
Untuk memikat baung di air tenang (tidak berarus / mengalir perlahan), seperti di tasik ia agak sukar, melainkan perlu pujuk terlebih dahulu baung datang berkumpul. Caranya gunakan umpan busuk (umpan tapa) untuk memikatnya.
Cara-Caranya:
Sediakan sebalang umpan tapa, perca kain, tali, batu sungai, sarung tangan getah.
Buka dengan cermat penutup umpan tapa. Kalau korang tak tahan dengan bau umpan tapa, minta saja rakan korang yang buatkan. Ramai pemancing gagal bertahan kerana bau mencakop umpan tapa ni.
Ambil umpan tapa, masukkan ke dalam perca kain. Jika anda ada bawa lebih dari sebalang umpan tapa, bolehlah guna kesemuanya sekali. Kalau hanya ada sebalang, memadai guna setengah balang saja.
Letakkan seketul batu sungai yang sebagai pemberat (anggaran saiz yang mampu menenggelam umpan ke dasar), dan ikat kemas perca kain berkenaan. Seeloknya dilubangi sedikit perca kain agar aromanya lebih mudah meresap ke dalam air.
Jika bersampan, bawa umpan rasuah ke spot pilihan dan tenggelamkannya ke dasar. Sebaiknya juga ikatkan tali panjang dan sambung pada botol air sebagai penanda. Jadi ia lebih memudahkan anda untuk melontar umpan nanti.
Jika tidak memiliki sampan, lontarkan saja bunjut umpan rasuah tersebut ke tengah sungai atau spot yang anda kehendaki.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Kisah Seram Memancing – Sesat Di Port Keras!!

BAGI PEMANCING YANG MEMPUNYAI TUGASAN HAKIKI PADA HARI BIASA MENGIKUT ‘OFFICE HOUR’ SEPERTI AKU, HARI MINGGU ADALAH MASA YANG DITUNGGU UNTUK MENERJAH MANA-MANA ‘PORT’ YANG DIINGINI.
Boleh dikatakan setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di UiTM dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Ijal. Rupanya Ijal sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Ijal akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Ijal di perkarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Ijal. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di ‘set-up’ tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Ijal untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Ijal bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Ijal mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh “Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Ijal yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pakcik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Ijal hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Ijal hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Jal!” Tetapi tidak diendahkan oleh Ijal sebaliknya Ijal terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Ijal, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Ijal sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Etika Memancing Yang Perlu Difahami & Diamali – bab 2!!

Ada beberapa pihak yang kini mengamalkan program ini, dengan objektif pemuliharaan serta memantau perkembangan serta tabiat spesis ikan tertentu. Program tagging ikan layaran serta tagging ikan kelah di Sungai Tahan adalah dua contoh program ini.
‘Tag’ adalah satu jarum plastik yang dimasukkan ke badan ikan, selalunya di bawah sirip dorsal ikan. Jika anda terjumpa tag ini di badan ikan, sila ikuti prosedur di bawah:
Jangan cabut tag tersebut, kecuali ikan sudah mati.
Rakamkan nombor tag, dan apa-apa keterangan yang ada pada tag seperti berat ikan; ukuran panjang ikan (dari mulut ke simpang ekor ikan); ukuran bulatan perut; lokasi tangkapan, keadaan perairan, tarikh dan masa, cuaca, umpan yang digunakan.
Lepaskan semula ikan berkenaan dan hubungi pihak yang berkenaan dan berikan keterangan di atas.
Sekitar Kebersihan
Bawa balik apa-apa barang yang anda bawa memancing. Jangan tinggalkan sampah merata-merata.
Bila memancing, bawa beg sampah yang besar, supaya sampah lebih senang di bawa pulang. Kutip sampah orang lain juga. Moga-moga anda menjadi contoh kepada orang lain!
Tumpukan perhatian kepada tali pancing lama, beg-beg plastik dan batu-batu ladung kecil. bahan-bahan ini telah menjejaskan kehidupan seperti burung dan ikan. Bawa pulang bahan-bahan ini.
Tin kosong serta beg plastik yang tinggalkan mungkin akan menakung air hujan dan justeru menjadi tempat pembiakan nyamuk. Bawanya ia pulang!
Menjaga Kualiti Perairan
Jangan kotorkan sungai atau tasik yang anda lawati.
Kalau tiada tandas untuk anda membuang air, jangan lakukannya di dalam atau berdekatan dengan perairan. Jika anda ingin membuang air besar, gali sebuah lubang, jauh dari perairan, kemudian kambuskan semula.
Di perairan seperti kolam atau lombong kecil, jangan gunakan terlalu banyak ‘umpan saham/rasuah’, kerana ini akan menjejaskan kualiti air.
Jangan buang apa-apa bahan kimia (seperti sabun, minyak, atau pun air tin berkabonat ke dalam perairan atau pun berhampiran dengannya).
Jangan guna terlalu banyak racun serangga (insecticide spray) dan bahan seperti serbuk belerang. Bahan-bahan ini mungkin memasuki perairan.
Menjaga Persekitaran Dan Tumbuhan
Cuba elakkan memotong tumbuhan disekitar tempat anda memancing. Tumbuhan ini adalah rumah bagi serangga, suatu sumber utama makanan ikan.
Jika anda ingin mendirikan khemah, gunakan tapak yang sedia ada. Cuba elakkan membuka tapak khemah yang baru. Tanah yang terdedah akan mengakibatkan lumpur memasuki perairan bila hujan lebat. Ini menjejaskan kehidupan air, termasuk ikan.
Jangan membuat unggun api, kecuali perlu. Dapur khemah yang menguunakan gas atau sebagainya adalah lebih ‘mesra alam’. Jika anda terpaksa membuat unggun, pastikan ia tidak merebak ke pokok atau tumbuhan berdekatan. Pastikan unggun dipadamkan sebelum anda meninggalkan tempat tersebut.
Di tapak khemah atau bila menjelajah hutan, jangan biarkan anak-anak pokok yang ditebang, meninggalkan kayu terpacak dari tanah. Ia ibarat perangkap samar yang mungkin menembusi badan bila anda jatuh ke tanah. Potong rata pada pangkalnya, supaya tiada kayu tajam menonjol.
Sebab Musabab Penyebab Kumpau Yang Korang Perlu Tau!!

Ikan pun macam manusia jugak ada masa berubah diet. Ada masa nak udang… ada masa nak makan sotong… ada masa nak makan cacing. Kalau guna umpan cacing masa dia nak makan udang maka kumpau la sudahnya.
Salah satu ilmu memancing yang perlu dipelajari adalah mengenal diet pemakanan ikan yang hendak dipancing. Contohnya kalau nak pancing ikan toman, kenalah tahu toman makan apa. Kalau guna umpan yang sama macam nak pancing ikan patin maka sampai berjanggut la tak berhasil.
Bila dengar orang cakap casting guna gewang boleh dapat ikan, kita pun gunalah gewang untuk pancing ikan patin. Korang faham tak apa yang admin nak sampaikan ni?
Sepatutnya guna teknik casting pasal ikan kat lubuk tu jenis rakus menyambar tapi kita pergi memancing guna teknik bottom. Bila guna gewang pun rendam macam pancing bottom. Mana nak dapat ikan!
Tak ambil peduli sama ada umpan masih ada atau sudah habis dibelasah anak ikan. Ikan walau lapar tahap kebulur sekali pun takkan nak bukak mulut makan mata kail kosong.
Kalau dah bising tahap macam kenduri kahwin, mana maunya ikan nak makan umpan. Jangan kata nak makan umpan, nak stay kat lubuk tu pun belum tentu.
Ikan ni pun ada waktu makan tersendiri. Kalau dah tau ikan gemar makan waktu pagi, kalau pergi memancing waktu tengah hari dengan matahari terpacak atas kepala, dapat rentung je la.
Kalau semua dah betul setting dan umpan pun power tapi tak dapat jugak ikan, maknanya bukan rezeki kitalah namanya. Sabar dan reda je la dengan ketentuan tersebut.
Sebaiknya sebelum memancing di mana-mana saja lubuk, elok pantau dulu ada ikan atau tidak. Jangan main terjah aje walaupun tempat tersebut kolam memancing ikan.