Kekili atau ramai juga yang memanggilnya mesin pancing atau reel merupakan salah satu daripada keperluan utama untuk memancing.
Harga kekili sekarang ini juga semakin mahal. Jadi, ia memerlukan penjagaan yang sempurna untuk memanjangkan jangka hayatnya.
Berikutan merupakan beberapa panduan asas menjaga kekili.
➡ JANGAN sesekali letakkan kekili anda di atas tanah terutamanya tanah berpasir kerana pasir-pasir akan memasuki sistem kekili dan merosakkannya terutamanya bearing atau alas bebola.
➡ JANGAN biarkan kekili anda berjemur terlalu lama di bawah cahaya terik matahari kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian-bahagian kekili yang diperbuat daripada bahan plastik.
Ads
➡ Sebaiknya gunalah kekili yang sepadan dengan padang pancing atau lokasi. Sekiranya memancing di laut, gunalah kekili yang dikhususkan untuk kegunaan air masin.
Kekili untuk kegunaan air masin lazimnya dilabelkan dengan SW.
➡ Selepas memancing di laut atau kolam air masin, bilas segera kekili anda dengan pancutan air tawar bagi mengelak pembentukkan garam terutamanya pada gelendung atau spool melalui tali pancing (tali sulam). Jika rajin, selepas keluarkan tali dari spool.
Ads
➡ Sebaiknya juga gunakanlah kekili yang sepadan dengan spesies ikan yang dipancing. Kena ikan ikan besar waktu menggunakan kekili siri kecil memang seronok tapi ia terdedah kepada kerosakan kepada sistem kekili walaupun ikan berjaya didaratkan.
Ads
➡ Sentiasa bersihkan dan minyakkan objek berputar di dalam sistem kekili kekili seperti gear dan bearing. Jika merasakan kayuhan atau putaran tidak lancar, periksalah bahagian-bahagian ini.
➡ Sekiranya kurang mahir untuk menyelengara kekili, sebaiknya carilah pusat servis kekili untuk melakukannya.
Ia lebih baik daripada anda melakukannya sendiri terutamanya jika anda memang tidak berkemahiran dari aspek teknikal.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dengan ekor tirus bercabang, ia berkemampuan menujah pecutan renang mendahului kelajuan pemancing mengarau tali.
Ia biasanya menyerang mangsa pilihan dari semua arah kerana ada kes umpan hilang bahagian ekor saja, ada bahagian tengah dan sebilangan besar sasaran adalah bahagian kepala.
Tenggiri memotong mangsa seperti pisau amat tajam, mengonggong dan terus melarikan mangsa dengan pergerakan pantas.
Jangan perkecilkan kebolehan ikan ini berenang. Jika tidak ingin berputih mata jangan biarkan ia mendahului kita dan tali pancing hendaklah sentiasa tegang.
Kayuhlah sebeberapa laju kekili yang anda mampu ketika ia datang menyusuri arah anda. Ini bertujuan mengelakkan ia mengeleng kepala berulang kali dalam cubaan melepaskan mata kail di mulut.
Inilah salah satu kelebihan buat tenggiri bagi menidakkan hasil buat pemancing. Tali kendur pula memberi peluang kepadanya memotong perambut tangsi dengan mudah. Ia akan melurut tangsi sebelum ‘zussss’ potong tanpa rasa lagi.
Tenggiri gemar menyambar mangsa dan terus melarikan umpan. Ia akan berpatah balik dan jarang berlawan bertentangan dengan pemancing.
Pergerakannya sempurna, padu dan senyap. Mengenal tabiat tenggiri secara mendalam sedikit sebanyak dapat membantu anda ketika berhadapan dengannya di padang pancing. Kalau tidak kita akan mudah dipermainkannya.
Mengesan Kehadiran
Bagi nelayan berpengalaman mereka dapat membaca kehadiran ikan tenggiri berdasarkan kepada faktor berikut; ikan apollo sering hilang bersama mata kail, kesan potongan ikan mangsa, cara mata pancing berumpan dirembat atau disambar.
Yang tidak pengalaman sukar untuk membezakan kesan gigitan ikan yu, alu-alu, tenok, mersuji dan tenggiri.
Jika diperhatikan, barisan gigi tenggiri lebih tersusun dan kedudukannya adalah selapis.
Berbanding dengan yu, kedudukan gigi tenggiri adalah berlapis-lapis dan kesan gigitan luaran lebih terserlah.
Potongan oleh tenggiri adalah cantik dan kelihatan kemas tidak seperti tenok atau alu-alu. Merujuk kepada ikan yang dibaham pemangsa di bawah air, nelayan dapat mengagak
kehadiran spesies berkenaan dan mereka tidak akan melengahkan masa melabuhkan perlatan tenggiri. Bijak membaca keadaan boleh membantu hasil tangkapan baik.
Selain itu peralatan sememangnya sudah tersedia dan tunggu saja bila-bila masa untuk di hulurkan ke bawah.
Bagi pemancing pula, bila kehadiran tenggiri dikesan, barulah terhegeh-hegeh ikat mata kail. Lambat tu! Jangan biarkan ikan berlalu begitu sahaja.
Tiga tempat tumpuan utama tenggiri bermain iaitu di kawasan unjam, tukun dan atas kawasan karang.
Tenggiri di unjam biasanya bersaiz di antara 2kg hingga 5kg (tenggiri muda dan gelojoh dengan umpan), di kawasan tukun bersaiz antara 5kg hingga 10kgdan atas karang antara 8kg hingga belasan kilogram.
Walaupun spesies sama tapi tenggiri yang bermain di atas karang lebih dikenali tenggiri karang dan saiz puas hati.
Tenggiri ini tidak bergerak dalam kumpulan besar seperti mana geng anak muda di kawasan unjam. Boleh dikatakan taburan tenggiri adalah berselerak di Laut China Selatan dan berkelompok di Selat Melaka.
Tumpuan lebih ketara di lokasi dan tempat yang di sebutkan di atas.
Selat Melaka amat sukar menjerat tenggiri kerana ia banyak mendiami laluan kapal di tengah selat yang sempit. Aktiviti memancing adalah terlalu berisiko di lokasi berkenaan.
Pulau Pinang masih dikategorikan lubuk terbaik memancing tenggiri selain di Tuas Kedah. Untuk hasil lebih besar Pulau Pangkor mempunyai potensi terbaik mendapatkan skala lebih dari 8kg.
Ikan ini terlepas dari aktiviti memukat tenggiri yang di lakukan di kawasan Pulau Pinang dan bergerak turun ke kawasan perairan Perak. Namun jumlah tenggiri batang di perairan Pangkor turun dengan mendadak!
Secara lazimnya teknik menunda adalah jalan paling mudah menjerat tenggiri, tapi dari segi perlawanan ia tidak sehebat mana kerana waktu ini tenggiri sudahpun lemah akibat tundaan.
Pemancing tidak dapat merasa kekuatan sebenar ikan pantas berenang ini. Kalau ingin merasa daya juang tenggiri sebenar teknik mengumpan adalah cara terbaik.
Saya mula tertarik memancing tenggiri dengan kaedah tradisional di mana ia benar-benar menguji ketabahan dan kecekapan pemancing.
Ia juga boleh mengajar pemancing bersedia, mengasah bakat dan mengunakan segala pancaindera termasuk deria rasa melalui sentuhan tali pancing.
Bagi saya tenggiri adalah ikan bijak, jadi kita perlu berilmu untuk menewaskannya. Ini berdasarkan kepada para nelayan yang memancing tenggiri banyak bergantung kepada kecekapan.
10 ekor hasil seharian dianggap cukup bernasib baik dengan mengunakan kederat tulang empat kerat.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Memancing di sungai pegunungan atau kawasan terpencil sememangnya mampu mengundang bahaya kepada kaki pancing. Oleh itu wajarlah kita mempersiapkan diri dengan kelengkapan survival ini bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.
Pisau
Alat penting untuk aktiviti luar. Boleh digunakan untuk menyediakan makanan, membuat tapak khemah, dan juga boleh dijadikan alat pertahanan diri.
Lighter atau Mancis
Nak menyediakan unggun api dengan lebih mudah kita amat memerlukan alat ini. Kalau tak ada unggun api susah jugak nak bertahan dalam hutan.
Peti Kecemasan
Yang ni, kalau tak ada memang tak patut. Kecederaan boleh berlaku bila-bila masa. Jadi, sediakanlah payung sebelum hujan.
Tali
Tali amat penting kerana ia boleh membantu dalam pelbagai cara. Boleh digunakan untuk membina khemah dan juga amat berguna jika berlaku sebarang musibah yang tak diingini.
Wisel
Bila anda tersesat di dalam hutan, wisel amat berguna untuk membolehkan anda dikesan oleh penduduk sekitar ataupun pasukan penyelamat.
Tin atau Bekas Logam
Penting juga benda ni untuk masak air atau pun nak masak makanan. Macam periuk juga la… kalau tak ada periuk macam nak sediakan makanan.
Energy Bar
Kadang-kadang bila perut kosong sewaktu trekking boleh menyebabkan bahaya. Jadi lebih penting untuk kita sentiasa membawa protein @ energy bar setiap kali trekking di hutan atau sungai pegunungan.
Hammock
Hammock boleh menjadi tempat tidur yang lebih selesa jika memancing di hutan atau sungai pegunungan. Selain tempat tidur, ia juga boleh mengelakkan kita daripada haiwan berbisa yang mungkin ada di kawasan sekitar.
Plastik Sampah
Ha, yang ni paling penting dan wajib untuk kita bawa. Ingat, tiada majlis perbandaran yang akan buang sampah di hutan. Jadi ini mesti jadi tanggungjawab kita sendiri untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar. Ia boleh juga diubahsuai jadi baju hujan dan fly sheet.
Lampu Suluh
Lampu suluh amat penting jika anda memancing di waktu malam. Selain dijadikan sumber cahaya, alat ini juga berguna digunakan bila anda tersesat di dalam hutan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...