
Umpan patin ini terhasil dari bahan-bahan perisa umpan yang digabungkan untuk mendapatkan aroma dominan durian tetapi mempunyai rasa yang variasi. Aroma durian yang kuat dan tengik ini sebenarnya mendorong ikan untuk mendekati umpan sekaligus mengambil dan memakan umpan tersebut.
Untuk menghasilkan gabungan umpan ini perlulah sukatan yang betul dan tepat. Bau dan rasanya tidak boleh terlalu lemah atau kuat.
BAHAN-BAHAN:
2 Botol (saiz sederhana) perisa strawberi Original
1 Botol (saiz sederhana) perisa durian Original
1 Botol kosong (500 ml) untuk campuran umpan.
CARA PENYEDIAAN:
Sediakan sebuah bekas atau botol minuman kosong saiz 500 ml. Tuangkan 2 botol perisa strawberi ke dalam botol kosong ini.
Kemudian tuangkan pula 1 botol perisa durian ke dalam botol tersebut.
Goncang botol campuran perisa strawberi dan durian sehingga campurannya sebati. Sebaiknya biarkan 10 hingga 15 minit umpan ini sebati sebelum digunakan.
NOTA:
Umpan ini boleh digunakan bersama apa saja roti sandwich, roti kentang, serbuk roti, dedak dan juga pelet. Untuk ujian ini pelet 920 menjadi pilihan dan digunakan dengan teknik perambut dua mata kail.
CARA PENGGUNAAN UMPAN:
Rendam dan tos dengan segera 1 kg pelet di dalam bekas bancuhan umpan. Biarkan seketika sehingga pelet menjadi lembut.
Tuangkan umpan durian strawberi (anggaran 10-15 penutup botol) ke atas pelet dan goncang hingga sekata. Biarkan seketika sehingga umpan meresap pada pelet.
Cucuk jajan atau keropok jagung pada mata kail. Kemudian kepal pelet kira-kira segenggam pada kedua-dua mata kail dan pastikan mata kail tergantung kemas di tengah-tengah kepalan pelet.
Disakat Hantu Jepun Ketika Sedang Gasak Ikan ®

Dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Fadzli dan Rosdan tiba di Temerloh. Azhar yang menunggu mereka di stesen minyak Simpang Songsang mengajak mereka berdua singgah dahulu di sebuah warung untuk minum sambil berbincang tentang trip memancing pada sebelah malam nanti.
Lebih kurang jam 10.00 malam mereka turun memancing. Bot fiber biru muda yang dipadankan dengan enjin sangkut 15 kuasa kuda dipacu sederhana laju oleh Azhar.
Melihat keadaan air sungai yang surut dan tidak berapa keruh, membuak-buak semangat Fadli dan Rosdan untuk menewaskan spesies ‘ori’ yang selama ini diidamkan.
Tidak sabar rasanya mereka berdua hendak menaikkan kerai, patin, baung, temoleh, lampam, begahak dan tidak terkecuali udang galah.
Sepuluh minit perjalanan, mereka sampai di Lubuk Rakit. Azhar memperlahankan enjin bot. Setelah sauh dilabuh tanpa berlengah Fadli mencangkuk cacing air ke mata kail.
Menurut Azhar cacing air merupakan umpan power untuk penghuni Sungai Pahang. Rosdan pula memilih seluang janggut sebagai umpan sulung trip ini.
Sebaik sahaja umpan menyentuh dasar, hujung joran bergetar perlahan di getu anak-anak ikan. Tidak lama menunggu, joran tiba-tiba melengkung dan sepantas kilat Fadli menyentap dan mengepam tali ke dalam kekili. Seekor ikan pari sebesar pinggan berjaya disauk ke dalam bot.
“Fuh… tak sangka dapat pari. Kuat juga dia melawan, pari sungai” Fadli bersorak gembira dan sangat teruja dengan pari air tawar pertama buat dirinya.
Rosdan pula berjaya menaikkan seekor begahak sebesar betis.
“Jaga sikit Rosdan… guna playar. Gigi ikan tu kau tengoklah macam dinosaur!” Pesan Azhar yang pernah luka kerana gigitan ketika mahu mengeluarkan mata kail dari rahang begahak.
Bukan main ceria lagi mereka berdua. Azhar selaku tekong tumpang gembira dengan hasil sulung mereka berdua. Tidak sia-sia dia menjemput dua sahabat yang dikenali melalui forum pemancing datang menduga di sungai terpanjang di semenanjung Malaysia ini.
Semakin larut malam semakin galak ikan meragut umpan. Bekal jemput pisang dan kopi ‘o’ panas yang dibancuh isteri Azhar tidak sempat dijamah.
Asal taruk sahaja umpan tanpa menunggu lama pasti bersambut. Beberapa ekor udang galah juga berjaya dipancing.
“Betullah bang… Meriah betul lubuk ni” Azhar tersenyum dengan kata-kata Fadli. Lubuk Rakit adalah antara lokasi yang sering dikunjungi Azhar untuk menghanyutkan jaring atau memancing.
Di lubuk ini dia pernah bertarung dengan temoleh belasan kilogram. Patin buah juga banyak dia perolehi di sini.
Fadli melihat jam tangannya. Sudahpukul 2.15 pagi tetapi mata tidak mengantuk. Waktu dirasakan begitu pantas berlalu.
Walaupun cuaca semakin sejuk kerana embun mula turun menitis namun tidak diendahkan mereka bertiga. Keasyikan menaikkan ikan mengatasi segala-galanya.
Rosdan menerima satu strike. Nampaknya habuan yang besar kali ini. Hujung joran menunduk hampir mencecah air. Rosdan berdiri mengemas kekuda.
Manik-manik peluh mula membasahi dahi. Beberapa minit bertarung, Rosdan bersuara
“Bang, tolong bang… sangkut ke ni. Uhh.. beratnya” dengus Rosdan sambil menunggu Azhar mengambil alih perlawanan.
Azhar melangkah ke depan bot. Memang terasa berat. Azhar cuba mengarau tali tetapi tidak dapat memusing tombol pada kekili. Tangsi ditarik menggunakan tangan.
Jari terasa pedih kerana berat bebanan yang ditarik. Tambahan pula rintangan arus sungai.
Sedikit demi sedikit tangsi dihela ke dalam bot. Kelihatan berbalam-balam di dalam air sesuatu yang agak besar.
Terdetik di hati Azhar apakah gerangan penghuni lubuk yang semakin menimbul. Kalau ikan sudah tentu ada henjutan atau perlawanan tapi ini mengikit sahaja.
“Ya.. Allah! Hulur parang..cepat.. cepat!” Tiba-tiba Azhar melaung cemas.
Suasana di dalam bot menjadi kelam-kabut. Dapat dilihat dengan jelas mayat askar Jepun yang berbelit tali tangsi. Dengan tangan mengeletar Rosdan menghulur parang.
Azhar tergesa-gesa memotong tangsi. Mayat tersebut masih terapung. Beberapa kali tali penghidup enjin sangkut disentap. Dalam suasana cemas dan tergopoh-gapah akhirnya enjin dapat dihidupkan. Tali sauh dipotong dan Azhar terus memecut laju.
Di tengah perjalanan Fadli berteriak “Mayat..mayat!” Jari telunjuknya menuding ke dalam air sebelah kiri bot. Mayat askar Jepun mengekori bot mereka.
Semakin laju Azhar memecut semakin pantas mayat tersebut meluncur, tenggelam-timbul berhampiran bot. Tiba-tiba Rosdan mengangkat kedua-dua tangannya dan dirapatkan ke telinga.
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Rosdan melaungkan azan sekuat hatinya. Sedikit demi sedikit mayat askar Jepun tenggelam ke dalam air dan lenyap dari pandangan.
Mereka berdua yang bermalam di rumah Azhar tidak dapat melelapkan mata. Wajah mayat askar Jepun masih terbayang-bayang. Apabila hari sudah siang barulah kedua-dua mereka boleh tidur.
“Bang… lain kali kalau kami datang ke sini, kami tak mahu dah ke lubuk tu. Patut lah banyak ikan.. ada hantu!”
Sempat Fadli berseloroh ketika berjabat tangan sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur. “Ok..lah, abang bawa ke pulau penanggal pulak nanti..” balas Azhar tersenyum sambil tangan dilambai kepada dua sahabatnya.
*Ketika Perang Dunia Kedua, satu batalion tentera Jepun yang sampai ke daerah Temerloh telah memakan bubur yang dimasak penduduk kampung.
Bubur tersebut telah di campur dengan ubi gadung yang beracun dan boleh membawa maut. Mayat-mayat tentera Jepun bergelimpangan mati dan yang jatuh ke dalam sungai, timbul umpama rakit yang memenuhi teluk di kawasan Lubuk Rakit.
Sehingga ke hari ini masih berlaku kejadian mistik dan gangguan ‘menghantui’ lubuk tersebut.
Kenali 3 Spesies Ikan Aji-Aji Malaysia!!

Terdapat 3 subspesies ikan aji-aji di mana jenis aji-aji belang hitam (Seriola nigrofasciata) mudah dijumpai di perairan kita berbanding aji-aji berjalur kuning di kepala amat jarang. Hanya di sebelah perairan kepulauan Spratly dan gugusan beting Lucornia pernah direkodkan tangkapan aji-aji kepala kuning.
Aji-aji belang hitam ini hanya boleh membesar sehingga 5.2kg dengan saiz maksimun ialah 2.2 kaki. Saiz purata aji-aji jenis hitam ini sekitar 1 kaki sahaja.
Catatan rekod maksimun berat aji-aji ialah 80.6kg iaitu jenis aji-aji jalur kuning (Seriola dumerili). Inilah salah satu sebab kenapa ramai kaki pancing berkunjung ke New Zealand semata-mata nak merasai penangan gila dan power terlampau ikan greater amberjack.
Satu jenis aji-aji kepala kuning lagi (Seriola rivoliana) meraih berat 59.9kg dengan panjang yang direkodkan ialah 5.2 kaki. Namun begitu kedua spesies aji-aji berjalur kuning di kepala ini dikatakan mengandungi racun Ciguatera. Manakala aji-aji hitam yang lumrah di negara kita tercinta di sahkan tidak mengandungi racun terbabit dan dikatakan sumber diet yang baik. Ianya selamat dimakan.

Habitat Dan Taburan
Sebelah Laut China Selatan ikan aji-aji lebih tertumpu di persisianpantai (coastal water or bay) manakala spesimen yang besar lebih tertumpu mendiami kawasan terumbu karang dari kedalaman berbeza di antara ketiga-tiga sub-spesies ini.
Boleh berada sehingga kedalaman 350 meter. Habitat aji-aji lebih tertumpu kawasan yang memiliki objek sama ada di dasar atau di permukaan air. Objek dasar termasuklah terumbu karang, batu karang, tukun, tompok bunga karang dan objek permukaan lebih cenderung kepada unjang dan boya.
Anak ikan aji-aji banyak dikesan bermain di permukaan air dan apabila ia membesar aji-aji boleh berada di dasar dan permukaan air pada satu-satu masa. Macam haruan tasik juga.
Aji-aji bergerak dalam kumpulan kecil atau ‘non-schooling’. Boleh ditemui di serata dunia di kawasan perairan subtropika dan tropika. Dari kepulauan Pasifik seperti Hawaii, Micronesia, Bikini Island, New Celedonia hingga Bermuda, Costa Rica, Teluk Mexico, Brazil Laut Merah di semenanjung Arab hingga
Morocco di Mediterranean, Timur dan Selatan benua Afrika dan di Asia ia ditemui di antara Laut Jepun hingga New Zealand.
Profil Ringkas
Famili: Carangidae
Ciri Fizikal: Bentuk seakan pisang-pisang tetapi lebih pendek sedikit. Kulit seperti kertas pasir halus. Warna gelap lebih tertera pada atas badan dan kehadiran jenis boleh dikesan melalui corak dan warna jalur berdekatan kepala.
Taburan: Laut China Selatan, Atlantik dan Lautan Pacifik tertumpu kepada kemuncak tropika. Hampir keseluruhan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Taburan di pantai timur lebih ketara di Laut China Selatan.
Habitat: Pertengahan dan dasar berkarang lembut serta lautan lepas jurang dalam.
Diet: Hidupan dasar seperti cacing laut, moluska, krutesia dan ikan pelagic.
Taktik Dan Teknik Betul Ngail Kitang

Jika kita perhati, ikan kitang seperti tidak begitu takut dengan kehadiran manusia. Mungkin juga disebabkan badannya nipis dan gelap sukar bagi seseorang itu mengenal pasti kitang jika dipandang tepat dari atas. Ketika ia mengutis makanan pada objek terapung, badannya akan mereng dan kilauan cahaya dari lebar badan ketika melentang mudah dikenali.
Kita boleh perhatikan ia berenang sambil menikmati makanannya tanpa memperdulikan persekitran. Jika diacah sepantas kilat ia menghilangkan diri dan muncul kembali menikmati diet hariannya semula.
Ikan kitang bergerak dalam kumpulan kecil. Ia boleh dijumpai bersama-sama dengan ikan buntal sungai, anak todak dan ikan-ikan pelagik yang turut mendiami muara sungai.
Ikan jenis lebar ini apabila menelan umpan, pertarungan sungguh menyeronokan lebih-lebih lagi peralatan pancing adalah jenis aksi ringan dan beradu di kawasan terbuka.
Kitang adalah salah satu spesies yang boleh memberikan kepuasan. Ia cukup pada larian serta tekanan yang diberikan ketika merentang badan (mereng) boleh membuatkan riak wajah pemancing ceria, senyum kemerahan di tengah panas.
Umpan, Peralatan Dan Teknik
Secara amnya teknik memancing ikan kitang adalah lebih kurang sama seperti ikan bermulut kecil yang lain. Bagaimanapun kesukaran menjeratnya adalah merujuk kepada lokasi serta habitat utama. Cara terbaik, mudah dan dipratik dengan meluas ialah teknik perambut apollo.
Di antara umpan yang biasa saya gunakan ketika memancing ialah perumpun atau ruat sarang, hirisan ikan seperti sotong pasar, kembung, selayang dan selar. Udang mati dihiris kecil sesuai untuk mata kail halus.
Jangan terlalu besar umpan sebab lihat saja mulutnya mana mampu makanan di telan. Ia spesies ikan pengutis makanan. Jika air cetek umpan boleh dilabuh terus ke dasar dan kawasan air dalam boleh guna pelampung atau hanyutkan umpan di permukaan air.
Kitang seekor ikan bermulut kecil dan jenis suka mengutis umpan sudah tentu mata halus adalah lawannya. Cara terbaik adalah perambut stail apollo yang memiliki perambut 10-15lb dengan mata kail saiz 8.
Sebesar manakah umpan yang perlu dipersembahkan untuk membuak-buakkan selera ikan kulit liat ini di bawah permukaan air. Persoalan ini haruslah dirungkai dengan mudah dan jangan terlalu mengambil berat akan kegagalan keputusan akhir nanti.
Setengah pemancing menabur rasuah terlebih dahulu agar ia leka dan keluar dari kawasan persembunyiannya. Rasuah umpan biasanya isi ikan yang dihancurkan dan paling mudah ialah mengunakan dedak.
Dedak ditabur agar ikan galak dan selang seketika umpan bermata kail kecil di hulur di kawasan yang di kerumuni ikan ini.
Ikan kitang seperti ikan muara bermulut bukanlah ikan idaman oleh hampir kesemua pemancing malah kehadirannya tidak diendahkan oleh kaki pancing.
Jika berhajat mengunakan set apollo lebih bagus dan efektif hasilnya, terus ikat mata dengan perambut. Setelah saiz mata dipilih, perambut 15lb boleh digunakan untuk mengikat mata kail kecil dengan mudah.
Pastikan ikatan kemas dan jangan terlucut pula ia ketika dalam pertarungan. Kalau nak ummp lagi guna peralatan ultralight (aksi ringan seperti joran udang) dengan kapasiti tangsi 6lb. Baru syok layan kitang apabila ia rembat pancing kecil anda sampai berdenyut rasanya bertarung.