Menurut Pengarah Negeri Tourism Malaysia Perak, pengenalan Teluk Intan sebagai produk pelancongan adalah rentetan dari kesinambungan beberapa produk pelancongan yang dilancarkan sebelum ini seperti Ipoh Heritage Trail, Ipoh Food Trail, Jejak Masjid, program homestay dan banyak lagi.
“Produk pelancongan memancing udang galah ini, tidak terhad kepada kaki pancing sahaja, bahkan disasarkan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk merasai bagaimana pengalaman memancing udang galah bersepit biru terutama ketika ia memakan umpan.
“Program Jom Memancing Udang ini, merupakan rentetan selanjutnya selepas Program Pulau Sembilan/Jarak Angling Tourism dan selepas ini, kita akan tumpukan pula kawasan tasik sebagai daya tarikan produk pelancongan di negeri ini,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan Program Farm Trip Jom Mancing Udang Galah bersama media, blogger dan agensi pelancongan di Teluk Intan.
Sementara itu, satu pengalaman baru bagi 22 orang wakil media, blogger dan agensi pelancongan apabila merasai sendiri meredah Sungai Perak dengan menaiki bot yang telah disediakan oleh pihak penganjur yang terletak tidak jauh dari mercu tanda dan Dataran Udang Galah Teluk Intan.
Selepas menaiki bot, semua peserta mengikut haluan tekong bot masing-masing. Menurut cerita tekong di sini, udang galah Teluk Intan, hanya gemarkan umpan udang beras. Umpan lain seperti perumpun, cacing tanah, organ lambat digetu, sebaliknya ia lebih cepat digetu oleh ikan duri, gelama dan juga buntal.
Menginjak waktu tengah hari, semua peserta menikmati nasi bungkus dan makan di dalam bot. Walaupun simple cara masakan kampung ia begitu menyelerakan sambil menantikan hujung joran digetu oleh udang.
Ads
Sekitar jam 4 petang, barulah ahli trip beransur kembali ke jeti. Masing-masing memperagakan hasil tangkapan. Mengejutkan apabila ada ahli trip yang berjaya memperoleh jumlah udang lebih dari sekilogram seorang, walaupun dalam tempoh yang singkat dan ia pengalaman sulung memancing. Itu baru gunakan sebatang joran. Kalau 3-4 batang joran seorang, lagi lumayan.
Ternyata, Teluk Intan memang masih kaya dengan udang galahnya. Setidak-tidaknya ia destinasi memancing udang galah yang wajib dikunjungi oleh kaki pancing dan sesiapa sahaja yang menggemari tarikan spesies berharga mahal ini.
Ads
Tahu ke korang
Orang yang bertanggung jawab membina menara condong ini Leong Choon Cheong pada tahun 1885.
Tujuan asal ia dibina untuk menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan penduduk setempat dan keperluan memadamkan kebakaran.
Menara yang tingginya 25 meter dengan 110 anak tangga pada asalnya tidaklah condong. Pada tahun 1895, berlaku kejadian banjir besar di Teluk Intan yang menyebabkan bebanan berat sekali gus telah menyebabkan ia mulai condong ke arah Barat.
Walaupun ia condong, ia tetap selamat untuk dikunjungi pelawat dan menjadi ikon bandar ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kampung Beng adalah sebuah perkampungan tradisional berkedudukan di pinggir Empangan Chenderoh, di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di
pertengahan Banjaran Titiwangsa. Maka ia bukan sesuatu yang lucu warga Kampung Beng menterjemahkan Beng sebagai sejuk.
Keunikan Kampung Beng Panorama dan keunikan Kampung Beng telah menarik minat penggiat industri perfileman untuk melakukan penggambaran filem, dokumentari mahupun iklan.
Selain popular dengan perkhidmatan inap desa atau homestay, perusahaan ikan pekasam juga gah di Kampung Beng.
Tasik Beng yang terbentuk dari limpahan air Empangan Chenderoh yang mengalir dari Sungai Perak dan bercantum dengan Tasik Raban melalui Sungai Perak ini mula menarik kaki-kaki pancing khususnya kaki mengilat.
Dengan melabel pakej memancing di Tasik Beng sebagai Mini Amazon Malaysia, usaha penjenamaan Roslan Abd Rahman (Abang Lan) itu ternyata menjadi satu fenomena.
Kaki-kaki mengilat, khususnya peacock bass atau ikan raja menurut panggilan di Perak mula menjadikan Kampung Beng sebagai padang pancing yang wajib dicuba.
Termasuklah saya sendiri yang terpesona melihat panorama suak-suak di Tasik Beng yang ala-ala Amazon.
Agak lama juga saya memantau perkembangan potensi sukan memancing di Mini Amazon Kampung Beng ini.
Khususnya di Facebook namun perancangan bersama rakan untuk ke sana selalu saja tergendala. Akhirnya, tanpa perancangan saya dan Anhar buat trip balik hari ke Kampung Beng!
Jam 3 pagi saya dan Anhar bergerak dari Shah Alam ke Kampung Beng. Penanda ke Kampung Beng tidaklah sesukar mana.
Melalui Jalan Baling-Kuala Kangsar sebelum tiba di Lenggong, ambil simpang menghala ke Galeri Arkeologi dan seterusnya ikut papan tanda arah ke Kampung Beng sehingga habis jalan.
Di penghujung jalan mati, sudah sedia menanti untuk membawa kami ke kediamannya di pinggir Tasik Beng yang juga merupakan pusat operasi fishing charter services yang beliau usahakan.
Selain hidangan nasi lemak sebagai sarapan pagi, yang turut sedia menanti ialah 8 orang caster dari Gombak yang mengambil pakej memancing selama 2 hari.
Usai bersarapan, saya dan Anhar agak bertuah kerana mendapat khidmat Abang Lan sendiri selaku guide meneroka suak-suak di Mini Amazon Malaysia.
Suak-suak limpahan air Sungai Perak rata-ratanya keruh ekoran hujan lebat yang turun kelmarin hari.
Faktor kekeruhan air itu merungsingkan sedikit Abang Lan namun kami yang sudah biasa dengan title kumpau ini tenang-tenang saja.
Cuma berharap bangau yang memayungi kami di Tasik Temenggor dahulu tidak terbang mengekori kami ke Tasik Beng.
Tambah pula kali ini kami bergandingan dengan satu misi; untuk menguji sesudu atau So’do aneka warna Tokwan yang dalam proses ujikaji atau prototype.
Suak Terpa yang juga kawasan takungan air dari limpahan Sungai Perak merupakan suak kedua yang kami susuri dengan bot fiber 12 kaki dengan enjin 15cc.
Di suak ini saya menggunakan so’do 7gram warna putih pula setelah menggunakan warna oren di Suak Cuas.
Setelah dibaling dan dibiarkan tenggelam dalam kiraan 5 dan dikarau laju, satu sambaran dirasakan namun rabut.
Balingan ke kawasan bangkar yang sama untuk kesekian kalinya ada satu lagi sambaran tapi kali ini solid hook-up dan seekor spesis sasaran berjaya didaratkan.
Tidak lama kemudian giliran Anhar pula memperolehi lesen Mini Amazon Kampung Beng.
Setelah beberapa ekor peacock bass berjaya didaratkan di Suak Terpa hasil penggunaan so’do warna putih dan gold plated, Abang Lan membawa kami ke suak-suak lain pula. Namun suak-suak berikut agak kurang berpotensi ekoran air yang lebih keruh.
Menjelang tengahari, sebagaimana yang tertera dalam pakej memancing, pulang ke pengkalan untuk makan tengahari hidangan ala kampung. Tentu saja ikan pekasam buatan Abang Lan sendiri menjadi menu wajib.
Suak Terpa Tepat jam 2.30 petang, sesi memancing disambung kembali. Jika sesi pagi kami mewajibkan penggunaan So’do Tokwan (termasuk Abang Lan dengan sukarela
menggunakannya), sesi petang lebih kepada acara bebas. Bukan saja penggunaan gewang, spesis sasaran juga bebas.
Sebarau dan toman yang berkongsi lubuk sama dengan peacock bass akan turut diburu juga. Suak-suak dan lubuk-lubuk yang sebelum ini tidak pernah mengecewakan Abang Lan diperkenalkan kepada kami.
Namun aksi-aksi boiling langsung tidak kelihatan. Kelibat toman turut sama seperti berwaspada untuk meneguk udara.
Menjelang petang kami request ke Suak Terpa lagi. Hati kembali berbunga apabila menyusuri pintu masuk suak yang sempit kelihatan ada kelibat pemangsa mengerjakan anak-anak ikan.
Namun kegembiraan tidak kekal lama, sejurus memasuki suak kelihatan sudah ada nelayan sungai sedang merentang jaring panjang hingga ke hujung suak.
Spot-spot yang membuahkan hasil pagi tadi juga sudah tidak boleh diakses ekoran sudah direntangi jaring.
Kami memasuki lebih jauh ke dalam suak, pun ada juga nelayan sungai sedang bersantai menanti waktu jaringnya dilanggar ikan untuk dijadikan pekasam.
Sebelum beredar keluar dari Suak Terpa, sempat jugalah kami mencuba mama toman membawa anak.
Nasib ternyata menyebelahi mama toman namun nasib anak-anaknya yang masih merah itu belum dapat dipastikan kerana ada nelayan yang memburu anak toman untuk dijadikan umpan taut sedia menanti dengan kelengkapannya.
Sebelum senja kami kembali ke pengkalan sekaligus mengakhiri trip mengejut ke Kampung Beng.
Meskipun hasil agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca, ia sudah cukup melegakan kami kerana tidak kumpau pada kunjungan sulung.
Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang dapat kami akui keistimewaannya dalam trip ini; pakej memancing yang ditawarkan oleh Abang Lan, potensi Mini Amazon Kampung Beng sebagai destinasi padang pancing yang harus dicuba dan keampuhan So’do Tokwan.
Bermula dari tengah hari tadi, grup Whatsapp para pemancing dihujani dengan berita tentang dua orang pemancing ditimpa musibah ketika sedang memancing di Sungai Jelai, Kuala Lips berhampiran Jambatan Gemunchur, dekat Mela.
Menurut maklumat tersebut, dua pemancing itu berhadapan dengan air besar (kemungkinan kepala air) mengakibatkan bot fiber yang dinaiki terbelah dua dan mereka berdua terhumban ke dalam sungai yang berarus deras.
Menurut berita itu juga, salah seorang dari pemancing berjaya berenang hingga ke tebing dan seorang lagi hanyut dibawa arus.
Lewat petang, berita tersebut ternyata benar apabila tersiar di media sosial akhbar utama. Pengarah filem, Hashim Rejab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi selepas Pitt Hanif (43) menamatkan penggambaran filem Coast Guard di kawasan berdekatan.
Pitt dan seorang jurukamera melakukan aktiviti riadah pada jam 9 pagi dengan menaiki sebuah bot.
Sewaktu melakukan aktiviti terbabit, bot yang dinaiki tiba-tiba terbalik menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.
Kejadian itu mengejutkan semua sebelum panggilan dibuat kepada pihak berkuasa. Sham Mokhtar (Pengarah Fotografi bagi filem Coast Guard) berusia 38 tahun itu sudah ditemui, namun usaha mencari Pitt sedang dilakukan sehingga kini.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azly Mohd pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati bot fiber yang dinaiki mangsa bersama rakannya dikatakan terbalik dan mangsa terus dibawa arus deras manakala rakannya berjaya diselamatkan.
“Operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan dan PDRM dengan kekuatan seorang pegawai bersama tujuh anggota serta dua bot terbabit dalam operasi ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya melakukan pencarian mangsa di permukaan air dengan sebuah bot digerakkan.
Semoga pencarian Pitt Hanif yang juga popular di kalangan pemancing ini berakhir dengan keputusan yang positif.
Apabila ada rakan mengajak ke Kuala Trong untuk mengilat siakap liar, tanpa berfikir lebih mendalam saya terus menyatakan persetujuan. Walaupun nama Kuala Trong sebagai padang pancing tidak lagi segah dahulu, namun sistem sungai yang melingkari hutan kayu bakaunya masih lagi berpenghuni. Siakap, siakap merah atau setidak-tidaknya populasi ikan bulan masih lagi berkembang biak dengan sempurna.
Sejurus tiba dan sebelum mencari tempat penginapan, kami berdua bertemu dahulu dengan boatman atau tekong yang akan membawa kami mengilat keesokan harinya. Berita daripada tekong berkenaan aktiviti memancing selama dua hari termasuklah pada hari itu amat positif.
Banyak spesimen siakap atau kakap putih skala berat sehingga 9 kg berjaya didaratkan. Beliau amat positif rezeki dan cuaca akan berpihak kepada kami. Namun malam itu bumi Kuala Trong dibasahi hujan setelah hampir seminggu panas terik.
Ketibaan kami di jeti Kuala Trong keesokan paginya disambut oleh hujan lebat juga. Hampir satu jam juga kami pasrah menunggu sehingga hujan reda. Setelah hujan reda, tekong segera membawa kami ke sebuah muka kuala sungai kecil yang sebelum ini merupakan spot utama kami memburu siakap.
Berikutan airnya yang agak keruh dan sementara menanti air yang keruh itu ditolak ke hulu oleh air pasang, kami ke spot lain dahulu namun tiada sebarang hasil diperoleh.
Sejam kemudian kami kembali semula ke spot tersebut namun spot tersebut terlebih dahulu dilabuh oleh sampan fiber dan pemancing lain. Dalam pada itu sempat juga kami menyaksikan salah seorang pemancing di sampan tersebut bertarung dengan siakap dan serta menghulurkan bantuan mendaratkan hasil tangkapannya.
Mungkin dek bantuan ikhlas yang kami berikan, setelah berlabuh tidak jauh dari spot utama itu, saya berjaya pula mendaratkan seekor siakap merah saiz hidangan.
Setelah berteduh beberapa ketika tatkala matahari terpacak di atas kepala, kami bersama dua buah sampan fiber lagi menyambung kembali aktiviti mengilat. Kembali ke spot yang sama, gewang rattlin yang saya gunakan disambar sesuatu.
Walaupun saiznya sekitar satu kilogram saja ia cukup bermakna kepada saya. Apatah lagi itulah siakap tunggal yang kami peroleh dan orang kedua yang berjaya mendaratkan siakap pada trip hari tersebut.
Walaupun hasil trip agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca yang kurang cantik, sedikit sebanyak ia membuktikan Kuala Trong masih lagi mampu dan berupaya menjadi padang pancing untuk kaki-kaki mengilat memburu spesies raja muara.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...