dilihat pada fizikal ikan. Justeru itulah kita disarankan menggunakan peralatan berkuasa bagi menyingkatkan tempoh masa pertarungan.
Setelah ditewaskan dan dihela sehingga merapati bot, sebaiknya ikan dipegang pada kedua-dua paruhnya atau paling hampir dengan pangkal paruh. Elakkan dari memegang pada hujung paruh kerana ia akan menyebabkan patah. Harus diingat paruh ini merupakan senjata utama layaran memburu makanan. Walaupun ia akan tumbuh kembali namun akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali berfungsi. Sekiranya ikan meronta apabila dipegang paruhnya, ia merupakan petanda positif yang menunjukkan ia masih bertenaga.
IKLAN
Sebaiknya cubalah tanggal mata kail yang tertancap pada mulut ikan ketika ia masih berada di dalam air. Sekiranya mata kail tersebut berada jauh di dalam mulut ikan, usah dipaksa untuk mengeluarkannya.
Potong saja tali perambut sependek mungkin dari paruhnya. Peluang survival ikan lebih tinggi dengan berbuat demikian. Mata kail tersebut akan tertanggal dengan sendirinya atau mereput dalam tempoh tertentu.
IKLAN
Adalah lebih baik jika ikan dilepaskan kembali tanpa didaratkan ke atas bot. Sekiranya ingin mendaratkannya bagi sesi fotografi, elakkan dari melakukannya seorang diri. Ikan perlu ditampung pada bahagian kepala dan badannya. Kemudian barulah langsungkan sesi fotografi sepantas yang mungkin. Elakkan dari membiarkan ikan berada di luar air melebihi jangka masa 5 minit.
Perkara ini sangat penting dan sering terlepas pandang. Ikan layaran tidak memiliki sisik tebal sebagaimana ikan jenahak atau merah. Justeru itu badannya dilitupi dengan lendir yang banyak dari kepala hingga ke ekor. Dan lendir ini amat besar fungsi peranannya pada ikan.
IKLAN
Oleh yang demikian jangan sesekali menghapuskan lendir ikan dengan apa cara sekalipun. Kurangkan sentuhan pada badan ikan apatah lagi merangkulnya.
Sebelum dilepaskan kembali sepenuhnya ke laut, perhatikan reaksi ikan apabila dimasukkan ke dalam air. Sekiranya tiada sebarang pergerakan pada penutup insang atau berkeadaan statik, berilah bantuan pernafasan dengan melalukan air memasuki mulutnya.
Bot digerakkan agar oksigen di dalam air dapat disalurkan ke sistem pernafasannya. Lakukan sehingga ikan memberi respon untuk berenang secara semulajadi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Admin percaya masih ramai yang sangsi akan status halal haram ketam nipah untuk dimakan. Banyak pihak telah pun memperjelaskan bahawa ketam nipah adalah HALAL dan ketam nipah bukanlah haiwan dua alam. Sebenarnya ramai yang keliru antara ketam nipah dan ketam batu yang memang benar hidup dua alam.
Untuk itu biarlah kita lihat keterangan yang lebih sahih akan hal ini agar tidak lagi timbul lagi was was. Satu artikel berkaitan hal ini ada dipaparkan di laman web Fatwa Kebangsaan.
Walaupun hal ini telah lama diputuskan. Namun, beberapa faktor kekangan teknologi maklumat pada masa itu mungkin membantutkan edaran maklumat penting sebegini.
HALAL MEMAKAN KETAM NIPAH – MAJLIS FATWA KEBANGSAAN.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7-8 Mar 1990 telah membincangkan Menternak Binatang Dua alam.
Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Perusahaan menternak ketam nipah untuk tujuan eksport adalah harus kerana ia bukan binatang dua alam.
Perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah khilaf ulama;
a) Menurut jumhur ulama, perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah haram kerana ia adalah binatang dua alam.
b) Menurut Mazhab Maliki, perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah harus
(Keterangan/Hujah: Mengikut istilah sains, haiwan dualam ini ada dua kategori iaitu reptilia dan amfibia yang mempunyai sistem pernafasan paru-paru.
Edaran hidupnya sebahagian di dalam air dan sebahagian lagi di darat seperti katak, penyu, labi-labi, buaya dan seumpamanya.)
Ketam nipah pula bukanlah daripada jenis reptilia dan amfibia, tetapi ia adalah dari jenis krustasea iaitu sama golongan dengan udang dan kerang. Keseluruhan edaran hidupnya adalah di dalam air dan mempunyai sistem pernafasan melalui insang dan bukan paru-paru. Ia bernafas menggunakan oksigen dalam air sebagai pelarut.
Oleh itu dari segi hukum ketam nipah ialah haiwan yang boleh dimakan. Kehidupan ketam nipah di darat hanya dalam tempoh masa yang singkat sahaja iaitu lebih kurang dua tiga hari, kerana dalam insangnya mempunyai satu ruang pintu yang boleh ditutup dan mengandungi sedikit air.
Ia menggunakan air tersebut untuk pernafasan dan sekiranya air itu kering ia akan mati. Katak adalah sejenis binatang dua alam yang hidup di air dan juga di darat. Menurut Mazhab Syafie, tiap-tiap binatang yang hidup dua alam adalah haram dimakan.
(sumber: e-fatwa.gov.my)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Secara global, spesies jenahak dikenali dengan nama John’s snapper. Nama Golden snapper juga merujuk kepada spesies jenahak namun beberapa spesies snapper lain juga mendapat gelaran yang sama di sesetengah tempat. Sesetengah kawasan seperti Australia menggelar spesies ini dengan nama Fingermark bream, merujuk kepada tanda tompokan hitam pada badannya. Selalunya, John’s snapper digunakan untuk merujuk spesies L. johnii yang besar atau dewasa sementara Fingermark bream merujuk kepada juvenil spesies ini. Keadaan ini sama dengan lapangan pancing kita dalam soal kekeliruan sama ada ikan jenahak dan tetanda merupakan spesies yang atau berlainan. Jadi, dalam kekeliruan ini dapat disimpulkan jenahak dan tetanda adalah spesies ikan yang sama.
Pola taburan spesies jenahak boleh ditemui di kebanyakan kawasan perairan barat Indo-Pasifik. Golden snapper juga boleh ditemui bermula dari Afrika Timur hingga ke Fiji serta utara Pulau Ryukyu dan selatan Australia. Di perairan Malaysia, spesies ini boleh ditemui di kebanyakan perairan dari kawasan muara hingga ke laut lepas. Bagi kaki pancing, spot memburu jenahak lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat terutama di sepanjang Selat Melaka. Spot-spot berstruktur seperti kapal karam, kawah, lopak di laluan kapal Selat Melaka serta batu karang.
Dari segi morfologi luaran, sisik ikan jenahak biasanya berwarna kuning perak hingga keemasan bergantung kepada persekitaran. Warna badannya akan bertukar kepada warna putih perak apabila dilihat pada bahagian bawah badan dan kepalanya. Tompokan berwarna hitam pula dapat dilihat pada bahagian antara garisan lateral dan di anterior sirip dorsal bersaiz lebih besar daripada diameter matanya dan beransur pudar apabila dewasa. Bahagian dorsal kepalanya berbentuk sedikit curam hingga ke mulut. Duri pada sirip dorsalnya berjumlah 10 manakala jumlah pada dorsal lembut pula antara 13 hingga 14. Spesies jenahak biasanya mampu membesar sehingga panjang 1 meter biarpun spesimen yang sering ditemui mempunyai panjang sekitar 50 cm. Beratnya pula mampu mencecah sehingga 10 kg dalam persekitaran yang ideal.
Habitat bagi jenahak dewasa lebih tertumpu kepada kawasan berkarang dan juga perairan yang berstruktur. Bagi jenahak juvenil pula lebih mudah ditemui di kawasan muara, paya bakau dan kadangkala boleh ditemui jauh hingga ke kawasan air tawar yang berarus. Dalam memburu mangsanya, spesies snapper ini akan memilih kawasan trofik berkarang lebih-lebih lagi kawasan perairan yang mempunyai turbiditi atau kekeruhan yang tinggi. Spesies ini juga boleh ditemui dalam kedalaman sehingga 80 meter. Spesies ini yang menghuni di kedalaman lebih 10 meter lazimnya terdedah kepada kerosakan fizikal pada tisu badan iaitu Barotrauma yang menyebabkan pelampung (air bladder) dalam badannya terkeluar. Hal ini sering berlaku dan dapat dilihat terutama ketika aktiviti memancing.
Dalam rantaian makanan di persekitaran ideal, spesies ini merupakan tertiary consumer, yang bermaksud pemangsa karnivor unggul yang menghuni carta teratas dalam dalam piramid makanan. Ini bermaksud jenahak dewasa merupakan ikan karnivor yang menjadikan karnivor lain atau pemangsa kedua sebagai mangsanya. Diet utama bagi spesies ini tertumpu kepada ikan bertulang, ikan pelagik, udang, sotong dan ketam. Selain itu, organisma bentik atau zoobenthas seperti mysids dan cephalopod juga menjadi diet bagi spesies ini bergantung kepada kitaran hidupnya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Gerepoh atau atau nama saintifiknya Caranx ignobilis merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae.
Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally, ikan yang mempunyai bentuk kepala curam yang kelihatan gagah dan sirip kaudal yang kuat sering menjadi obsesi kegilaan kaki pancing.
GT merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja di singgahsana sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang.
Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, GT menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set ‘heavy’ sekalipun.
Sesetengahnya pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, GT akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan
hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang.
Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
MORFOLOGI
Secara morfologi luaran ikan GT, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap.
Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam.
Sesetengah GT juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan GT.
Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral.
Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan GT tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
TABURAN DAN HABITAT
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulaupulau timur Afrika dan di utara Jepun.
GT juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang.
Juvenil GT pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun.
Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
GT dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya.
Kawasan berair cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, GT bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak.
Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
SAIZ DAN KITARAN HIDUP
GT merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, GT umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, GT mampu mencapai berat 200lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian.
Apabila dewasa, biasanya GT akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
DIET PEMAKANAN
Ketika memburu, GT menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya.
Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya.
Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama GT ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, GT mampu bertukar lebih bengis dan licik.
Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut GT.
Selain itu, kelicikan GT juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. GT bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Taksonomi
Kingdom: Animal
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Percoidei
Superfamily : Percoidea
Family: Carangidae
Genus: Caranx
Species: Caranx ignobilis (Forsskål, 1775)
Nama lain: Gerepoh, Giant Trevally, GT, Ulua, Mamulan, Ronin-aji
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...