Eksperimen dengan umpan. Perkara ini sering dilakukan kaki pancing terutama kaki kolam. Macam-macam eksperimen dan campuran umpan dicuba. Itu belum masuk lagi dengan bahan-bahan pelik yang dijadikan umpan. Dah macam saintis dalam makmal gayanya.
Mengalami perkara mistik Kerap kali kedengaran cerita kaki pancing disakat hantu atau mengalami perkara-perkara mistik terutama di lubuk-lubuk pancing yang agak terpencil. Mana-mana kaki pancing yang pernah disampuk tu alamat sebulan jugalah bercuti MC daripada memancing.
Kaki trekking memang sinonim dengan pacat ni. Sekali masuk hutan terutama ketika musim hujan memang tak sah kalau tiada pacat yang datang menumpang dicelah-celah jari. Apalah sangat kan, tak perlu sediakan air teh pun kalau pacat ni datang ziarah, pandai-pandai dialah cari sendiri darah di celah-celah jari kaki buat pelepas dahaga.
Kalau memancing di kolam berbayar tu, kena pulak hari yang ramai orang atau ketika pertandingan memancing, memang tali pancing bersimpang siur bersilang macam teka silang kata. Nasib baiklah kaki pancing ni penyabar, mana yang jenis sabar tu nipis-nipis, memang dekat tangan siap-siap ada gunting dengan chainsaw kiri kanan. Tunggu nak potong je, tunggu nak potong je.
Kau dah penat trekking 8 jam bawak makanan dan umpan ke lubuk power yang memakan kos beratus ringgit. Bila sampai je, tengok dah ada geng lain tengah riang menjaring atau tengah mengebom ikan. Fuhh panas beb, panas. Dia punya panas sampai kau terbayang lubuk ni jadi Pearl Harbour kejap lagi ni.
Terpancing sesuatu selain ikan ni kadang-kadang kelakar bila anda naikkan biawak, labi-labi atau haiwan lain. Namun situasi ini akan jadi kurang kelakar bila anda dah lama kumpau, lepastu bila strike ikan, yang dinaikkan ialah baju dalam, selipar dan sampah sarap. Itulah siapa suruh simpan tabiat buang sampah ke dalam sungai.
Dalam hobi memancing, terdapat banyak petua dan kepercayaan yang diamalkan oleh ramai kaki pancing. Begitu juga dengan petua pantang larang yang sukar untuk diterima oleh logik akal. Ada juga yang tidak ambil kisah dengan perkara tersebut dan ada yang percaya. Berikut antara pantang larang yang korang boleh nilaikan sendiri.
Set Pancing Dekat Tong Sampah
Dilarang meletakkan barang pancing terutama batang joran berhampiran atau bersebelahan tong sampah dan penyapu. Ia dikatakan mendatangkan `sial`dan dipercayai jika menggunakan batang joran berkenaan tidak akan dapat ikan.
Kunyit & tepung
Jika memancing di sungai yang dipercayai ada buaya, jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Sesat di hutan
Jika tersesat di dalam hutan semasa memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, ada petua yang agak ngeri iaitu telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah di antara tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah sepanjang jalan. Khabarnya jalan pulang akan ditemui.
Pemakaian kasut
Apabila memancing di dalam sampan atau bot jangan pakai selipar atau kasut. Ia seperti hendak masuk rumah sendiri dan juga rumah orang lain. Ia seperti tanda hormat dan adab. Ada juga beranggapan benda-benda di bawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak dengan selipar atau kasut yang kotor.
Langkah joran
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang larang agar batang pancing tidak dilangkah ada kalanya menjadi satu medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan adalah batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan akan meleset.
Meludah umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada umpan yang pertama di dalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’ ikan atau udang.
Patah balik
Dilarang patah balik ke rumah sekiranya ada tertinggal barang. Ada yang beranggapan akan berlaku perkara tidak baik dan juga tidak akan dapat hasil tangkapan. Itu kalau benda-benda kecil yang tertinggal la… kalau dah joran dengan reel yang tertinggal. Gila ke apa tak nak patah balik?
Sebelum ini penulis pernah terlibat dalam bidang event management pertandingan memancing. Banyak pengalaman dan cabaran yang penulis lalui dan tempuhi. Dari kes penipuan ikan hinggalah ke krisis ketidakpercayaan pemancing terhadap penganjuran yang kami lakukan semuanya telah penulis rasai.
Tetapi antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah apabila berdepan dengan satu situasi yang mana pemancing yang sama sering menjuarai pertandingan yang dianjurkan.
Kalau hendak diikutkan, situasi sebegini memang tidak sedikit pun memberi kesan terhadap pertandingan memancing yang kami anjurkan. Tetapi ia menjadi semakin serius apabila timbul persoalan demi persoalan daripada rakan pemancing yang mula meragui kejayaan yang diperoleh pemancing tersebut.
Dari situ, mulalah keluar fitnah dan pada masa yang sama khabar angin mula bertebaran bahawa pemancing berkenaan menggunakan bomoh, jin, hantu laut, tangkal dan sebagainya untuk membantu beliau menjuarai pertandingan.
Dari satu isu kecil ia mula menjadi besar dan dari situ ramai yang mula hilang kepercayaan terhadap pertandingan memancing dan sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada kami, penganjur pertandingan pada masa itu.
Hairan juga penulis dengan sikap segelintir pemancing kita yang begitu cepat jatuh hukum dan mengeluarkan fitnah yang entah apa-apa. Bagi penulis sendiri, isu-isu berkaitan guna tangkal, jin, hantu laut ini langsung tidak pernah penulis hiraukan apatah lagi untuk dipercayai.
Jika benarlah menggunakan perkara-perkara tahyul mampu untuk memperoleh kejayaan, pastinya sudah ramai yang bersenang-lenang dan hidup mewah di dalam dunia ni.
Penulis tertarik untuk membincangkan tentang isu ini apabila melihat beberapa komen dan status yang dimuat naik oleh rakan pemancing di laman sosial terhadap perkara ini. Ada yang mempersoalkan bagaimana pemancing yang sama mampu menyapu bersih kedudukan hadiah dalam sebuah pertandingan memancing.
Yang paling menarik nama pemancing dari Pantai Timur yang terpalit dengan kontroversi sebegini. Kononnya pemancing Pantai Timur bertanding secara tidak sihat bila menggunakan khidmat jin, hantu ataupun tangkal ini.
Jika sebelum ini nama pemancing dari Indonesia yang menetap di Malaysia sering dikaitkan dengan perkara-perkara sebegini bila sering memenangi pertandingan memancing air tawar yang dianjurkan di sekitar Lembah Klang, kini nama pemancing Pantai Timur pula menerima nasib yang serupa.
Menariknya bila melihat komen, ramai yang seolah-olah begitu mempercayai penggunaan tangkal, hantu dan jin ini untuk memenangi pertandingan memancing hinggakan ada yang bertanya bagaimana hendak mendapatkan khidmat perkara-perkara tahyul ini.
Hairan kan? Seolah-olah mereka dengan sewenang-wenangnya menidakkan rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita, malah ada pula yang berniat menyekutukannya.
Pada hemat peribadi penulis, isu tahyul seperti guna tangkal, jin, hantu laut untuk menang sesebuah pertandingan memancing ini tidak seharusnya kita percaya. Semuanya bergantung pada rezeki yang diturunkan kepada kita. Jika acap kali kita tewas di dalam pertandingan memancing, janganlah cepat berputus asa.
Cuba dapatkan seberapa banyak ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan sering menjuarai pertandingan memancing sebagai salah satu usaha kita untuk memperoleh kejayaan. Selebihnya ia tetap terletak pada rezeki masing-masing. Janganlah akibat rasa cemburu, iri hati dan sebagainya kita mengeluarkan dalil-dalil fitnah yang secara tak langsung mampu mengguris hati sesetengah pihak dan pada masa yang sama ia mampu memesongkan akidah kita sendiri.
Apa kata netizen:
“Tu semua karut-marut. Sebagai pemancing tegar akan tau cara-cara hendak memancing. Ikan apa yang hendak dipancing, umpan apa yang hendak dipasang. Kena dengan cara dan teknik yang betul akan membuahkan hasil. Dan rezeki itu datang dari Allah. Saya pun pernah menang dalam pertandingan memancing tapi tak ada jampi serapah apa-apa pun. Hanya joran, umpan saja yang dibawa.”
“Pernah nampak masa game ada sebatang rod diikat kain kuning tapi bangau le jugak. Huhu. Paling utama adalah rezeki. Pakailah Shimano Stella sekalipun kalau takde rezeki ikan dah naik atas darat pun boleh terjun balik.”
“Aku tengok game Seri Bayu takde orang yang sama menang pun. Skill dan rezeki penentu. Tapi kalau orang yang sama asyik dapat ikan tu aku percaya, sebab umpan dan teknik dia berkesan, bukan sebab hantu belaan.”
“Sihir, Jin dan Syaitan itu perkara yang haq akan wujudnya. Dalil al-Qur’an mengenai wujudnya sihir; Surah Al- Baqarah ayat 102, Surah Yunus ayat 77, 81 dan 82 serta banyak lagi dalam Surah Taha, Surah al-A’raaf dan lain-lain. Tidak mustahil ada penggunaan ilmu hitam dalam pertandingan memancing yang berprestij, lantaran semua pemancing (lagi-lagi pemancing tegar) tahu hadiah yang menjadi habuan bagi kejuaraan kejuaraan ini amat lumayan.
Memang dikalangan komuniti pemancing akan wujud golongan-golongan yang tamak dan tidak akan teragak-agak menggunakan pendekatan ilmu hitam ini sebagai jalan singkatnya. Wallahu’alam.”
“Untuk pemancing yang sudah biasa masuk game semua sedar ia berkaitan teknik, fokus dan kesungguhan. Tuduhan pakai jin dan hantu ni biasanya keluar dari mulut kalangan pemancing yang tak berminat masuk game. Mereka tak faham dan tahu situasi sebenar pertandingan. Sebilangan kecil sahaja bukan semua.”
“Memang betul asyik orang yang sama je jadi juara. Tak pasti dia orang manderam ke tidak. Tapi sepanjang saya mengikuti XTVT ni, bermacam cara digunakan, petua dan amalan-amalan tertentu diamalkan. Terpulang pada seseorang tu utk mengamalkan yang putih atau hitam. Tepuk dada tanya iman.
Orang-orang yang handal dalam mencari rezeki di air pun kecundang bila masuk bertanding. Tak tau kenapa. Paling senang jawapannya belum rezeki.
Pada saya berusaha dan bertawakal. Berusaha menyediakan peralatan perang yang terbaik dengan umpan yang terpilih, bertawakal, berdoa dan berserah kepada Allah.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...