Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.
Kami memilih Mat Rafi sebagai tekong. Pada awalnya, semasa tiba jam 6.30 pagi di Jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, langit yang pada mulanya kelihatan cerah telah bertukar mendung dalam sekelip mata.
Hampir 8.15 pagi, barulah kami berlepas selepas laut kembali tenang. Semua ahli trip menggunakan jig dari saiz 18gm hingga 60gm. Bagi casting pula, kami menggunakan spoon, bulu ayam serta gewang seperti Jackson Pintail dan sebagainya.
Lubuk pertama kami ialah sesi casting di kawasan berbatu. Tanpa menunggu lama, saya dan Tompok menerima sambaran hampir serentak namun lucut semasa beraksi. Ia angkara todak yang kelihatan agak banyak dan agresif. Tekong menyarankan kami agar menukar mata tiga kami kepada saiz yang lebih besar bagi memastikan ia tidak rabut lagi.
Setelah menukar mata tiga, rakan saya, Jemik telah membuat lontaran pertama dengan gewang Yozuri bersaiz 12 cm. Sepantas kilat satu sambaran kasar berlaku dan drag terus berbunyi nyaring. Ikan telah lekat dan beliau berhempas pulas mengawal larian dan loncatan todak tersebut. Akhirnya todak yang agak kasar itu berjaya juga dinaikkan.
K.I yang mencuba dengan Pintail turut mendapat sambaran kasar selepas Jemik. todak ini dilihat lebih agresif dan besar ketika meloncat dalam usaha untuk melepaskan mata kail. Akhirnya setelah 3 kali meloncat tinggi, tali perambut kejutan tangsi terputus ketika ia membuat pecutan terakhir dan berkuburlah gewang Pintail K.I.
Mat Rafi kemudiannya mengalihkan bot ke kawasan lain pula kerana kami telah berhanyut jauh dari sasaran. Kebetulan satu ‘boiling’ berlaku kira-kira 20 meter dari bot. Saya yang telah bersedia, tanpa berlengah melontar jig Yozuri Metallic Sardine dan terus menerima asakan kasar ketika baru menutup ‘bail arm’.
Tali mencurah-curah keluar telah memaksa saya mengawal dengan berhati-hati kerana saya menggunakan set ringan Ryobi Zauber 1000 dengan tali 20lb. Aksi tarik menarik berakhir dengan seekor GT tumpas. Walaupun tidak besar, aksinya masih mendebarkan kerana menggunakan set ringan.
Kami berpindah lagi ke satu kawasan yang dipanggil Tukun Jepun. Baru sahaja jig dijatuhkan dan di unjun 2 kali, K.I mendapat sambaran padu.
Jorannya dihenjut-henjut ke bawah. Ketika itu, tiada siapa dapat meneka jenis ikan kerana amat berlainan sekali lariannya. Kelibat jehahak mula kelihatan dan semua bersorak gembira walaupun belum lagi dinaikkan.
Jenahak skala 2kg tersebut tumpas setelah ditangguk. Bertambah semangat semua untuk meneruskan sesi pancangan kali ini!! Saya dikejutkan dengan satu tarikan ketika leka berbual sambil jigging. Tarikannya mudah dikawal. Tanpa disangka, seekor cencaru kuda pula berjaya dinaikkan.
Kami beralih ke Batu Putih pula untuk mencari ‘boiling’ cencaru kuda kerana waktu ini arus air kelihatan amat sesuai. Ketika tiba sambil berpusing-pusing, kelihatan banyak burung sedang mengejar sesuatu di permukaan laut.
Kami bergegas ke situ. Tak sampai seminit, kejadian “boiling” pun berlaku. Masing-masing yang sememangnya telah bersedia, terus sahaja membaling mikro jig. Serentak 3 orang sekali mendapat sambaran. Suasana bertukar kecoh kerana kami perlu menukar poisi kedudukan kami agar tali tidak bersilang.
3 ekor telah tumpas dan misi seterusnya terus menanti ‘boiling’ kedua. Ia berlaku di belakang bot pula. Hanya saya dan Tompok berjaya membaling jig dan saya telah berjaya menaikkan spesies terbesar, anggaran 2kg. Ketika bot mula menghampiri kawasan berbatu, Jemik yang menggunakan gewang berjaya menaikkan seekor lagi cencaru.
Selang 10 minit, K.I pula bertarung dengan ikan. Penggunaan joran halus menyukarkan K.I untuk menarik secara kasar. Seekor delah muncul tanpa disangka dan terus sahaja diangkat masuk ke dalam bot. Oleh kerana telah penat dan jam hampir ke-2 petang, kami memutuskan untuk berehat sambil makan tengah hari di pulau.
Hampir 2 jam juga kami berehat sambil tertidur beralaskan tikar yang dibawa. Badan kembali segar setelah mandi air bukit yang segar. Saya mengajak Mat Rafi ke lubuk sotong mengabang. Pesan saya kepadanya, cukup 3 ekor sahaja yang dicari untuk saya buat lauk anak-anak.
Di sini, hanya candat Yamashita sahaja laku. Kami berlabuh dengan mengikat tali ke boya di situ. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan 3 ekor mengabang saiz ‘selipar no 8’ yang diidamkan dalam tempoh 30 minit sebelum berpindah ke lokasi lain.
Kami meneruskan kembali aktiviti jigging di satu kawasan yang agak dalam. Selepas 3 kali berhanyut, barulah ada sambaran dan kali ini, Mat Rafi yang kena. Agak lama juga bermain tarik tali sebelum seekor lagi talang berjaya dinaikkan.
Kami berpindah lagi. Mat Rafi juga yang membuka tirai sambaran ketika kami masih lagi terkial-kial hendak mengunjun. Seekor lagi talang skala 3kg dinaikkan. Tompok turut mengena ketika baru sahaja Mat Rafi menyimpan ikan tersebut ke dalam tong.
Kami memutuskan untuk mencuba di kawasan berbatu sebelum berangkat pulang. Bulu ayam, gewang serta spoon kembali menjadi taruhan. Balingan kedua K.I disambut, aksi yamg tampak agresif pada mulanya berakhir dengan mudah. Seekor todak kecil dinaikkan.
Menurut Mat Rafi, keadaan air jernih telah menyebabkan Talang nampak pergerakan mata kail gewang atau bulu ayam tersebut dan tidak akan membahamnya ketika casting. Kami berpindah sebanyak dua kali lagi tetapi hanya todak sahaja yang diperolehi. Tepat jam 6 pm, kami mengajak Mat Rafi pulang.
Tasik Kenyir, sememangnya lokasi pancingan unggul untuk mereka yang cintakan pancingan air tawar. Saya juga tidak terkecuali.
Kerana itulah juga, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini ‘port’ wajib saya kunjungi setiap tahun. Ada kalanya, jika ada bajet lebih, 2-3 kali dalam setahun pasti saya kunjungi.
Trip kali ini disertai beberapa orang rakan sekerja dan agenda kami, ialah menduga penghuninya pada musim tengkujuh. Sebarau atau badong adalah target tangkapan utama.
Kenangan berkunjung pada tahun lepas, dengan bertemu sang sebarau sedang frenzy, faktor utama menyebabkan saya berkunjung lagi ke sini.
Hari pertama tiba di Tasik Kenyir, hujan lebat menyambut kedatangan kami. Nampaknya memberi petanda baik.
Lantas sebaik sahaja selesai memunggah barang ke dalam bot, tekong Karim yang kami selesa gunakan servisnya sejak empat tahun lalu pantas memacu boathousenya menuju ke sekitar Gua Bewah dan Gua Taat.
Tiba di sana, rata-ratanya sudah bersiap untuk turun memancing. Lantas tiga buah bot fiber diturunkan. Saya bersama Mus, Wan bergerak menuju mencari anak-anak sungai baru. Manakala dua bot fiber lagi, menghilang entah ke mana.
Lewat senja, kami pulang kehampaan kerana tiada hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan dua bot lagi.
Keesokan harinya, hujan masih lagi turun sekejap lebat dan sekejap renyai. Menjelang petang, tekong Karim menukar tempat parking boat, tidak jauh dari kuala sebatang sungai yang sedikit keruh airnya.
Tanpa disangka oleh kami, percubaan Mus yang membaling popper ke arah kuala muka sungai tersebut menghasilkan sambaran, apabila popper yang dilontarkannya bersambut. Rupa-rupanya, ada kawanan sebarau berada di situ.
Mungkin sedang menghendap anak-anak ikan yang hanyut.Apa lagi, kami semua terus sahaja mencari arah kedudukan terbaik untuk melontar gewang.
Saya yang mencuba beberapa kali melontar gewang dalam gewang dalam terus sahaja mendapat sambaran.
“Nampaknya, kita tak payah pergi casting jauh-jauh. Kat sini pun dah banyak sebarau,” ujar rakan saya Nasir.
Sesi malam pula diteruskan, apa lagi kalau bukan baung. Dengan berumpankan tapa dan anak ikan, sesi pancingan malam itu turut diserikan lagi dengan tangkapan beberapa ekor belida.
Pancingan keesokan harinya yang juga hari terakhir, kami semua boleh dianggap semuanya bangun awal, walaupun tidur lewat malam semalamnya melayan baung.
Saya sempat juga casting menaiki bot fiber di lokasi tidak jauh dari boathouse berlabuh.
Hasil tangkapan tidak memberangsangkan, sebaiknya, Wan yang setia melontar gewang dari sejak awal pagi di boathouse dihadiahkan seekor sebarau sekitar 2 kg lebih yang dianggap tofi pada sesi kali ini.
Tengah hari, boathouse Karim mula meninggalkan lokasi. Walaupun hasil tidaklah terlalu lumayan, tapi masih boleh dianggap berbaloi. Apa yang pasti saya akan kembali lagi ke Tasik Kenyir lagi pada bulan Jun ini, untuk mencuba sesi pancingan kelah pula.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...