Cara memancing limbat lebih seronok jika menggunakan teknik dulu-dulu. Tak perlu guna joran dan kekili. Cari pelepah sawit muda yang agak lembut sikit (batang buluh kecil atau joran teleskopik pun boleh). Panjang 1 depa setengah atau ikut kesesuaian korang.
Panjang tangsi dalam sedepa (jangan terlebih panjang melebihi joran). Kemudian guna batu ladung kepit dan kepit lebih kurang sejengkal dari mata kail. Sebenarnya tali pancing tu jangan panjang sangat. Kalau orang dewasa lebih kurang setengah depa je.
Tapi saya lebih suka tali pendek sebab bila ikan bawak lari umpan tak terasa ikan tu merempit… macam tak mencabar. Selalunya kalau tali panjang bila ikan tu merempit dia akan masuk kat mana-mana celah kayu atau pelepah sawit dalam air. Kat situlah cabarannya dan kenalah pandai control. Umpan biasanya guna cacing tanah je.
Ads
Lubuk paling mudah untuk cari limbat ialah parit-parit tanah gambut yang biasanya terdapat di kawasan estet atau ladang kelapa sawit. Jika memancing bersama rakan, sebaiknya jarak antara pemancing sekurang-kurangnya 20-30 kaki. Part inilah kena hati kering sikit sebab waktu malam. Kalau takut duduk jauh-jauh, rapat-rapat pun boleh tapi kuranglah hasilnya.
Masukkan mata kail dalam air kemudian kocak air parit dengan hujung joran. Kocak dalam 5 saat kemudian berhenti 3 saat, kemudian kocak dan begitulah seterusnya sehingga umpan kena ngap. Kalau malas kocak, korang henjut sikit-sikit hujung joran bagi umpan turun naik.
Ads
Cara kocak joran pun ada caranya juga. Celupkan hujung joran tu lebih kurang setengah jengkal dalam air, dan jangan kocak air tu kuat sangat. Sedang-sedang je. Kalau nak kocak kuat-kuat pun boleh tapi cepat letihlah
Ads
Hasilnya kalau tempat tu banyak limbat memang ralit dibuatnya. Hilang semua rasa seram sejuk. Kena elok saiz yang bagak-bagak pun boleh keluar. Biasanya kalau dapat saiz yang 2-3 jari ke atas tu saya akan lepas balik sebab dah tua… dah tak sedap rasanya.
Kalau memancing di dalam sawah padi, tali air atau parit yang ada titi berkolong, cuba pancing depan muka kolong tu time malam. Biasanya pasti ada cuma banyak tak banyak je.
Kalau malas atau takut nak pancing waktu malam gelap tapi teringin nak makan keli limbat ni, buat tajur dan pasang banyak-banyak. Tinggal dan pergi tengok selepas subuh. Kalau dah rezeki tu tak ke mana…. itupun kalau tak kena makan dgn kengkawan dia. Selalunya seekor dua mesti tinggal kepala je.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Secara peribadi sudah beberapa kali saya memancing di Taman Negara Kuala Tahan. Kalau tak silap pada perkiraan kali terakhir saya memasuki dan memancing di Taman Negara Kuala Tahan ialah pada 2012 yang lalu. Jika tidak silap juga ketika itu Taman Negara Kuala Tahan di Sungai Tahan dibuka untuk aktiviti memancing bagi tempoh sebulan sahaja.
Saya juga pernah memancing secara bermalam dan balik hari di sungai Tahan tersebut namun tiada sebarang hasil yang boleh dibanggakan. Sebabnya bukan kerana ikan terutamanya kelah di sana sudah sukar untuk diperolehi tetapi disebabkan faktor cuaca. Boleh dikatakan kesemua trip memancing saya ke sungai Tahan itu disusuli oleh cuaca buruk.
Namun, apabila pihak Taman Negara Pahang mengisyhtiharkan bahawa aktiviti memancing di Sungai Tahan akan dibuka kepada umum. Aktiviti ini bermula pada 16 Mei dan 17 Mei ini (setiap RABU dan KHAMIS) dengan beberapa syarat dan peraturan, saya yakin impian saya untuk menjinakkan dua spesies utama di Sungai Tahan iaitu kelah dan tapah memperlihatkan sinarnya.
Cuma amat mengecewakan aktiviti CASTING pula diharamkan atas faktor keselamatan. Berikut merupakan syarat dan peraturan yang ditetapkan…
Syarat Memancing di Sungai Tahan, Taman Negara Pahang
Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot diwajibkan mendaftarkan diri di Kaunter Penguatkuasaan sebelum memulakan aktiviti memancing.
Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot perlu mengambil Permit Masuk (RM1), Lesen Memancing (RM10/rod) dan Lesen Mengambil Gambar (RM5/kamera) terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti memancing di Kaunter Penerangan Taman Negara Pahang, Kuala Tahan.
Syarat-Syarat Lain:
Terbuka kepada semua Warganegara dan Luar Negara.
Aktiviti memancing dibuka setiap hari Rabu dan Khamis. Sebarang perubahan waktu memancing adalah tertakluk kepada pihak Pengurusan Taman Negara Pahang.
Masa aktiviti memancing bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang sahaja.
Kawasan aktiviti memancing yang dibenarkan adalah dari Kuala Tahan ke Jeram Bahala sahaja.
Aktiviti memancing ini hanya boleh menggunakan bot sahaja. Trekking ke kawasan memancing adalah tidak dibenarkan.
Jumlah bot yang dibenarkan ialah 10 bot sehari dan seorang pemancing boleh mengambil Lesen Memancing maksima dua (2) lesen sahaja. Tempoh sah lesen memancing hanya satu (1) hari sahaja.
Sebuah bot boleh membawa maksima empat (4) orang pemancing sahaja dan pemandu bot dan juruhaluan mesti bersama dengan pemancing sepanjang aktiviti memancing.
Aktiviti memancing kaedah ‘casting’ tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan pelancong/pemancing lain.
Peralatan yang dibenarkan:
Peralatan untuk memancing sahaja (mata kail, tangsi, batu ladung, joran, reel dan lain-lain peralatan yang menggunakan kaedah pancing yang ditetapkan oleh Penguasa)
Peralatan yang dilarang dibawa:
DILARANG mengganggu, mencederakan, mengambil atau membunuh hidupan liar dan serangga di dalam Taman Negara.
DILARANG merosak, memotong, memindah, mengubah, memusnah pokok, batu, papan tanda atau tempat perlindungan hidupan liar.
DILARANG membuang sampah mahupun puntung rokok di dalam kawsan Taman Negara. Semua sampah hendaklah dibawa balik dan dibuang ke tempat pembuangan sampah semasa keluar.
DILARANG memasang unggun api di dalam kawasan Taman Negara.
DILARANG membawa, memiliki, mengedar dadah atau meminum minuman keras/ beralkohol di dalam kawasan Taman Negara.
Tambahan:
Pemeriksaan barang terhadap pemancing diwajibkan sebelum dan selepas aktiviti memancing.
Hanya bot yang berdaftar dengan Jabatan Perhilitan sahaja dibenarkan untuk membawa pemancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang.
Pemancing perlu membawa permit dan lesen setiap masa semasa menjalankan aktiviti bagi memudahkan tujuan pemeriksaan Jabatan.
Pihak Jabatan Perhilitan berhak memeriksa bot pada bila-bila masa.
Pihak Jabatan Perhilitan berhak meminda syarat dan peraturan memancing pada bila-bila masa atau membatalkan aktiviti memancing ini pada bila-bila masa dan tertakluk kepada keadaan semasa.
Tempahan memancing dan bot memancing hanya boleh dibuat melalui Persatuan Bot Dalaman Taman Negara, Kuala Tahan sahaja.
Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan diwajibkan memakai ‘life jacket’ sepanjang aktiviti memancing.
Pemancing diwajibkan mengisi dan melengkapkan Borang Pelepasan Tanggungjawab (Lampiran I) di Kaunter Penguatkuasaan sebelum menjalankan aktiviti memancing.
Semua jenis ikan dibenarkan untuk dipancing. Ikan Kelah yang beratnya 1 Kilogram hingga 4 Kilogram sahaja dibenarkan. Ikan Kelah yang beratnya kurang dari 1 Kilogram atau melebihi 4 kilogram hendaklah dilepaskan kembali di tempat ianya ditangkap.
Pemancing diwajibkan mengisi Borang Daftar Aktiviti Memancing (Lampiran II) di Rakit Jabatan Perhilitan apabila siap memancing untuk tujuan rekod inventori pihak Taman Negara Pahang.
Kelulusan adalah tertakluk kepada Penguasa Taman Negara Pahang.
DENDA
Sesiapa yang didapati memancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang tanpa permit atau tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah melakukan kesalahan mengikut Enakmen Taman Negara (Pahang), 1939 dan Keadah 11, Kaedah-kaedah Taman Negara Pahang.
Oleh itu, mereka yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit (RM 5,000) atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Setibanya di jeti nelayan Ujong Batu, Bagan Dalam, kami segera mencari pengusaha bot yang menyediakan servis menghantar pemancing ke pelantar di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Tidak sukar untuk mencari pengusaha bot ini kerana ramai yang sedia menanti di jeti.
Dalam masa yang sama juga serba sedikit info dapat diperolehi bagi menentukan tiang jambatan yang mana akan dituju nanti.
Selain servis menghantar dan mengambil pemancing dari bawah jambatan, pengusaha bot turut menghantar menyediakan servis menghantar makanan dua kali sehari.
Sebelum berlepas, kami mengisi perut dan membawa bekal untuk makan malam sekali kerana tiada sebarang kedai makan di bawah jambatan, yang ada hanyalah tiang dan pelantar kosong.
Semangat untuk ke bawah jambatan kian meluap-luap bila melihat ada pemancing yang baru pulang membawa hasil seekor siakap mega.
Segala gambaran mistik tentang hantu air, cik ponti hanyut atau mayat orang bunuh muncul dari air dan macam-macam lagi lenyap begitu saja.
Terbayang pula aksi-aksi bertarung dengan ikan-ikan mega yang lebih 30 tahun mendiami lubuk-lubuk di bawah jambatan.
Namun bayangan itu tak kekal lama apabila terbayang pula sekiranya terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke pelantar yang tinggi dari paras air.
Daripada lebih 80 tiang menghala Georgetown dan lebih 80 lebih lagi menghala ke Seberang Prai yang sesuai untuk memancing, kami memilih tiang bernombor 40 menghala ke Seberang Perai.
Tiang ini tiang merupakan rebutan kerana sering menaikkan ikan-ikan mega dan kami bernasib baik kerana ia belum berpenghuni.
Bertambah lega kerana tidak perlu memanjat tangga yang didirikan dari atas bot kerana pelantar sekadar beberapa kaki saja dari paras air.
Agak memakan masa juga untuk membiasakan diri berada di atas pelantar tanpa pengadang dengan angin timur yang bertiup kencang tanpa henti. Terutamanya pada malam hari.
Biarpun masih tempias cahaya dari lampu jambatan, namun pergerakan seperti terbatas. Terasa cuak sekiranya tersilap langkah.
Sementara menanti ragutan ikan, apa yang mampu dilakukan hanyalah membaringkan tubuh beralaskan tikar kecil di belakang tiang sambil menggigil kesejukan.
Masuk hari kedua barulah penulis dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. Hilang sudah rasa gayat dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada memancing.
Umpan hidup tidak bermasalah di tiang 40 kerana agak mudah juga untuk mendapatkan kasai dan bilis dengan menggunakan apollo.
Hanya sambaran ikan saja agak kurang. Dan hampir setiap kali ada rentapan kasar pula, larian ikan ke tukun dan ke bawah pelantar pula menyebabkan tali utama bergeser dengan teritip dan putus.
Hanya seekor jenahak dan kerapu berskala remaja saja yang berjaya ditarik keluar dan selamat didaratkan.
Tiada sebarang tangkapan mega sepanjang tempoh lebih 50 jam memancing dan menggigil kesejukan sepanjang dua malam tidur di bawah jambatan.
Mungkin nasib tidak menyebelahi ditambah pula set pancing yang digunakan kurang bersesuaian.
Sekiranya menggunakan set pancing yang lebih kasar dan lasak menangani tukun dan teritip, kemungkinan besar ada tangkapan mega didaratkan.
Yang pasti bawah Jambatan Pulau Pinang masih ada banyak ikan mega dan wajar dimuatkan dalam kalendar trip memancing.
Dan penulis juga selamat dari dipertontonkan adegan mistik atau insiden bunuh diri.
Yang banyak kelihatan hanyalah sampah-sampah berterbangan dari atas jambatan yang turut menyumbang kemusnahan hidupan laut.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Mengimbau kenangan lama, perlumbaan mendaki Gunung Gagau dan aktiviti mendaki gunung adalah riadah utama bagi kami semua.
Malah sepanjang trip di Kenyir ini banyak menceritakan suka-duka perlumbaan tersebut. Menjadi pasukan terakhir berlepas seawal pagi tidak merisaukan pasukan kami.
Setiap pasukan dianggotai 3 orang lelaki dan seorang wanita sudah berlepas ketika kami masih leka memamah sarapan nasi goreng berlaukkan baung yang dipancing pada malam hari.
Selesai sarapan kami masih bersandar di batang pokok sambil menghembus asap rokok di tengah kawasan yang nyaman.
“Kau orang bila nak bergerak dah lewat lewat sangat ini,” ujar pengurus pasukan dan tukang membuat nasi goreng.
Diringkaskan coretan dari kedudukan tercorot kami mengejar satu persatu pasukan di hadapan dan tiba di garisan penamat pada jam 4.00 petang di tangga kelima dari hampir 30 pasukan. Macam tak percaya pulak.
Masa itu tenaga kuat dan kami jenis manusia ‘trekking’ macam orang gila, tak reti nak berhenti.
Di tapak khemah bersebelahan dengan sungai menyaksikan beberapa ekor kelah mega dinaikkan boatman sebagai hidangan peserta pada malam berikutnya.
Dari situ ramai di kalangan kami berkata pasti suatu hari nak bertandang untuk memancing pula.
Berubah Fizikal
Melihat paras rupa geng yang dah masuk pencen ini menampakkan perubahan ketara di kalangan kami.
Perut lebih menonjol tapi masih mampu mendaki gunung tanpa bantuan. Gelak ketawa separuh perjalanan sebelum sepi melelapkan mata di separuh lagi perjalanan bot menuju ke kawasan kuala Sungai Cacing.
Kuala sungai sudah dipenuhi bot yang tiba lebih awal dari kami. Terpaksalah berlabuh agak jauh sedikit di muka dua kuala Sungai Cacing dan Sungai Terenggan.
Ada yang mula menyiapkan peralatan pancing manakala selebihnya lebih teruja melihat panorama sekeliling.
Nasib baik ada juga di kalangan kami yang minat gewang. Setidak-tidaknya ada ‘partner’ memancing sepanjang 3 hari berikutnya.
Kami merancang untuk cuba sungai dahulu dan selepasnya meninjau suak-suak yang begitu lama tidak bertandang.
Ketika ramai masih bersantai atas boathouse, saya bersama Husin masuk ke sungai hingga hujung kawasan larangan taman. Air semakin mengeruh teruk bila tiba di cabang sungai cetek dan aktiviti mengilat kurang sesuai.
Begitu pun gewang tetap dilontar di kawasan sekeliling setelah menyedari riak-riak sebarau menghambur di permukaan di kawasan air keruh.
Dari hulu hingga menghala ke muara sungai kami pulang di boathouse dengan berpeluh kosong. Kosong dengan hasil dan berpeluh untuk hidupkan enjin yang semput.
Memandangkan ramai geng kami adalah jenis santai memancing, janji joran di air tanpa mempedulikan sangat bab joran. Suasana boathouse lebih menyerlah berbanding siang.
Tidak kira kekerapan getuan ikan pada paras sederhana atau tiada langsung mereka ini tidak kisah.
Kopi ‘O’ cicah dengan biskut kering sambil berborak pasal kisah silam mendaki gunung sambil sesekali terhenti apabila baung dan lampan mengena mata pancing.
Juadah yang sama juga ketika berkhemah di tepi sungai, lereng gunung mahupun puncak gunung, minuman panas dengan biskut untuk tenaga meneruskan perjalanan keesokan hari.
Cerita bersambung kait tidak putus-putus kerana kami telah mendaki hampir kesemua puncak gunung di semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ada sahaja bahan yang membuatkan hilai ketawa bergema. Bila Husin merancang untuk keluar awal pagi esok hari barulah saya meninggalkan geng gunung masih rancak berborak mengenang kisah silam.
Hilangkan Gian
Kerana tiada kuasa persaingan untuk keluar memancing, awal pagi menjadi tidak begitu awal bagi kami yang lebih tertumpu pada mengilat.
Bahagian yang paling malas ialah menghidupkan enjin sangkut yang uzur dimamah jam perjalanan sebelumnya. Seumpama senaman otot lelengan pagi hari untuk hidupkan enjin yang semput.
Dari berdua kini bertiga bergerak mencari suak-suak yang berpotensi untuk mengilat. Memang sukar mengesan sebarau di kala air menyusut lebih dari 30 kaki.
Sebarau lebih banyak merayau di kawasan terbuka berbanding suak bila musim hujan yang lewat tiba.
Begitu pun tak salah mencuba dan mencuba di serata spot hingga persimpangan ke Gua Bewah. Sambil bergurau kata nak beriadah dan lepak di Kenyir jadi ikan soal kedua.
Kalau dapat melihat aksi lenturan joran sekadar hiburan buat penggemar mengilat. Pening juga memilih jenis dan aksi gewang sesuai di kala ikan tidak begitu galak.
Ketika ini gewang yang pernah menerima sambaran dipilih kerana dirasakan peluang lebih tinggi. Dari puluhan gewang dilontar, tiga mendapat sambaran dan dua berjaya lolos dari mata gewang.
Ketika beberapa sambaran mengena saya sebenarnya sudah perasan kesan tapak kaki baru berdekatan gigi air.
Saiz tapak gadang dan saiz kecil menunjukkan kawanan gajah bersama anak baru melepasi suak tersebut.
Cuma diamkan diri sambil mengawal sampan ketika dua orang rakan saya melontar gewang.
Namun mata tetap memerhati sekeliling kawasan. Sekian lama berlalu barulah mereka berdua perasan mengenai kewujudan tapak kaki berkenaan.
Apabila disergah oleh mereka jangan cari pasal barulah tangan mencapai ‘starter’ enjin sangkut.
Mana tidak kalau ia menerpa enjin pulak tak mau hidup tidak ke menjadi kes naya!
Balik berehat dan bersantai di boathouse lebih elok pada tengah matahari memacak di kepala.
Petang pula kami meneruskan saki baki waktu terluang dengan memancing bersama geng-geng yang sedang bersantai di atas boathouse.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...