
Setiap apa yang anda lakukan khusunya dalam hobi pasti ada pendorong, termasuklah dalam hobi memancing. Ada yang terinspirasi dari ayah, datuk, nenek ataupun rakan. Anda pula siapa yang mendorongnya? Jom kongsikan dengan kami siapa idola anda yang membuatkan anda megah memiliki hobi memancing!
“Masa kecil-kecil dulu minat memancing ni timbul bila tengok orang tua balik bawa ikan besar. Perasaan teruja dan nak try cuba pula. First time aku dapat ayam makan umpan kat pancing… jalang punya ayam! Ada ke patut ayam makan umpan cacing yang aku sangkut kat mata kail tu ayam belasah dulu… tak memancinglah jawabnya ayam bawa pancing lari. Hari kedua tu orang tua pesan jangan sangkut umpan dulu kat mata kail… sangkut kt sungai. Baru aku faham memancing tu macam mana… pencabar cacing ni memang sentiasa ada kat kampung. Pantang tengok orang korek cacing mesti ayam ada temankan… silap-silap kalau bekas cacing tu tak kena sorok memang habis dimakannya.”
– Jang Rambo
“Bak kata orang bapak borek anak rintik. Ayahlah yang membawaku terjun ke dunia hanyir ni. Sejak kecil asyik ikut dia mancing segenap tempat yang dia terdaya bawa. Dia berenti mancing lebih 10 tahun sementara menunggu adik-adik membesar dan kini kami sama-sama terjun kembali ke dunia hanyir. Baik cerah, hujan, ribut di tengah laut mahu pun di atas darat, kami tetap mencari peluang utk memenuhi hobi ni bersama-sama dengan adik beradikku serta abang ipar. Nasiblah kan lahir dalam keluarga hanyir. Hehehe…”
– Fendy Ja’apar
“Minat mancing masa bebudak lagi. Bemula dengan ikan puyu serta haruan di bendang. Kemudia bermula pula di pantai hinggalah terjebak laut dalam. Damai rasa hati bila dapat mancing… Alhamdulilah.”
– Nazim Cik GP
“Arwah ayah teman le yang ngajor. Idola teman tu. Seronok ngail ikan puyu umpan anak kronge… memory of another day.”
– Amer Hamat
“Saya mula terjebak dalam dunia hanyir sewaktu tadika dengan sepupu saya Capit Sharafi. Bermodalkan 30 sen (tali dan mata kail). Rod kami guna batang merding @ buluh. Alhamdulillah, sekarang pun masih setia dengan hobi yang hanyir nih. Ditambah pula dengan orang tua saya yang juga antara sebab utama saya terjebak dalam dunia hanyir.”
– Farid Rosman
Kampung halaman pendorong kuat… maklum sajalah aku anak pulau. Jadi automatik memang gila mancing…. lagi pun tak payah bermodal besar nak mancing… memang sempoi ohhhh.
– Leeyast Nuryasrieaniq
“Hobi hanyir yang merapatkan aku, abang aku dengan bapak aku. Dulu sanggup gago ikan dalam lubang lumpur kalau ada air ditimba kalau tak boleh ditimba baru dipancing. Kalau balik kampung abah mesti kirim jaring ikan sepat. Bila abah seronok dapat pancing ikan aku pun jadi seronok…. buat masa ni abah pun dah 70 lebih tapi boleh lagi pergi mancing…. nanti cuti kita pergi pancing sama-sama ye abah….”
– Norezwan Ahmad Tabot
“Ibu dan ayah… ketika memancing di kolam arwah pakngah n arwah makngah… sibuk memancing ikan talapia… tetiba saya menaikkan ikan haruan bagak… umpan cengkerik dan sulam cacing…. umur masa tu darjah 4.”
– Khalid Hamzah
Wacana : Pengaruh Cuaca & Pasang Surut Dalam Memancing!!

Pemahaman kejadian air pasang dan surut adalah penting bagi pemancing untuk mengetahui jenis ikan dan di mana pergerakannya.
Dengan itu membolehkan pemancing mengagak dan seterusnya memperoleh hasil yang lumayan.
Kadar hujan yang turun juga memainkan peranan yang penting kerana hujan memberi kesan kepada paras kandungan garam dalam air dan boleh menjejaskan pergerakan ikan-ikan tertentu.
Seseorang yang menyeberangi jambatan muara atau kuala akan mendapati tanah atau pasir kebanyakannya ditutupi dengan air, pada masa yang, selepas hujan berhenti, air akan mengalir membuat terusan dan lopak besa terutama kawasan pasir.
Pemancing akan cepat belajar serta memahami bentuk permukaan serta pergerakan air dengan cepat ini akan memperbaiki dan menambah pengetahuan seseorang pemancing.
PASANG SURUT LAUT
Di dalam keadaan biasa, jurang perbezaan air pasang dan suru biasanya di antara 12 jam 25 minit, di antara air penuh mengikut air tinggi, rendah, tinggi dan rendah dalam sehari.
Purata dalam setahun, perubahan masa pasang surut lebih kurang 50 minit dalam sehari.
Air pasang besar akan berlaku apabila bumi, bulan dan matahari bertembung ke garisan lalu membentuk satu sudut tepat.
Apabila matahari dan bulan terletak di sepanjang garisan yang sama, sama ada berhadapan bumi atau membelakanginya, keadaan ini akan membuat air menjadi pasang besar.
Perubahan ini tidak sesuai untuk memancing kerana arus pasang besar laju dan kuat (paras air paling tinggi semasa air mati atau tenang merupakan paras yang terendah).
Apabila matahari dan bulan keluar dari darjah sederhana, pasang surut akan menjadi rendah.
Ingin diingatkan kepada pemancing baru, perlulah mengetahui jadual pasang surut yang boleh diperoleh dari jabatan laut untuk dijadikan panduan dan membantu perancangan
memancing untuk keluar memancing dan sentiasalah mengikut perkembangan terkini sebelum bertolak.
HUJAN
Tidak seperti di kawasan lain, hujan menjadi rahmat apabila seseirang pemancing sedang memancing di teluk atau muara.
Hujan lebat berterusan atau banjir sama ada kotor atau jernih boleh menjadi baik atau buruk bergantung kepada keadaan tempat, cuaca dan jarak laut.
Dalam erti kata lain, hujan lebat atau banjir akan memberi laluan kepada ikan untuk keluar ke sungai dan seterusnya ke laut.
Musim hujan akan menyebabkan air menjadi keruh dan seterusnya membantu pembiakan ikan terutamanya ikan belanak.
Sekiranya hujan turun berlarutan dalam tempoh lebih satu hari atau seminggu, keadaan akan boleh menjadi buruk dan memberi kesan kepada mata pencarian nelayan dan dalam
tempoh proses pertukaran air balik ke asal, ikan-ikan mula bergerak dan berpindah keluar ke lautan terbuka.
Air tawar yang bercampur dengan air masin akan timbul dahulu dari air masin disebabkan air tawar ringan dari tarikan daya bumi. Ini akan memberi kesan kepada tabiat ikan.
Ikan merah, gerut-gerut dan gelama atau ibu gelama atau jenahak terutamanya, akan cuba menyorokkan diri di kawasan yang mempunyai lubang yang dalam.
Selalunya terdapat ban pasir yang mudah dihakis oleh banjir atau hujan lebat yang berlarutan.
Kesan hakisan ini lama kelamaan akan membentuk satu lopak ar yang dipanggil PALOH. Paloh ini akan penuh dihuni dengan hidupan laut yang mengeluarkan pelbagai jenis ikan dan udang ditambah dengan kemasukan air dari laut yang membawa ikan-ikan besar.
Dalam erti kata lain, kawasan paloh mempunyai potensi adanya ikan-ikan yang boleh dipancing. Apabila kawasan paloh mula surut, pemancing perlulah menyusur mengikut
aliran air keluar di mana ikan akan memasuki ke kawasan yang terdapat punca makanan tetapi perlu diingatkan agar pemancing janganlah leka kerana pemancing boleh terperangkap apabila air pasang.
ANGIN
Dua sebab mengapa angin mendatangkan kesan kepada pemancing dan nelayan. Pertama, ikan tidak akan memakan umpan di dalam keadaan angin bergelombang dan menaiki bot
pada waktu ini akan mendatangkan kesan yang merbahaya. Itulah sebabnya pemancing perlu mengetahui ramalan kaji cuaca sebelum bergerak keluar memancing.
(Sedikit tip): Apabila angin meniup ke arah pantai, angin di tengah laut akan kurang aktif dan pemancing akan lebih berjaya dengan hasil tangkapan.
Wacana : Bila set pinjam member buat macam harta sendiri

Kata orang, kaki pancing ni walaupun tak kaya tapi hobinya mahal! Iyelah, nak beli set pancing yang betul-betul memuaskan hati ni bukannya seringgit dua harganya, tapi
beratus-ratus, malah beribu-ribu ringgit pun ada dek kerana berbeza lapangan pancing, lainlah peralatannya.
Itu belum lagi cerita aksesori-aksesori tambahan dan servis untuk set pancing tu lagi. Semuanya perlukan pelaburan yang banyak.
Tapi nak dijadikan cerita, kaki pancing ni mesti ada sorang dua orang member yang jenis suka nak pinjam set pancing untuk keluar memancing.
Di kalangan kaki pancing mesti ada daripada kawan-kawan ni yang jenis baru nak menceburkan diri dalam lapangan memancing yang baru.
Jadi, sebabkan takde set mulalah cari kawan yang ada set pancing yang bersesuaian dengan lapangan memancing tersebut.
Masa mula-mula nak pinjam bukan main manis mulut. “Ala, pinjam seharidua je bro…Nanti aku pulang balik lah… Ada hasil lebih nanti aku bagilah kat kau sikit..”. tak nak bagi, nanti dikata kedekut.
Nak dibagi risau rosak, bimbang tak dijaga elok. Tapi lepas bagi pinjam yang tak seronoknya, lepas seminggu, sebulan, dua bulan, langsung takde khabar berita! Malah ada yang bertahun-tahun buat senyap je. Dalam erti kata lain dah jadi harta sendiri.
Lebih teruk lagi, setelah beberapa purnama perkara ni berlaku dan setelah dipaksa berulang kali, set pancing yang kita terima tak sama seperti keadaan asal.
Selain itu, dah terbalik pula kesnya…si pemberi pinjam pula berasa malu nak mintak semula hartanya, sedangkan yang meminjam langsung tak rasa malu.
Tambah memedihkan, barang yang dipinjam tidak seperti keadaan asal. Ada kes hujung joran patah, kekili bercalar teruk, kayuhan kekili kasar semacam… badan kekili atau cincin joran teruk terhakis dimakan air garam dan macam-macam lagi yang sering kita dengari.
Bila ditanya macam mana boleh jadi camni, macam-macam alasan diberi. Nak disuruhbayar ganti rugi nanti ada yang sampai tarik muka dan putus sahabat! Tapi itulah senario yang sering berlaku.
Bila dah jadi camni, kebanyakan daripada kita dah rasa serik nak beri pinjam set pancing lagi. Bukannya nak bersikap kedekut, tapi bila jadi kes semacam ini sikit sebanyak ia mengganggu emosi kita sebagai kaki pancing.
Mana taknya, ada yang sampai ikat perut berbulan-bulan lamanya semata-mata nak dapatkan set pancing yang menjadi pujaan hati.
Bila ia jatuh ke tangan mereka yang tak reti menghargai ia sememangnya akan memberi kesan yang mendalam kepada kita.
Berbalik kepada kes ini, bukannya niat penulis untuk melarang kaki pancing memberi pinjam set pancingnya kepada kawan-kawan.
Tapi seeloknya, berilah pinjam kepada mereka yang betul-betul diyakini boleh menjaga harta kita dengan baik.
Sekurang-kurangnya risiko untuk terjadi kes-kes yang disebutkan di atas untuk dapat dikurangkan.
Lebih baik lagi jika si pemancing memberi kata dua kepada si peminjam bahawa risiko semua akan ditanggung oleh si peminjam.
Dalam erti kata lain, kalau set pancing itu patah, rosak atau sebagainya, si peminjam haruslah membayar ganti rugi setimpal dengan harga barang yang dipinjam.
Dan bagi si peminjam pula, amatlah dinasihatkan agar menjaga harta orang seperti harta sendiri. Jangan biarkan kepercayaan rakan anda hilang dengan kecuaian sendiri.
Ya, memang benar untuk mendapatkan set idaman yang sesuai dengan lapangan yang ingin anda ceburi itu mahal.
Tapi, alangkah baiknya jika kita mula mengumpul dari sekarang dan dapatkan set pancing sendiri. Sekurang-kurangnya jika rosak atas tangan sendiri lebih puas hati berbanding rosak atas tangan orang lain.
Jadi, ini sebahagian coretan untuk segmen wacana bulan ini. Mari kita dapatkan pula pandangan dan luahan kaki pancing tentang isu kali ini
APA KATA NETIZEN
Pendapat 1
“Bukan joran je. Batu ladung, mata kail, perambut pun mintak kita punya juga. Ingat koperasi sekolah ke?
Kalau ada member spesies yang payah nak pulangkan balik joran kesayangan yang dia pinjam.
Lepas ni kita bagi pinjam koyan atau serek yang harga dua singgit atau pun joran budak-budak harga dalam dua belas ringgit satu set. Kalau hilang tak rasa rugi sangat.
Tak payah bagi balik pun takpe.”
Pendapat 2
“Pergi kat member yang jenis suka pinjam joran @ alatan memancing tu, cakap kat dia nak pinjam duit dalam jumlah sekian-sekian.
Lepas tu beli set memancing pakai duit tu dan bagi dekat member tu sambil ckp “Nah ni hang punya, tok sah dok pinjam barang aku dah”. Settle masalah, boleh la ngail sambil layan kuaci.”
Pendapat 3
“Cukup hanya sekali. Bagi pakai tak reti pulang. Bagi pinjam tak reti nak jaga. Mujur bagi pinjam set option kedua. Kalau la terbagi set utama, mau aku buang semua.
Serik seserik seriknya. Bayangkan sampai boleh ada anak lipas ada dalam spool aku. Aduyaaii…!”
Pendapat 4
“Ni perkara biasa berlaku. Tapi kebanyakannya dari pemancing yang kurang tegar. Kalau pemancing tegar, mesti banyak set pancing dan spare part sendiri.
Aku pun pernah terkena. Dah lepas semenanjung pun set aku. Ape pun tak boleh! Hahaha, takpe, halal kan je lah…”
Pendapat 5
“Beli set pancing boleh kata mahal time tu untuk adik. Adik suka giler dapat hadiah tu. Sekali dia bagi pinjam kat member dia. Bila mintak balik, tertinggal kat kereta pakcik katenya. Lepas tu lepas tangan. Dah hangus!”
Pendapat 6
“Redha je la, awak jugak yang meracun dia masuk jadi ahli memancing ni. Taktik aku senang je. Reka cerita yang memancing pakai barang pinjam ni tak ‘ong’. Kumpau… Hehehehe.”
Pendapat 7
“Biase la tu, tapi tak semua kawan camtu. Memang ada jenis yang pandai pinjam tapi pulang tak pandai. Jenis pakai barang orang, tapi semacam macam harta sendiri. Kita pakai, punyalah kita jaga, belai bagai, bila dah tukar tangan jahanam jadinya.”
Pendapat 8
“Mesti pernah berlaku terutamanya masa masih tahap amatur. Kawan pinjam set pancing, kalau tak bagi, kesian ada, malu pun ada kau tak bagi pinjam. Nanti kawan kata taik hidung masin.
Tapi bila dah bagi pinjam, tak reti nak pulangkan lagi pula. Kadang-kadang berbulu juga rasa. Tapi tak apa, halalkan je. Anggaplah pengalaman.”
Jom baca WACANA seterusnya…
Wacana retro – Geng jigger dabik dada

Fenomena teknik jigging di kalangan kaki pancing Malaysia memang dilihat semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Ramai yang sebelum ini lebih ke arah bottom dan casting mula berubah minat. Tak kiralah dari micro jigging ke fast jigging, mahupun slow-pitch jigging, semuanya ada kelompok peminat yang tertentu.
Pun begitu, ramai kaki pancing lain mula mengatakan yang geng-geng jigger ini sudah besar kepala. Huh?
Benarkah begitu? Besar kepala yang bagaimana?
Umum tahu yang untuk teknik jigging ini setnya boleh dikatakan belum tahap mampu milik di kalangan kaki pancing.
Slow pitch jigging umumnya, untuk set rod dan reel yang bagus sahaja sudah menelan belanja ribuan ringgit.
Ini belum lagi cerita bab jignya yang seketul sahaja ada yang mencapai harga hampir RM100 malah ada yang lebih dari itu. Itu hanya cerita bahagian kelengkapan.
Belum lagi ditolak tambah dengan sewa bot dan tekong. Semuanya memang menelan belanja yang besar.
Entah bagaimana muncul cerita baru-baru ini apabila ada yang mengatakan geng-geng jigger Malaysia sudah mula bersikap berlagak dengan kaki pancing lain.
Kononnya, bila dah pakai set ribu-riban, dah tak pandang dah teknik-teknik lain seperti bottom dan casting.
Malah ada juga yang merasakan diri mereka hebat bila terjun dalam bidang jigging ini dan mula memperlekehkan teknik-teknik pancingan lain.
Lebih teruk lagi, ada di kalangan jigger yang sudah mula menjauhkan diri dengan rakan-rakan bila terjerumus dengan teknik ini.
Mereka hanya bergaul dengan geng-geng jigger sahaja yang mempunyai kelengkapan mahal dan yang mampu sembang kencang tentang pengalaman mereka menarik ikan gred A dan sebagainya.
Persoalannya, benarkah begitu? Jika benarlah wujud golongan sebegini, itu benar-benar menunjukkan mentaliti kita sebagai kaki pancing masih di tahap rendah.
Belum tentu bila anda mempunyai set pancing beribu-ribu dan pengalaman mendaratkan pelbagai jenis ikan menunjukkan diri anda benar-benar hebat.
Apalah salahnya kita berkawan dengan semua dan kongsi pengalaman bersama-sama tidak kiralah menggunakan teknik pancingan apa sekalipun.
Benar, memang teknik jigging kini menjadi trend, tapi siapa tahu dua, tiga tahun akan datang mungkin teknik lain pula menjadi fenomena.
Jadi janganlah disebabkan mengikut trend anda sanggup memperlekehkan teknik pancingan yang sedia ada. Ingat setiap teknik ada tarikannya yang tersendiri.
Buat geng-geng jigger yang masih mengamalkan sikap merendah diri, penulis memang salute kepada anda.
Teruskanlah dengan nilai-nilai positif itu dan berikanlah galakan berterusan kepada kaki pancing yang lain untuk terus berjaya.
Diharapkan lebih ramai mengamalkan sikap rendah diri sebegini daripada jalan mendada dan tunjuk act yang entah apa-apa.
Apa yang ditulis oleh penulis ini tidak langsung berniat untuk menjatuhkan geng-geng jigger, tapi hanyalah untuk memberi kesedaran kepada sesetengah daripada mereka yang mungkin tanpa sedar bersikap sebegini.
Jika ia menyinggung hati mana-mana pihak, penulis memohon ampun dan maaf. Jadi, untuk bersikap adil, jom kita lihat pula apa yang dicoretkan oleh rakan-rakan kita dalam ruangan ‘Apa Kata Pemancing’.
Encik Lee
“Sejak bercimpung dalam arena jigging ni, tak pernah lagi jumpa rakan-rakan yang memperlekehkan pemancing dari teknik casting or bottom.
Bagi diri saya sendiri la, bila da terjebak dengan jigging ni memang jarang bermain bottom.
Sebabnye jadi gian nak ngenjut jig, nak-nak bila dah pernah strike ikan saiz mega, lagi la gian.
Tapi kene ingat, kita sebagai pemancing jangan sesekali memperlekehkan pemancing lain sebabnye kite kene tahu asal usul kita mula memancing.”
Tam Koscielny
“Saya akui memang ada jigger yang macam tu disebabkan kelas yang tersendiri. Tapi ada juga jigger yang tak macam tu.
Orang cakap talian hayat masih diperlukan sekiranya ikan malu-malu nak hentam jig. Terpulang pada individu.
Cuma jangan la kita mengutuk kawan-kawan yang membottom. Cukup sekadar gurauan. Ingat, jigger pon bermula dari bottom.”
Kemrol Yusop
“Tak kira apa teknik sekalipun, kalo mata kail dah msuk air dan kena”SENTAP”… lupa ngantuk ke, letih ke, mabuk laut ke dan masa nie NIKMAT memancing dirasai.
Nak guna alatan mahal2 tu lain kira…. Ada rasa sengsara menaikkan ikan tapi kepuasannya takkan lupa.
Besar kepala tak ada dalam kamus pemancing…. RAMAI KENALAN jauh dekat,u tak kenal I, i tak kenal u.. Tapi aktiviti ngail bole kenalkan kita ramai kawan… Kenal lubuk kenal ikan… kan gitu?”
Helmi Proton
“Memancing ni ibarat kita nak melihat alam ghaib .Kita tak nampak tapi kita percaya adanya kewujudannya.
Sama dengan memancing kita tak nampak apa hasil yang bakal kita dapat tapi kita percaya dengan teknik yang betul, umpan yang betul ,masa yang sesuai Insyallah dapat
ikan tak kiralah sama ada membottom, jigging, casting ker nawaitu pemancing tetap sama iaitu nak dapatkan strike.
Oleh itu tiada dalam kamus pemancing jigging lebih stardard dari membottom kerana rezeki atas yang bagi.
Kekadang sampai nak patah pinggang jigging habuk pun tak der walhal kat dalam sonar bersusun susun ikan di dalam air.
Cuma tidak dinafikan ler ada segelintir kecil dari mereka yang merasakan diri mereka hebat dan martabat mereka tinggi.
Bagi kawan, itu tak menjadik kudis pun dalam industri memancing ni kerana ikan dalam air tak kenal jenama, otai dan sebagainya.
Ada masa kita berhasil ada masa kita membangau dan ada masa kita kumpau. Lumrah pemancing.”
Wan Hafez
“Bulan 11 saya jigger, bulan 12 saya bottom, bulan 1 puyu ja, bulan 2 saya caster, sama ja… Sepanjang bulan tu ada kawan-kawan nak try jadi jigger, saya terpaksa besar kepala cakap tak yah join, elok mancing biasa-biasa je.
Bukan apa, sebab saya tau ekonomi mereka macam mana. A-Z nak setup semua pakai modal besar. Jangan kecam saya…”
Rafiqlutfi B Rahman
“Makin ramai bergaul dengan kaki pancing, makin banyak teknik yang kita dapat… Jolokan jigger yang besar kepala nie mungkin cara mereka bercerita hasil strike membuatkan kaki pancing yang lain tak senang.
Tetapi bagi saya, teknik jigging memang susah dan memerlukan stamina. Dalam masa yang sama kita perlu hormat teknik pancingan yang lain.”