Ikan sikang atau nama saintifiknya Raiamas guttatus (pernah dikelaskan dalam genus Barilius) merupakan antara spesies ikan air tempatan atau ikan natif yang semakin sukar untuk ditemui.
Ia masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan yang berarus dan bersuhu agak dingin. Sikang sebenarnya berasal dari keluarga besar Cyprinidae (kap), sama sebagaimana ikan kelah, sebarau, tengas dan kebanyakan ikan lain.
Sekaligus ia menafikan dakwaan sesetengah orang yang beranggapan ia sama atau tergolong dalam spesies yang sama dengan trout dan Salmonid (salmon).
Ads
Ikan sikang dilaporkan wujud di China, India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan juga Malaysia.
Spesies ini turut dilaporkan di temui di utara dan selatan Semenanjung namun setakat ini ia disahkan ditemui di sungai-sungai pergunungan Pahang, Terengganu, Kelantan dan di negeri-negeri lain. Cuma tiada rekod yang mengatakan adanya ikan ini di negeri-negeri lain.
Sikang juga boleh ditemui Kedah, Negeri Sembilan termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun ada pemancing yang mengatakan ikan ini wujud dan pernah didaratkan. Cuma sejauh mana kesahihan cerita ini belum dapat dipastikan.
Ads
Memandangkan sikang merupakan spesies ikan yang memiliki bentuk dan warna yang cantik serta kesukaran untuk mendapatkannya, para pemancing lebih rela melepaskannya semula agar generasi akan datang nanti juga dapat melihat spesies ini.
Ia jauh lebih baik daripada menjadikannya juadah kerana isinya juga tidak sebeberapa enak. Apatah lagi membiarkan ia mati kering di atas darat. Sesungguhnya ia adalah satu kerugian yang nyata.
Walaupun sikang lebih dikenali sebagai Burmese trout atau Himalayan trout, ikan sikang sememangnya memiliki persamaan dengan ikan trout, terutama dari sisi mulutnya.
Namun sikang dan trout bukanlah datang dari famili yang sama. tetapi, disebabkan miripnya itulah, sikang mendapat julukan The Malayan Trout.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Peminat sukan memancing di Malaysia wajib tahu dan kenal spesies ini. Spesies pemangsa air tawar ini bolehlah ditabalkan sebagai pemangsa teratas dalam rantaian makanan dan antara spesies air tawar yang kuat dan ganas.
Aksi ganas, kekuatan dan stamina ikan ini cukup membuatkan kaki pancing berpeluh untuk mendaratkannya.
Dengan bentuk kepala seperti ular yang besar, spesies Channa micropeltes atau giant snakehead merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Tidak syak lagi sesiapa saja yang mempunyai hobi memancing atau mengilat ikan air tawar, pasti akan kenal dan sedia maklum akan kerakusan sang toman dalam pertarungan.
Secara global, ikan toman lebih dikenali sebagai giant snakehead. Tergolong dalam famili Channidae, sama sebagaimana haruan dan bujuk namun toman mampu membesar sehingga saiz trofi.
Ikan toman juga merupakan salah satu spesies natif atau spesies ikan asal di Malaysia.
Taburan spesies
Taburan ikan sangat meluas terutama di kawasan Asia Tenggara. Bagi kebanyakan lokasi di Asia Tenggara, ikan toman merupakan spesies natif kepada tempat ini.
Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera merupakan antara kawasan yang mempunyai taburan ikan toman.
Selain itu, ikan toman terdapat di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun bukan merupakan spesies asal.
Oleh sebab kesan daripada aktiviti manusia yang memperkenalkan spesies ini ke perairan mereka, beberapa tempat dikatakan telah didominasi oleh spesies ini.
Antara kawasan tersebut termasuklah Wisconsin, Maryland dan Virginia.
Habitat dan ekologi
Ikan toman merupakan spesies yang hidup di persekitaran air tawar. Toman biasanya boleh dijumpai di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik dan terusan.
Bagi toman juvenil, biasanya akan bergerak dan memburu makanan secara berkumpulan.
Bagi kebanyakan kaki di Malaysia, lokasi utama mencari toman ialah seperti tasik semula jadi, tasik buatan, sungai-sungai, lombong atau paya yang terbiar.
Toman juga gemar pada kawasan berarus perlahan dan dalam.
Morfologi dan biologi
Seperti ramai yang sedia maklum, anak-anak toman atau fri toman berwarna merah dan bergerak berkumpulan.
Pergerakan ini biasanya oleh sepasang induk toman atau lebih bagi mengelakkan anak-anak ini menjadi mangsa serangan kepada ikan atau pemangsa lain.
Selepas lebih kurang dua bulan, warnanya akan berubah menjadi oren dengan jalur hitam akan muncul pada garisan lateral.
Apabila semakin membesar, ikan toman akan kehilangan warna merah dan jalurnya akan pecah dan akan menghasilkan corak seakan batik pada badannya.
Warna merah pada badannya akan hilang dan akan menjadi warna biru kehitaman pada bahagian atas ikan ini.
Ikan toman merupakan spesies yang paling agresif berbanding 35 spesies snakehead yang lain. Spesies ini juga boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih 2 meter dan berat mencecah 20 kg.
Selain mempunyai barisan gigi yang tajam seperti pisau, ia turut memiliki rahang yang sangat kuat. Paduan gigi dan rahang toman ini merupakan senjata yang menggerunkan.
Ikan toman biasanya memburu ikan yang lebih kecil daripadanya sebagai diet makanan utama.
Selain ikan, toman juga kadangkala menjadikan krustasia dan haiwan amfibia sebagai dietnya.
Apabila musim mengawan, ikan toman akan memilih kawasan yang mempunyai tumbuhan akuatik yang agak banyak sebagai tempat melepaskan telur.
Pemburu berkepala ular yang agresif
Ketika memburu mangsanya, toman akan membengkokkan dirinya seperti huruf S sebelum melakukan pecutan dengan menghentam mangsanya.
Mulutnya yang siap dengan barisan gigi tajam akan membaham mangsanya. Kekuatan rahangnya juga memberikan impak yang lebih kuat semasa membaham mangsanya.
Secara kasarnya, ikan toman boleh memberikan satu imaginasi yang agak menakutkan. Dengan sepasang rahang kuat dan dibarisi dengan gigi tajam serta berbadan tegap dan
padu, cukup memberikan impak sebagai pemangsa yang rakus. Apatah lagi dengan kepala berbentuk ular dan corak pada badannya menambahkan lagi kegerunan pada spesies ini.
Walaupun terkenal dengan kerakusan dan sifat agresifnya, ikan toman merupakan induk yang sangat baik.
Sepasang induk (kadangkala lebih) akan menjaga sarang tempat penetasan telur dan akan menjaga serta mengawasi anak yang baru menetas.
Induk ini akan menyerang dan bertindak lebih agresif ketika proses menjaga anak-anaknya.
Ia akan menjaga sehingga anak-anaknya cukup dewasa untuk hidup sendiri atau sehingga musim mengawan berikutnya.
Ikan runtu atau haruan runtu, yang dikenali dengan nama umum Baram Snakehead merupakan ahli keluarga snakehead yang unik dan mudah dikenali berbanding spesies Channa kecil lainnya.
Paling ketara ialah corak penampilan badannya. Boleh dikatakannya ia satu-satunya spesies snakehead yang memiliki corak berbintik pada badannya.
Seperkara lainnya, Channa baramensis ini dikatakan hanya boleh ditemui di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sahaja.
Channa kecil ini hanya mampu membesar antara 18 hingga 22 cm sahaja. Dan paling menarik, nama umumnya iaitu Baram snakehead dinamakan sempena spesimen yang ditangkap di Sungai Baram, Sarawak.
Menariknya tentang ikan ini adalah, ia memiliki sifat yang cara menyambar hampir sama dengan bujuk dan cara sambarannya agak agresif.
Jika sambaran tidak kena, ia tetap akan menyambar umpan yang dilontarkan di tempat yang sama.
Bila sahaja terkena pancing, runtu akan cuba melakukan lompatan akrobatik ke udara untuk meloloskan diri berbanding bujuk yang kuat menggelupur.
Walaupun mendiami parit yang sama, tetapi runtu ada wilayahnya sendiri iaitu jika runtu ada di satu-satu spot, bujuk dan haruan tidak ada dan begitulah sebaiknya.
Runtu juga pada pengamatan saya mendiami satu-satu lubuk dalam bentuk koloni. Ini kerana, selepas mendapat seekor, baling lagi umpan di lokasi yang sama pasti akan ada 2-3 ekor yang lain.
Untuk mendapatkan lebih potensi tangkapan ialah gunakan umpan yang bersaiz kecil dan jatuhan umpan juga dalam keadaan senyap.
Berbanding haruan, saiz runtu tidaklah terlalu besar. Menurut kaki pancing di sini, anggaran saiz terbesar adalah sekitar 1.5kg sahaja.
Tetapi jika berjaya menemui saiz sebegini, ia pasti akan memberikan tentangan yang amat mendebarkan.
Spesies yang memiliki corak badan berbintik-bintik di badannya, dikatakan memiliki nilai perubatan yang tinggi berbanding haruan mahupun bujuk di kalangan masyarakat tempatan.
Ia mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan mahupun selepas bersalin.
Runtu akan dibuat sup ataupun masak rebus sahaja sebagai hidangan untuk tujuan perubatan.
Khasiat daripada isi dan sup ikan ini dipercayai mampu menyembuhkan luka selepas bersalin mahupun pembedahan dengan lebih cepat.
Dalam kajian terbaru (Walton et al 2015) common mahseer of Malaysia iaitu kelah merah yang selama ini dikelasifikasikan sebagai Tor tambroides telah diganti dengan Tom tambra. Kajian ini sekaligus merubah nama saintifik kelah merah (semenanjung) dan empurau (Sarawak) yang sekian lama telah digunapakai. Walaubagaimana pun spesies Tom tambroides tidak dapat dipastikan bagaimana rupanya.
Tor tambra atau kelah merah telah menjadi ikon raja air tawar dan sering diburu oleh kebanyakan pemancing. Gelaran raja air tawar ini disebabkan oleh kesukaran mendapatkannya selain mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan dan juga perhiasan akuarium. Ramai juga yang memburu spesies ini pulang hampa dek tamparan kumpau atau ikan tak buka mulut. Jom kita selidik lebih lanjut tentang sang raja air tawar ini.
Ikan kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita. Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap (cyprinnidae) ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Air Tawar’ di kalangan pemancing.
Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama. Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah merah telah dikenal pasti sebagai Tor tambra atau Malayan mahseer.
Mengimbau kembali ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan- Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer). Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer). Pada 1833, majalah Oriental Sporting telah menyebut secara khusus bahawa mahseer sebagai ikan cabaran hebat dalam ikan sukan. Sejak itu, mahseer menjadi kegilaan bagi pemancing British di India.
TABURAN SPESIES
Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Kawasan sebegini merangkumi Burma, Thailand, Malaysia, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Taburan ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India.
Begitu pun, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah. Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.
Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.
BIOLOGI DAN PEMBIAKAN
Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai. Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi atau berhijrah dan berenang melawan arus ke hulu sungai. Di hulu sungai, ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.
Musim mengawan ikan kelah berlaku sekali secara puncak dalam setahun. Telur akan dilepaskan dalam kawasan air secara terbuka dan induk kelah tidak akan menjaga anak kelah atau juvenil yang menetas. Menurut kajian di Thailand, puncak musim mengawan ikan kelah berlaku sekitar bulan Julai setiap tahun.
Ketika musim mengawan, pada bahagian pipi di bawah mata ikan kelah akan kelihatan bintik-bintik halus atau turbecles. Bintik-bintik ini menandakan ikan sedang dalam proses mengawan.
MORFOLOGI
Badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus dimana memberi kelebihan kepadanya ketika berenang melawan arus dan memanjat jeram. Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik. Kelah matang biasanya mempunyai sisik sehingga sebesar duit syiling 50 sen.
Sirip dorsal ikan kelah biasanya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal. Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau kejor (copper mahseer) dari genus Neolissochilus. Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang.
DIET PEMAKANAN
Ikan kelah bersifat omnivor dan memburu ikan kecil serta serangga hutan sebagai diet makanannya. Selain itu, ikan kelah juga menjadikan buah-buahan hutan sebagai diet lainnya. Antara buah hutan yang popular menjadi diet kelah termasuklah buah neram, buah ara, buah kepala sawit, serangga kecil dan sebagainya.
JENIS KELAH DI MALAYSIA
Menurut kajian, terdapat beberapa spesies kelah daripada genus Tor di Malaysia iaitu Tor tambroides, T. tambra dan T. douronensis. Sementara itu, tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.
Spesies T. tambra yang biasa dijumpai di semenanjung Malaysia juga digelar sebagai kelah merah manakala T. douronensis pula merupakan kelah biru. Gelaran tempatan kepada kelah merah dan kelah biru berdasarkan warna sisik pada badannya.
Di Sabah, ikan kelah juga digelar sebagai pelian (Tor douronensis) sementara empurau (Tor tambra) merupakan gelaran ikan kelah merah di Sarawak. Sementara semah di Sarawak adalah spesies Tor duoronensis.
TAKSONOMI
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Kelas : Teleostomi
Orer : Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus : Tor, Neolissochilus, Naziritor
Spesies : Tor tambroides, Tor douronensis, Tor tambra,
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...