
Tidak sempurna bagi seorang kaki pancing jika tidak pernah menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir. Pastinya ramai kaki pancing yang pernah sampai walaupun sekali, bahkan ramai juga yang dalam setahun sampai lima enam kali menjejakkan kaki ke sini. Tidak kurang juga ramai yang belum pernah sampai ke sini.
Seperti yang kita tahu, Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1978 dan disiapkan pada tahun 1987. Ia dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Empangan ini menampung kira-kira 23,6 juta meter padu air dan meliputi keluasan kawasan 38,000 hektar.
Operasi empangan ini dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tasik Kenyir secara amnya merangkumi 30 batang sungai utama, ratusan anak sungai, 25 air terjun dan sekurang-kurangnya 25 spesies ikan yang diketahui menetap di tasik ini.
Oleh itu, Tasik Kenyir sememangnya dikenali sebagai syurga memancing pelbagai spesies air tawar. Atas sebab itu, Tasik Kenyir memang wajib dikunjungi oleh kaki pancing, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Bagi mereka yang berhasrat untuk datang memancing ke sini buat pertama kalinya, beberapa perkara harus anda ketahui dan perlu ambil kira.
Perkara yang boleh dan dilarang
Hasil pancingan di Tasik Kenyir boleh dibawa balik semuanya. Cuma pemancing digalakkan mengamalkan konsep tangkap dan lepas dengan bijak demi kelestarian spesies. Jika rezeki anda murah dengan sebarau, tidak perlulah setiap seorang membawa balik puluhan ekor sebarau dan begitu juga dengan toman. Jika anda mendapat ikan kelah, sememangnya ia rezeki buat anda dan rakan-rakan trip anda.
Apa yang tidak boleh di sini, adalah jangan membuang sampah merata-rata, terutama ke dalam tasik. Jika anda memilih cara berkhemah, sila lupuskan sisa-sisa plastik makanan, tin dengan ara yang betul. Jika tidak mampu bawa pulang, sila tanam atau bakar. Jangan sesekali dibuang ke dalam sungai.
Jika trip anda ada memasukkan kunjungan ke santuari ikan kelah di Sungai Petang, anda tidak dibenarkan langsung untuk mengambilnya, walaupun ada beribu ekor ikan kelah & kejor ada di depan mata anda. Anda juga dilarang menebang atau memusnahkan pokok dan tumbuh-tumbuhan di sini khususnya di kawasan Taman Negara.
Digoda gadis bunian di tengah lubuk

Trip ini diatur setelah trip untuk memancing ke Pulau Sembilan terpaksa dibatalkan akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.
Untuk tidak mahu mengambil risiko harta dan nyawa maka Pak Chu mencadangkan agar kami memancing di dalam hutan di Batu Pahat.
Sungainya lebar, panjang, sedikit berjeram dengan airnya yang bersih. Masih belum tercemar dengan pencemaran sampah sarap yang biasa kita lihat di bandar.
Pak Chu memang biasa memancing dan memasang jala di sungai ini. Kebetulan sekarang musim air kering, Pak Chu bercadang untuk mengintai lubuk-lubuk dalam yang dikatakan tempat spesies baung berkumpul.
Pada hari yang dijanjikan,kami bertiga sudah bertolak menuju ke rumah Pak Chu di Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan untuk mengambilnya dengan kereta.
Kemudian barulah kami meneruskan perjalanan menuju ke Batu Pahat dengan mengikut jalan lama. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah.
Dari jalan besar, kami memandu melalui jalan tanah yang sedikit berlopak sehingga tiba di satu kawasan lapang.
Di situlah, saya meletakkan kereta sebelum perjalanan diteruskan ke destinasi yang dituju.
Setengah jam berjalan kaki, barulah kami tiba di lubuk pertama. Hampir dua jam kami memasang joran di sini, satu kelibat ikan pun tidak kelihatan.
Hampa dengan keadaan itu, Pak Chu mengambil keputusan menukar lokasi ke lubuk kedua yang terletak hampir 500 meter dari lubuk pertama.
Ketika itu, hari sudah beransur petang. Saya dan Hamdan terus mendirikan khemah dan mencari kayu api.
Kemudian tanpa disuruh, saya menanak nasi dan membuat sambal ikan sardin. Pak Chu dan Andak pula leka memasang jaring di dalam air separas pinggang.
“Minta-minta adalah rezeki kita malam ini,” kata Hamdan.
“InsyaAllah,” jawab saya. Bab-bab rezeki ini memang payah untuk diduga.
Nasib baiklah, saya sempat membeli empat tin sardin, sedikit ikan masin gelama basah dan ikan bilis untuk dijadikan hidangan makan kami selama tiga hari dua malam di sini.
Beras dan roti pula merupakan bekalan wajib yang memang dibawa setiap kali kami keluar untuk menjaring ini.
“Iddin, tengok ni…” Andak menjerit sambil tangannya menunjuk dua ekor ikan baung yang menggeletik di tangannya.
Saya tersenyum girang. Alhamdulillah, belum lama jaring dipasang, sudah ada ikan yang mengena. Baung pulak tu…aduh, terliur saya dibuatnya.
Andak terus membersihkan ikan baung bersaiz sederhana itu. Setiap sekor dipotong dua.
Saya pula terus memotong cili api, bawang besar, bawang putih, serai, kunyit hidup dan halia yang dibawa. Saya mahu masak asam rebus sahaja.
Sebaik sahaja air menggelegak, terus saya masukkan ikan baung tadi bersama asam keping, sedikit garam dan serbuk perasa. Jadilah untuk makan malam kami sebentar lagi.
Siang sudah mengengsot pergi. Senja datang merangkak sebelum hutan kecil itu mula diserkup kegelapan malam.
Ketika itulah Pak Chu mula memasang unggun api bertujuan untuk menghalau nyamuk dan sebagai ‘pendinding’ daripada binatang buas yang mungkin tak kami duga kehadirannya.
Badan yang penat, unggas yang berbunyi di kawasan sekeliling membuatkan saya lebih selesa untuk berada di dalam khemah.
Dalam keadaan khayal melayan penat badan dan mata yang mula mengantuk itulah, saya terdengar perbualan antara Pak Chu, Andak dan Hamdan.
Sebagai orang tua yang berpengalaman dengan hal-hal hutan, Pak Chu memberitahu beberapa pantang larang yang perlu dielakkan semasa memancing di hutan atau tengah laut.
Antaranya ialah, jangan bercakap besar atau takbur, jangan buang air kecil atau besar pada sembarangan tempat, jangan mengambil barang-barang pelik atau aneh yang kita jumpa di dalam hutan contohnya.
Kalau memancing di tengah hutan atau laut, jangan bawa bahan mentah seperti daging segar kerana dikhuatiri akan menjadi tumpuan makhluk halus.
Kalau berada di tengah hutan, jangan sembarangan menyuluh ke atas, dikhuatiri tersuluh hantu-hantu yang bergantungan di pohon-pohon besar.
Banyak jugalah ‘pesanan’ dan tip yang Pak Chu berikan. Antara mamai mendengar, akhirnya ‘suara-suara’ itu hilang daripada pendengaran. Saya tertidur dalam keadaan kepenatan!
Hanya pada jam dua setengah pagi, saya tersedar kerana terasa mahu membuang air kecil. Di kiri kanan saya terbaring Andak dan Hamdan.
Pak Chu pula sudah terbaring di atas kanvas berdekatan dengan unggun api yang hanya tinggal bara sahaja. Serba salah juga saya mahu pergi ke sungai dalam dinihari itu.
Kalau diikutkan hati, mahu saja saya mengejutkan Andak atau Hamdan untuk menemani saya.
Tapi takut kalau dikatakan pengecut pula. Dengan ucapan bismillah, saya melangkah ke anak sungai dengan lampu picit di tangan.
Selesai membuang air kecil, ketika mahu memusingkan badan, saya terdengar kocakan air sungai yang agak kuat. Seolah-olah ia sengaja dilakukan untuk menarik perhatian saya.
Saya cuba buat tak endah saja dengan kejadian itu namun belakang saya pula dibaling dengan batu kecil. Sakit juga dibuatnya.
Akhirnya, saya memberanikan diri untuk menyuluh ke tengah sungai.
Dengan bantuan cahaya daripada lampu picit, saya dapat melihat dua orang wanita berkulit putih mulus, berambut panjang sedang mandi di tengah sungai sambil berkemban dengan kain batik. Berderau darah saya seketika.
Mereka merenung saya sambil tersenyum dan melambai tangan seolah-olah mengajak saya untuk turut serta mandi bersama mereka.
Cantik paras wajah mereka sukar untuk saya gambarkan.
Senyuman yang dilemparkan bagaikan magnet yang menarik saya untuk datang mendapatkan mereka.
Namun, belum sempat kaki saya melangkah ke gigi air, bahu saya ditepuk dua kali dari arah belakang. Saya berpaling.
Pak Chu berdiri di belakang saya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
Apabila saya memusingkan kepala untuk memandang ke tengah sungai, kelibat dua gadis jelita itu hilang begitu saja.
Keadaan sunyi kembali dan ketika itulah baru saya rasa badan saya berpeluh dengan lutut menggigil ketakutan.
“Jom masuk balik khemah,” hanya itu kata-kata Pak Chu. Suara dan mukanya serius. Saya hanya mampu mengangguk dan berjalan dengan lemah ke khemah.
Puas saya cuba untuk memejamkan mata kembali namun gagal. Akhirnya saya tertidur juga tapi bersulamkan mimpi ngeri berjumpa dengan pontianak yang mukanya sungguh menakutkan serta asyik mahu menerkam saya.
Keesokan harinya, baru Pak Chu membuka cerita sewaktu kami bersarapan roti yang di cicah dengan baki sardin semalam.
Kata Pak Chu, perempuan cantik yang saya jumpa semalam ialah penunggu air yang selalu mengganggu pemancing di tengah hutan.
Kalau kita meranduk air untuk pergi ke arah mereka, kita akan mati lemas kerana biasanya penunggu itu akan membawa kita masuk ke lubuk yang paling dalam dan banyak kayu di dasarnya.
Saya bernasib baik kerana Pak Chu terjaga sewaktu saya melintasinya sewaktu mahu ke sungai.
Petang itu, kami bergegas pulang ke rumah. Trip kali ini hanya membuahkan lima ekor ikan baung dan sebesen besar ikan putih sebesar tapak tangan.
Saya pulang dengan membawa satu kenangan mistik. Namun jauh di sudut hati, saya tidak akan serik lagi untuk ke sini pada masa akan datang.
Bukankah dunia Allah yang luas ini kita kongsi bersama makhluknya yang lain? Wallahualam.
Kepentingan & Fungsi Life Jacket Yang Perlu Diketahui

Life jacket atau jaket keselamatan dengan pancingan di atas air merupakan perkara yang tidak asing lagi.
Ia adalah satu syarat wajib yang perlu ada bagi setiap setiap pemancing yang memancing di atas pengakutan air sama ada di laut, tasik, sungai mahu pun lombong. Namun apakah pemakaian jaket keselamatan ini diaplikasikan sepenuhnya oleh pemancing?
Ciri-ciri jaket keselamatan yang perlu kita ketahui adalah ia mestilah berwarna terang, mempunyai wisel, warna pantul cahaya dan tali kekunci yang baik untuk mengapungkan manusia.
Jaket keselamatan bukanlah dipakai untuk fesyen tetapi bagi menjamin keselamatan semasa malapetaka terjadi. Selamat diri dahulu barulah fikirkan tentang peralatan lain anda.

Kepelbagaian jaket keselamatan
Terdapat pelbagai jenis jaket keselamatan yang berada di pasaran, namun jaket keselamatan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu dari material styrofoam yang dibalut dengan kain yang dibentukkan sebagai baju luaran.
Satu lagi jenis adalah dari pelampung udara yang bertindak secara automatik apabila picu ditarik atau alat pengesan air berfungsi dan memberi impak gas CO2 kepada seluruh ruang pelampung.

Jaket keselamatan yang diperbuat daripada styrofoam mempunyai daya apungan yang minima mengikut kualiti.
Bagi kualiti sederhana ia mampu mengapungkan manusia seberat 80 kilogram dalam masa 4jam.
Dalam tempoh ini gunakan apa yang ada di sekeliling kita untuk menyelamat dirikan. Tarik perhatian dengan meniup wisel dan berada di kawasan terbuka lebih mudah untuk dilihat.

Malang tidak boleh diduga. Apabila kita menaiki pengangkutan air untuk melakukan aktiviti memancing, kita tetap akan terdedah kepada bahaya.
Bagi bot-bot kecil berhati-hati ketika menurunkan sauh dan lihat di sekeliling anda jika memancing di laut dan kawasan muara.
Jangan lepaskan sauh secara mengejut kerana dikhuatiri barang-barang pancing yang berdekatan tali sauh turut sama jatuh dan ini akan menimbulkan situasi panik kepada pemancing.

Sekiranya berlaku kemalangan semasa melakukan aktiviti memancing, keselamatan perlu diutamakan.
Gunakan jaket keselamatan yang selesa dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik dan selenggara mengikut masa yang ditetapkan.
Tukar jaket keselamatan yang telah lusuh atau gas CO2 yang telah tamat tempoh. Mungkin dengan sedikit perbelanjaan mampu menyelamatkan nyawa anda.

Peringatan
Jaket keselamatan jenis gas harganya agak mahal, namun tempoh apungan jika berlaku kejadian bot karam, terbalik adalah lama berbanding jaket keselamatan jenis styrofoam.
Gas CO2 di dalamnya, walaupun tidak berlaku apungan, gas CO2 di dalamnya perlu ditukar sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun.
Jangan mengharapkan bot pancing menyediakan jaket keselamatan, kerana mungkin ia telah lusuh dan tidak dijaga dengan baik (busuk, basah, berkulat) yang menyebabkan anda tidak selamat dan tidak selesa memakainya.
Jadi perkara terbaik adalah, beli dan bawa sendiri jaket keselamatan walaupun jenis styrofoam berwarna oren dan harganya juga tidak mahal.

baca juga Panduan Penting Memancing Atas Sampan
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Soal Jawab Memancing – Jig Sesuai Perairan Pulau Jarak?

Untuk makluman anda, aktiviti memancing di perairan Pulau Jarak sebenarnya tidak banyak bezanya dengan aktiviti memancing di lokasi lain sepanjang perairan Selat Melaka. Sekiranya anda berhasrat untuk mempraktikkan teknik jigging, terdapat dua kaedah jigging yang popular dan lazim diaplikasikan di perairan Pulau Jarak ini.
Teknik jigging yang biasa diamalkan ketika ini di perairan Pulau Jarak ialah slow pitch jigging dan juga light jigging. Oleh yang demikian, sekiranya anda ingin mengadakan trip jigging di sini maka sebaiknya anda membawa kedua-dua kelengkapan peralatan untuk teknik jigging ini.
Manakala jig yang sesuai untuk digunakan pula bergantung kepada ikan sasaran, kedalaman air dan juga faktor arus semasa. Sekiranya ingin mencuba teknik slow jigging ketika arus lemah, jig berbentuk berbentuk lebar seperti badan sotong yang bersifat melayang di dalam air, dengan berat 120g hingga 200 gm lebih praktikal digunakan.
Sebaliknya jika arus agak laju maka jig berbentuk silinder dan panjang yang mampu membelah arus dengan baik, memiliki berat 200g hingga 350g adalah lebih praktikal. Lazimnya teknik jigging perlahan ini dilakukan bagi menjerat spesies demersal yang bernilai tinggi seperti jenahak dan kerapu.
Sementara bagi teknik light jigging pula ia lazimnya dipraktikkan apabila mensasarkan ikan-ikan pelagik seperti cencaru kuda, tongkol, talang ataupun tenggiri. Ia dilakukan apabila bertemu dengan kumpulan ikan pelagik atau memancing di kawasan karang air cetek yang dipercayai menjadi lubuk ikan-ikan pelagik. Jig-jig yang biasa digunakan pula memiliki warna asas keperakan dan berat antara 60g hingga 120gm.