Seperti mana tasik-tasik lain, kewujudan Tasik Beris telah menjadi tumpuan kaki-kaki casting khususnya sebelah utara untuk memburu spesies sebarau dan toman.

Walaupun ia kurang menjadi sebutan berbanding tasik lain di Malaysia, tasik ini tetap berada dalam kelas tersendiri.

 

Tasik Beris juga turut menyimpan siakap air tawar yang khabarnya dilepaskan oleh Jabatan Perikanan atas tujuan kajian.

Rekod menunjukkan siakap ini masih lagi ada dan membesar hingga puluhan kilogram! Pun begitu bukan mudah untuk bertemu dan menewaskan siakap air tawar di Tasik Beris ini, lantaran ia sarat dengan tumbuhan samai.

 

Terima undangan

 

Untuk trip singkat ini, sebanyak 6 buah bot telah ditempah oleh mereka daripada Pak Su Razak Beris, seorang pengusaha bot sewa memancing.

Selain itu turut disediakan sewaan rumah istirehat keluarga Paksu Razak selama 2 hari 2 malam di pinggir tasik berkenaan sebagai tempat penginapan.

 

Sementara menantikan ahli komplot berkumpul sepenuhnya, saya bersama rakan New Kids Angler (NKA) yang tiba lebih awal berkesempatan mencuba casting dari tebing hingga ke lewat petang sebelum dihentikan awal gara-gara hujan beserta kilat.

Malam tersebut aktiviti dipenuhi dengan salam perkenalan, sembang santai sambil merancang perjalanan trip esok.

 

Esoknya, seawal jam 7.15 pagi kami sudah terpacak di dalam bot masingmasing. Tiga orang setiap gabungan bot fiber dan polisterine buatan sendiri Pak Su Razak ini cukup selesa.

Cuma yang kurang selesanya bagi penulis adalah hampir semua bot di Tasik Beris menggunakan enjin ekor biawak.

 

Ketika hujan renyai turun, enam buah bot berpecah mencari spot masing-masing. Penulis bersama Fitri menaiki bot yang dikemudikan oleh Yares.

IKLAN

Bermula di kawasan tidak jauh dari ladang anggur, kami kemudiannya meneroka kawasan tuas (ceracak pokok buluh mati yang tenggelam).

 

Di spot ini, hanya seekor sebarau bersaiz juvenil berjaya diperolehi. Pencarian di kawasan ini sedikit terbatas kerana kawasan permukaan tasik hampir dipenuhi samai dan amat sukar untuk kami menggayakan gewang lain selain gewang jenis permukaan.

 

Menurut Yares, inilah cabarannya jika casting di Tasik Beris, sebaraunya sukar dijejaki terutama bersaiz besar kerana ia berselindung di bawah samai.

Jadi dek kerana kesukaran inilah, amat bertuah buat mereka yang berjaya menaikkan sebarau bersaiz 1 kg ke atas.

Atas sebab ini juga, kata Yares mengapa trip ini dinamakan ‘Cabaran Sebarau dan Toman Tasik Beris’.

 

Tambahnya lagi, dek kerana samai-samai inilah, punca mengapa enjin ekor biawak menjadi pilihan kebanyakan pemilik bot di sini.

Walaupun ia bukan enjin yang praktikal untuk tujuan casting (kerana bunyi bising), tetapi ia menjalankan tugas yang baik kerana mampu melalui permukaan tasik yang dipenuhi dengan rumput tebal dan samai.

 

Menginjak tengah hari, kami mencuba di kawasan yang lebih terbuka untuk menjejaki sang toman.

IKLAN

Namun disebabkan rintik hujan dan mendung yang berterusan membantutkan usaha mencari sang toman sebelum kami berangkat pulang semula ke jeti Pak Su Razak untuk berehat dan makan tengahhari.

 

Semasa berehat, masing-masing menceritakan kesukaran mendaratkan spesies sasaran. Faktor air yang dalam, samai memang menyukarkan.

Tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat geng NKA yang rata-ratanya baru berjinak dengan teknik casting.

Beberapa orang berjaya memperoleh sebarau dan toman bujang. Tiada lagi kelibat badong mahupun mama toman pada sebelah pagi.

 

Sesi petang

 

Sesi petang diteruskan kembali dengan masing-masing mencuba spot yang berlainan. Sebelah petang, cabaran untuk mencari spesies sasaran lebih mencabar, kerana faktor angin yang mulai bertiup kuat.

 

Di satu hujung tanjung, ketika baru sahaja Yares memberhentikan bot, terlihat kelibat toman timbul mengambil udara tidak jauh di belakang bot.

IKLAN

Terus sahaja kami melontarkan gewang yang ada dan berapa kali karauan, sang toman terus menyambar rakus gewang permukaan milik Yares.

 

“Yes! Fish On,” katanya.

 

Lewat petang, hari kelihatan semakin mendung. Angin juga mulai semakin kuat bertiup. Nun di puncak bukit bukau yang melatari pemandangan indah Tasik Beris, kelihatan awan hitam sedang berarah menuju ke arah kami.

 

Harapan untuk menduga spot ‘Raja Sakti’ akhirnya tidak kesampaian apabila rintik hujan mulai semakin kasar dan seterusnya hujan berserta angin ribut diiringi kilat dan petir menimpa kami.

Mujur bot yang dinaiki saya sempat berlindung di wakaf tidak jauh dari hentian R&R Tasik Beris.

 

Sambil bertanyakan kepada rakan bot lain, akhirnya kami diberitahu sebuah bot mengalami kerosakan enjin dan berlindung agak jauh daripada bot kami.

Selesai hujan reda, kami menjejaki mereka. Mujur juga di Tasik Beris ini, liputan talian telefon amat baik.

Kalau kejadian ini berlaku di Tasik Kenyir atau di Royal Belum, macam mana agaknya untuk mendapatkan bantuan.

 

Sekitar jam 9 malam, bot yang dinaiki saya selamat sampai ke jeti Pak Su Razak Beris bersama bot yang ditunda.

Sesi sebelah malamnya, kami berkumpul sambil mendengar cerita bot yang lain. Masing-masing menunjukkan hasil yang tidak seberapa.

 

Melihat kepada beberapa faktor seperti cuaca yang tidak menentu, samai yang tebal, ramainya penduduk kampung memasang jaring dan rawai serta air tasik yang tinggi, memang harapan untuk menduga dua spesies ini sememangnya sukar ketika ini.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI