Gejala awal mabuk laut biasanya boleh diperbaiki dengan cara atau teknik seperti menetapkan pandangan mata ke arah objek pegun seperti langit atau pulau-pulau yang berdekatan.
Kaedah 2
Anda juga boleh mengaktifkan diri dengan mendengar muzik. Sebaik-baiknya biarlah muzik yang menghiburkan, menenangkan diri dan bukannya yang menambahkan stress seperti lagu-lagu metal yang menyemakkan kepala.
Kaedah 3
Duduk atau berehat seketika di tempat yang paling stabil di atas bot. Carilah tempat di tengah-tengah kapal bot atau tempat yang paling kurang bergolek.
Ads
Kaedah 4
Dapatkan udara segar. Sekiranya berada di dalam kabin bot maka keluarlah mencari udara. Buka penutup muka dan topi agar badan lebih terdedah kepada udara. Jika perlu atau minta tekong lebih kerap menggerakkan bot.
Kaedah 5
Alih tumpuan fikiran. Ia memang agak sukar tetapi jika anda boleh memberikan tumpuan kepada pernafasan atau melakukan aktiviti mental seperti mengira secara terbalik, anda mungkin boleh mengalihkan rasa tidak selesa tersebut.
Ads
Kaedah 6
Kekal tenang atau menghisap sesuatu yang bersifat masam-masam manis. Setidak-tidaknya ia dapat menghilang rasa loya. Jangan pula menghisap rokok kerana asap rokok akan menyebabkan anda semakin cepat untuk mabuk.
Kaedah 7
Ads
Minum minuman yang berkarbonat (bergas) dan sejuk. Ia pasti dapat menyegarkan dan mampu melancarkan angin yang seperti tersumbat di dalam badan. Kemudian cubalah untuk mengeluarkan angin dari badan.
Kaedah 8
Elakkan dari memakan makanan yang berat. Makanan yang berat akan menyebabkan anda semakin cepat mabuk dan muntah. Sebaiknya hanya minum air mineral.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kebijaksanaan mengesan spot atau lubuk yang didiami ikan adalah kunci utama untuk pancingan yang berjaya. Berikut disenaraikan kawasan-kawasan yang lazimnya menjadi lubuk ikan-ikan sungai air tawar berkumpul.
Selekoh-Selekoh Sungai
Cubalah pilih spot di selekoh atau belokan sungai terutama di kawasan yang berarus senak atau terhenti sebelum bergerak kembali. Lazimnya ikan akan menyerbu umpan yang masuk ke spot ini.
Kawasan dalam dan berarus lemah
Lubuk ini biasanya boleh dikesan berdasarkan tona warna air yang lebih gelap dan pergerakan arus dalam radiusnya amat perlahan berbanding kawasan sekitarnya.
Selekoh berpokok
Jika terdapat banyak selekoh di sesuatu sungai, pilihlah selekoh sungai yang banyak terdapat pokok di tebingnya. Pokok-pokok ini menyebabkan kawasan sungai menjadi redup dan ikan sememangnya menggemari lokasi yang tidak terkena cahaya terik matahari secara langsung. Selain itu akar-akar pokok yang menjalar di dalam air turut menyebabkan objek hanyut tersangkut termasuklah juga makanannya.
Pusaran air
Air sungai yang mengalir dari tempat cetek ke tempat yang dalam akan mengakibatkan aliran sungai berputar membentuk pusaran. Kesan dari pusaran ke atas permukaan dasar akan menyebabkan terbentuknya lubang yang dalam atau palung. Air sungai yang membawa pelbagai material termasuk makanan ikan juga ikut berputar dan masuk lubang. Di sinilah ikan akan menanti untuk mengambil makanannya.
Sekitar tiang jambatan
Pembinaan jambatan di sungai yang mana penanaman tiang di tengah sungai secara tidak langsung menjadi satu spot ikan untuk menunggu makanan yang hanyut dan tersangkut. Ia turut menjadi spot persembunyian ikan-ikan pemangsa untuk menyerang hendap mangsanya.
Sekitar pokok tumbang
Pokok yang tumbang ke dalam sungai merupakan tempat persembunyian strategik ikan disebabkan arus sungai terhalang. Kesannya, arus di sebalik batang pokok akan menjadi perlahan. Sekaligus menjadi lokasi yang baik untuk ikan berehat, menunggu makanan hanyut atau juga menjadi pemangsa kepada ikan lain.
Di sebalik bongkah batu
Tidak semua sungai terdapat bongkah batu besar yang menghalang arus sungai kecuali di sungai-sungai pergunungan. Lazimnya di sebalik bongkah batu itu terdapat ikan-ikan kecil dan udang serta makanan ikan lainnya. Tidak terkecuali ikan-ikan pemangsa bersaiz besar memasuki kawasan ini untuk memburu mangsanya.
Rerumput di gigi sungai
Bahagian tepi sungai khususnya berarus perlahan lazimnya ditumbuhi rerumput yang agak banyak. Ia menjadi lokasi kegemaran ikan-ikan kecil mencari makanan. Sesetengah ikan betina turut menjadikannya kawasan bertelur. Maka ia merupakan lubuk yang tidak harus diketepikan untuk mencuba nasib.
Batu-batuan
Kawasan sungai yang cetek dan dipenuhi dengan batu-batu kecil yang mengakibatkan arus sungai berselerak juga merupakan habitat kegemaran ikan-ikan kecil dan udang mencari makanan. Apabila ada ikan kecil dan udang maka ia akan mengundang kehadiran ikan-ikan predator juga. Jika anda penggemar gaya pancingan mengilat atau casting, ia adalah spot yang sama sekali tidak boleh diabaikan.
Longgokan sampah
Sampah semulajadi seperti ranting dan daun pokok yang dihanyutkan arus lazimnya akan berhenti di sesuatu lokasi dan akan menyebabkan arus terhambat. Dengan banyak longgokan sampah yang turut membawa makanan itu sekaligus membuatkan ikan gemar berkumpul. Jadi, labuhkanlah umpan anda di kawasan ini.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Berkenalan dengan keadaan dan situasi kolam terlebih dahulu. Kalau bertanya terus pada pengusaha dan pekerja kolam pun bagus juga. Ketahui port strategik, umpan dan teknik yang digunakan kerana lain kolam lain umpannya.
Ambil tahu juga jenis-jenis ikan yang ada di dalam kolam. Ini penting untuk mengetahui teknik dan persembahan umpan yang betul.
Selain itu tanya juga jadual pelepasan ikan bagi mengelak daripada silap umpan dan kumpau kerana ikan tak buka mulut. Terutamanya jika ia adalah kolam rohu.
Patuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengusaha kolam. Terutamanya jumlah penggunaan mata kail bagi mengelak daripada putih mata kerana ikan yang diperoleh tidak layak disenaraikan dalam ranking jackpot.
Pastikan juga set pancing yang digunakan adalah bersesuaian dengan saiz ikan yang terdapat di dalam kolam bagi mengelakkan kes melayan ikan terlalu lama sehingga mengganggu pemancing lain. Dan lebih penting lagi ikan yang dipancing berjaya didaratkan dengan sempurna.
Elakkan membaling umpan secara menyilang kerana tidak semua kaki kolam bersifat mesra, bahkan ramai otai kolam yang bersifat ala-ala KL Gangster.
Sebaiknya guna pancang yang sesuai dan pastikan drag pancing telah dilonggarkan sebelum duduk bersantai menunggu umpan dimakan ikan bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian pancing terbang ke dalam kolam.
Sentiasa peka pada aktiviti memancing di kolam terutama bila pemancing lain sedang menarik ikan. Beri kerjasama untuk mengelakkan tali pancing bersilang atau menyentap tali pancing pemancing yang sedang melayan ikan.
Sekiranya giliran kita pacak dan bertarung dengan ikan, usah segan untuk bersuara sebagai isyarat kepada pemancing agar tidak menyentap tali pancing kita sekaligus menyebabkan ia putus, ikan terlepas an kita berputih mata.
Saling tolong menolong. Sekiranya pemancing di sebelah menaikkan ikan, tolonglah tangguk kerana kita juga akan diberi pertolongan jika bertarung dengan ikan nanti.
Cubalah bertegur dengan pemancing lain yang sudah biasa memancing di kolam tersebut. Ia amat penting sekiranya anda terus membangau setiap kali memancing di kolam tersebut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...