Mengilat atau casting haruan agak mudah kerana haruan gemar kepada benda bergerak. Namun, sekiranya anda menemui spot yang dikenal pasti ada haruan tetapi tiada sebarang aksi sambaran, tip berikut boleh dicuba.
Cara-Caranya:
Lontar gewang dan buatlah karauan laju tiga hingga empat kali. Kemudian ubah kepada karau perlahan sambil melakukan henjutan pada gewang secara perlahan. Cara ini adalah untuk menarik perhatian haruan pada gewang yang digunakan. Gaya persembahan gewang perlu dipelbagaikan dan tidak statik pada satu gaya saja.
Ads
Sekiranya menggunakan jump frog atau soft frog, selang-seli kadar karauan sambil mengenjut gewang yang digunakan. Ada ketika haruan mengambil sedikit masa memerhati gewang sebelum menyambar.
Ads
Seterusnya lakukan karauan perlahan kemudian berhenti dan biarkan gewang pegun seketika. Kemudian lakukan henjutan dan teruskan dengan karauan perlahan.
Ads
Jika masih tiada sambaran, tukar pula gewang atau soft frog aksi tenggelam. Karau perlahan-lahan disulami henjutan kecil.
Persembahan gewang untuk memujuk haruan tidaklah semudah menggunakan umpan hidup seperti katak yang terbukti memiliki kelebihan semulajadi. Sekiranya masih tidak ada sambaran juga, bolehlah berpindah ke lubuk lain untuk seketika dan kembali untuk memujuk hingga berjaya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Lubuk-lubuk di kawasan berjeram sememangnya seronok untuk melakukan aktiviti casting. Namun, di sebalik berpotensi untuk menerima strike, ia juga terdedah kepada risiko dan bahaya tersendiri.
Sedikit homework perlu dibuat sekiranya korang bercadang untuk casting di jeram-jeram sungai pegunungan.
Pertama sekali, sebaiknya pakai foot wear atau kasut yang bersesuaian terutamanya kasut yang tidak menambahkan beban berat dan kasut dengan tapak yang boleh mencengkam dengan baik di atas batu-batu yang licin.
Elakkan memakai seluar jean atau yang diperbuat daripada fabrik yang menyerap dan menyimpan air. Terutamanya jika perlu meranduk air. Ia akan menyebabkan perjalanan terganggu kerana jean akan membuatkan berat dan sukar untuk berjalan. Sekaligus mudah letih.
Jika perlu pakailah jaket keselamatan yang diperbuat daripada foam. Ia sebagai insuran sekiranya terjatuh ke air dalam atau lubuk berpusar. Ia boleh dijadikan pelindung badan sekiranya terjatuh ke atas batu. Malah boleh dijadikan apungan ketika berhanyut di kawasan air cetek.
Sebaik-baiknya pergilah secara berkumpulan atau sekurang-kurangnya berdua dan jangan memancing secara berasingan. Kecelakaan yang menimpa secara berseorangan umpama membunuh diri secara perlahan-lahan.
Bawa pisau atau parang sebagai alat mempertahankan diri bagi mengelak sebarang kemungkinan yang berlaku. Malah ia adalah kelengkapan yang wajib dibawa sebenarnya.
Bawa beg kalis air bersama untuk menyimpan barang-barang penting dan pastikan ia berkeadaan memerangkap udara. Sekiranya terjatuh ke air dalam ia mampu berfungsi pelampung jangka masa pendek.
Selidik atau pantau struktur tanah atau batu terlebih dahulu sebelum pijak apatah lagi melompat ke atasnya. Ia dapat mengelak daripada kejadian jerlus atau tergelincir. Jangan main redah dan langgar saja terutamanya kawasan yang belum pernah terokai.
Jika perlu masuk ke dalam air untuk casting atau melintas, sebaik-baiknya kaji dulu kedalaman dan aliran arus. Dan jangan sesekali membuka kasut apabila meranduk ke dalam air walaupun airnya jernih.
Awasi tanda-tanda kejadian kepala air terutamanya jika casting di jeram air terjun. Segera tinggalkan lokasi apabila berlaku simpton yang luar biasa.
Cubalah pilih spot di selekoh atau belokan sungai terutama di kawasan yang berarus senak atau terhenti sebelum bergerak kembali. Lazimnya ikan akan menyerbu umpan yang masuk ke spot ini.
Lubuk ini biasanya boleh dikesan berdasarkan tone warna air yang lebih gelap dan pergerakan arus dalam radiusnya amat perlahan berbanding kawasan sekitarnya.
Jika terdapat banyak selekoh di sesuatu sungai, pilihlah selekoh sungai yang banyak terdapat pokok di tebingnya. Pokok-pokok ini menyebabkan kawasan sungai menjadi redup dan ikan sememangnya menggemari lokasi yang tidak terkena cahaya terik matahari secara langsung. Selain itu akar-akar pokok yang menjalar di dalam air turut menyebabkan objek hanyut tersangkut termasuk juga makanannya.
Air sungai yang mengalir dari tempat cetek ke tempat yang dalam akan mengakibatkan aliran sungai berputar membentuk pusaran. Kesan dari pusaran ke atas permukaan dasar akan menyebabkan terbentuknya lubang yang dalam atau palung. Air sungai yang membawa pelbagai material termasuk makanan ikan juga ikut berputar dan masuk lubang. Di sinilah ikan akan menanti untuk mengambil makanannya.
Pembinaan jambatan di sungai yang mana penanaman tiang di tengah sungai secara tidak langsung menjadi satu spot ikan untuk menunggu makanan yang hanyut dan tersangkut. Ia turut menjadi spot persembunyian ikan-ikan pemangsa untuk menyerang hendap mangsanya.
Pokok yang tumbang ke dalam sungai merupakan tempat persembunyian strategik ikan disebabkan arus sungai terhalang. Kesannya, arus di sebalik batang pokok akan menjadi perlahan. Sekaligus menjadi lokasi yang baik untuk ikan berehat, menunggu makanan hanyut atau juga menjadi pemangsa kepada ikan lain.
Tidak semua sungai terdapat bongkah batu besar yang menghalang arus sungai kecuali di sungai-sungai pegunungan. Lazimnya di sebalik bongkah batu itu terdapat ikan-ikan kecil dan udang serta makanan ikan lainnya. Tidak terkecuali ikan-ikan pemangsa bersaiz besar memasuki kawasan ini untuk memburu mangsanya.
Bahagian tepi sungai khususnya berarus perlahan lazimnya ditumbuhi rumput yang agak banyak. Ia menjadi lokasi kegemaran ikan-ikan kecil mencari makanan. Sesetengah ikan betina turut menjadikannya kawasan bertelur. Maka ia merupakan lubuk yang tidak harus diketepikan untuk mencuba nasib.
Kawasan sungai yang cetek dan dipenuhi dengan batu-batu kecil yang mengakibatkan arus sungai berselerak juga merupakan habitat kegemaran ikan-ikan kecil dan udang mencari makanan. Apabila ada ikan kecil dan udang maka ia akan mengundang kehadiran ikan-ikan predator juga. Jika anda penggemar gaya pancingan mengilat atau casting, ia adalah spot yang sama sekali tidak boleh diabaikan.
Sampah semulajadi seperti ranting dan daun pokok yang dihanyutkan arus lazimnya akan berhenti di sesuatu lokasi dan akan menyebabkan arus terhambat. Dengan banyak longgokan sampah yang turut membawa makanan itu sekaligus membuatkan ikan gemar berkumpul. Jadi, labuhkanlah umpan anda di kawasan ini.
Sebaiknya cari tekong yang memiliki kemudahan dan fasiliti bot yang baik. Lengkap dengan gps dan sonar bagi mengesan kumpulan atau kandang sotong. Penting bagi korang yang pertama kali nak menyandat, pastikan bot tersebut selesa dan memiliki tandas.
Gunakan peralatan yang sesuai untuk mencandat. Jika menggunakan joran dan kekili, sebaiknya guna set sederhana dan jika menggunakan koyan, sebaiknya tali koyan berdiameter tebal agar tidak bersimpul dan memedihkan tangan.
Cara mencandat sotong adalah mengunjun candat sehingga ke dasar laut. Batu ladung atau candat twist yang digunakan sebagai pemberat dibiarkan di dasar, hanya tali pancing dihenjutkan dengan cara mengendur dan menegangkannya. Apabila terasa sesuatu yang berat, tarik atau gulung tali secara sederhana.
Jika menggunakan candat mayat atau candat apollo, sebaiknya cubalah candat pelbagai warna dan perhatikan candat yang mana lebih disukai oleh sotong. Jika candat mayat atau candat udang kurang disukai oleh sotong, cuba pula candat umpan yang menggunakan umpan ikan.
Apabila candat mengena sotong, jangan karau atau gulung tali dengan laju dan kasar. Jangan juga terlalu perlahan hingga sotong mampu meloloskan diri. Tarik secara bertenang dan apabila sotong muncul di permukaan air, biarkan ia memuntahkan dakwatnya sebelum mendaratkannya ke dalam bot.
Biarkan sotong yang berjaya dinaikkan mati sebelum memasukkannya ke dalam tong ais. Sekiranya ada tangkapan selain sotong, sebaiknya asingkan sotong dan ikan kerana kualiti dan rasa ikan akan terjejas.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...