Saya masih ingat kata-kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyertai trip memancing bersama beliau di Tasik Kenyir 6 tahun lalu, `memancing melatih kita jadi penyabar’.
Kali ini Tok Guru yang lebih mesra dengan panggil Ayoh Chik ini menarik perhatian apabila berkongsi gambar Amazing Terengganu ketika menyertai aktiviti membuang unjang di perairan Pulau Kekabu, dua hari lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, DS Abdul Hadi menyertai aktiviti tersebut sebagai tanda sokongan terhadap program “Terengganu Tenggiri Challenge” bakal diadakan 20-21 September ini.
Ads
“Hari ini saya menyertai program buang unjang bagi program “Terengganu Tenggiri Challenge” untuk menarik banyak ikan di Pulau Kekabu, Marang.
“Semoga program ini dapat menarik minat ramai pemancing dan pelancong untuk datang ke Terengganu,” katanya yang turut berkongsi aktiviti sama di Twitter rasminya.
Ads
Ahli Parlimen Marang itu juga tidak melepaskan peluang memancing selepas aktiviti membuang unjang selesai dan berjaya menaikkan seekor tenggiri dalam anggaran berat mencecah 10kg.
Video beliau menewaskan tenggiri yang bakal menjadi buruan kaki pancing sempena Terengganu Tenggiri Challenge 2019 itu boleh dilihat menerusi profil cerita dimuat naik di laman Facebooknya.
Pancingan spesies tenggiri memang cukup popular di kalangan pemancing kita. Lokasi atau lubuk paling sinonim dengan tenggiri di utara ini tentulah tuas.
Tuas ialah tukun atau unjam yang dibina di tengah laut, biasanya terdiri daripada gelung simen, daun kelapa atau daun pokok Ibus yang kemudiannya diikat dengan buluh sebagai penanda lokasinya.
Maka, kelihatanlah ceracak-ceracak buluh di tengah laut penanda lokasi berkumpul ikan-ikan kecil dan besar termasuklah tenggiri.
Tenggiri memang gemar berenang berhampiran tuas untuk memburu ikan-ikan kecil seperti kembong, selar atau tamban di sekitar tuas. Jadi bagi peminat tarikan tenggiri, pastinya tuas menjadi lubuk pilihan untuk berentap.
Tuas Yan di Kedah sudah sekian lama diakui antara yang terbaik mencari tenggiri. Namun untuk lari daripada kebiasaan, grup Penang Anglers Club (PAC) telah memilih untuk mencabar tenggiri di lokasi tuas kawasan Pulau Payar atau Tuas Payar.
TRIP TUAS PAYAR ANJURAN PAC
Trip cungkil tenggiri ini pada awalnya dianjurkan oleh PAC bertujuan mengumpulkan rakan-rakan pemancing khususnya ahli PAC sendiri untuk mengeratkan hubungan sesama ahli grup seterusnya menikmati hobi hanyir yang dikongsi bersama ini.
Pihak PAC memilih lapangan Tuas Payar kerana secara tidak langsung dapat menguji lapangan dan mempromosikan lokasi ini sebagai lokasi alternatif di utara tanah air kepada peminat tegar tenggiri di Malaysia.
Sekitar 25 orang pemancing menyertai trip ini dan berkumpul di Jeti Kubang Rotan, Kuala Kedah seawal jam 6.30 pagi. Setelah berkumpul dan sesi taklimat ringkas, 5 buah bot bertolak membawa pemancing menuju ke kawasan tuas.
Tiba di tuas, masing-masing terus melabuhkan umpan pilihan. Begitu juga dengan penulis, Khairul, Tokwan, Fazrul dan Pet yang berada dalam satu bot.
Awal pagi kami bermula dengan teknik apollo mencari kembong dan tamban untuk dijadikan umpan dengan teknik drift belon.
Sambil menanti henjutan tenggiri, kami melayan cencaru yang tidak putus-putus melarikan apollo.
Di belakang bot, balingan demi balingan sesudu SO’DO perak oleh Tokwan akhirnya bersambut.
Henjutan yang dilakukan ditangani kemas oleh Tokwan yang menggunakan kekili Quantum EXO PT lantas seekor belitong sub-juvenil berjaya dinaikkan.
Tiba-tiba set joran berumpankan kembong menjerit lalu pantas disambar oleh Khairul dan mula melakukan kayuhan demi kayuhan.
Keadaan agak riuh dengan masing-masing membayangkan tenggiri pertama. Namun, bayangan tinggal bayangan apabila yang terdampar lemah ialah sang todak.
Patutlah tarikannya melilau di permukaan.
Oleh kerana keadaan air tenang dan tiada angin, kami lebih banyak melakukan teknik casting dan jig-cast sambil menanti sang tenggiri.
Fazrul masih gigih melayan cencaru dan kerisi, King of Cencaru hari itu. Casting menggunakan sesudu dan mini jig tidak menghampakan.
Belitong, cencaru dan pecah periuk antara hasilnya, jig dan sesudu yang berhasil putus pun ada.
Sekitar jam 2 petang, balingan bulu daripada Khairul akhirnya diragut kasar. Henjutan kali ini pasti tak lain tak bukan sang tenggiri torpedo.
Asakan larian bak torpedo ditahan kuat oleh Khairul sebelum mendapat peluang membuat karauan.
Setelah beberapa minit, seekor tenggiri berskala 4kg menyembah di tepi bot dan menjadi satu-satunya tenggiri hasil bot kami.
TUAS PAYAR, SPOT ALTERNATIF DI KUALA KEDAH
Di penghujung trip, hasil bot yang kami naiki hanya berjaya mengcungkil seekor tenggiri. Menurut tekong, mungkin nasib agak tidak menyebelahi kami.
Permukaan air sangat tenang kerana tiada angin menyebabkan ikan kecil kurang mengejar riak air. Namun, setidaknya ikan lauk seperti cencaru, kerisi dan selar yang memenuhi tong masih membuatkan kami berpuas hati.
Hasil daripada bot rakan pemancing lain dikumpulkan bersama pada petang itu. Jumlah spesies target iaitu tenggiri yang berjaya dicungkil sejumlah 8 ekor dengan yang paling berat ialah 12 kg.
Teknik drift umpan hidup, membulu dan casting antara teknik yang menewaskan 8 ekor tenggiri ini.
Pada hari yang tidak berapa baik, 8 ekor tenggiri yang dicungkil menandakan betapa tuas Pulau Payar ini mempunyai potensi yang baik sedikit masa lagi.
Penulis difahamkan kebanyakan tuas berusia sekitar 12 – 14 bulan dan akan ada penambahan tuas berperingkat.
Rakan pemancing yang sudah ke sini sebelum ini juga mengatakan tuas Payar tidak mengecewakan.
Melihatkan keadaan, jelas tuas Payar mampu menarik kedatangan pemancing khususnya sebagai spot melayan tenggiri.
Peranan tekong juga memainkan peranan penting dalam memberi impak positif kepada perkembangan Tuas Payar sebagai satu spot pancingan terbaik.
Dengan lokasi yang tidak jauh dari Taman Laut Pulau Payar, penulis percaya sedikit masa lagi, Tuas Payar akan dijulang sebagai satu spot utama spesies king mackerel ini.
Info Tambahan:
Kesesuaian Teknik: Pancingan tenggiri di kedah, terutama di Yan dan sekitarnya sedikit berbeza dengan tempat lain. Ada yang menganggapnya begitu cerewet.
Banyak teknik yang perlu dipraktikkan seperti casting menggunakan 2 @ 3 mata menggunakan ikan kembong (temenung) mati, drift, jigging, trolling, casting bulu dan gewang.
Untuk keberkesanan hasilnya, cubalah semua teknik kerana cita rasa tenggiri kadangkala tidak sama. Rajin-rajinlah bertanyakan kepada tekong atau orang lama atau kaki-kaki tuas sejati atau rajin-rajinlah berkunjung ke tuas.
Bukan bermakna sekali anda gagal terus tak mahu mencuba. Anggaplah ini semua sebagai satu cabaran bagi diri anda sebagai seorang kaki pancing sejati.
Suatu ketika sekitar 20 tahun dahulu, setiap malam pada hari tertentu selama berminggu-minggu saya sanggup membatalkan segala urusan sekiranya bertembung dengan waktu penayangan sebuah drama bersiri persilatan Melayu.
Saya bukan sekadar menonton malah siap merakam dalam bentuk VCR lakonan aktor kegemaran saya, Eman Manan dalam drama siri Pendekar Kundur.
Justeru, apabila berdiri di hadapan Pengkalan Pantai Kundur, secara spontan saya terimbau babak-babak lakonan pencak silat para pendekar di tepian pantai.
Bezanya, saya hadir di Pantai Kundur bukanlah untuk berpencak silat di tepian pantai, sebaliknya berpencak di atas sampan bersama beberapa ‘pendekar joran’ di perairan Selat Melaka yang terbentang luas dari Pengkalan Pantai Kundur.
Selama dua hari berturut saya dan beberapa orang ‘pendekar joran’ turun memancing di perairan Selat Melaka menggunakan khidmat tekong tersohor, Nadzri di Pengkalan Pantai Kundur, Melaka.
Hari pertama saya turun bersama dua pendekar handalan dalam persilatan jigging perlahan, Shahrul Nizam dan Johannas.
Sementara dua orang lagi adalah muka baru dalam arena jigging perlahan namun Akashah dan Muttaqin dari EBSF Tackles ini bukanlah nama baru dunia hanyir.
Jika dalam dunia persilatan, mereka berdua sudah boleh diangkat sebagai mahaguru.
Gaya permainan jigging perlahan di perairan di perairan Pantai Kundur ini tidak banyak bezanya dengan padang permainan lain seperti zeezone Port Klang, Port Dickson atau Muar.
Berat jig yang harus digunakan bergantung kepada kedalaman air, kederasan arus dan kelajuan bot berhanyut ditolak angin. Namun warna jig yang digunakan sangat mempengaruhi hasil jigging di perairan ini.
Menurut Nadzri, jig berwarna merah jambu sangat efektif ketika arus lemah. Sementara ketika arus bergerak laju jig berwarna jingga atau oren pula menjadi pilihan.
Tak ubah Hang Ishak dalam Pendekar Kundur, Nadzri membuktikan tip yang beliau nyatakan bukan omong kosong apabila berjaya menewaskan seekor spesies tompok hitam bersepuh emas dengan skala berat enam kilogram lebih.
Sekaligus merupakan jenahak terberat yang pernah didaratkan di perairan tersebut. Selepas jenahak bantal itu berjaya didaratkan, menyusul pula tangkapan berikutnya hanya berselang kurang dari setengah jam.
Sehingga jam tiga petang dan sebelum angin barat mula bertiup, dua ekor jenahak, seekor talang dan seekor kaci berjaya ditempatkan ke dalam tong penyimpanan ikan.
Hari kedua kami turun tanpa Akashah dan Muttaqin. Parman dan Sham pula menjadi pengganti. Namun cuaca pada hari kedua begitu berbeza berbanding hari pertama.
Seawal pagi lagi hujan turun lebat di tengah laut. Menjelang tengahari, angin barat pula membadai. Ekoran cuaca yang agak buruk, demi keselesaan dan keselamatan kami mengambil keputusan untuk kembali ke jeti sahaja.
Ternyata keputusan amat tepat kerana cuaca semakin teruk menjelang waktu petang malah hampir sepanjang perairan Selat Melaka dilanda angin barat hari itu.
Bertitik tolak daripada liputan kejohanan memancing tahunan yang dianjurkan Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Persatuan Pengail Selangor (PENGAIL) di perairan Pelabuhan Klang, saya diundang untuk menyertai komiti penganjur ini bersantai-santai memancing di perairan air tawar, Tasik Kenyir.
Selama 4 hari 3 malam para komiti RSYC & PENGAIL yang merupakan pemancing-pemancing otai serta jemputan dari Pure Fishing, berkomplot di atas boathouse Sri Gagau, menduga penghuni Tasik Kenyir secara santai.
Penulis yang diundang awal-awal lagi sudah berasa teruja untuk menyertai trip ini. Biarpun tarikhnya serentak dengan event lain, penulis tidak berubah fikiran untuk menyertai trip otai-otai ini.
Bukan senang nak dapat peluang memancing bersama, berkongsi pengalaman dan cerita, dan menimba ilmu memancing daripada pemancing berpengalaman seperti mereka ini.
Kesantaian grup ini terserlah apabila boathouse Sri Gagau mula bergerak keluar dari jeti Pengkalan Gawi, rupanya mereka belum putuskan ke mana destinasi yang hendak dituju. Mengetahui penulis sudah kerap ke Tasik Kenyir, pendapat penulis ditagih untuk sama-sama menentukan lubuk terbaik yang harus dituju.
Mandangkan grup ini tidak memohon permit memancing di taman negara, maka lubuk-lubuk bersempadanan dengan taman negara dicari. Perbincangan bersama tekong boathouse Sri Gagau akhirnya Sungai Lawit menjadi lubuk pilihan.
Selain aktiviti menjaring yang agak berleluasa kerana terletak di luar kawasan taman negara, Sungai Lawit tidaklah terlalu menghampakan.
Biarpun di luar musim, paras air tasik yang masih tinggi, senario pancingan di Sungai Lawit hampir tidak banyak bezanya dengan Sungai Terenggan atau lubuk lain di dalam kawasan taman negara.
Banyak teluk, suak dan sistem sungai bagi kaki casting keluar memburu sebarau dan toman. Malah lokasinya juga tidak untuk ke Sungai Papan atau Sungai Lepar. Aktiviti pancingan di atas boathouse juga tidak begitu membosankan. Belida, baung dan lampam agak mudah dipancing.
Malah jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan keadaan di taman negara. Dan agak seronok juga menyaksikan gelagat pemancing-pemancing otai laut dalam yang biasa menaikkan pari serta jenahak bagak-bagak ini bertungkus-lumus cuba menjinakkan lampam sungai.
Pelaburan selama 2 malam di Sungai Lawit agak memuaskan hati ahli-ahli grup. 2 ekor belida berskala 4 dan 7kg berjaya dinaikkan dan selamat dijadikan sup bebola istimewa. Baung-baung bersaiz kasar juga banyak didaratkan. Cuma aktiviti mengilat sedikit mengecewakan.
Begitu banyak port yang menarik tetapi tiada sambutan dari sebarau mahupun toman. Yang banyak meligan gewang hanya toman rempit atau sebarau remaja.
Hari ke-3, ahli-ahli grup sepakat sekata untuk mencuba nasib di Sungai Mentong pula. Pada hari yang sama juga satu pertandingan kecil di antara ahli grup diadakan. Namun pancingan di Sungai Mentong ini agak menghampakan.
Selain daripada aksi 4 kumpulan toman remaja berkongsi satu teluk meligan gewang yang dilontar, selebihnya boleh dikatakan tiada aktiviti yang menarik. Biarpun banyak teluk dan suak yang berpotensi, namun kelibat sebarau mahupun siakap langsung tidak kelihatan.
Rumusannya, trip bersama otai-otai perairan Port Klang ini cukup menghiburkan. Semangat dan disiplin mereka yang seawal 6.30 pagi sudah siap untuk turun casting setiap pagi benar-benar mengagumkan.
Mungkin faktor nasib dan masa saja yang tidak menyebelahi mereka. Yang pasti, penulis menaruh harapan mereka masih sudi untuk meneroka sungai-sungai di Tasik Kenyir lagi.
Secara peribadi pula, penulis gembira kerana masih ada ikan belida yang masih mahu memakan umpan yang dilabuh berdekatan dengan boathouse.
Bukan mudah sebenarnya ikan belida untuk ditewaskan kebelakangan ini di Tasik Kenyir. Tak mustahil suatu hari nanti ia satu usaha yang mustahil sebagaimana untuk menaikkan seekor kelah merah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...